Sabtu, Julai 31, 2010

Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?

Petang Sabtu baru ini selepas menyelesaikan satu urusan berkenaan penulisan buku baru di Puchong, saya pun membawa isteri berjalan-jalan di Cyberjaya. Itulah kali pertama kami sampai ke sini. Ternyata Cyberjaya tidak begitu menarik seperti Putrajaya namun ia tetap memiliki kedudukan tersendiri sebagai bandar teknologi. Lihat artikel Cyberjaya lake garden di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Puas berjalan-jalan di Cyberjaya, kami mencari jalan untuk masuk ke Putrajaya. Terlihat jejantas yang agak menarik ini. Kelihatan ada bentuk seperti lidah tergantung yang biasa kelihatan pada rumah tradisional di Perak. Lihat artikel Bentuk lidah terjulur di Cyberjaya/Putrajaya (Hanging tounge shape at Cyberjaya/Putrajaya) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Ternyata jejantas ini terletak di sempadan Cyberjaya dengan Putrajaya. Cuma tidak boleh terus masuk ke sana. Walau kawasan sebelah terletak di Putrajaya, jalan yang ada sekadar lalu di pinggiran tasik sebelum melengkong kembali ke Cyberjaya, perlu masuk satu simpang lain untuk ke lebuhraya yang bersambung dengan jejantas baru boleh ke Putrajaya.

Dipendekkan cerita kami masuk ke bandaraya pusat pentadbiran negara itu.


Berhenti sebentar mengambil gambar apalagi kami belum pernah sampai ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai 'Masjid Besi' yang kelihatan di tengah.



Di jambatan ini saya turun lagi mengambil gambar. Lihat Putrajaya from one of its bridges ...



Setelah makan di satu tempat kami kembali ke Boulevard.





Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!



Dari Boulevard kami pergi melihat sebuah bukit yang pernah disebut dalam ruangan berita TV3 sebagai pusat sebuah kerajaan ghaib. Lihat Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman? yang dibuat setahun lalu.




Kemudian baru ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi melalui jalan ke tebing tasik. Kelihatan sebuah bangunan tidak kurang menarik di satu sisi.




Selepas melihat masjid dari beberapa sudut, baru saya sedar laluan utama masuk ke masjid bersambung dengan Boulevard betul-betul di hadapan Istana Kehakiman. Apakah ada makna tersirat di sebalik pemilihan kedudukan? Lihat Masjid (Mosque of Tuanku Mizan Zainal Abidin), Putrajaya.

Kedudukan Istana Kehakiman di hadapan Masjid Besi (hmm... saya deja vu semasa menulis ayat ini) membuat saya terfikir kembali apa yang berlaku ketika mula-mula sampai masjid lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Entah kenapa selepas mengangkat takbir timbul satu bayangan masjid besar batu berwarna putih dengan banyak kubah biru sesetengahnya berlainan saiz. Setiap kubah berhias motif seperti awan larat berwarna emas dan bayangan ini melekap di hati sehingga habis solat. Apakah maknanya ini?

Entah kenapa, timbul pula telahan... inilah masjid lama yang pernah wujud di tapak Masjid Besi suatu zaman yang lampau. Kalau ikut logik akal dan pengetahuan sejarah seperti diketahui ramai, mustahil masjid sebegitu pernah wujud di sini. Putrajaya dahulu cuma estet kelapa sawit... mana pula datang tamadun lama Melayu yang mampu membina masjid sebegitu? Bukankah orang Melayu cuma mampu membina masjid kayu? (Ikut kata sejarah rasmi le...).

Tapi mungkin juga kita terlupa mengikut kajian pihak lain pula pernah wujud tamadun dahulukala yang lebih hebat di mukabumi berbanding apa yang ada sekarang. Walaupun tidak diiktiraf mereka yang memegang kurikulum pelajaran dan sejarah dunia seperti puak Yahudi Zionis yang ada agenda mahu 'melembukan' setiap manusia, hasil kajian terpinggir tidak harus ditolak begitu sahaja apalagi jika dibuat oleh mereka yang terang matahati bersuluhkan Nur amalan Tasawuf suci. Mungkin masjid dalam bayangan itu dibina satu tamadun lama hebat yang pernah bertapak di Tanah Melayu? Mungkin juga ia masih ada tetapi dalam dimensi yang kini ghaib dari penglihatan kita!




Subhanallah. Sesungguhnya saya terasa begitu tenang duduk bersolat juga berzikir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin alias Masjid Besi. Sudah lama saya tidak terasa begitu tenang di mana-mana masjid. Mungkin kerana lokasinya memang terletak di atas tapak masjid lama atau masjid ghaib yang memiliki aura kewalian yang tinggi? Apapun, apa yang berlaku telah mengubah citarasa...

Selama ini setiap kali ke Putrajaya saya mesti singgah bersolat di Masjid Putra yang telah dibuka sejak tahun 1999 gitu. Selama itu saya menganggap ia masjid terbaik sekitar ini. Sekarang saya merasakan Masjid Besi lebih unggul keberadaannya. Saya turut merasakan Masjid Tuanku Mizan adalah masjid raja, Masjid Putra cuma masjid bendahara...


Berbalik pada jejantas antara Cyberjaya dan Putrajaya yang memiliki bentuk lidah tergantung itu. Apakah ia satu petanda kaitan kawasan ini dengan Perak atau ia sebenarnya ada kaitan dengan satu kerajaan lama yang jauh lebih luas dan berkuasa? Lihat artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? yang dibuat 5 bulan lalu.


Namun ada satu lagi faktor yang nampaknya saya terlepas pandang. Isteri saya mengingatkan bahawa pada menara jejantas ada satu bentuk yang mungkin boleh dikaitkan dengan Hikayat Malim Dewa yang dikatakan datang dari Aceh membuka kerajaan di kuala Sungai Muar.

Faktor itu adalah bentuk seperti kepala burung pada hujung bumbung. Lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar... dan teliti balik kata-kata ilham yang terkeluar lebih 2 tahun lalu, kata-kata yang turut mengaitkan bentuk tersebut dengan Hikayat Merong Mahawangsa. Setakat ini saya belum pernah melihat bentuk ini di lain-lain masjid. Mungkin saya terlepas pandang walaupun telah menziarahi beratus mungkin beribu masjid? Walaupun saya juga pernah bermalam di berpuluh masjid, bukan semua benda saya boleh sedar sepertimana saya terlepas pandang bentuk seperti burung mendongak pada jejantas di Cyberjaya/Putrayajaya. Kalau saya terlepas pandang sila ambil galah tolong jolokkan... errr... silap peribahasa ini...

Syukur kepada Allah kerana menganugerahkan seorang isteri yang amat memahami lagi dapat membantu dalam perjalanan hidup ini. Di kala saya terlepas pandang dia sering mengingatkan, ketika saya hilang sabar, dia yang menyejukkan. Subuh semalam (ketika menulis ayat ini sudah masuk jam 5:47 hari Sabtu), isteri saya bermimpi terdengar perkataan "Balai Gambang" lalu bertanya kepada saya tentangnya. Dia belum pernah terdengar perkataan itu. Saya pula tahu tetapi sudah lama tidak memikirkan...

Allah! Tidak saya terfikir pun mimpi tersebut berlaku awal pagi Jumaat, satu tempoh masa yang ada maknanya yang tersendiri. Cuma saya menjawab Balai Gambang itu adalah rakit besar yang digunakan semasa pertabalan diraja Perak. Isteri saya kemudian membuat research di Internet lalu terjumpa artikel lama saya tentang Masjid Kampung Gombang di Muar. Dia mengingatkan tentang cerita Malim Dewa yang turut dipanggil Tuanku Gombang Malim Dewa seperti tertulis dalam artikel itu lalu terkait pula dengan bentuk burung yang serupa dengan di Cyberjaya/Putrajaya. Sekali lagi, sila teliti Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar....

