Bersambung daripada Seminar Panglima Awang di UPSI - Membedah karya tentang sosok sang pengembara.
Sebelum sesi pertama pembentangan tamat diadakan dahulu pembentangan sampingan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Satu rombongan telah pergi ke Kuala Sungai Baru, Melaka untuk melawat rumah yang dikatakan tempat Panglima Awang menetap 500 tahun lalu.
Rumah yang dipanggil Teratak Enrique Malacca ini diselenggarakan oleh seorang yang dikenali sebagai Dato' Paduka Zainal Johan. Disebut pada risalah kecil atur cara majlis bahawa antara objektif seminar adalah mempromosi teratak tersebut di Lot 214, Batu 27, Jalan Kg Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka. Zainal tersenarai sebagai salah seorang pembentang seminar malah menurut atur cara di FB (atur cara yang diterima pagi itu tidak menyebut ini) akan mempamerkan contoh alat pelayaran yang digunakan oleh Panglima Awang. Tetapi sekitar jam 9.30 hadirin diberitahu beliau tidak dapat datang kerana ada masalah.
Saya tersenyum sahaja mendengar itu. Saya tersenyum lagi melihat cerita yang dikongsikan kepada rombongan pelajar yang datang ke tempat beliau.
Nasib baik yang datang itu pelajar sastera, kalau pelajar sejarah mungkin mereka terus tak layan lagi cerita Zainal. Bagaimana mahu dilayan? Ketika Panglima Awang selesai mengelilingi dunia tahun 1520an, dia sudah berumur sekitar 30an kerana ditawan Portugis 1511 ketika berumur antara 18 hingga 20 tahun. Belanda masuk bertapak di Melaka pada tahun 1641, selepas bersama kerajaan Johor mengalahkan Portugis. Tahun itu, kalau Panglima Awang masih hidup umurnya harus sekitar 150 tahun. Tak mustahil tetapi tak pernah lagi saya mendengar cerita orang bernama Panglima Awang yang dikatakan pernah mengelilingi dunia bersama armada kapal Ferdinand Magellan itu menyerang kapal Belanda. Malah saya tidak pernah mendengar apa-apa pasukan Melayu pernah menyerang Belanda pun hinggalah tahun 1784 apabila Raja Haji ibni Daeng Chelak begaduh dengan kuasa Barat itu. Ini kerana kerajaan Johor yang mewarisi jajahan takluk Melaka pernah berpuluh tahun bekerjasama dengan Belanda untuk mengalahkan Portugis. Selepas itumereka terus bekerjasama sampailah ternyata kaum kafir itu bukanlah kawan yang setia.. Ke Zainal nak kata ini adalah sejarah yang disembunyikan? Mungkin pembaca boleh membuat kajian lanjut...
Hal sejarah versi Zainal yang tidak konsisten dengan fakta sejarah yang diketahui pengkaji bertauliah itu malah disentuh pembentang seterusnya, tuan Mohd Zamberi Abdul Malek, mantan karyawan UM (Universiti Malaya) dan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Beliau mengingatkan pelajar yang hadir agar menyemak dahulu fakta sejarah, tempoh masa berlaku suatu peristiwa dan sebagainya, jangan percaya bulat-bulat apa-apa cerita orang. Membawa tajuk “Penelitian Semula Susur Galur Perjuangan Panglima Awang Selaku Orang Melayu Pertama Mengelilingi Dunia” beliau sebelum itu mengajak hadirin cuba menyaring yang manakah fakta yang manakah pendapat juga imaginasi apabila bercakap tentang Panglima Awang. Ini kerana banyak dakwaan telah dibuat termasuk tentang asal usul beliau, ada kata dari Melaka, ada kata dari Rembau sedangkan apa yang boleh disebut sebagai fakta cuma sedikit sahaja. selain daripada itu boleh kata semua cerita berkenaan Panglima Awang yang masyarakat umum dengar adalah interpretasi kreatif para penulis novel terhadap keadaan walaupun bersandar pada fakta.
Zamberi bercakap terus tanpa menggunakan slaid. Apa yang saya nampak beliau menyelak nota-nota dalam tangan. Turut disebut keadaan selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511, bagaimana keadaan Sultan Mahmud dan para pengikut selepas itu yang cuba melanjutkan perang melawan Portugis dan cuba memerdekakan kota Melaka daripada beberapa tempat, antaranya Pagoh di Muar membawa ke kepulauan Bintan di selatan Singapura sebelum baginda mangkat di Kampar 1528.
Saya agak terpegun dengan fakta-fakta yang dikemukakan Zamberi tentang Panglima Awang.Rupa-rupanya beliau mengambil rujukan daripada buku mahal terbitan kerajaan Melaka ini, kalau tak salah buku tahun 2009. Zamberi pun rupa-rupanya meminjam daripada Dt Talib Samat. Saya meminjamnya sebentar untuk mengambil beberapa gambar.
Nah. Saya pilih beberapa muka surat yang dirasakan paling relevan selepas buku diimbas pantas. Pembaca boleh membuka dalam windows lain agar kelihatan lebih terang...
Berbanding novel-novel yang membenarkan imaginasi penulis melencongkan fakta, satu perkara yang diterima dengan senang hati dalam dunia sastera tetapi menjadi kesalahan besar dalam dunia pengkajian sejarah, apa yang terpapar dalam buku mewah berharga RM350 senaskah ini cukup ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Untuk menerbitkan buku kerajaan Melaka telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Panel penulis telah cuba menjejak sebaik mungkin semua tempat yang pernah disinggahi watak pengembara yang dipanggil Panglima Awang itu dalam perjalanannya mengelilingi dunia. Ini dibuat merujuk kepada catatan perjalanan rombongan armada Magellan seperti yang tersimpan di Sepanyol malah diketahui ramai sejak beberapa lama...
Sudah disebut dalam artikel Seminar Panglima Awang di UPSI - Membedah karya tentang sosok sang pengembara bahawa tiada siapa yang tahu nama sebenar pengembara tersebut. Panglima Awang sebenarnya adalah nama yang diberi oleh penulis Harun Aminurrashid, orang Singapura yang pernah belajar dan mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (yang kemudian menjadi UPSI atau Universiti Perguruan Sultan Idris itu) merujuk pada watak yang disebut Barat sebagai Enrique atau Henry. Beliaulah yang menyebabkan nama itu mula disebut ramai, Ini adalah susulan terbitnya novel beliau yang bertajuk "Panglima Awang" 1983.
Saya paling tertarik dengan kenyataan Zamberi bahawa Harun Aminurrashid menulis berdasarkan 3 sumber yang tak sepanjang mana pun cerita, namun amat berpotensi untuk dikembangkan lebih lanjut. Ia merupakan tulisan akhbar dan majalah tahun 1944-1956 seperti diulisan di atas. Tulisan itu sendiri bersumberkan daripada 3 perkara. Ini merupakan wasiat Magellan tentang bagaimana Enrique harus diperlakukan jika beliau mati, catatan pengganti Magellan iaitu Duarte Barbosa diikuti catatan sarjana Itali, Antonio Pigafetta yang ikut sama belayar.
Pembentang ketika dan terakhir, saudara Rosli Mohd. Sah adalah kawan lama saya yang dikenali sejak saya rajin masuk ke satu forum Internet untuk mempromosi siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu selepas buku pertama siri terbit Jun 2006. Beliau yang diperkenalkan sebagai editor syarikat penerbitan buku Yamani Angel telah menulis novel "Panglima Awang Penguasa Lima Lautan" tahun 2014.
Membawa tajuk "“Proses Kreatif dan Pengalaman Menulis Novel Panglima Awang Penguasa Lima Lautan” beliau menegaskan bahawa tidak banyak catatn sejarah boleh ditemui tentang Panglima Awang. Maka itu rata-rata penulis mengambil sikap membuat interpretasi sendiri terhadap keadaan lalu tiada siapa pun boleh mengaku memiliki fakta yang lengkap atau lebih bagus. Beliau ada menyebut bahawa nama Enrique yang diberikan oleh Barat itu sebenarnya adalah nama kucing belaan Magellan. Saya terlupa hendak bertanya daripada manakah beliau dapat kenyataan ini. Yang saya ingat beliau ada menunjukkan rujukan berupa rekod perjalanan salah seorang pelayar yang pernah bersama (saya terlupa pula Pigefetta ke Barbosa) yang diperolehi melalui Internet.
Tamat pembentangan seorang hadirin mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang Panglima Awang. Kata beliau ada usaha pihak tertentu agar nama anak Melayu yang hebat ini tidak lagi disebut orang. Kata beliau ada pihak tertentu telah membeli hak cipta daripada novel Harun Aminurrashid (kalau tak salah dengar dan ingatan le) dengan janji mahu menerbitkan filem tentang manusia hebat yang berjaya mengelilingi dunia itu. Tetapi sudah beberapa lama masih tak terbit malah tidak pernah kelihatan pun usaha untuk menerbitkan, seolah-olah ia sengaja diperam dan disenyapkan.
Selepas itu aworang pelajar UPSI membacakan sajak berkenaan Panglima Awang.
Seorang lagi membaca sajak. Sambil itu saya membelek lagi buku.
Nah, Peta pelayaran Panglima Awang yang tertera pada bahagian akhir buku. Memang patut kisah ini diangkat agar dapat dikenali dan dicontohi lebih ramai anak Melayu.
Mana nak cari buku Tuan baca tersebut?
BalasPadamCuba tanya kat mana2 muzium di Melaka. Kalau tak salah buku tersebut adalah terbitan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)...
BalasPadam