OK, saya sebenarnya tidak ingat berapa hari berada di Madinah. Yang pasti memang sekurang-kurangnya tidur di sana 2 malam. Lalu sampailah waktu untuk ke Mekah dan betul-betul membuat umrah (perjalanan di Madinah cuma dikira ziarah).
Kami meninggalkan Madinah selepas makan pagi kalau tak salah ingatan. Sebahagian ahli jemaah sudah pun bersedia berpakaian ihram sementara yang lain cuma menukar pakaian di Masjid Bir Ali, luar sedikit dari Madinah.
Untuk pengetahuan, Bir Ali ialah tempat miqat iaitu tempat mula memakai ihram sambil menetapkan niat untuk menunaikan umrah bagi mereka yang datang ke Mekah dari arah Madinah. Ah, banyak yang sudah lupa tetapi saya tulis terus aje le apa yang boleh ingat ya. Seperti biasa, saya menulis terus ke blogspot, bukan menulis awal di mana-mana lalu saya ceritakan segala apa yang patut dan boleh diingat secara spontan.
Kalau tak salah ingatan, selepas memakai pakaian ihram, kami perlu memasang niat ihram kemudian solat sunat dua rakaat. Apabila sudah masuk dalam keadaan ihram, banyak pantang larang perlu dituruti. Misalnya tidak boleh membunuh apa-apa binatang, tidak boleh memotong kuku atau mencabut bulu badan malah kita dilarang menggaru tubuh badan yang gatal, ditakuti ada bulu roma yang tertanggal. Malah kalau luruh kulit kering secara sengaja pun tak boleh! Jadi perkara macam korek hidung yang boleh dikatakan hobi sambilan kebanyakan lelaki pun janganlah difikirkan, malah tidak boleh mengorek apa-apapun jenis lubang badan. Suami isteri dilarang melakukan persetubuhan dan apa-apa bentuk perkara yang boleh mendatangkan keghairahan. Larangan ini berterusan selagi kita belum selesai segala syarat umrah. Kalau dilanggar juga kena le bayar dam, kalau tak salah seekor kambing bagi setiap satu kesalahan!
Nasib baik kita boleh kentut dan batal air sembahyang, Kalau tak naya wooo.... dari Madinah ke Mekah tu bukan dekat, lebih 400km jugak. Enam jam perjalanan, kalau tak berhenti kencing pun mesti sesekali ada rasa nak terkentut.
Kami akhirnya sampai ke Mekah. Terkedu besar apabila melihat Masjidil Haram tertera di hadapan mata, lebih terkedu lagi kerana ia adalah pertama kali saya melihat Ka'abah secara live. Masyaallah! Tak mampu rasanya untuk menyatakan perasaan sebenar ketika itu.
Ketika itu kehadiran orang begitu sesak. Memang pun begitu kebiasaannya di Masjidil Haram. Itupun nasib baik saya pergi tengah tahun, bukan pada mana-mana bulan yang dikira paling afdhal dalam Islam. Kalau masuk bulan Ramadhan atau musim Haji tentu jauh lebih teruk. Ini boleh dilihat pada gambar di atas yang diambil dari Internet tadi. Ketika saya berada di Mekah, bahagian paling atas Masjidil Haram tidak dibuka bermakna tidak le sesesak seperti dalam gambar. Tetapi tetap le juga sesak. Di sekitar Kaabah, kepadatan orang ketika itu boleh diibaratkan seperti lebih 100 orang diletakkan ke dalam ruang sebesar living room rumah teres biasa.
Hmm. Bila difikirkan balik, saya sebenarnya pun tak pasti bila pertama kali mencium Hajaratul Aswad, apakah betul-betul selepas 7 kali tawaf pada umrah pertama atau kemudian. Saya teringat ibu saudara saya berpesan tak penting sangat nak bersusah-payah berebut-rebut dalam kesesakan orang ramai untuk mencium batu dari syurga itu. Yang lebih penting adalah menunaikan perkara wajib dalam umrah dan mengucup Hajaratul Aswad bukanlah perkara wajib apalagi kalau sampai perlu berasak-asak yang boleh mengurangkan malah menghilangkan pahala ibadat jika pun tidak mendatangkan dosa.
Sejak penghujung 2002 tahun begitu, apabila hubungan saya dengan isteri lama semakin bercelaru, saya menjalinkan hubungan kembali dengan Nur yang sudah dikenali sejak tahun 1995. Rasanya cerita tentang Nur sudah banyak sangat diberikan di blogspot ini. Cukup untuk menerangkan bagaimana rapatnya hubungan kami dahulu lebih-lebih lagi kerana Nur yang membiayai perjalanan umrah 2005 ini. Tetapi Nur sudah berkahwin dengan politikus muda sedangkan hati saya ketika itu amat susah melupakannya. Dia juga masih menyatakan harapan untuk bersama dengan saya. Bagaimana ini?
Pada masa yang sama, timbul kembali rasa sayang terhadap bekas isteri. Sekitar 2 - 3 bulan sebelum ke Tanah Arab, saya ada beberapa kali berjumpa anak yang berada di bawah jagaannya. Saya rasa semakin mesra bermain-main dengannya dan tidak seperti sebelum itu di mana saya sering terasa marah dengan bekas isteri, sejak itu saya sering memikirkan bahawa saya juga banyak salah dan silap lalu mula terasa lembut hati pada isteri.
Cuma rasa lembut itu tidaklah muktamad menjadi betul-betul sayang kepadanya. Saya tahu saya dengan bekas isteri sangat berlainan minat dan cara fikiran dan itu yang membuatkan kami sering berselisih haluan. Namun semenjak dua menjak itu timbul rasa bahawa saya sanggup mencuba sekali lagi belajar atas kesilapan masa lalu demi kasih sayang kepada seorang anak hasil perkahwinan kami dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan