Gambar terbaru Makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan permakaman diraja Perak, Bukit Chandan yang baru diambil petang tadi...Assalamualaikum semua... Salam perjuangan daripada saya yang kini berada di Sungai Siput, Perak. Dalam
posting terakhir di sini bertajuk
Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... yang dibuat 2 hari lepas, saya telah bercerita sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku di Kedah pada hari Isnin baru-baru ini... Tentang bagaimana saya telah melawat Makam Tok Soh dan Makam Daeng Parani di sekitar Sungai Petani sebanyak 2 kali dalam satu hari akibat masalah kerosakan kamera, kedua-duanya bersama rakan yang berlainan orang tetapi namanya sama. Seorang Badrul daripada Sungai Petani, seorang lagi . Badrul daripada Ipoh.
Adapun kini, masalah yang berlaku hari Isnin itu telah membawa saya untuk juga singgah lagi di Kuala Kangsar, Perak... Untuk mengambil sekali lagi gambar terbaru makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Bukit Chandan kerana gambar yang diambil dalam persinggahan sebelum ini iaitu pada hari Ahad ketika dalam perjalanan pergi ke Kedah tidak dapat di access akibat masalah kerosakan kamera yang melibatkan short-circuit pada memory card.
Oh... Sebelum menyambung cerita bab Perak ini, sukacita diberitahu dalam perjalanan ke Kedah kali ini, saya sempat sampai ke beberapa tempat yang sebelum ini tidak pernah saya pergi, antara sebabnya adalah kesuntukan masa dan/atau tidak tahu arah lalu tidak dapat mencari tempat yang dituju. Cukuplah diberitahu jika hari Isnin saya berlegar-legar di sekitar Sungai Petani dan dapat pergi ke Makam Tok Soh dan Makam Daeng Parani, hari Selasa pula saya dapat menziarahi Makam Sheikh Abdul Qadir ibni Hussin Shah Alirah yang dikatakan mangkat tahun 904 Masihi (lebih 1,100 tahun dulu wooo...) di Langgar, Alor Setar dan Makam Datuk Maharaja Kadhi Sheikh Abdul Jalil (hidup 1710-1782) di Jitra, bapa kepada Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang menulis kitab-kitab Tasawuf terkenal Sairus Salikin dan Hidayatus Salikin.
Semalam hari Rabu, saya sempat naik ke puncak Gunung Jerai dan pergi melawat Batu Sajadah. Di sana terdapat juga sebuah kawasan lapang yang dinyatakan secara rasmi sebagai Padang Tok Sheikh tetapi menurut beberapa orang lain, Padang Tok Sheikh sebenarnya terletak di sebuah tempat yang memerlukan perjalanan lebih jauh meredah hutan.
Sebenarnya perjalanan ke Kedah kali ini lebih mudah kerana saya menumpang kereta Badrul sejak daripada Ipoh dan ada kawan-kawan lain sudi bersama menemani dan menunjukkan jalan. Tetapi seperti biasa, tetap ada masanya saya perlu berjalan seorang diri lalu semalam, selepas menuruni Gunung Jerai, Badrul pun menghala balik ke Ipoh sedangkan saya turun dan bermalam di Taiping. Saya rasa perlu menziarahi beberapa lagi tempat di Perak tetapi tidak pasti bagaimana rancangannya. Yang pasti, saya perlu ke kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan sekali lagi untuk mengambil gambar Makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Selepas berehat semalaman di Taiping, saya membuat keputusan untuk pergi ke Kota Ngah Ibrahim di Matang. Ini adalah lawatan ke 3 saya ke sana tapi baru kali ini saya tergerak untuk naik ke tingkat 2 bangunan utama yang telah dijadikan muzium.
Hmm... Kalau nak bercerita panjang lain kali sahaja ya... Cerita-cerita perjalanan di Johor pun banyak lagi belum selesai sudah mahu melompat ke cerita terbaru perjalanan Kedah dan Perak pula. Cukuplah diberitahu bahawa dalam perjalanan kali ini baru saya dapat melihat makam moyang saya yang ini (moyang saya ada banyak lagi ya seperti mana orang lain juga ada banyak moyang, hehe!) telah dibina cantik berbanding lawatan terakhir hujung tahun lepas di mana batu nesan beliau masih ditanda dengan kepingan kayu ringkas.
Selesai menziarahi makam, saya berehat sebentar di Masjid Ubudiyah di sebelah sebelum mandi dan bersolat. Ketika itu saya masih dalam dilemma apakah mahu bermalam di Kuala Kangsar atau pergi ke tempat lain? Yang pasti saya ada berjanji akan berjumpa seorang pembaca blogspot ini di Sungai Siput dan perlu juga ke Ipoh nanti untuk mengambil payung saya yang tertinggal di dalam kereta Badrul. Cuma bila sahaja yang tak pasti...
Keluar daripada masjid, saya telah menumpang kereta orang yang baru juga meninggalkan masjid. Saya cuma meminta agar dihantar ke kaki Bukit Chandan... Ternyata orang ini mahu ke Kuala Lumpur dengan melalui Sungai Siput. Maka ke sana lah saya lalu berjumpa dengan pembaca blogspot ini, saudara Syahir. Sekarang ini bermalam di rumahnya di mana saya dapat menggunakan laptop nya untuk membuat posting ini. Sekian!
p/s: Nama Sungai Siput dah biasa dengar, Samy Vellu punya tempat.. Sungai Udang pun biasa dengar, nama tempat komando training kat Melaka dan di Yan, Kedah pun ada Sungai Udang. Yang saya tertanya-tanya, ada tak tempat nama Sungai Sotong? Atau sotong tak boleh hidup dalam sungai? Heh! :]
3 ulasan:
sg kerang ada tak?
kebanyakan sungai dlm dunia ni dah ada nama.. susah nak cari sungai takde nama..
nanti la kita cari sungai dlm hutan yg belum ada nama pastu kita bagi nama sungai ketong (kerang + sotong)amacam? haha
assalamualaikum,
Saudara radzi,bila kita bercakap mengenai daeng selili bermakna ianya menyangkut tentang diri saya dan seluruh keluarga disini.Anak Daeng Selili yang di tinggalkan di Samarinda@MangkuJenang iaitu Patta Tosi Bengngureng@Bengngareng tidak ramai iaitu cuma 75 orang sahaja dan kebanyakkan warisnya telah berada di Malaysia dan telah menjadi orang Malaysia( Tawau,Sabah ).dan diharap jika ada apa pertanyaan yang mungkin tak dapat saya jawab,bermakna terpaksa saya rahsiakan dahulu sebab ia membabitkan kepentingan ramai orang termasuk saudara radzi sendiri. Terimakasih
Catat Ulasan