Hmm... mungkin perkataan "Balai Gambang" ini timbul akibat beberapa persoalan yang sedang bermain dalam kepala kami suami isteri. Sejak kebelakangan ini kami seperti dihantui nama-nama seperti Dinasti Al-Kamil yang dikatakan pernah memerintah Nusantara dari belah Aceh serta Abdullah Al-Kamil yang merupakan anakanda kepada Hassan Al-Muthanna ibni Saidina Hassan, dari perkahwinannya dengan seorang puteri kepada Saidina Hussein. Turut bermain dalam fikiran adalah nama Muhammad bin Abdullah Al-Kamil, juga dikenali sebagai Muhammad Nafs Zakiyah yang namanya pernah digunakan untuk menjatuhkan pemerintahan Dinasti Umaiyah dari keKhalifahan seluruh umat Islam. Tidak susah untuk mengaitkan Muhammad Abdullah dengan Nakhoda Khalifah yang muncul di Perlak sekitar tahun 804 Masihi. Tetapi mengaitkannya dengan Sharif Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu tahun 1303 Masihi... itu melanggar hukum pengetahuan rasional berdasarkan logik akal.

Dalam pada itu timbul persoalan siapakah Sultan Muhammad Al-Kamil yang berhijrah dari Bandar Khalifah di Perlak lalu membuka kerajaan di Muar. Namanya sama seperti Muhammad bin Abdullah yang mungkin memang Nakhoda Khalifah apalagi baginda berhijrah dari Bandar Khalifah. Katanya Sultan Muhammad Al-Kamil ini meninggalkan Bandar Khalifah apabila Sultan Malikus Salih yang membuka kerajaan Samudera dan Pasai mengembangkan kuasa. Namun cerita hijrah dari Bandar Khalifah yang kini dalam Aceh itu seperti ada kesamaan dengan cerita Malim Dewa yang turut berhijrah dari Aceh ke Muar.

Turut disebut pewaris Sultan Malikus Salih iaitu Sultan Malikul Mansur telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Sultan Muhammad Al-Kamil lalu membuka kerajaan Haru di selatan Samudera Pasai. Sedangkan saya lebih biasa dengan cerita Malikul Mansur mengambil dayang dari istana Pasai lalu dibuang negeri dan ketika itulah baginda membuka kerajaan Beruas, kini dalam Perak. Apapun, ini boleh digunakan untuk meletakkan zaman hidup Sultan Muhammad Al-Kamil pada sekitar abad ke 13 dan abad ke 14 Masihi. Tetapi ada tanda-tanda pula baginda juga adalah Muhammad bin Abdullah Al-Kamil yang muncul di Perlak tahun 500 tahun lebih awal!

Baru ini ada kenalan mendapat mimpi bahawa Sultan Muhammad Al-Kamil itu sama orangnya dengan Sharif Muhammad Al-Baghdadi. Oh, lihat juga artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... yang dibuat lebih 2 tahun lalu. Cukuplah kalau ditambah rencah... turut masuk dalam persoalan adalah nama-nama seperti Saidina Salman Al-Farisi juga Merong Mahawangsa. Kalau nak panjangkan cerita kita buat di hari dan waktu yang lain ya...

Cukuplah apa yang diluahkan boleh dibuat renungan sehingga masuk bulan Ramadhan. Masuk bulan suci itu nanti Insyaallah saya akan memulakan siri baru berdasarkan perjalanan ke Aceh yang dibuat penghujung Januari, satu penceritaan yang sudah lama tertunda... sehingga perjalanan ke Aceh sempena sambutan Maulud Nabi sebulan kemudian pula sudah berjaya dilepaskan terlebih dahulu. Untuk beberapa hari ini saya harus pergi ke satu lokasi di luar negara. Berkat kerajaannya yang dipimpin Ahlul Bait keturunan Saidina Hassan, mungkin akan dapat lebih banyak petunjuk nanti? :]


Baru betul-betul melihat Bukit Melawati...

Ini ada satu cerita 'Seven Eleven'. Kerana ia adalah artikel ke 711 di blogspot ini...



Rabu baru ini jam 3 petang. Selepas makan tengahari dan menghantar isteri kembali ke pejabat saya pergi ke sebuah gudang membeli-belah. Letak sahaja kereta, saya mendapati ada nombor-nombor menarik tertera pada dashboard kereta...
Seterusnya saya ke Batu Caves untuk naik beriadah bersama seorang teman.





Balik dari Batu Caves, saya singgah berhenti entah di mana, sudah lupa pula lalu mendapati begini pula nombornya. Hmm... apakah kiranya cerita ini boleh menyambung apa yang sudah diluahkan pada artikel terakhir siri "Jalan-jalan Perak sebelah barat"? Lihat Jalan-jalan Perak sebelah barat : Persekitaran Lumut dan kombinasi nombor 55 sebagai petunjuk? Mungkin juga...




Petang itu setelah mengambil anak di rumah pengasuh, kami tergerak untuk naik lagi ke Bukit Melawati di Kuala Selangor. Untuk makluman gambar ini diambil jam 7:11 petang. Kena pula dengan nombor cerita ini, artikel ke 711 di blogspot ini!




Kali ini entah kenapa, saya mahu mencari bahagian paling tinggi di Bukit Melawati.



Selalunya saya cuma berlegar di sekitar kawasan muzium sejarah, rumah api dan tempat melihat bulan. Selama itu juga saya menyangkakan lokasi muzium terletak di bahagian tertinggi Bukit Melawati, apalagi ada orang menyebut di situlah terletaknya tapak istana lama keSultanan Selangor awal. Rupa-rupanya ada bahagian lebih tinggi di belakang...




Masyaallah. Setelah sekian lama beberapa kali turun naik Bukit Melawati baru kini saya melihat dan menjejakkan kaki ke bekas tinggalan Kota Melawati. Bukan tidak tahu ia wujud... tetapi selama ini saya tidak tergerak...


Bahagian tinggi belakang muzium pula kelihatan seperti sebahagian dari himpunan tanah yang membentuk benteng kota. Namun terdapat sebiji batu bulat yang saling tak tumpah seperti batu sungai yang dijadikan batu nesan atau penanda makam di atasnya.


Saya melihat keadaan sekeliling kota.








Keluar kawasan kota dari satu pintu lain terlihat ini pula...






Batu hampar di Bukit Melawati. Rasanya saya juga belum pernah melihatnya dekat sebelum ini walaupun kedudukannya amat senang dicapai dari tepi jalan keliling bukit...



Leka meninjau, saya terlupa anak dan isteri telah menunggu lama di kawasan berhadapan rumah api hampir setengah jam malah tidak tinggal lagi orang lain di sekeliling.



Sebelum masuk kereta saya mengambil dahulu satu gambar Sungai Selangor betul-betul di bahagian kuala. Untuk makluman inilah kali pertama saya naik Bukit Melawati dan melihat lagi kuala setelah mendapat satu mimpi melibatkannya. Lihat artikel Mimpi pelik Kuala Selangor... yang dibuat 3 minggu lalu. Mungkin selepas ini ada orang dapat menerangkan siapakah Tengku Idrus dan Tengku To Bugis yang dimaksudkan dalam mimpi?



Semasa bergerak menuruni bukit pula terlihat bahagian ini.



Saya rasa harus melihat apa yang ada... nasib baik isteri sudi memahami. Saya pun meletakkan kereta dan mendaki seorang diri...



Inilah bahagian yang dipanggil "Busut Melawati" (saya rasa ejaan Melawati lebih bermakna dari Malawati), satu lagi bahagian tertinggi yang ada di bukit tetapi tidak pernah saya jejaki sebelum ini.



Terangsang oleh pendakian kecil, saya terasa mahu melihat lebih jauh ke dalam di bahagian lain.



Selain dapat melihat satu jalan lain memasuki tinggalan kota, baru saya tahu di manakah terletaknya papan-tanda "Kuala Selangor" sering dilihat dari jalan raya.



Berbalik pada bahagian dengan batu bulat seperti penanda makam di belakang muzium. Penilaian mata kasar setelah melihat sebanyak mungkin kawasan di sekitar menunjukkan ia memang bahagian tertinggi di Bukit Melawati. Hati saya pula terus menyebut apa yang kelihatan memang makam. Apabila melihat filename gambar iaitu P7280272, hati saya menyuruh agar melihat apa yang terdapat pada mukasurat 272 siri buku "Berpetualang ke Aceh".

Untuk makluman 3 nombor awal filename iaitu 728 merujuk pada 28 haribulan 7, tarikh gambar diambil. Empat digit terakhir pula menunjukkan urutan sebenar gambar selagi simpanan tidak dikosongkan. Kiranya ini adalah gambar yang ke 272 disimpan untuk bulan Julai kerana saya sering mengosongkan memory card sebaik sahaja tamat suatu bulan.




Apabila dirujuk ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" ternyata cuma buku pertama dengan tajuk kecil "Mencari diri dan erti" sahaja yang muka suratnya relevan dengan apa yang berlaku di Bukit Melawati. Tertera gambar makam Sultan Malikul Zahir yang terletak bersebelahan makam Sultan Malikus Salih di pusat kerajaan Samudera dan Pasai di Aceh. Apakah ada kena-mengena dengan Bukit Melawati? Apakah baginda juga ada berkait dengan Selangor?



Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat

OK. Oleh kerana siri "Jalan-jalan di Perak sebelah barat" sudah pun selesai sejurus sebelum solat Jumaat tadi eloklah dikumpulkan link-link berkaitan. Seperti biasa apa yang diceritakan adalah menurut gerak ilham dan rasa yang timbul ketika menulis, bukan dirancang agar kelihatan cantik mahupun cerdik. Dalam keadaan itu seringkali timbul petunjuk yang boleh memecahkan sesuatu persoalan. Kadangkala pula petunjuk dan ilham baru akan didapati apabila membaca balik penulisan setelah segalanya selesai.

Misalnya saya tidak sangka akan bercerita panjang lebar tentang alam bawah tanah yang dipanggil Bumi Dipa ketika menyebut tentang tasik di kaki bukit luar Teluk Rubiah. Bab Bumi Dipa ini sudah bertahun dilupakan, ingatan tentangnya cuma tercetus kembali apabila melihat gambar tasik yang ada. Bandingkan dengan keadaan di Teluk Senangin di mana saya ada diberitahu tentang beberapa perkara luar biasa selain mendapat ilham berkaitan tentangnya. Namun apabila menulis saya terlupa langsung hendak menyebut bab perkara luar biasa walhal ia baru diperkatakan 2 bulan lalu...

Apapun, penulisan asal dibuat dalam keadaan tidak dapat dijangka bilakah penulisan seterusnya akan menyusul mahupun bila ia akan menemui kata penamat ataupun noktah. Seperti membaca satu siri cerpen yang bersambung di suratkhabar, begitu juga menonton drama bersiri di kaca televisyen, kita cuma dapat meneka-neka apakah yang bakal berlaku. Sedangkan apabila semuanya selesai kadang-kala jalan cerita sudah lari jauh daripada apa yang dijangkakan. Baru kita boleh nampak jaringan segala peristiwa, kenapa berlaku begini kenapa tidak begitu.

Jadi biar dikumpulkan sahaja link-link berkaitan ya. Insyaallah masuk bulan Ramadhan nanti akan dimulakan siri baru tentang perjalanan ke Aceh penghujung Januari yang penceritaannya sudah lama tertunda. Ia mungkin ada kena-mengena dengan siri "Jalan-jalan Perak sebelah barat" ini. Hmm... kata-kata tentang kemungkinan ada kena-mengena inipun baru sahaja tercetus tadi.


1. Jalan-jalan Perak sebelah barat : Mukadimah... 
























Jumaat, Julai 30, 2010

Jalan-jalan Perak sebelah barat : Persekitaran Lumut dan kombinasi nombor 55 sebagai petunjuk?

Assalamualaikum semua. Sempena pagi Jumaat ini elok juga diselesaikan terus siri ini. Bersambung dari artikel Jalan-jalan Perak sebelah Barat : Keindahan 'seberang Lumut'... .

Awal pagi 30 Mei 2010, fajar baru sahaja menyingsing...


Pondok-pondok yang ada mencetuskan rasa keindahan desa...



Di sinilah kami bermalam dan berehat setelah penat berjalan merata... dari Lumut membawa ke Beruas hingga ke Pantai Remis, Segari, Damar Laut dan segala macam tempat...


Al-Rasyid bermain dengan anak kucing.



Inilah pantai Teluk Senangin di bahagian utara daerah Manjung.


Rasyid bermain-main di tepi pantai.


Bapa 'berborek' mengajar anak 'merintik'. Heh! :]


Di sinilah Rasyid pertama kali merasa mandi laut. Ada masanya dia seronok, ada masa pula menangis meronta tak tentu pasal...nak belajar menyelam sendiri agaknya...


Pantainya memang indah, rasanya lebih cantik daripada Teluk Batik. Keindahannya tidak kalah dengan apa yang terdapat di Pulau Pangkor. Malah saya rasa mandi laut di Teluk Senangin lebih puas berbanding mandi pantai di Pulau Pangkor yang sering kali ada binatang air halus menggigit, boleh pula terpijak binatang laut yang berduri seperti landak. Lihat artikel The beach at Teluk Senangin di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami pergi lagi ke pusat pembiakan penyu di Pasir Panjang.






Sebenarnya hari sebelumnya kami sampai lewat seminit dua sahaja selepas ia tutup 5 petang. Terpaksalah menunggu hari ini untuk melihat penyu... isteri dan anak belum pernah sampai sedangkan saya pernah masuk, kalau tak salah ingatan 2 kali. Itulah yang menjadi asbab kami bermalam di Teluk Senangin yang terletak cukup dekat. Kalau tidak, tentu kami bermalam di Lumut kalau tidak pun terus ke Pulau Pangkor. Lihat video klip. Untuk gambar-gambar lihat Pasir Panjang turtle sanctuary.



Al-Rasyid posing naik penyu...



Kami meninggalkan Pasir Panjang dalam keadaan hujan.



Nasib baik hujan walaupun lebat cuma sementara sahaja... dapatlah menikmati pemandangan Sungai Dinding yang luas dari atas jambatan.






Video klip. Gambar-gambar ada di The river Dinding from its bridge.



Kami kembali ke bandar Lumut.



Makan tengahari sebelum berjalan lagi...



Singgah sekejap di masjid.


Selain bersolat dapat juga berehat. Untuk peringatan saya, filename gambar ini ialah P5300505.



Destinasi seterusnya ialah Teluk Batik...



Terlihat pula papan-tanda ini...



Tengok-tengok ada jeti baru yang lebih dekat ke Pulau Pangkor. Lihat The new jetty for Pulau Pangkor.



OK. Asalnya kami memang bercadang mahu ke Pangkor. Tetapi pagi di Teluk Senangin ternyata kami anak-beranak sebenarnya penat malah demam dan batuk-batuk lalu membuat keputusan untuk membatalkan rancangan masuk pulau. Ya, kami ada mandi laut dan rasanya rugi kalau dah jalan jauh tak mandi laut... ini mungkin tidak menolong menghilangkan demam. Tapi sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi terkejar-kejar hendak ke Pangkor dan ini memberikan masa untuk melawat lain tempat menikmati suasana dengan lebih santai.


Di Teluk Batik kami sekadar berpusing lalu. Saya mahu melihat keadaan sambil menunjukkan kepada isteri bagaimana saya pernah berjalan kaki seorang diri meredah hutan dari sini ke Teluk Rubiah...



Saya pun membawa anak dan isteri ke Teluk Rubiah.



Apakah istimewanya Teluk Rubiah? Antaranya di situ terdapat apa yang dikatakan tapak kaki Rubiah, seorang wanita bertaraf wali katanya. Di sebelah tapak kaki ada pula perigi Rubiah. Namun saya sendiri pertama kali sampai ke sini kerana mencari tempat yang serupa dalam mimpi...

Saya tak ingat bila ia berlaku, yang pasti sebelum 2008. Saya mendapat mimpi menunjukkan sungai besar yang kelihatan seperti Sungai Muar. Bezanya dalam mimpi, ke bahagian muara sungai ada bukit-bukit sedangkan keadaan sebenar di Muar hanyalah tanah rata. Tenyata Sungai Dinding lebih menepati ciri-ciri dalam mimpi lalu saya berjalan kaki meredah hutan dari Teluk Batik ke Teluk Rubiah semata-mata untuk mencari sebuah bukit yang menepati mimpi.

Cukuplah cerita tentang mimpi. Bukit yang dicari memang terdapat di Teluk Rubiah. Untuk gambar sekitar teluk lihat artikel The gulf called Teluk Rubiah. Tanpa dirancang, artikel ini muncul menjadi artikel ke 550 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH... sedangkan sebuah gambar yang digunakan memiliki filename P5300550.



Di luar Teluk Batik di bahagian bertentangan kaki bukit terdapat satu tasik.



Saya teringat pertama kali dibawa ke tasik ini tahun 2007 oleh beberapa orang kawan. Kawan-kawan yang meminati ilmu ghaib, katanya biasa berhubung dengan alam bunian jugalah yang membawa saya ke pantai di Segari yang katanya menghadap pusat sebuah tamadun seperti Atlantis. Lihat balik artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara?. Cuma ketika itu saya dibawa waktu malam, jadi taklah nampak apa-apa sangat...

Kata mereka tasik ini ada kena-mengena dengan cerita Lancang Kuning yang menurut sesetengah riwayat menjadi asal-usul pemakaian Adat Perpatih yang mengutamakan kaum perempuan sebagai pemegang pusaka keluarga. Kalau tak salah ingatan, seorang perempuan mengandung rela mengorbankan diri dengan berbaring di hadapan lancang atau kapal diraja yang entah kenapa tersangkut setelah dibina, tidak dapat dilancarkan masuk ke dalam air. Kemudian raja mendapat syarat, lancang itu cuma boleh dilancarkan jika digelongsorkan ke atas perut perempuan mengandung. Syarat ini pun dilakukan sehingga perempuan itu terkorban. Pengorban tersebut menyebabkan raja mengisytiharkan keutamaan pusaka harus diberikan kepada orang perempuan sehingga jadilah Adat Perpatih yang kita kenali sekarang.

Menurut mereka di tasik ini ada pintu untuk masuk ke alam bawah bumi yang kalau tak salah ingatan dipanggil Bumi Dipa. Alam bawah tanah dengan penduduknya yang tersendiri ini ada disebut dalam buku-buku sastera lama terutama yang bersifat keHinduan apalagi dikatakan di dalamnya terdapat banyak lembu putih, binatang yang memang sering dikaitkan dengan Hindu. Mendengarkan ini, hati saya cepat sahaja mahu menolak. Saya tidak ingin lebih tahu kerana merasakan ia bercanggah dengan amalan peribadi. Tetapi apabila difikirkan balik bertahun kemudian, mungkin di sebalik ini ada satu rahsia yang boleh dijadikan kekuatan perjuangan bangsa Melayu di akhir zaman. Walaupun saya tidak suka bersahabat dengan jin dan bunian, adalah menjadi satu kesombongan jika saya menolak hakikat bahawa mereka juga ada tempat dan peranan dalam perancangan Allah Ta'ala.

Sesungguhnya alam-alam ghaib, baik alam bunian mahupun alam jin, kayangan dan bawah tanah bukan semata-mata konsep agama Hindu. Ia ada disebut dalam banyak peradaban di seluruh dunia kerana merupakan realiti zaman lampau bumi kita. Sesungguhnya perhubungan manusia dengan alam-alam ini adalah satu perkara biasa ketika itu. Pemahaman tentangnya dapat menerangkan beberapa perkara yang digelapkan dalam sejarah, perkara yang tidak akan dapat dirungkai sampai bila-bila jika kita mengukur segalanya menurut logik akal pemahaman zaman sekarang.

Misalnya kalau mengikut akal dan pemahaman popular berdalilkan ilmu sains yang mendakwa tamadun zaman dahulu lebih mundur daripada sekarang, piramid di Mesir dijangka mengambil masa berpuluh tahun untuk dibina, itupun dengan tenaga kerah beribu orang hamba yang dipaksa. Tapi kalau kita faham realiti sebenar keadaan dahulukala di mana perhubungan dengan alam ghaib adalah perkara biasa, tidaklah menghairankan jika sebuah piramid dapat dibina dalam tempoh sehari sahaja. Lihat kisah orang alim zaman Nabi Sulaiman yang dapat mengalihkan singgahsana Ratu Balqis dari Saba beribu batu ke Baitul Muqaddis dalam sekelip mata. Kalau tidak ada orang alim sebegitu pun, tidak susah untuk mendapatkan pertolongan jin yang dapat membuat perkara yang sama tetapi mungkin memakan masa beberapa saat lebih panjang.

Adapun perhubungan dengan alam ghaib yang begitu senang dicapai kebanyakan manusia dahulukala terputus dengan kelahiran junjungan besar kita Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Alam kayangan pula runtuh, ada yang kata hilang. Namun disebut juga, ketika kita bersiap-sedia untuk menghadapi perang akhir zaman yang semakin hari semakin hampir, begitu juga keadaan makhluk-makhluk di alam lain yang turut akan berpuak dan berpihak. Alam-alam ini bukan tidak relevan langsung, cuma kita sahaja yang tak nampak. Malah difahamkan, salah satu taktik paling besar pihak Yahudi Zionis untuk menakluki dunia adalah dengan membuka pintu alam ghaib untuk membenarkan segala macam syaitan dan jin jahat menerobos masuk menyerang secara fizikal di alam kita!

Berbalik kepada tasik di kaki bukit luar Teluk Rubiah. Dikatakan Bumi Dipa yang boleh dimasuki melalui satu pintu bawah air di tasik juga ada kaitan dengan kerajaan Beruas dan Gangganegara. Dari Bumi Dipa, seseorang boleh berjalan kaki jauh di bawah tanah lalu keluar di tapak kerajaan lama Gelanggayu di Johor, kerajaan yang pusatnya disebut oleh Bendahara Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebagai memiliki kota berbatu hitam. Kitab tersebut ada menyebut Raja Suran yang menjadi moyang Sultan-sultan Melaka pernah turun ke dalam laut lalu terjumpa sebuah kerajaan dan berkahwin dengan puteri di sana. Puteri inilah yang melahirkan 3 orang anak yang kemudian muncul di Bukit Siguntang, salah satunya Sang Sapurba yang mengahwini puteri kepada Demang Lebar Daun sehingga terbit Sang Nila Utama yang merajai Temasik atau Singapura.

Sesetengah pihak menerangkan, kerajaan bawah laut itu bukanlah bermakna ia kerajaan alam ikan duyung atau rakyatnya duduk berbasahan di dalam air. Sebaliknya ia satu kerajaan 'kering' seperti kita tetapi di Bumi Dipa, alam bawah tanah yang juga boleh dimasuki melalui pintu dalam laut. Dalam artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara ada disebut betapa selepas keluar daripada laut Raja Suran telah membuat sebuah batu bersurat lalu ada pihak menyebut itulah Batu Bersurat Beruas yang kini sudah hilang entah ke mana. Gambar tasik di atas pula memiliki filename P5300555... ada kombinasi nombor 55 seperti yang terdapat pada gambar dalam masjid Lumut juga artikel dan gambar mengenai Teluk Rubiah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Apakah ini semua satu petunjuk?



Daripada tasik kami menghala ke Teluk Intan melalui jalan kecil di Kampung Permatang. Masuk jalan besar kembali sebelum melihat-lihat apa yang ada di kawasan terpencil Sungai Rubana. Saya tidak ingin lagi memanjangkan cerita. Cukuplah disebut saya secara rasminya menutup perjalanan dengan sekali lagi meredah belukar di Sungai Durian untuk menziarahi makam seorang moyang yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu... kemudian berehat makan sambil memerhatikan aliran Sungai Bernam di Hutan Melintang sebelum kembali ke Selangor. Sekian siri "Jalan-jalan Perak sebelah barat"... :]