Dua minggu lepas seorang sepupu yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba menalifon. Rupa-rupanya, dia terbaca ulasan tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang baru keluar dalam akhbar Berita Harian hari itu. Sila lihat Ulasan Berita Harian mengenai BKA II.
Khamis, 21 Jun.
Pada awalnya, saya ingat saya perlu berada di Raub sehingga hari Isnin demi menolong ahli keluarga. Seorang bapa saudara telah mengalami kemalangan yang menyebabkannya tidak dapat memandu kereta maka Mak Uda meminta saya agar bersedia untuk bertindak sebagai pemandu untuk menghantar isteri kepada bapa saudara itu, Mak Ngah untuk pergi balik kerja.
Demi keluarga, saya pun menyatakan kesediaan untuk mula 'berkhidmat' pada esoknya. Ternyata Mak Ngah bercuti hari Jumaat dan kemudian muncul saudara-mara lain mengambil-alih kerja, maka saya mempunyai masa yang terluang untuk berbuat apa-apa perkara yang disukai. Tetapi susah rasanya untuk pergi ke Bukit Fraser kerana saya tidak memiliki kenderaan... Tahun lepas, saya pergi menaiki kereta sepupu...
Hari Jumaat itu, saya telah pergi ke bandar Raub seorang diri menaiki bas kemudian berjalan kaki hampir sebatu ke Simpang Kallang untuk makan tengahari masakan ikan keli gulai asam rong di sebuah warung . Oleh kerana masjid jamek baru terletak agak jauh sedangkan saya tidak memiliki apa-apa kenderaan, saya sudah terfikir akan membuat solat Zuhur sahaja di masjid jamek lama yang terletak lebih dekat. Lagipun saya sedang bermusafir, tidak wajib menunaikan solat Jumaat.
Dalam perjalanan kembali ke pusat bandar selepas makan, saya bercadang untuk singgah di sekitar restoran Kentucky Fried Chicken kerana sepupu saya ada memberitahu di situ terdapat signal wi-fi Internet yang mungkin saya boleh tumpang. Seorang buah hati pula telah menalifon sehingga saya terleka lalu berjalan kaki 3 blok kedai melepasi restoran Kentucky!
Rupa-rupanya ada hikmah kenapa ini berlaku. Perjalanan yang terlajak ini menyebabkan saya terserempak dengan sepupu yang ketika itu berada di sebuah kedai foto. Maka dapatlah saya menumpangnya menaiki skuter untuk menunaikan solat Jumaat di masjid jamek. Kemudian kami singgah di rumah keluarga iparnya dan di situlah si mak ipar memberitahu, terdapat perkhidmatan bas 2 kali sehari daripada Raub ke Bukit Fraser.
Dipendekkan cerita, saya pun dapat naik ke sana untuk membuat promosi buku "Berpetualang ke Aceh"... Tetapi biarlah cerita tentang promosi ini dibuat dalam artikel lain ya, rasanya untuk blogspot "Catatan Si Merah Silu" sahaja... Di sini, saya sekadar ingin bercerita tentang apa yang berlaku serta suasana di sekitar Bukit Fraser 23-24 Jun lalu. Silakan... :]
Jam besar Bukit Fraser... Ketika sedang duduk berehat di satu kawasan, saya dapat melihat sekumpulan pelajar perempuan yang masih muda, rasanya pelajar sekolah menengah berjalan menghala ke jam besar, masing-masing membawa kamera.
Tidak lama kemudian, kelihatan seorang dewasa dengan peralatan kamera yang lebih canggih, rasanya guru mereka. Orang ini menyuruh mereka mengambil gambar jam besar itu. "Inilah identiti Bukit Fraser!" katanya.
Sebahagian daripada gerai-gerai pamiran yang didirikan sempena acara perlumbaan melihat burung Bukit Fraser. Untuk makluman, acara yang diadakan sejak tahun 1988 (kalau tak salah ingatan) ini dihadiri juga oleh ramai peserta dan pengunjung daripada luar negara.
Ini memberi kesempatan kepada mana-mana pihak untuk mempromosi barangan jualan atau keluaran mereka ke khalayak yang lebih luas. Maka itu ada gerai mempromosi batik dan barang-barang optikal seperti teropong dan lensa kamera. Ada juga gerai mempromosi tumbuh-tumbuhan hutan terutama di negeri Pahang.
Di latar-belakang gambar adalah hotel Puncak Inn yang juga merupakan salah sebuah bangunan identiti Bukit Fraser. Harga penginapan di sini, kalau tak salah ingatan sekitar RM50 hingga RM90 untuk satu bilik sehari, dikatakan paling murah di bukit peranginan ini.
Bangunan Kelab Golf yang juga bertindak sebagai pusat jawatankuasa dan sekretariat perlumbaan antarabangsa melihat burung Bukit Fraser.
Oh... Perlumbaan ini adalah perlumbaan berpasukan di mana setiap pasukan perlu bergerak ke kawasan-kawasan yang ditetapkan lalu mencari dan melihat seberapa banyak jenis burung yang terdapat di sesuatu kawasan dan membuat catatan. Pasukan yang dapat mencari paling banyak jenis burung dikira sebagai pemenang.
Jam besar Bukit Fraser dilihat daripada sudut lain. Kelihatan bunting promosi buku "Berpetualang ke Aceh" hasil reka-cipta sendiri diletakkan bersebelahan pokok, lokasi pertama bunting ini diletak di sini dalam eksperimen untuk melihat reaksi orang yang lalu-lalang.
Kemeriahan waktu malam ramai pengunjung di Bukit Fraser.
Sebuah konsert turut diadakan untuk memeriahkan suasana. Kelihatan anggota kumpulan Kopratasa di atas pentas.
Inilah masjid tempat saya bermalam untuk menjimatkan belanja... Letaknya sekitar 500 meter naik bukit daripada 'pusat bandar'.
Bukannya saya dapat tidur nyenyak pun, maklumlah saya sebenarnya sedang demam sambil mengharapkan jacket serta dua helai kain pelikat untuk melindungi diri daripada kesejukan malam udara pergunungan.
Untuk makluman, Bukit Fraser terletak sekitar 4,000 kaki daripada paras laut. Suhu harian selalu berada di sekitar 22 Celsius pada waktu siang dan 20 Celsius atau kurang waktu malam sedangkan saya sudah terbiasa suhu Kuala Lumpur dengan minimum 27 Celsius dan sering mencapai 31 Celsius ke atas.
Hasilnya, saya tidak dapat tidur nyenyak kerana sering menggigil kesejukan malah sering sakit perut dan pundi-pundi kencing. Jam 5.15 pagi, saya terbangun lagi untuk ke tandas lalu bangun terus untuk solat Subuh berjemaah kemudian turun ke 'pusat bandar' untuk mendirikan bunting "Berpetualang ke Aceh". Penat woo tak cukup tidur!
Suasana kedai-kedai makan di kaki Puncak Inn. Cantik bukan warna-warninya?
Hmm... Cukuplah saya bercerita di sini ya. Ketika menulis perenggan ini, waktu sudah melepasi jam 2 pagi sedangkan saya sebenarnya belum makan malam sejak kembali daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur 9 malam tadi... Sibuk sangat nak buat update untuk blogspot. Selamat malam ya... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan