Allahuakbar! Malam ini sudah masuk 27 Rejab, malam Israq dan Mikhraj. Maka saya ingin berkongsi cerita berkaitan yang tertera pada bab terakhir buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang terbit November 2007. Bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?". Dari segi mood bercerita dua tiga hari ini ia boleh dikatakan bersambung daripada artikel Aku
cuma zilal Mu ya Allah! yang dibuat siang tadi.
Tajuk artikel ini mungkin pelik sedikit. Namun saya percaya anda akan nampak sebabnya setelah membaca tulisan di bawah sampai habis. Adapun apa yang dipaparkan ini adalah keseluruhan isi bab tersebut termasuk perkongsian rasa yang terbit akibat melihat keadaan dunia ketika itu. Walaupun ia ditulis 5 tahun lalu rasanya keadaan tersebut masih relevan dengan dunia hari ini.
Kebetulan ini adalah artikel ke 999 di blogspot ini. Dengan kombinasi nombor berserta fakta bahawa bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?", dipaparkan pula pada malam Israq dan Mikhraj semoga ini dapat menutup satu fasa hidup lalu masuk ke fasa baru yang lebih bermakna dan diredhai Ilahi.
-------------------
Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di sebuah negeri
di Timur Tengah, ada seorang raja kafir sudah tergerak mahu memeluk Islam
kerana tertarik dengan ajaran-ajaran Rasulullah SAW. Baginda telah melihat
akhlak baik para penganutnya dan telah bertanyakan para alim ulamak tentang
hukum-hakam Islam dan segala maslahat berkaitan. Lalu sang raja
berpendapat agama ini memang sesuai
dengan fitrah manusia malah amat baik untuk perkembangan rohani dan jasmani
setiap insan.
Baginda cuma ada satu kemusykilan yang perlu dijawab
sebelum bersedia mengucap dua kalimah syahadah... Bagaimanakah Rasulullah SAW dapat naik Israq
dan Mikhraj, pergi dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik tujuh petala langit,
dapat melihat segala isi syurga dan neraka, naik lebih tinggi ke Sidratul
Muntaha kemudian melepasi Kursi dan Arash untuk sampai ke Hadirat Allah
Subhanahuwata’ala sebelum kembali ke Mekah sedangkan semuanya berlaku dalam
tempoh singkat yang diibaratkan daun yang bergetar dilanggar orang apabila Nabi
memulakan perjalanan belum habis bergetar apabila baginda kembali ke rumah.
Masalahnya, tiada alim-ulamak dapat memberikan jawaban
yang memuaskan raja. Seperti diketahui umum, perjalanan Mekah ke BaitulMuqaddis
sendiri memakan masa berhari-hari, mungkin berbulan-bulan, baik menunggang kuda
mahupun unta. Inikan lagi naik ke langit malah lebih atas untuk melihat segala
isi kejadian Allah SWT dan kembali dalam masa beberapa detik sahaja! Di zaman
moden inipun menaiki jet atau kapal terbang, perjalanan Mekah ke Baitul
Muqaddis memakan masa tidak kurang dua jam.
Untuk naik ke langit pula, belum ada manusia yang mampu membuatnya.
Alangkan menaiki roket sampai ke bulan pun memakan masa beberapa hari,
bagaimana pula hendak ke langit? Lalu bagaimana Nabi boleh melakukan semua ini
malah pergi lebih jauh dalam masa begitu singkat?
Maka tersebarlah berita tentang raja sebuah negeri
ingin memeluk Islam tetapi belum bersedia kerana tiada orang dapat menerangkan
peristiwa Israq dan Mikhraj sehingga hilang kemusykilan baginda. Berita ini
sampai kepada seorang wali Allah penuh karamah lalu beliau tergerak berjumpa
dengan raja. Kedatangannya disambut dengan mulia... Walaupun baginda bukan Islam, raja ini adalah
seorang yang beradab dan amat menghormati para alim ulamak . Sang wali pun
dijemput masuk menghadap.
Setelah berkenal-kenalan dan bertanyakan khabar
seperti lazimnya orang baru bertemu, mereka duduk bersemuka di sebuah ruang
persendirian. Tiada manusia lain di situ kecuali seorang khadam yang siap-siaga
untuk memenuhi apa-apa permintaan baginda. Wali itupun bertanya: “Hamba dengar
Tuanku amat berminat untuk memeluk agama Islam tetapi ada yang menghalang.
Apakah masalahnya? Mungkin hamba boleh menolong?”
Sang raja pun
menjawab: “Memang benar berita yang kamu dengar itu. Beta sudah lama mahu
memeluk Islam kerana pernah bertanya kepada ramai alim-ulamak tentang agama ini. Memang beta dapati Islam
itu elok. Cuma beta belum berpuas hati tentang kebenaran peristiwa Israq dan
Mikhraj. Bagaimanakah Nabi Muhammad boleh melakukan perjalanan malam tersebut sedangkan ada yang mengatakan
semuanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat? Sehingga dikatakan daun yang bergetar dilanggar orang belum pun habis
bergetar apabila perjalanan itu tamat.
Beta sudah bertanya alim ulamak negeri ini. Setakat ini belum ada orang yang
dapat memberikan jawaban atau keterangan yang boleh memuaskan hati beta.”
Wali itu tersenyum mendengar pengakuan raja. Beliau
pun bertanya: “Bagaimana jika ada orang yang dapat menerangkan masalah ini,
adakah Tuanku akan mengucap dua kalimah syahadat dan masuk Islam?”
Baginda menjawab: “Ya, beta akan mengucap kalimah
pengakuan itu kalau penerangan yang diberikan dapat memuaskan hati. Beta
berjanji akan masuk Islam. Memang itulah yang beta nanti-natikan selama ini.”
“Kalau begitu biarlah hamba menerangkannya,” kata wali
itu. “Sila Tuanku ambil sebuah besen penuh dengan air.” beliau meminta pula...
Raja itupun menyuruh kadam memenuhi permintaan
tersebut. “Sekarang masukkan kepala Tuanku ke dalam besen,” kata
sang wali.
Sang raja mula teragak-agak. Kenapa perlu memasukkan
kepala ke dalam besen? Sang wali pun memberikan jaminan persoalan Israq dan
Mikhraj akan terjawab jika baginda menurut sahaja. Raja itupun mengalah...
Mula-mula tiada apa-apa yang berlaku... Setakat kepala
raja tenggelam dalam air, tiada yang pelik tentang itu. Tetapi apabila baginda
mengangkat kepala ke atas, ternyata wali itu sudah hilang. Malah ruang tempat
mereka berbual termasuk istana juga sudah tiada! Sekonyong-konyong itu baginda
mendapati dirinya berada di dalam sebuah sungai yang deras dipukul arus ganas
sehingga terkapai-kapai mencari nafas. Baginda
tidak pandai berenang, maka tenggelam-timbullah raja itu dihanyutkan
arus deras...
Dicelah-celah tenggelam-timbul itu baginda menjerit-jerit
meminta pertolongan dengan harapan ada yang mendengar. Kebetulan seorang pemuda
gembala kambing sedang menjaga ternakan tidak jauh dari situ. Dia dapat
mendengar jeritan sang raja lalu bergegas ke tebing sungai.
Pemuda itu meneliti permukaan sungai untuk
mengenal-pasti punca jeritan yang didengar. Ternampaklah seorang manusia hanyut
tenggelam-timbul dipukul arus di tengah-tengah. Tanpa berfikir panjang, sang
gembala pun terjun ke dalam sungai. Setelah berhempas-pulas melawan arus ganas,
dia berjaya menyelamatkan raja lalu membawanya ke tebing…
Si gembala memapah sang raja yang asyik terbatuk-batuk
akibat banyak tertelan air. Dalam
keadaan separuh sedar, baginda terus terbaring keletihan sambil mengembalikan
nafas. Dalam pada itu, raja ini dapat merasakan ada sesuatu yang berlainan
tentang tubuh-badannya... Baginda pun meraba-raba untuk memastikannya. Eh...
Kenapa terdapat bahagian membulat yang lembut-lembut ini? Eh... Mana pergi
otot-otot tubuhnya yang sasa? Masyaallah! Memang tubuhnya terasa amat
berlainan, bukan lagi tubuh seorang raja atau lelaki yang sasa malah tubuh
seorang perempuan! Raja yang masih agak keletihan itu terkejut besar sehingga
pengsan.
Sang gembala kambing mengangkat baginda balik ke rumah
untuk dirawat. Setelah beberapa hari dijaga, diberi ubat dan disuapkan makanan,
barulah kesihatan baginda pulih.
Masalahnya tubuh baginda masih lagi tubuh seorang perempuan. Lalu
bagaimana raja itu mahu menjawab apabila pemuda itu bertanyakan asal-usulnya?
Bagaimana boleh sampai ke kawasan itu dan dihanyutkan sungai sedangkan baginda
pun tak pasti apa yang telah berlaku? Kalau dijawab pun rasanya tidak akan
masuk akal biasa... Bagaimana seorang raja boleh hilang daripada istana lalu
tiba-tiba hanyut di sungai dan bertubuhkan seorang perempuan? Akhirnya baginda
menerima hakikat dirinya bukan lagi seorang raja. Malah sebagai seorang
perempuan, baginda akhirnya berkahwin dengan pemuda gembala kambing pula!
Tujuh tahun kemudian, sang raja yang sudah lama
melupakan asal-usul sebenarnya tergerak untuk pergi ke sungai tempatnya
diselamatkan sang gembala kambing dahulu. Oh... Terlupa hendak memberitahu.
Mereka telah dikurniakan dua orang anak (kalau tak salah ingatan) ataupun tiga?
Apapun, yang penting, hidupnya betul-betul telah berubah. Daripada seorang raja
perkasa yang menguasai sebuah kerajaan, baginda telah menjadi seorang isteri
yang sempat melahirkan beberapa orang bayi.
Hendak dijadikan cerita, ketika sedang berjalan-jalan
di tepian sungai, wanita itu tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam. Sekali lagi
dia mendapati dirinya tenggelam-timbul dibawa arus deras. Tahu tidak apakah
yang terjadi kemudian? Wanita itu mengeluarkan kepalanya untuk mencuri nafas
tetapi apa yang didapati sekelilingnya
bukan lagi sebuah sungai yang deras tetapi sebuah ruang mewah, bagaikan
dewan di dalam istana raja!
Wanita itu juga mendapati kepalanya baru sahaja
dikeluarkan daripada sebuah besen berisi air, bukannya sebuah sungai. Seketika itu juga hamba Allah ini mendapati
tubuhnya sudah bertukar daripada tubuh seorang perempuan kepada tubuh seorang laki-laki malah disaluti pula
pakaian mewah persis seorang raja. Lalu siapakah dia sebenarnya? Seorang wanita
isteri gembala kambing atau seorang raja pemerintah sebuah kerajaan?
Hamba Allah ini tercengang-cengang untuk memahami
kejadian ini. Di manakah dia sekarang?
Di manakah dia sebenarnya berada sebelum itu? Siapakah dirinya ini? Apakah yang
telah berlaku? Begitu banyak persoalan timbul sehingga dia termenung lama untuk
merungkaikan permasalahan.
Di hadapannya pula duduk seorang manusia berjubah
berserban tersenyum lebar melihatnya terpinga-pinga. Ah! Baru dia tersedar... Baru teringat
dirinya seorang raja yang sedang berada di dalam istana. Segala peristiwa yang
berlaku daripada dirinya jatuh lemas lalu diselamatkan pemuda gembala kambing,
bertukar menjadi seorang perempuan dan
berkahwin sehingga melahirkan anak, segala yang dirasakan berlaku dalam
tempoh tujuh tahun itu sebenarnya terjadi dalam tempoh beberapa detik sahaja...
Semuanya berlaku ketika memasukkan kepala ke dalam besen!
Menyedari sang
raja sudah mulai faham, orang berjubah berserban tadi (sebenarnya seorang wali yang ditugaskan
memberi penerangan supaya sang raja masuk Islam) itupun menegur: “Sekarang Tuanku faham bagaimana Rasulullah SAW melakukan
Israq dan Mikhraj dalam tempoh cuma beberapa detik? Dengan kuasa Allah, tiada
perkara yang mustahil!”
Walau sudah faham apa yang berlaku, sang raja masih
lagi kehairanan. Susah untuknya menerima kenyataan... Terbetik pula di hati: “Mungkin aku telah dipermainkan...
Barangkali aku disihir sehingga boleh percaya yang aku betul-betul telah
menjadi seorang wanita? Boleh pula menghabiskan tujuh tahun hidup susah bersama
seorang pengembala kambing?”
Wali Allah yang kasyaf itu tahu apa yang bermain di
fikiran raja: “Tuanku masih tak percaya?”beliau bertanya. Atau kalau ikut
kata budak-budak sekarang: “Kenapa? Tak
percaya ke?” mengajuk iklan televisyen...
Raja itu tidak menjawab. Mungkin hatinya belum puas
lagi?
Wali itupun menyambung: “Tak mengapalah. Sebentar lagi
akan datang beberapa orang tetamu yang akan menjawab persoalan Tuanku.”
Sang raja semakin bingung. Apakah yang dimaksudkan
orang ini? Jika tadi, kepalanya dimasukkan ke dalam besen lalu berlaku
keajaiban sehingga dia hilang entah di mana, kemudian boleh
terasa seperti berada tujuh tahun di sana malah boleh pula bertukar menjadi
seorang perempuan, sekarang ada tetamu boleh menyelesaikan masalahnya... Apakah
makna semua ini?
Kebetulan
memang ada tetamu baru sampai ke istana untuk berjumpa dengan raja.
Seorang pesuruh raja pun menghadap menyampaikan berita. Sang wali
mengisyarat raja supaya menerima kedatangan tetamu itu. Sebaik
sahaja tetamu masuk, wali itu sendiri bangun lalu menyambutnya...
“Tuanku kenal siapakah ini?” sang wali menunjuk kepada
mereka...
Ternyata tetamu yang datang adalah pemuda gembala kambing yang ditemui
raja semasa memasukkan kepalanya ke dalam besen! Orang yang menyelamatkan
nyawanya ketika dia bertukar menjadi seorang perempuan yang kelemasan dalam
sungai malah sempat menjadi suaminya pula! Turut bersama adalah anak-anak comel
hasil perkahwinan mereka. Sang raja
terus bersujud lalu mengakui kebesaran Ilahi. Tanpa perlu diajar lagi, baginda
mengucapkan dua kalimat syahadat lalu masuk Islam. Tammat...
Z
Sekarang, renungkan kembali cerita yang mengandungi
rahsia besar tentang kejadian Israq dan
Mikraj ini. Di manakah semuanya berlaku, pada masa bila? Fikirkan... Dalam
sedetik memasukkan kepala ke dalam besen, seorang raja boleh bertukar menjadi perempuan
malah hidup tujuh tahun di suatu tempat sehingga melahirkan dua (atau tiga?)
orang anak... Keluar kepala dari besen pula kembali menjadi raja tetapi boleh
berjumpa anak-anak itu kembali. Maka apakah yang sebenarnya telah berlaku?
Apakah itu ruang dan masa? Adakah ia
seperti yang kita fikirkan selama ini?
Berfikirlah. Dan berzikirlah sekali… Minta petunjuk
Allah SWT agar diterangkan hakikat sebenar alam dan kehidupan. Apakah tujuan
kita dijadikan dan diletakkan di atas muka bumi ini... Apakah makna sebenar
Firman Allah: “Tidak aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepada
Ku.” Adakah ia setakat mengikut Syariat dan hukum-hukum Fiqah seperti sering disebut orang atau ada
makna lain yang lebih meluas?
Apakah makna
sebenar ibadah yang berasal daripada perkataan akar abdi, mengabdikan diri?
Cuba tanya orang-orang yang Arif, apakah
hakikat sebenar ibadah, apa makna ubudiyah? Marilah kita belajar
mengenali diri masing-masing dengan sebenar-benar perkenalan, tahu hakikat atau
makna diri yang sejati, faham hubungan hamba yang sejati dengan Sang
Pencipta... Kemudian carilah peranan sebenar masing-masing di bumi ini.
Kajilah diri kita sendiri dalam-dalam. Kenapa ada
orang bernama Abu, bukannya Ramli? Kenapa ada yang berkulit sawo matang, bukan
putih merah? Kenapa suka warna hijau
tetapi benci warna pink? Kenapa sukakan gajah, tetapi tidak suka melihat
badak? Kenalilah kembali kecenderungan diri yang sejati, minat dan hobi yang
wujud dalam hati sanubari secara semulajadi, bukannya minat yang dipaksakan
keadaan atau terikut-ikutkan orang. Kenalilah diri kamu rata-rata sebelum
mengenali Allah yang nyata.
Sambil-sambil itu rajin-rajinlah bertanya dengan
orang-orang tua tentang asal-usul keluarga. Cari salasilah dan wasilah diri,
fahamilah sabda Rasulullah SAW... Setiap orang
dipertanggungjawabkan dengan nasabnya. Renungkan kenapa orang dahulukala
amat memerhatikan asal-usul keturunan seseorang dan sangat prihatin dalam
memelihara kemuliaan dan ketulinan nasab. Bukan kerana hendak menyombong diri tetapi
untuk beramanah dengan nama baik
keluarga! Insyaalah, jika ini dapat dirungkai, setiap orang akan menemukan
jawaban kepada beberapa persoalan yang akan mengungkapkan segala rahsia
perjalanan hidup masing-masing.
Saudara saudari yang dihormati sekelian, perhatikan
sekeliling anda... Perhatikan segala
macam kebathilan berleluasa sehingga menjadi budaya kelaziman hidup yang tidak
mampu lagi dielakkan... Kita semua sudah lali dengan rasuah, tipu-daya, pecah
amanah, riba’, pergaulan bebas laki-laki dan perempuan, hiburan tanpa batasan
dan maksiat. Semua pihak sebenarnya terpalit dan terlibat kecuali mereka yang
sanggup menongkah arus zaman untuk keluar seratus peratus daripada lingkungan
budaya kehidupan sekarang. Fikirkan... Pihak manakah menyebabkan ini boleh berlaku?
Sekarang luaskan pemandangan itu dengan mata-hati yang
bercahaya menembusi segala kekaburan sehingga meliputi hal-ehwal dunia sejauh
yang mungkin. Renungkan, kenapa Presiden Bush terus diberikan mandat untuk
memimpinAmerika selama lima tahun lagi walaupun sudah dua kali menghadapi
proses pemilihan presiden yang memakan masa
yang lama serta menelan belanja berbillion-billion Dolar. Kenapa
Afghanistan masih lagi huru-hara walaupun sudah memiliki kerajaan baru yang
‘demokratik’. Kenapa Iraq yang sudah pun melutut terus ditekan dan
dijahanamkan? Siapakah ‘kepala’ yang bertanggungjawab ke atas semua ini?
Lebih dekat ke tanah air, kenapa Aceh ‘dikeroyok’
tentera yang menurut arahan dari Jakarta? Mungkin keadaan sudah aman selepas
Tsunami 26 Disember 2004 memaksa pihak yang bertelagah untuk berdamai. Tetapi
betulkah nasib rakyat bumi Serambi Mekah yang sudah beratus tahun sengsara
dilanda pelbagai musibah sudah terbela?
Bagaimana pula keadaan di selatan Thailand yang lebih dekat dengan
sempadan kita? Jika Aceh sudah tamat tempoh darurat, bagaimana pula darurat
baru yang diisytiharkan di Patani 2005? Wilayah itu juga pernah menjadi pusat
dakwah Islam ke seluruh bumi Melayu. Bukankah ia juga sedang teruk ‘dikeroyok’
tentera?
Ingat lagi tidak bagaimana Australia pernah beriya-iya
mahu menghalalkan operasi tentera ke atas Malaysia dan Indonesia atas alasan
mahu mencari pengganas ? Amerika pula sibuk mahu menghantar armada lautnya yang
hebat untuk meronda Selat Melaka dengan disokong Singapura. Nasib baik kita
dapat menolak secara diplomatik. Kalau tidak mungkin kedaulatan perairan kita
sudah lama tergadai... Fikirkan juga kenapa Perdana Menteri Singapura dahulu,
Lee Kuan Yew berani mencabar jiran-jirannya negara-negara Melayu supaya menyerang pulau itu. Apakah kerana mereka sudah
memiliki sistem peluru berpandu canggih dengan kekuatan tentera yang disokong
Amerika dan dilatih Yahudi?
Apa pula sebenarnya sedang berlaku di Baitul Muqaddis
yang tidak disiarkan kepada umum oleh media massa dunia yang dikuasa Zionis?
Kenapa rejim Israel pernah membuat pengumuman menghadkan kemasukan umat Islam
bersolat Tarawih di Masjidil Al Aqsa kerana takut lantainya roboh? Apa pula
sebab mereka fikir ia boleh roboh ? Bukankah masjid itu telah berdiri kukuh
sejak Saidina Umar memerdekakan Baitul Muqaddis daripada Empayar Kristian
Byzantium 1,400 tahun lalu?
Seteruskan kaitkan dengan ini.... Kenapa apabila
menyebut tentang tanah suci ketiga Islam itu, kita terus disogok dengan gambar
Qubah Al-Sakrah, Dome of the rock dengan kubah kuning keemasannya...
Kenapa tidak gambar sebenar Masjidil Aqsa? Apakah yang ingin disembunyikan?
Saudara saudari sekalian. Tahukah apa itu Temple of
Solomon atau Haikal Nabi Sulaiman AS? Kalau tidak, tanya mereka yang tahu.
Tanyakan sekali apa itu Zionist, Temple of Zion, Protocols of
the Elders of Zion, siapakah dia orang yang dikatakan Freemason dan
Iluminati... Dan yang lebih penting, apa kena mengena mereka semua dengan
Amerika, Britain dan Israel malah Arab Saudi, apalagi dengan badan-badan
perisikan seperti CIA dan Mossad yang mempunyai rangkaian seluruh dunia dan
apakah misi utama mereka…
Fikirkanlah. Apakah makhluk-makhluk perosak ini yang
ingin memadamkan syiar Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi tidak pernah
memainkan peranan di bumi Melayu? Apakah tidak ada ajen mereka bergerak di
segenap lapisan masyarakat malah memegang kepimpinan tinggi sebagai proksi
Yahudi tetapi mengaku memperjuangkan agama, bangsa dan negara? Berhati-hatilah
akan makhluk perosak ala Machiavelli, musang bertopengkan kambing biri-biri
yang sekarang ada di mana-mana...
Lihatlah segala peristiwa dunia yang berlaku
kebelakangan ini dengan mata, kepala dan fikiran yang terbuka, fikiran yang
berfikir dan berzikir… Percayalah, seperti yang sering disebut oleh Rasulullah
SAW, kita ini umat akhir zaman. Sudahkah kita bersedia untuk menyambut
kedatangannya?
Sekian sahaja tugas menyampaikan sedikit pengetahuan.
Jika ada salah silap, terkasar bahasa dan sebagainya, saya sebagai insan yang
lemah menyusun sepuluh jari memohon
ampun dan maaf. Wassalam.
Radzi Sapiee
30 September 2007 bersamaan 18 Ramadhan 1428,
Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.