Artikel "tour" ini adalah mengenai usaha membuat promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" secara jalanan... Satu bentuk eksperimen promosi dan advertising yang menyaksikan saya mengusung beberapa naskah buku berserta bunting rekaan sendiri turun naik bas di beberapa tempat, bermula di Kampung Baru (masa tu naik kereta kawan) sebelum naik ke Raub, Pahang. Perjalanan diteruskan ke Bukit Fraser menaiki bas kecil buruk yang merupakan bas mini lama wilayah, sempena perlumbaan antarabangsa melihat burung 23-24 Jun... Sebelum turun ke Kuala Kubu Baru, kemudian Tanjung Malim, kemudian baru kembali ke Kuala Lumpur. Sedikit cerita tentang Bukit Fraser telah dinukilkan dalam artikel Melihat burung di Bukit Fraser?.
Entah kenapa, malam tadi timbul pula gerak untuk mengubah sedikit rupabentuk blogspot itu. Siang semalam, entah kenapa juga, saya tergerak untuk membuat perubahan dalam rupabentuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH sebelum membuat 3 posting terbaru yang mengandungi terjemahan dan adaptasi bab bertajuk "Mukadimah: Kenapa Berpetualang?"... Daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I.
Agaknya sebab itu malam tadi saya tergerak hendak membuat perubahan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)... Sebaik sahaja selesai ini kemudian membuat posting terbaru dengan tajuk Rumah Melayu lama di Kampung Baru (An old Malay house in Kampung Baru) di sana, saya sepatutnya mula bercerita tentang perjalanan tour membuat promosi itu di blogspot ini, cerita yang sedikit hint atau mukadimahnya ada diletak di "Berpetualang ke Aceh" tour trial run... . Sebaliknya saya 'terpanggil' pula untuk membuat sedikit perubahan rekabentuk blogspot ini pula! Lalu dalam keletihan akibat banyak sangat berjalan mengusung buku kebelakangan ini sampai sakit-sakit badan dan pinggang, saya terlajak lagi di hadapan komputer sehingga jam 2 pagi, itupun cuma berhenti setelah signal wi-fi Internet rumah jiran yang saya tumpang menghadapi gangguan.
--------------------------------
Selain Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu (yang mana ceritanya mengenai Samudera dan Pasai adalah saduran daripada hikayat itu berserta cerita rakyat tempatan semasa penulisnya Tun Sri Lanang berada di Aceh), setahu Rasyid nama Sultan Malikul Mansur cuma disebut di sebuah sahaja tempat lain iaitu Beruas di Perak. Mengikut cerita lama yang tertera di Muzium Beruas, sebelum wujud kerajaan Melaka, datang seorang anak raja dari Aceh bernama Malikul Mansur membuka negeri di situ. Lalu dinamakan Beruas sempena nama pohon tempat baginda berehat.. ,
Mengikut sebuah cerita lain pula, Beruas pernah dianggap sebuah kerajaan yang amat besar lagi makmur suatu masa dahulu, lebih kurang seperti Melaka semasa zaman kegemilangannya. Malah mengikut cerita orang-orang tertentu, sempadan utaranya sampai ke Kedah, timurnya ke Terengganu dan selatannya sampai ke Sungai Muar!
Dalam wilayah sama, pernah wujud sebuah kerajaan besar bernama Gangga Negara. Cuma sejarah mencatatkannya sebagai kerajaan Hindu sedangkan Beruas diketahui sebuah kerajaan Islam. Apakah Beruas tercipta selepas Gangga Negara diIslamkan atau ada rahsia lain yang tersirat?
——————————————
“Nampaknya memang ada kaitan antara kedua-dua kerajaan ini,” kata Rasyid dalam sesi kedua ‘panel ahli sejarah’ bersama Nasri dan Nizam, kali ini di rumah Nizam di Cheras. “Kedua-duanya berpusat di sekitar daerah Dinding dan Beruas, Perak. Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan asal-usul Raja-raja Kedah juga asal-usul raja-raja yang memerintah kerajaan lama Langkasuka ada menyebut bahawa Gangga Negara ini dibuka oleh seorang anak raja dari Kedah iaitu Raja Ganji Sarjuna,” sambungnya sambil menghulurkan senaskah hikayat tersebut.
Nizam yang sudah lebih 10 tahun meminati cerita-cerita lama Melayu membelek-belek naskah yang pernah menjadi buku teks wajib pengajian Sastera pelajar Tingkatan Enam itu. “Hmm... Aku pernah baca buku ini sampai habis semasa kecil-kecil dahulu,” rakan itu bersuara. “Seperti Raja-raja Kedah dan Langkasuka, Ganji Sarjuna juga adalah anak Raja Merong Mahawangsa, seorang anak raja dari wilayah Parsi yang terdampar di Nusantara selepas kapalnya diserang burung Garuda ketika membawa anak Raja Rum ke Cina untuk berkahwin dengan puteri raja China.”
“Ada pihak menyebut Gangga Negara dibuka sekitar abad ke 2 Masihi,” Nasri menyelit. “Bukti-bukti arkeologi pula menunjukkan kerajaan ini sudah wujud selewat-lewatnya abad ke 5 atau 6 Masihi sementara sesetengah pengkaji berpendapat negeri itu dinamakan sempena nama Sungai Ganges di India lalu mengaitkannya dengan tamadun Hindi. Mengikut kitab Sejarah Melayu, Raja Suran, Raja Hindi berketurunan Iskandar Zulkarnain yang kemudian menurunkan Sultan-Sultan Melaka telah melanggar Gangga Negara dalam perjalanannya hendak menakluki negeri Cina. Baginda dikatakan membawa seribu dua ratus laksa askar dan rakyat lalu menundukkan semua negeri yang ditemui dalam perjalanan itu.”
Rasyid tersenyum gembira. Nampaknya perbincangan mereka menjadi semakin menarik dan bernas walaupun baru memulakan “kelab ahli panel sejarah” mereka dua minggu lepas. Masing-masing bersedia dengan cerita-cerita atau fakta sokongan – Rasyid dengan Hikayat Merong Mahawangsa, Nasri dengan Sejarah Melayu, Nizam dengan sebuah buku tentang sejarah kerajaan-kerajaan sebelum dan selepas Islam di Nusantara.
Ternyata ketiga-tiga pemuda berkelulusan universiti ini mempunyai minat yang sama... Sepertimana ada yang suka berkumpul seminggu sekali, bergilir di rumah kawan untuk bertukar membaca koleksi komik masing-masing atau bermain RPG, role-playing games. Jika lelaki yang sudah berkeluarga dan berumur pun sanggup berlakon membawa watak RPG seperti raja dan panglima yang akan berlaga atau bekerjasama untuk menjayakan misi tertentu berlatar-belakangkan suatu suasana khayalan, misalnya peperangan dalam dunia penuh keajaiban seperti yang dilakarkan dalam cereka terkenal yang telah difilemkan, Lord of the Rings, apalah salahnya tiga pemuda ini berkumpul membincangkan sejarah lama?
Ah! Teringat pula zaman kecil sebelum bersekolah di mana Rasyid telah “mengisytiharkan” sebuah kawasan sebesar bilik tidur yang dipagari serumpun pokok pisang di belakang rumah datuknya di Muar, Johor sebagai sebuah negeri sendiri bernama “Separuh”... Kerana setiap orang yang ingin memasukinya mesti bercakap dalam bahasa separuh, contohnya “Saya ingin makan” disebut “Say ing mak”. “Rakyat negeri” itu pula terdiri daripada adiknya yang terdekat, Wai serta beberapa orang anak jiran. Dan seperti biasa, Rasyid lah yang menjadi ketua, ataupun raja…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan