Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, September 24, 2012

Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran pusing Beruas-Gangganegara?

Hmm. Masuk cerita hari ke-5 perjalanan. Untuk ini saya harus menyediakan 11 artikel sokongan di blogspots saya yang lain. Bersambung dari Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Makam-makam lama dari Kuala Kangsar hingga ke Bota dan Lambor.


Subuh hari Rabu, 15 Ogos 2012, saya menyediakan diri untuk berjalan lagi.


Saya telah menunaikan saranan gerak hati agar bermalam dan beriktikaf di masjid lama bandar Lumut.


Pusing sebentar melihat keadaan di sekeliling bandar. Cuaca kurang baik nampaknya, jerebu tebal...


Nak tak nak perjalanan harus diteruskan. Nasib baik apabila melepasi bandar Ayer Tawar untuk masuk ke satu kampung yang namanya mengundang persoalan, langit kelihatan lebih segar.


Saya tak tahu siapakah Raja Hitam yang namanya diabadikan pada kampung sini. Cuma teringat seorang moyang utama saya yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam, kemudian menjadi orang pertama memakai gelaran Laksamana Raja Mahkota di Perak. Apakah kampung atau pekan ini ada kaitan? Tapi yang kelihatan cuma kedai-kedai dan rumah orang Cina belaka...


Selepas itu saya mengambil jalan ke pekan Beruas lalu menziarahi makam Raja-raja Beruas di Kampung Kota.




Masjid Kampung Kota. Sambil membuat perjalanan saya mengimbas kembali beberapa pengalaman lalu. Antaranya adalah kali pertama bermalam di masjid ini. Di sinilah saya diilhamkan akan kaitan keluarga sebelah bapa dengan nasab diraja lama kerajaan Samudera-Pasai datang daripada jurai mana. Cerita berkaitan pernah dikongsikan pada artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Merenung keadaan dari Lumut ke Beruas... 2 tahun lalu. Biar disalin di sini pula... dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007)...


Malam itu, buat pertama kali dalam hidupnya, pemuda itu tidur di bilik almarhum nenda. Tikar buruk yang digulung elok siap dengan tongkat kayu rambutan terselit di dalam turut ‘tidur’ sama. Dan benar seperti disebut Mak Uda, tiga hari kemudian Rasyid pun mendapat ilham...

Dahulu, tahun 2001, tiga hari selepas pertama kali bertanyakan Nenek tentang cerita-cerita lama Perak, Rasyid tergerak untuk berkelana memudiki kanan Sungai Perak. Ketika itu dia mahu mencari kaitan sebuah mimpi yang dialami dengan keSultanan Perak, mimpi awal yang mencetuskan pencariannya sehingga dia mengembara jauh ke berbagai tempat.

Kini tahun 2002, tiga hari selepas kembali ke rumah ini, sebulan selepas almarhum Nenek meninggal dunia, pemuda itu tergerak lagi untuk ke Perak. Kali ini dia harus mudik kiri Sungai Perak dengan membawa tikar mengkuang buruk dan kayu rambutan peninggalan Nenek untuk meliputi sebuah wilayah yang mengikut perjanjian lama keSultanan Perak adalah di bawah kekuasaan seorang pemimpin perempuan bernama Tok Temong...


——————————


Perjalanan yang dilakukan dalam tempoh beberapa hari itu boleh diringkaskan begini... Ia dibuka dengan menziarahi Makam Keramat Kuala Bidor di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Intan. Kalau tak salah ingatan itu adalah lawatan keduanya... Lawatan pertama dibuat semasa mula-mula mencari kaitan keluarga dengan kerabat diraja Perak 2001. Seterusnya, Rasyid bergegas ke makam keluarga Laksamana bersebelahan sebuah masjid lama yang didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Pemuda itu bermalam di rumah seorang ibu saudara yang berdekatan sebelum bergerak keesokan harinya ke Lumut untuk beriktikaf di masjid jamek pekan itu, tidak jauh daripada Sungai Dinding dan jeti ke Pulau Pangkor.



Selepas semalaman di masjid, sempat pula bersantai sebentar di tepian Sungai Dinding yang agak luas, dia menaiki feri bot kecil menyeberangi sungai untuk ke Damar Laut. Inilah kali pertama anak muda ini sampai ke kawasan itu, juga beberapa kawasan seterusnya... Dari sana, Rasyid mengambil bas buruk ke Pantai Remis kemudian ke Beruas. Keesokannya, dia pergi pula ke Kuala Kangsar, singgah lagi di makam diraja Perak di Bukit Chandan dan Masjid Kota Lama Kanan sebelum menutup perjalanan di makam Tok Temong di Kampung Temong, utara Kuala Kangsar.

Sepanjang perjalanan itu, pemuda ini sempat menziarahi beberapa buah masjid dan surau yang dipilih mengikut gerak rasa dan keperluan semasa. Contoh mengikut gerak rasa, tiba-tiba terasa mahu masuk ke suatu masjid walaupun bukan waktu bersolat. Kalau ikut keperluan pula, kebetulan kita sampai di suatu tempat ketika masuk waktu solat atau terasa mahu buang air... Maka singgahlah kita untuk menunaikan hajat...


Ternyata dalam banyak-banyak masjid dan surau malah dalam banyak-banyak tempat beribadat yang pernah diziarahinya dewasa ini, ada sebuah sahaja yang masih menggunakan tikar mengkuang seperti tikar Nenek yang dibawa bersama. Itulah Masjid Kampung Kota di Beruas...

Di situlah Rasyid mendapat petunjuk susur galur keluarga Laksamana Perak sampai kepada Sultan Malikus Salih melalui cucu keduanya Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera, bukan melalui Malikul Mahmud yang mewarisi Pasai. Cerita-cerita lama pula menyebut kerajaan lama Beruas telah diasaskan oleh Malikul Mansur selepas dibuang negeri atas kesalahan mengambil perempuan daripada Istana Pasai.



Perjalanan dari Lumut melalui Kampung Kota juga mengingatkan ketika saya mengikut rombongan panjang membawa kembali jenazah seorang moyang, Dato' Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin untuk dikebumikan di makam diraja Bukit Chandan. Beliau pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama Sultan ke 26 Perak, Sultan Abdullah II sebelum ditahan di Singapura di mana beliau meninggal dunia. Lihat artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak. Cuma sampai ke simpang pekan Beruas rombongan membelok kanan untuk menghala ke Kuala Kangsar, saya pula  membelok kiri masuk ke pekan. 

Oh, sebelum itu saya ada berhenti untuk melihat aliran Sungai Beruas di Kampung Kota. Lihat artikel Beruas river from Kampung Kota di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kelihatan dalam gambar perhentian bas Beruas dengan bas berwarna biru. Sewaktu zaman saya rajin mengembara menaiki kenderaan awam dan juga hitchike 2003-2008 bas beginilah yang pernah digunakan untuk pergi ke Kampung Kota dari sini. Bas serupa juga dinaiki untuk ke Taiping, Pantai Remis juga ke Parit kalau tak salah ingatan.



Dari Beruas saya menghala ke Pantai Remis. Berhenti sebentar di hadapan masjid Pengkalan Baru di mana saya pernah bermalam sekurang-kurangnya 2 kali. Di sebelahnya Sungai Beruas mengalir lebih luas. Lihat Beruas river at Pengkalan Baru.


Sampai di Pantai Remis saya singgah di masjid lama. Lihat artikel Masjid lama Pantai Remis lagi (The old mosque of Pantai Remis again) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan diteruskan menghala ke selatan. Kelihatan di latar belakang tanah tinggi besar yang dipanggil Bukit Segari. Setiap kali terlihat saya mesti teringat cerita tentang pusat kerajaan purba Gangga Negara dalam kitab Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang. Hmm. Elok juga baca artikel lama Mencari asal-usul Beruas Gangganegara yang sebenar....


Entah berapa kali saya sudah sampai ke Pantai Remis dan sekitarnya, saya pun tak ingat. Tetapi lawatan kali ini terasa sangat istimewa apabila buat pertama kalinya saya dapat melihat kuala Sungai Beruas. Lihat Finally. The Beruas river estuary.



Hampir ke pertengahan barisan Bukit Segari saya terlihat stesyen minyak ini. Terus teringat bagaimana satu petang pernah berjalan kaki dari Pengkalan Baru melepasi Pantai Remis kemudian hari pun gelap. Tetapi saya teruskan juga berjalan kaki sampai ke stesyen minyak, kemudian baru berhenti berehat seraya mencari kenderaan untuk hitchike.


Ke hadapan lagi iaitu hampir ke penghujung selatan bukit saya dapat melihat sebuah lagi stesyen minyak tapi di sebelah kanan jalan. Saya jadi keliru di stesyen manakah saya pernah berhenti setelah berjalan jauh bertahun lalu? Yang pasti warnanya begini. Dari situ baru saya mendapat kenderaan melepasi pekan Segari.


Stesyen kedua itu tidak jauh daripada simpang ke Ipoh. Saya mengambil simpang untuk pergi ke satu pekan.


Namanya Changkat Keruing. Saya turun sebentar ke masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Changkat Keruing.


Saya pernah sampai ke sini sekali bersama bekas isteri lebih 10 tahun lalu. Saya ingat ini kerana pemandangan cantik sungai di tepian pekan.


Ada taman untuk berekreasi. Lihat artikel River Dinding from Changkat Keruing.



Dari Changkat Keruing saya kembali ke simpang di penghujung Bukit Segari kemudian menuju ke kawasan pantai Pasir Panjang. Sesungguhnya perjalanan di sekitar ini sering menggamit kenangan. Paling terserlah  adalah satu berkaitan mimpi bulan cantik dan Aceh. Lihat artikel lama Beruas, kaitan dengan Aceh dan melihat bulan... Antara mimpi dan realiti kehidupan.


Sampai ke kawasan pantai saya terus menuju ke tempat melihat bulan. Lihat Views from Baitul Hilal observation tower in Segari.


Kemudian pergi ke hutan simpan tepian pantai untuk berehat sebentar di bawah pohon Beruas sambil mengenangkan cerita bagaimana Sultan Malikul Mansur daripada kerajaan Samudera pernah dibuang negeri, menurut kitab Hikayat Raja-raja Pasai ke Temiang di bahagian tenggara Aceh, menurut Sulalatus Salatin ke Manjung iaitu di sekitar Lumut. Lalu menurut cerita tempatan baginda pernah melepaskan penat-lelah di bawah sepohon Beruas di mana baginda diilhamkan untuk mendirikan kerajaan Islam Beruas di atas runtuhan kerajaan purba Gangganegara.



Perjalanan diteruskan menghala ke Swiss Garden Resort Damai Laut.


Sebelum sampai ada jalan lasak naik ke puncak bukit menuju ke makam seorang tokoh penting Lumut. Lihat Makam (Tomb of) Nakhoda Muhammad Taib.


Apabila turun dari puncak saya dapat melihat sebuah sungai luas yang dipanggil Sungai Sepit. Saya pun keluar mencari tempat yang dapat memberikan pemandangan dekat dan menarik. Lihat The Sepit river from a place inland.



Saya juga mengambil peluang untuk melihat Sungai Dinding berdekatan kuala Sungai Sepit. Difahamkan di sekitar ini pernah ada penempatan maju orang Melayu sebelum Lumut jatuh ke tangan British selepas Perjanjian Pangkor 1874. Lihat Dinding river and its surroundings from across the Lumut naval base dan Sepit river near its estuary.


Untuk sampai ke kawasan tadi saya harus melalui jalan kampung berbatu-batan kasar. Itupun saya masih tak puas hati, masih lagi mahu melihat Sungai Dinding dari beberapa sudut... pergi sampai ke Damar Laut di mana terdapat perkhidmatan feri menyeberang ke Lumut kemudian menghala ke Batu Undan. Tiba-tiba tayar motosikal meletup. Nasib baik saya masih dapat membawanya berpatah balik 700 meter ke simpang. Nasib baik 100 meter ke luar simpang pula ada kedai kecil mekanik kampung.


Ah. Nampaknya saya telah memakai motosikal terlalu lasak. Sudah disebut dalam artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Makam-makam lama dari Kuala Kangsar hingga ke Bota dan Lambor bagaimana tayar belakang itu sudah nampak benang sebelum naik ke Cameron Highlands iaitu pada hari ke 2 perjalanan. Itupun tetap dibawa berjalan jauh kerana yakin ia masih boleh bertahan. Cuma saya sudah silap menduga kerana banyak mengambil jalan lasak. 

Nasib baik ada anak muda mekanik kampung yang rupa-rupanya baru membuka kedai 3 bulan sebelumnya. Walaupun beliau tidak pernah membaiki motosikal besar dan tidak menjual tayar, sekurang-kurangnya anak muda ini tahu membukanya dan ada kereta untuk membawa rim ke kedai besar di bandar Sitiawan di mana tayar baru boleh dipasang.


Sampai di kedai nasib baik pula ia masih dibuka walaupun sudah masuk jam 7. Nasib baik juga ia baru mendapat stok satu tayar yang sesuai untuk motosikal Virago sehari sebelum itu! Cuma saya harus menunggu agak lama untuk mendapatkan tiub baru bagi menggantikan tiub lama yang tidak boleh diselamatkan. Sesungguhnya segala ini adalah dalam perancangan Allah jua... 

Lihat dalam gambar tayar baru di kiri dan tayar lama yang sudah meletup  di kanan. Saya masukkan besi untuk menunjukkan lubang yang terbentuk. Menariknya tayar lama ini dipakai untuk menggantikan tayar sebelumnya yang meletup ketika motosikal mendaki Lebuh Raya Karak ke Genting Sempah. Lihat artikel lama Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak....


Sekali lagi perancangan perjalanan saya sudah lari. Rancangnya mahu berbuka puasa di Teluk Intan setelah menziarahi 2-3 tempat sebelumnya termasuk sebuah makam di Sungai Durian. Sebaliknya saya berbuka di kedai mamak sebelah kedai motosikal, bersama mekanik muda kampung yang menurutnya pernah menjadi krew filem di Kuala Lumpur tapi terpanggil untuk kembali ke kampung mencari jati diri sebenar.


Lebih kurang sejam kemudian baru saya dapat meninggalkan Lumut dan sekitarnya. Gambar ini diambil kira-kira jam 8.30 di atas jambatan Sungai Dinding. Sekurang-kurangnya dapat juga menyambung perjalanan malam itu juga...


Peta perjalanan dari Lumut melalui Kampung Kota, Berus, Pengkalan Baru dan Pantai Remis serta persinggahan ke beberapa tempat boleh dilakarkan begini.


Campur perjalanan ke Teluk Intan di mana sebelumnya saya singgah di Kota Setia kemudian menyambung perjalanan sehingga Kampung Bahagia, jumlah jarak yang dilalui adalah 234 km menurut Google Map. Tapi kalau dicampur perjalanan pusing-pusing beberapa tempat misalnya masuk ke makam Raja-raja Beruas di Kampung Kota, mencari kuala Sungai Beruas di Pantai Remis, mencari kuala Sungai Sepit juga pusing-pusing di Teluk Intan, perjalanan sebenar hari itu dikira memakan jarak 280 km.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, bangsal bersebelahan muara sg sempit brrtemu dgn sg dinding tu berada dlm kwsn kg tg batu.. Seberang sana sg sempit yg tuan nmpk jeti damai laut rezort tu adlh tpk kg teluk kupiah yg dah pupus krn pmbngunan.. Kg itulah asalnya dibuka oleh nakhoda md taib dan didiami oleh anak cucunya selame bbrp generasi hingga akhirnya diambil alih ole simata sepet utk "pembangunan"