Setelah melepaskan sedikit rasa yang terbuku melalui artikel Umrah 2005 - Pertolongan Nur dan percubaan berhenti merokok dan Umrah 2005 - Susahnya nak berhenti rokok! , barulah saya boleh bercerita tentang apa yang berlaku di kota suci Madinah... ikut apa yang saya ingat ya! Dan tak semestinya menurut turutan masa.
Tiada apa yang dapat membayangkan kegembiraan saya apabila mula menaiki kapalterbang dengan kota-kota suci Mekah dan Madinah terbayang-bayang di fikiran, apalagi apabila kapalterbang mula bergerak. Perasaan ini jadi bertambah-tambah apabila mendarat di Jeddah... ah, aku sudah selamat sampai ke Tanah Arab rupanya, dan terus bertambah lagi apabila sudah sampai ke Madinah waktu malam selepas 6 jam menaiki bas dari Jeddah.
Siangnya baru saya tersedar betapa cuacanya begitu panas hingga terasa hampir sesak nafas dan hidung pun ada terasa pedih seperti hendak berdarah, begitu juga mata akibat silauan cahaya matahari yang terang-benderang. Tetapi panas di Tanah Arab, baik di Madinah mahupun sebelumnya di Jeddah terasa selesa kerana ia panas kering, bukan seperti di Malaysia dengan panas lembab menyebabkan saya sering berpeluh-peluh dengan ketiak terasa melengas.
Saya dan mereka yang sama jemaah termasuk ibu saudara dan suaminya duduk di sebuah hotel lebih kurang 500 meter sahaja dari Masjid Nabawi atau Masjid Nabi. Ketika jemaah saya diatur untuk perkongsian bilik, saya memilih untuk berkongsi dengan orang paling tua dalam jemaah, seorang pakcik berumur sekitar 70 tahun yang saya lihat ada sedikit masalah dengan isterinya. Ini kerana kelihatan orang lain nampak seperti cuba mengelak dari duduk sebiliknya. Pada saya tak apalah, dengan sesiapa pun saya boleh duduk dan saya menerimanya sahaja.
Oh, pemilihan perkongsian bilik itu berlaku waktu malam. Esoknya waktu Subuh kalau tak salah ingatan, pakcik itu terus berjumpa dengan isterinya untuk mengatur langkah bersama sedangkan saya terus bersendirian untuk bersolat ke Masjid Nabawi. Jalan yang perlu dilalui selari dengan tanah perkuburan besar Baqi' yang mengandungi makam beberapa orang sahabat Nabi. Tetapi saya lebih berminat untuk menziarahi makam beberapa orang Ahlul Bait Nabi yang ada di sana terutama makam Sayyidina Hassan. Tapi nantilah, tunggu siang sikit. Lagipun saya harus menziarahi dahulu makam Nabi Muhammad Rasulullah SAW tetapi biarlah selepas solat Subuh berjemaah.
Saya sudah lupa di sebelah mana saya pertama kali bersolat Subuh di dalam Masjid Nabawi yang sangat luas itu. Tetapi sepanjang 2 atau 3 malam berada di Madinah, insyaallah saya sudah pusing hampir seluruh bahagian masjid dan pernah bersolat wajib dan sunat di banyak tempat terutama sekitar Raudah dan hadapan makam Rasulullah SAW. Satu kegemaran saya samada apabila sampai ke masjid atau sudah sampai kemudian saja nak berjalan-jalan ialah keluar dari sisi kiri hadapan masjid menghadap ke Baqi' kemudian berjalan sepanjang luar hadapan sebelum masuk melalui pintu kanan hadapan yang dikenali sebagai Babussalam. Kemudian dari situ saya akan berjalan ke dalam masjid sambil membibit kasut dalam plastik mengikut laluan orang ramai untuk berziarah ke makam Rasulullah SAW diikuti makam sahabat baik baginda Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Uthman RA.
Sebagai adabnya saya akan menghadiahkan al-fatihah terutama kepada Rasulullah dan cuba untuk mengucup pintu makam sebagai tanda sayang terhadap paduka nenda. Maklumlah, nak pegang peluk cium Nabi semasa hidup tak dapat, cukuplah kalau dapat memegang makam, dapat mencuit pintunya pun jadilah sebagai tanda, bukannya kita menyembah-nyembah makhluk Allah, bukan menyekutukanNya. Begitu juga yang cuba dilakukan oleh banyak orang... tetapi seringkali petugas yang menjaga hadapan makam, ada yang berpakaian polis, ada berpakaian jubah dan merekalah yang selalu bersikap berlebih-lebih, akan cuba menghalang lalu menghalau. Katanya syirik, bidaah. Sah le depa ni orang Wahabi...
Perkara sebeginilah yang membuat saya jadi angin marah-marah apalagi ketika itu saya sudah mula berhenti merokok (sekurang-kurangnya di tanah suci le). Di kala rakan-rakan sejemaah terus merokok di hotel sebaik sahaja selesai makan dan sebagainya, saya terus melawan ketagihan. Dalam sedar tak sedar ditambah cuaca panas dan melihat keadaan pihak penguasa yang pada saya tidak menghormati hakikat sebenar Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah, terkeluar juga maki-hamun saya sekali dua kali, maki-hamun yang mungkin akan melarat jika tidak teringat kembali yang saya sedang berada di Tanah Suci.
Oh, lupa nak cakap. Bersolat di Masjid Nabawi ni memang perlu bersesak-sesak terutama jika di saf hadapan yang sebaris dengan pintu Babussalam dan pintu menghadapnya yang membawa ke Baqi'. Maklumlah, yang datang bukan setakat beribu malah beratus ribu jika tak pun berjuta. Paling teruk adalah di sekitar makam Nabi... satu saf atau dua hadapan makam memang tak boleh bersolat langsung kerana dijadikan laluan orang-ramai sebaik sahaja tamat solat fardu berjemaah sedangkan ke hadapan sedikit, juga di Raudah yang disebut sebagai salah satu taman syurga, orang berebut-rebut mengambil berkat lalu semuanya ingin bersolat dalam ruangan yang terbatas menyebabkan kita perlu 'mengecilkan' diri, apabila bersujud kepala perlu rapat ke lutut dengan dihimpit kiri-kanan adakalanya bertimpa-timpa.
Pada ketika-ketika itulah kadangkala hampir terkeluar lagi maki-hamun apalagi apabila menghadapi sikap orang Arab yang kasar-kasar. Sepanas-panas baran saya pun, sebagai orang Melayu saya akan tunduk membongkokkan diri seraya tangan kanan melunjur ke bawah sebagai tanda hormat apabila lalu di hadapan orang. Sebaliknya orang Arab cuma melangkah tanpa peduli, senang sahaja kepala kita yang sedang sujud dilangkahinya. Adakala pula kita ditolak dan disikunya begitu sahaja!
Sesungguhnya sampai di Tanah Suci inilah saya betul-betul terasa usaha untuk menghilangkan sifat panas-baran yang telah bersarang sejak kecil lagi begitu diuji. Walhal sejak 15 tahun sebelum itu saya telah secara sedar dan terancang memulakan usaha menghilangkannya dan cool down banyaklah jugak walaupun sesekali saya akan meletup juga. Mungkin juga panas-baran saya bertambah di Tanah Suci akibat percubaan mendadak berhenti merokok. Yang pelik, setelah beberapa waktu menahan ketagihan, saya dilanda lagi satu masalah iaitu gatal melihat perempuan. Masyaallah! Nanti saya ceritakan apabila kita masuk ke bahagian mengenai Mekah. Bayangkan memakai pakaian sekeping seperti tuala iaitu baju ihram tanpa apa-apa pakaian lain di dalam, dalam keadaan timbul rasa gatal melihat perempuan...
Saya sempat menziarahi tanah perkuburan Baqi' beberapa kali lalu mendapati bahagian yang menempatkan Ahlul Bait termasuk Saidina Hassan, rasanya ada Saidina Ja'afar as-Sadiq, cucu Saidina Hussein sekali diletakkan pagar batu dari jauh, siap ada orang berpakaian polis/tentera menjaga. Jadi orang tak boleh pergi dekat dan masuk ke dalam. Lagi satu saya dapati cuma jemaah dari Iran yang terang-terang berfahaman Syiah dan orang seperti saya yang menghargai makna Ahlul Bait sahaja yang sanggup bersusah-payah melawat makam-makam ini. Lain-lain orang kelihatan tidak peduli.
OK. Adapun ramai orang suka bersolat dan sanggup berhimpit-himpit teruk di tempat tertentu seperti Raudah mahupun di hadapan makam Nabi kerana dipercayai di situlah doa kita paling mustajab dan mudah dikabulkan. Bagi saya sendiri ada beberapa persoalan yang ingin dipanjatkan kepada Allah Subhanallah agar dapat menemui penyelesaian, salah-satunya tentang kerjaya bagaimana yang harus diceburi seterusnya memandangkan saya ketika itu sudah empat tahun tidak bekerja, setakat ada menolong sedikit membuat buku Pak Habib. Itupun bukan ada gaji kecuali diberi duit makan dan belanja sekali-sekala.
Salah satu soalan utama yang bermain di benak Rasyid ketika mengadu nasib di hadapan Multazam iaitu pintu Kaabah, juga di hadapan Hajaratul Aswad dan Hijir Ismail adalah apakah buku yang diusahakannya dengan penuh penat-lelah itu memang tidak boleh disiarkan kepada khalayak ramai? Setakat boleh ditulis untuk tatapan sendiri dan keluarga serta sahabat-sahabat terdekat kerana isi yang terkandung di dalamnya?
Jika itu benar, maka dia pasrah menerima Takdir serta Qada’ dan Qadar. Pemuda ini sedia melupakan penulisan buku itu, sepertimana dia sanggup melepaskan usaha-usaha penulisannya yang terdahulu. Sepertimana dia juga sanggup kehilangan kerja, anak isteri, harta-benda, wang-ringgit serta nama baiknya, sanggup mengenepikan segala pencapaian hidup yang lalu malah apa sahaja yang perlu demi mencapai kebahagian sejati yang sudah lama didambakannya, amat lama, boleh kata pencarian seumur hidup!
Mungkin usahanya ini ibarat kolam ciptaan masyarakat India, lukisan di tanah ataupun lantai menggunakan pasir berwarna-warni yang dilakukan dengan cantik dan penuh teliti selama berjam-jam malah mungkin berhari-hari. Mungkin ia setakat untuk ditatap sejenak selepas siap, kemudian dipadamkan, dibuang begitu sahaja sebagai lambang tiada yang kekal di dunia yang fana’ ini? Mungkin juga usaha penulisan buku itu cuma satu episod kecil dalam perjalanan untuk mengenali dirinya sendiri...Tetapi Alhamdulillah, selepas lama “membodohkan diri”, Rasyid akhirnya mendapat gerak dan isyarat untuk meneruskan usaha menjayakan buku itu kembali. Cuma ia perlu disunting dan diperbaiki berkali-kali lagi. Masih terlalu banyak cacat celanya, seperti banyaknya kekurangan dalam dirinya sendiri.
Hmm... walaupun perenggan pertama sedutan di atas menyebut bahawa harapan tentang buku itu dipanjatkan di Mekah, sebenarnya ia turut dipanjatkan lebih awal di Madinah. Apapun, dah jadi pun buku "Berpetualang ke Aceh", bukan satu malah dah tiga. Lebih penting lagi yang bermain di kepala ketika itu adalah soal jodoh, soal harapan untuk mendapatkan home sweet home yang sejati.
Sejak penghujung 2002 tahun begitu, apabila hubungan saya dengan isteri lama semakin bercelaru, saya menjalinkan hubungan kembali dengan Nur yang sudah dikenali sejak tahun 1995. Rasanya cerita tentang Nur sudah banyak sangat diberikan di blogspot ini. Cukup untuk menerangkan bagaimana rapatnya hubungan kami dahulu lebih-lebih lagi kerana Nur yang membiayai perjalanan umrah 2005 ini. Tetapi Nur sudah berkahwin dengan politikus muda sedangkan hati saya ketika itu amat susah melupakannya. Dia juga masih menyatakan harapan untuk bersama dengan saya. Bagaimana ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan