Selasa, Jun 08, 2010

Makam-makam di Jugra dan apa yang ada di sekitar Jeram

Adus! Asal hujung minggu je berjalan, hujung minggu je berjalan. Penat wooo! Tapi kalau duduk rumah je pun tak boleh gak... dah genetik jenis kuat berjalan. Dan lagi, kadangkala dah tak mahu berjalan dah sebab dah penat sangat. Tapi kena keluar jugak sebab ada kerja, acara keluarga dan sebagainya...

Jika hujung 3 minggu lalu saya keluar naik keretapi ke Pantai Timur sehingga landasan tamat di Tumpat, hujung minggu seterusnya pula saya naik keretapi ke Utara hingga ke Hatyai, Thailand. Hujung minggu lepas saya membawa anak dan isteri berjalan ke Lumut dan Beruas untuk menggantikan hujung minggu sebelumnya tidak dapat bersama. Hujung minggu baru ini kami ke Tanjung Sepat kerana ada perjumpaan keluarga. Kalau berjalan setakat pergi dan balik kira OK lah jugak. Ini setiap kali berjalan mesti ada banyak tempat nak singgah. Pancit tapi dah perangai cam tu... nak buat camna?

Sepatutnya minggu ini saya sudah menulis mengenai perjalanan keretapi ke Utara namun entah kenapa masih tak terbuat. Rasanya saya perlu melepaskan rasa mengenai perjalanan terbaru di sekitar Selangor terlebih dahulu. Inilah dia...

Pagi Ahad 6 Jun 2010. Setelah bermalam di Tanjung Sepat kami mengorak langkah kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Selepas singgah di Morib timbul pula rasa untuk mengambil jalan pesisir melepasi Pantai Kelanang...


Dari jalan itu boleh sampai terus ke Bukit Jugra. Terus tergerak untuk ke satu tokong Cina di kaki bukit...


  Bukan apa... berdekatan tokong ada satu denai masuk ke hutan.


Ada satu tempat yang ingin diziarahi sejak beberapa bulan lalu. Tetapi dalam lawatan terakhir ke Bukit Jugra saya tidak tahu bagaimana mahu sampai. Lihat artikel Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra? yang mula menemui pembaca penghujung Januari. Ia dibuat sejurus sebelum saya dan isteri pertama kali membawa anak kecil kami Al-Rasyid berjalan ke Aceh, satu perjalanan yang ceritanya masih belum dilepaskan di sini walaupun perjalanan seterusnya sudah berjaya dilepaskan setakat yang patut lebih sebulan lalu melalui siri "Maulidur Rasul di Aceh". .


Tempat yang dimaksudkan terdapat makam seorang pahlawan hebat dari Sumatera yang namanya sahaja mungkin boleh menimbulkan kegerunan sesetengah pihak. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Berayun yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih awal tadi.


  Ini adalah pemandangan dari atas batu besar yang menempatkan tokong Cina...

 
Alang-alang dah berada di sini kami juga menaiki Bukit Jugra sehingga ke tempat meninjau orang bermain payung terjung paragliding.

  Kami juga sempat melihat setor menyimpan peluru di lereng bukit, kalau tak salah ia peninggalan dari zaman British...

  Ini pula pemandangan di bawah dari dalam kereta, dari tempat orang bermain paragliding mendarat. Nampak tak menara radar di atas bukit? Di bawah menara itulah tempat orang paragliding meloncat terjun. Lihat balik artikel Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra? untuk mendapatkan gambaran kedudukan...

  Sampai di persinggahan seterusnya meter bawah kereta menunjukkan nombor 4444. Hmm... teringat pula artikel ke 444 di blogspot ini, Nombor 444 sebagai pelengkap satu cerita, satu lagi contoh 'penat'...

  Adapun keadaan meter ini dilihat sebaik sahaja berhenti di sini, hadapan makam Sultan Abdul Samad.

  Makam ini terletak di bahagian lain lereng Bukit Jugra.

  Inilah kali pertama kami dapat membawa Al-Rasyid masuk ke dalam. Dalam lawatan sebelumnya pintu masuk berkunci ketika kami sampai. Tengok-tengok ada 2 orang pelawat lain di dalam. Seorang daripadanya adalah pelakon veteran terkenal... rupa-rupanya beliau selalu menziarahi makam Sultan Abdul Samad dan mengaku ada kaitan.

  Selepas Bukit Jugra kami ke bandar diraja Klang.

  Selalunya kami akan mengelakkan masuk ke Klang kerana jalanrayanya yang selalu sibuk sehingga kenderaan 'merangkak' teruk. Namun kali ini saya mahu singgah ke masjid baru di tepi Sungai Klang. Ternyata persinggahan ini memberikan 'pulangan' melalui satu pengalaman yang unik. Lihat Masjid (Mosque of) Bandar diraja, Klang.

  OK. Selepas Klang saya berhajat untuk melalui Jeram yang terletak antara Kapar dengan Kuala Selangor. Kali terakhir saya mengambil laluan itu rasanya lebih 10 tahun lalu. Ketika itu saya tidak menyedari bahawa Jeram memiliki kedudukan tersendiri dalam sejarah kerana menurut kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang, di situlah Paduka Mimat, anakanda Sultan Mansur Shah Melaka dengan Puteri Hang Li Po berkuasa dan bersemayam. Itupun mula-mula isteri saya tak bersetuju kerana kepenatan. Dia mahu kami menghala ke Meru untuk kembali ke Bandar Tasik Puteri melalui jalan belakang yang melepasi Kota Puteri dan Batu Arang. 

Tetapi sebaik sahaja sampai ke jalan bercabang, satu ke Meru satu ke Kapar ternyata jalan ke Kapar lebih lapang. Saya pun menghala sahaja ke Kapar. Lagipun bila dikira-kira balik dalam kepala, sama sahaja jarak kembali ke rumah melalui Kapar mahupun Meru. Bezanya jalan melalui Meru lebih kami kenali. Lagipun apa salahnya melalui Kapar? Bukankah ini lebih 'segar'? Hampir ke Jeram kami terlihat simpang menunjukkan jalan masuk ke Pantai Remis. Pantai Remis? Selama ini saya cuma tahu Pantai Remis di Perak sahaja. Itupun kami nyaris berjalan terus kalau tidak terlihat papantanda menyebut nama Jalan Maharajalela. Itu yang menambah keinginan untuk masuk ke dalam...


Ternyata ia keputusan yang tepat. Pantai Remis memiliki pantai yang jauh lebih meriah daripada Morib dan inilah kali pertama kami melihatnya. Lihat artikel A visit to the Pantai Remis of Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

  Kami juga melihat pantai Jeram sedikit lagi ke utara iaitu ke hadapan.

  Walaupun ia agak sunyi, pada saya pemandangan pulau-pulau kecil berdekatan lebih terserlah dari sini.

  Selepas itu kami menghala kembali utara ke Kuala Selangor dengan niat akan membelok ke kanan untuk ke rumah apabila sampai ke Asam Jawa. Namun tidak lama selepas meninggalkan pantai kami terlihat satu simpang lebih awal lalu saya terus masuk ke kanan... Bukan apa, saya terlihat bukit di hadapan. Apakah ini Bukit Jeram? Saya pun tak pasti. Cuma ada kemungkinan Bukit Jeram itulah tempat Paduka Mimat anakanda Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po itu bersemayam. Apapun ternyata dari sini saya boleh memotong masuk ke Ijok seterusnya ke rumah.

 
Adapun malam itu selepas Maghrib kami dijadualkan untuk menghadiri majlis sambutan perkahwinan seorang pelakon/pengarah terkenal di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Namun kami sampai ke rumah pun sudah jam 6 petang dan sangat kepenatan. Lagipun saya sebenarnya kurang sihat dan entah mengapa sejak malam sebelumnya kedua-dua tapak kaki sakit seperti terbakar. Rasanya tak larat le nak bersiap kemudian memandu lagi 40 km ke ibukota seterusnya berpura-pura segar di khalayak ramai. Akhirnya 'melepek' kat rumah sahajalah kami anak-beranak... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan