-------------------------
Apapun Sultan Ahmad mempunyai isteri gahara baginda diketahui mempunyai seorang puteri gahara bernama Raja Putri Shahribanun. Soalnya, betulkah baginda tidak meninggalkan anak lelaki gahara atau ada cerita lama yang telah digelapkan pihak berkepentingan...
Tersebutlah kisah, selepas Potu Uk menaiki takhta, muncul seorang panglima handal dikenali sebagai Nakhoda Hitam,dikatakan lari dari Pasai ke Perak, entahlah kenapa. Ada pula cerita menyebut beliau datang dari Haru di selatan Pasai... Mungkin selepas meninggalkan Pasai yang terletak dalam wilayah Aceh, panglima ini telah membawa diri ke Teluk Aru terlebih dahulu? Yang pasti, di Teluk Aru yang letaknya setentang dengan Sungai Perak terdapat sebuah pulau bernama Pulau Sembilan, sama namanya dengan gugusan pulau-pulau yang terletak di kuala Sungai Perak!
Menurut sebuah buku yang ditemui Rasyid secara tidak sengaja di Perpustakaan Negara lebih dua tahun lalu (tak ingat tajuknya), Perak mula kecoh dengan lanun bermaharajalela di Pulau Sembilan kuala Sungai Perak menyerang kapal dagangan yang lalu-lalang. Mengikut ceritanya, mereka diketuai seorang penjahat bernama Nakhoda Hitam. Ahli sejarah Barat pula menyatakannya sebagai panglima Bugis bernama Latata Ambralla,
Perak ketika itu sedang diperintah oleh Sultan ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (1728-1754). Baginda mempunyai seorang pahlawan yang gagah berani lagi alim dan warak, seorang bangsawan Bugis bernama Daeng Selili yang juga merupakan adik ipar dan pengawal peribadi Sultan.
Daeng Selili juga berperanan sebagai Mufti Besar Perak yang bergelar "Haji Besar" selain bertanggungjawab menjaga keamanan negeri dengan memakai gelaran Orang Kaya Kaya Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya kerana mempunyai lesen besar ataupun kuasa untuk membunuh dan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa perlu bertanya terlebih dahulu kepada Sultan. Tidak lama kemudian iaitu pada tahun 1743 Daeng Selili pun ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di kuala Sungai Perak.
Daeng Selili yang amat handal berpencak silat berjaya mengalahkan ramai lanun dengan mudah. Maka sampailah masanya untuk Sri Maharaja Lela Pancung Tak Bertanya ini bertembung dengan Nakhoda Hitam...
Menurut buku tersebut yang ditulis seorang anak cucu keturunan Daeng Selili, Nakhoda Hitam yang tidak kurang handal telah menyusup ke belakang untuk menyerangi. Tetapi beliau membatalkan niatnya itu apabila terlihat keris (Ataupun sundang?) yang tersisip di pinggang Daeng Selili. Rupa-rupanya Nakhoda Hitam kenal senjata itu yang menandakan pemiliknya berasal daripada keturunan anak Raja Bugis. Maka Nakhoda Hitam yang sendiri mempunyai darah bangsawan Bugis tidak jadi menyerang malah mereka berbaik-baik lalu bersalaman dan berpelukan!
Apa yang menarik, ketua lanun ini kemudian diangkat menjadi Laksamana yang menjaga perairan Perak. Kalau betullah beliau seorang penjahat kenapa pula boleh dijadikan pembesar negeri? Sultan Muzaffar Shah III yang memerintah Perak bukannya bodoh. Mesti ada sebab baginda boleh menerima seorang ‘ketua lanun’ menjadi orang penting Perak.
Sebenarnya cuma penjajah Barat seperti Portugis dan Belanda sahaja yang menganggap orang ini dan pengikutnya sebagai lanun. Ini kerana kapal-kapal mereka selalu diserang dan dirompak apabila melalui perairan kuala Sungai Perak sedangkan Nakhoda Hitam berbuat begitu kerana benci dengan kehadiran penjajah. Seperti juga anak-anak Raja Bugis yang ramai berkeliaran d perairan Tanah Melayu abad ke 18 terutama lima-beradik terkenal yang menyokong kerajaan Johor-Riau, Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak dituduh sebagai lanun... Hakikatnya mereka jadi begitu kerana tanah tumpah darah mereka di Pulau Sulawesi telah habis diranapkan penjajah Barat. Maka terbitlah dakyah mengatakan Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun. Kononnya mereka berjaya menjadi raja kerana mereka kuat, bukan kerana darah keturunan mulia yang dimiliki, itu sahaja!
Rasyid percaya Sultan Muzaffar Shah III tahu Nakhoda Hitam bukan penjahat, malah orang yang berdarjat. Sepertimana Daeng Selili yang berketurunan Raja Bugis boleh diterima di Perak dan dikahwinkan dengan adinda baginda yang bernama Raja Tengah malah turut dijadikan pengawal peribadi Sultan, Mufti Besar dan Orang Kaya kaya Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya, begitu juga Nakhoda Hitam diangkat. Yang pasti, beliau bukan orang sembarangan yang boleh diperlekehkan...
Kebetulan semasa menulis bab ini, Rasyid sedang bermalam di rumah seorang ibu saudara yang telah berkahwin dengan seorang anak cucu Daeng Selili, di sebuah bungalow mewah di Ampang yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk istana lama. Ibu saudara ini juga mempunyai darah Bugis kerana bapanya berketurunan Bugis malah berasal daripada keturunan Raji Haji, anak kepada Daeng Chelak bin Opu Tenri Bureng Daeng Rilaga yang turut datang ke Semenanjung Malaysia bersama Daeng lima bersaudara.
Cerita-cerita lama Melayu ada menyebut Raja-raja Bugis berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman AS dengan Puteri Balqis, puteri cantik lagi bijaksana yang memerintah kerajaan Saba’ yang kisahnya ada disebut dalam Al-Quran. Sejarah rasmi mencatatkan Raja Haji sebagai seorang pahlawan Bugis yang paling dihormati dan digeruni di Tanah Melayu, amat ditakuti penjajah Belanda... Baginda selalu berperang lalu mengalahkan ramai lawan dari Johor, kepulauan Riau, Sumatera sebelah Kampar hingga ke Selangor, Perak dan Kedah tetapi sempat menjadi orang kedua paling berkuasa dalam kerajaan Johor-Riau-Lingga apabila mewarisi takhta Yam Tuan Riau atau Yang di Pertuan Muda Johor 1777. Saudaranya Raja Lumu pula diangkat menjadi Sultan pertama Selangor, Sultan Salehuddin Shah yang ditabalkan 1766 dengan pengiktirafan serta nobat Sultan Perak.
Raji Haji akhirnya mati syahid di Teluk Ketapang 1784, ketika cuba memerdekakan Melaka daripada cengkaman Belanda. Tetapi pihak British yang menjajah Tanah Melayu kemudian cuba memadamkan ingatan bangsa terhadap pejuang besar Melayu ini dengan mendirikan Sekolah Henry Gurney di situ, satu-satunya sekolah untuk budak-budak jahat di Malaysia, budak-budak bermasalah yang telah melakukan pelbagai jenis jenayah termasuk membunuh orang sebelum cukup umur 18 tahun.
Pemerintahan Riau menjadi hak milik turun-temurun anak-anak Raja Bugis semenjak 1722, selepas mereka menolong mengembalikan takhta kerajaan Johor-Riau-Lingga kepada raja-raja berketurunan Bendahara yang pernah diturunkan Raja Kechil dari Siak. Raja Kechil mengaku sebagai waris sebenar kerajaan dengan mendakwa dirinya adalah anak Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Sultan Johor terakhir dari keturunan Sultan-sultan Melaka. Sejarah rasmi pula mencatatkan Sultan Mahmud tidak meninggalkan waris, maka sebab itu Bendahara diangkat menjadi Raja.
——————————
Rasyid cuba mencari kaitan Daeng Selili dengan anak-anak Raja Bugis lima bersaudara yang datang ke Tanah Melayu dalam tempoh masa yang sama. Dia menelaah beberapa sumber sejarah termasuk kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji yang mengaitkan Raja-Raja Melayu dengan Raja-raja Bugis, sumber rujukan utama berkenaan Raja-raja Bugis tetapi tidak berjaya... Tidak terdapat apa-apa kaitan ditemui kecuali mereka semua berketurunan bangsawan Bugis. Dan setakat yang dapat dilihat, nama Daeng Selili tidak pernah muncul dalam mana-mana kitab mahupun cerita kecuali di Perak. Tetapi dia pernah terbaca sebuah cerita mengatakan Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak serta kaum kerabat mereka termasuk Raja Haji yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam mencorakkan arah tuju pemerintahan kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu segan untuk campurtangan di dalam hal ehwal negeri Perak selagi Daeng Selili masih ada. Lagipun Perak ketika itu juga disokong seorang lagi panglima berketurunan bangsawan Bugis iaitu Nakhoda Hitam, juga dikenali sebagai Laksamana Tok Kuala Bidor yang bermastautin di Kuala Bidor berdekatan Teluk Intan.
Maka terbitlah satu persoalan… Jika kitab Tuhfat Al-Nafis yang sarat dengan nama setiap bangsawan Bugis yang pernah memainkan peranan di Tanah Melayu tidak pernah menyebut nama Daeng Selili, siapakah beliau sebenarnya dan apakah asal-usulnya? Apakah mungkin seperti Nakhoda Hitam, beliau sebenarnya berasal daripada keluarga bangsawan Bugis yang telah ratusan tahun bermastautin di Aceh? Apakah gelaran Orang Kaya kaya Maharajalela yang dipakainya adalah warisan bumi Serambi Mekah? Bukankah Sultan Aceh berketurunan bangsawan Bugis, Sultan Alauddin Ahmad Shah yang memerintah Aceh 1727 hingga 1735 sendiri pernah memakai gelaran Orang Kaya kaya Maharajalela sebelum menaiki takhta?. Bukankah bapa dan datuknya juga memakai gelaran serupa selain memakai gelaran Laksamana di Aceh? Apakah ada hubungan kekeluargaan yang sangat rapat antara Nakhoda Hitam dengan Daeng Selili?
Semasa menulis bab ini, semasa menceritakan pertembungan di Pulau Sembilan di mana Nakhoda Hitam tidak jadi menyerang kerana kenal dengan senjata yang tersisip di pinggang Daeng Selili, hati kecil Rasyid tiba-tiba berbisik, mereka sebenarnya adik-beradik! Yang pasti, mereka memang saling mengenali kerana selepas Nakhoda Hitam membatalkan niat untuk menyerang mereka terus bersalaman lalu berpelukan...