Pagi Ahad 6 Jun 2010. Setelah bermalam di Tanjung Sepat kami mengorak langkah kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Selepas singgah di Morib timbul pula rasa untuk mengambil jalan pesisir melepasi Pantai Kelanang...
Dari jalan itu boleh sampai terus ke Bukit Jugra. Terus tergerak untuk ke satu tokong Cina di kaki bukit...
Bukan apa... berdekatan tokong ada satu denai masuk ke hutan.
Ada satu tempat yang ingin diziarahi sejak beberapa bulan lalu. Tetapi dalam lawatan terakhir ke Bukit Jugra saya tidak tahu bagaimana mahu sampai. Lihat artikel Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra? yang mula menemui pembaca penghujung Januari. Ia dibuat sejurus sebelum saya dan isteri pertama kali membawa anak kecil kami Al-Rasyid berjalan ke Aceh, satu perjalanan yang ceritanya masih belum dilepaskan di sini walaupun perjalanan seterusnya sudah berjaya dilepaskan setakat yang patut lebih sebulan lalu melalui siri "Maulidur Rasul di Aceh". .
Kami juga sempat melihat setor menyimpan peluru di lereng bukit, kalau tak salah ia peninggalan dari zaman British...
Ini pula pemandangan di bawah dari dalam kereta, dari tempat orang bermain paragliding mendarat. Nampak tak menara radar di atas bukit? Di bawah menara itulah tempat orang paragliding meloncat terjun. Lihat balik artikel Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra? untuk mendapatkan gambaran kedudukan...
Sampai di persinggahan seterusnya meter bawah kereta menunjukkan nombor 4444. Hmm... teringat pula artikel ke 444 di blogspot ini, Nombor 444 sebagai pelengkap satu cerita, satu lagi contoh 'penat'...
Inilah kali pertama kami dapat membawa Al-Rasyid masuk ke dalam. Dalam lawatan sebelumnya pintu masuk berkunci ketika kami sampai. Tengok-tengok ada 2 orang pelawat lain di dalam. Seorang daripadanya adalah pelakon veteran terkenal... rupa-rupanya beliau selalu menziarahi makam Sultan Abdul Samad dan mengaku ada kaitan.
Selalunya kami akan mengelakkan masuk ke Klang kerana jalanrayanya yang selalu sibuk sehingga kenderaan 'merangkak' teruk. Namun kali ini saya mahu singgah ke masjid baru di tepi Sungai Klang. Ternyata persinggahan ini memberikan 'pulangan' melalui satu pengalaman yang unik. Lihat Masjid (Mosque of) Bandar diraja, Klang.
OK. Selepas Klang saya berhajat untuk melalui Jeram yang terletak antara Kapar dengan Kuala Selangor. Kali terakhir saya mengambil laluan itu rasanya lebih 10 tahun lalu. Ketika itu saya tidak menyedari bahawa Jeram memiliki kedudukan tersendiri dalam sejarah kerana menurut kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang, di situlah Paduka Mimat, anakanda Sultan Mansur Shah Melaka dengan Puteri Hang Li Po berkuasa dan bersemayam. Itupun mula-mula isteri saya tak bersetuju kerana kepenatan. Dia mahu kami menghala ke Meru untuk kembali ke Bandar Tasik Puteri melalui jalan belakang yang melepasi Kota Puteri dan Batu Arang.
Walaupun ia agak sunyi, pada saya pemandangan pulau-pulau kecil berdekatan lebih terserlah dari sini.
Selepas itu kami menghala kembali utara ke Kuala Selangor dengan niat akan membelok ke kanan untuk ke rumah apabila sampai ke Asam Jawa. Namun tidak lama selepas meninggalkan pantai kami terlihat satu simpang lebih awal lalu saya terus masuk ke kanan... Bukan apa, saya terlihat bukit di hadapan. Apakah ini Bukit Jeram? Saya pun tak pasti. Cuma ada kemungkinan Bukit Jeram itulah tempat Paduka Mimat anakanda Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po itu bersemayam. Apapun ternyata dari sini saya boleh memotong masuk ke Ijok seterusnya ke rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan