Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, April 01, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC

OK. Merujuk pada artikel Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan yang dipersembahkan petang Jumaat Ramadan 1445 Hijrah. Ada dinyatakan bahawa dalam tempoh kurang 24 jam (setelah keluar artikel) saya akan memulakan satu permusafiran merangkap iktikaf dari masjid ke masjid bagi 10 hari terakhir Ramadan. Sukacita dimaklumkan kini sudah 3 hari 2 malam saya bermusafir. Dengan adanya sedikit kelapangan dan kesempatan biar dikongsikan ceritanya yang pertama.



Turut dinyatakan dalam artikel Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan bahawa antara asbab saya keluar bermusafir kali ini adalah anak yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik meminta agar menghadiri hari terakhir majlis daurah di tempatnya petang Ahad hingga malam Isnin 21 Ramadan.




Namun saya keluar lebih awal pagi Sabtu 30 Mac 2024 bersamaan 19 Ramadan 1445 Hijriah kerana mahu mengikuti majlis ilmu di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Selepas itu baru bergerak ke arah Janda Baik.




Poster tentang majlis ilmu.




Bukan selalu diadakan wacana ilmu mengenengahkan begitu banyak perspektif tentang ilmuwan ulung Islam dahulukala Imam Ghazali.




Tentu saya perlu hadir mengikuti apatah lagi pembentang pertama adalah guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali...



Ia diadakan di kafe ISTAC, kali kedua saya mengikuti majlis ilmu di situ. Kali pertama adalah pada penghujung bulan Februari. Lihat Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari.




Osman yang membawa tajuk "Epistemologi Imam Ghazali" memulakan dengan menerangkan panjang lebar asal usul makna perkataan "epistemologi". Ia adalah ilmu tentang ilmu atau kaedah mendapatkan ilmu lalu turut dinyatakan sebagai wawasan ilmu. Selepas itu baru dipanjangkan tentang bagaimana Imam Ghazali menanggapi ilmu. Pokok pangkalnya, ilmuwan silam Islam itu mahu mencari kebenaran tentang hal-hal seperti penciptaan alam dan keTuhanan. Beliau yang lahir tahun 1058 Masihi sudah cukup cemerlang dapat menjadi seorang bertaraf profesor ulung dalam bidang feqah di Baghdad pada usia 30 tahun namun belum puas dengan jawaban yang diterima pada peringkat itu. Disebabkan itu beliau mendalami lalu cuba mencari melalui ilmu kalam kemudian falsafah sebelum menemui kepuasan dan jawaban setelah lama berkelana menjadi ahli sufi/tasawuf.




Selepas jam 12, pembentang kedua. Dato' Dr Afifi Al-Akiti yang cukup dikenali sebagai ilmuwan hasil didikan sekolah tradisional pondok Malaysia tetapi dapat mencipta nama di University of Oxford di United Kingdom sebagai pensyarah yang arif pelbagai bidang agama membawa tajuk "Di Sebalik Gelaran Hujjatul Islam". Diceritakanlah bahawa Imam Ghazali itu sebenarnya bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad tetapi dikenali sebagai Abu Hamid al-Ghazali atas sebab-sebab tertentu. Lebih penting lagi dihuraikan kenapa digelar oleh kawan dan lawan sebagai Hujjatul Islam (yang membuktikan kebenaran Islam). Ini adalah hasil keluasan ilmunya dalam pelbagai bidang. Sehingga dikatakan kitab-kitab beliau ada diterjemahkan untuk bacaan dunia Barat lalu memangkin pemikiran tokoh-tokoh ilmuwan ulung Eropah seperti Thomas Aquinas ((1224/6—1274 M) dan Rene Descartes (1596–1650).



Masuk waktu rehat Zohor saya menunaikan solat lalu berehat sebentar di masjid ISTAC. Kiranya ini masjid pertama yang "diiktikafi" (saja-saja test penggunaan perkataan ikut sedap diri sendiri... :]) bagi permusafiran ini.




Majlis bersambung kembali sekitar jam 2.30 petang, lewat setengah jam berbanding jadual asal.




Pembentang kedua Ustaz Mohd Nasir bin Mohd Tap, seorang lulusan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang telah menulis satu tesis sarjana tentang Imam Ghazali, membawa tajuk "Mengaji Munqidh Min Al-Dalal Secara Tematik". Kitab Munqidh Min Al-Dalal sering dinyatakan sebagai autobiografi Al-Ghazali. Melalui tulisan dalam buku dipanjangkanlah tentang perjalanan hidup beliau, kenapa walau sudah mencipta nama yang sangat ulung dalam bidang feqah mahu pula menyelami ilmu kalam kemudian falsafah diikuti tasawuf demi mencari kebenaran hakiki tentang alam dan Maha Pencipta.



Pembentang keempat dan terakhir Fazril Saleh, seorang peneraju NGO Islam yang telah menulis beberapa buah buku, membawa tajuk "Imam Al-Ghazali dan Faham Kepimpinan : Refleksi Pesan-pesan Pengutuhan Keperibadian Nasihat Al-Muluk". Kitab Nasihat Al-Muluk adalah satu kitab kenegaraan tulisan Al-Ghazali untuk memandu pembentukan peribadi para pemimpin Islam supaya dapat menjadi orang yang betul-betul amanah dengan tanggungjawab. Diceritakanlah latar belakang kenapa kitab ditulis sebelum dikongsikan sebahagian isi tentang bagaimana hendak dibentuk peribadi pemimpin bertanggungjawab itu.




Petang itu saya ke Dataran Merdeka untuk berbuka  puasa bersama orang ramai. Sudah lama tidak mengikuti majlis yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad bulan Ramadan oleh jabatan kerajaan ini.




Selepas itu bersolat Maghrib di masjid jamek Kuala Lumpur, masjid kedua "diiktikafi' dalam permusafiran ini. Ketika itu sudah masuk tarikh 20 Ramadan. Lalu memandangkan kiraan falak meletakkan kemungkinan bahawa bulan Ramadan kali ini cuma 29 hari sahaja, maka sudah masuklah 10 malam terakhir Ramadan.




Solat Tarawih pula dibuat di Masjid Al-Syakirin, Jalan Gombak. Kemudian baru ke sebuah masjid lain menuju lebih dekat ke Janda Baik untuk bermalam. 




Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan rakaman-rakaman video bagi majlis di ISTAC menurut giliran pembentang...














Jumaat, Mac 29, 2024

Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan

Salam petang Jumaat 18 Ramadan 1445 Hijrah. Dikongsikan satu cerita yang kiranya adalah persediaan bagi permusafiran merangkap iktikaf dari masjid ke masjid bagi 10 hari terakhir Ramadan sambil menyatakan perkembangan terbaru tentang kamera.


Merujuk pada artikel Antara Janda Baik dan ISTAC - Dua tempat kesukaan yang dipersembahkan pada 11 Mac iaitu hampir 3 minggu lalu. Ada disebut pada penghujung artikel bahawa kamera digital kesayangan yang selalu diusung ke sana ke mari sejak beberapa lama mengalami kerosakan yang mana gambar-gambar yang diambil jadi putih semacam bermula pagi itu. Gambar atas ini yang baru diambil tadi menunjukkan kamera tersebut. Ia sebenarnya adalah kamera digital saya yang ke-8. 

Ia mula dipakai pada November 2016 kemudian diserahkan kepada anak setahun kemudian setelah mendapat kamera digital baru yang kelihatan lebih bagus. Lihat artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki... yang ditulis Disember 2017. Namun kamera ke-9 itu kemudian mengalami kerosakan lalu dicari kamera lain penghujung 2018. Dibelilah kamera ke-10, sebuah kamera terpakai, yang mula-mula kelihatan seperti elok, tetapi apabila sudah dibawa ke lapangan didapati hasil tangkapan gambar kurang memuaskan. 

Dibeli pula kamera ke-11 penghujung tahun itu juga. Yang ini ternyata bagus. Dipakai sehingga fokus rosak teruk Januari 2022. Ketika itulah digunakan kembali kamera ke-8 sehinggalah rosak kurang 3 minggu. Lihat Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki.

Nasib baik saya kurang memerlukan kamera dalam tempoh kurang 3 minggu kebelakangan ini. Namun timbul keadaan yang menyebabkan saya akan memulakan satu permusafiran seraya beriktikaf dari masjid ke masjid bermula Sabtu 30 Mac. 



Kebetulan Sabtu malam Ahad ini masuk tarikh 20 Ramadan. Seterusnya saya telah diminta oleh anak yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik untuk menghadiri hari terakhir majlis daurah di tempatnya petang Ahad hingga malam Isnin 21 Ramadan. Kiranya keluar untuk 10 hari terakhir Ramadan. Saya dijangka keluar sehingga Rabu kerana pada pagi itu baru boleh mengambil anak untuk kembali bercuti lama untuk hari raya. Ini lebih bermanfaat daripada balik rumah selepas daurah kemudian perlu ke Janda Baik lagi untuk mengambil anak pagi Rabu. Maklumlah dari rumah ke tahfiz jaraknya dalam 80 km. Pergi balik dah 160 km.

Cadangnya balik rumah berehat satu malam sebelum keluar lagi untuk Khamis malam Jumaat sehinggalah masuk tarikh 27 Ramadan yang merupakan ulang tahun kelahiran saya ke-55 menurut tahun Islam. Ini kerana anak itu ada menyatakan ingin ikut saya keluar beriktikaf dari masjid ke masjid. Maka fikirnya bermula malam Jumaat yang tarikhnya adalah 25 Ramadan itu biarlah kami bermusafir di negeri kelahiran bapa saya iaitu Perak.

Apabila dah keluar berjalan ke sana ke mari sambil beramal rasa tak seronok kalau tiada kamera untuk mengambil gambar. Maklumlah sudah menjadi kebiasaan sejak hampir 20 tahun lalu mesti ada kamera digital untuk merekodkan keadaan sambil keluar bermusafir. Lalu Rabu malam Khamis lalu sibuklah mencari kamera digital untuk dibeli secara atas talian.

Sekadar memaklumkan. Dahulu saya biasa membeli kamera digital di sekitar Bukit Bintang, ada kala di Kompleks Pertama di Kuala Lumpur. Tetapi sejak tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung penularan wabak Covid-19 awal tahun 2022 didapati kedai-kedai kamera tidak lagi menjual kamera digital kompak. Alasannya, teknologi kamera pada telefon bimbit sudah jauh meningkat lalu orang ramai lebih suka itu. Yang tinggal di kedai kamera cuma jenis DSLR yang besar bagak, dan harga jauh lebih mahal. 

Kalau dapat ditemui kamera digital kompak pun cuma beberapa model lama yang sudah dinaikkan harga. Nasib baiklah dalam 2 minggu lepas didapati ada banyak jenis kamera digital kompak boleh dibeli secara atas talian. Cuma itulah, Rabu malam Khamis baru hendak bertindak menempah satu sedangkan perjalanan  mahu dimulakan pagi Sabtu. Oleh itu dicarilah dalam kalangan kamera-kamera lama yang masih tersimpan di rumah lalu didapati yang dalam gambar atas ini, kamera digital ke-7 yang dibeli Oktober 2015 masih boleh digunakan. Cuma fokus tak berapa cantik akibat terjatuh ketika menganjurkan satu majlis ilmu penghujung Oktober 2016. Lihat  Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016.




Walaupun fokus tak berapa cantik masih boleh mengambil gambar. Cukuplah boleh dipakai buat sementara waktu demi keperluan permusafiran iktikaf yang dijadualkan bermula kurang 24 jam daripada sekarang. Tengok-tengok sebelum keluar solat Jumaat tadi ada pakej baru tiba. Kembali daripada solat baru dibuka lalu didapati kamera digital yang baru ditempah sudah sampai.

Inilah kamera tersebut, diambil gambarnya menggunakan kamera ke-6 yang kurang fokus itu. Dua gambar sebelum ini pula diambil menggunakan kamera baru ini, kamera digital saya yang ke-12. Taklah hebat sangat. Sekadar cukup keperluan pada harga yang murah, tidak berjenama hebat seperti kamera-kamera saya sebelum ini (kecuali yang pertama). Rujuk balik Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Harga RM200 lebih sahaja dengan gambar sehingga 50 Megapixel, isteri belanja. Pakai memory card 32 GB, sebelum ini paling tinggi saya pakai adalah 16 GB. Ada skrin hadapan untuk buat selfie, satu kelebihan yang tidak ada pada kamera-kamera saya sebelum ini. Cuma seperti kamera pertama yang dipakai tahun 2006-2008 ia tidak ada optical zoom, cuma digital zoom 16 x. Bolehlah... :]


Ahad, Mac 17, 2024

Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya...

Salam hari Ahad 6 Ramadan 1445 Hijriah. Sedang menelaah bahan-bahan bacaan yang diharapkan dapat membantu/mengisi penulisan tesis PhD akan datang (dalam cadangan, masih belum mendaftar) kepala jadi 'berasap' amat. Maka eloklah cool down dengan menulis artikel. Isinya sebenarnya telah difikirkan sejak 2 minggu lalu.



Awal pagi Sabtu 2 Mac 2024, sangat sangat awal iaitu pada jam 12.25, tidak sampai setengah jam selepas tengah malam saya telah meletakkan gambar atas di Facebook diikuti teks berikut :-



TESIS TENTANG NABI ADAM DAN ASAL USUL MANUSIA MAHU DIJADIKAN BUKU...
Salam semua. Sukacita dimaklumkan tesis saya di ISTAC sudah dipersetujui satu pihak untuk dijadikan buku. Insyaallah ia akan diterbitkan bagi mengejar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 yang akan berlangsung pertengahan tahun nanti. Perkara ini pun diberitahu kepada guru saya di ISTAC merangkap penyelia tesis Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Saya meminta beliau memberikan kata2 aluan buku.
Beliau bersetuju. Cuma beliau menyatakan ada sedikit perkara yang boleh diterima dalam tesis tetapi tidak sesuai untuk disampaikan dalam buku yang boleh dibaca orang awam. Beliau akan meneliti kembali tesis untuk mengingatkan bahagian mana yang tidak sesuai supaya boleh disunting. Sementara itu boleh memulakan kerja2 yang patut termasuk membuat reka bentuk kulit buku.
Ini reka bentuk ringkas yang dibuat berdasarkan ilham yang diterima sebelum solat Jumaat siang tadi. Gambar yang mahu digunakan bertajuk "Vitruvian Man" oleh Leonardo Da Vinci. Ia dikatakan mahu menggambarkan bentuk tubuh badan manusia yang dianggap sempurna nisbah panjang lebar anggota. Apa pendapat kawan2. OK tak reka bentuk ini? Sila berikan maklum balas.



Hal tentang buku ada dinyatakan dalam artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari yang dipersembahkan esoknya petang Ahad 3 Mac jam 2.34. Dinyatakan bahawa pagi Jumaat 1 Mac saya ada ke Batu Caves untuk urusan buku. Turut dinyatakan petang iaitu saya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) lagi untuk majlis ilmu. Hari sebelumnya 29 Februari dah datang pagi hingga petang. Tetapi tidak dinyatakan ketika itulah bertemu Osman lalu mendapat maklum balas tentang penerbitan buku. 



Untuk mendapatkan gambaran tentang isi buku boleh lihat artikel lama Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat. Gambar tadi berupa reka bentuk kulit buku dan teks dikongsikan kerana tidak dapat menahan rasa teruja hendak mengeluarkan buku baru. Pilihan grafik berupa "Vitruvian Man" asyik bermain dalam fikiran sehinggalah dizahirkan pada reka bentuk itu. Pun begitu, walaupun terasa amat menarik buat saya, dan maklum balas yang diterima menunjukkan ramai juga tertarik melihatnya, ada yang merasakan ia kurang sopan. Ini kerana ada nama Nabi Adam (a.s.) pada tajuk.

Apabila ditanyakan kepada pihak penerbit saya diminta agar mengemukakan lagi 2-3 reka bentuk. Mengambil kira hal kesopanan yang dinyatakan beberapa pihak termasuk isteri saya sendiri maka dibuat reka bentuk seperti di atas ini pula. Ia diwar-warkan di FB pada hari Ahad malam Isnin jam 10.22. Walaupun ada yang masih berfikiran lebih cantik reka bentuk terdahulu iaitu dengan "Vitruvian Man" itu secara rata ramai lebih senang dengan yang ini. Pihak penerbit pun terus menerima tanpa soal lagi. Kiranya dah boleh maintain design, setakat ubah sedikit saiz teks, grafik dan sebagainya. 




Kurang 3 jam kemudian iaitu pada awal pagi Isnin 4 Mac jam 12.36 dikongsikan pula reka letak maklumat tentang penulis untuk mengisi ruang di kulit belakang buku.




Dua hari kemudian Rabu 6 Mac jam 5.33 pagi dikongsi maklumat ringkas tentang isi buku. Ini pun untuk kulit belakang. 




Tiba-tiba, hari itu juga didapati ada maklum balas baru tentang reka bentuk kulit hadapan (gambar kedua atas). Ini membawa pada perkongsian gambar atas dan bawah berserta teks berikut di FB pada jam 1.21 petang. :-


ANTARA JIWA SENDIRI YANG DI LUAR KEBIASAAN DENGAN HARAPAN UMUM AWAM
Disarankan membuat variasi permainan warna yang lebih berani sambil mengekalkan beberapa elemen asal dalam reka bentuk buku daripada tesis ISTAC supaya dapat menggambarkan jiwa sebenar penulis yang dikenali tanpa melanggar tata kesopanan orang lain yang lebih konservatif. Antara dua ini manakah pilihan anda dan kenapa? Sila nyatakan.




Oh. Ketika berkongsikan ini saya jadi terkeliru tajuk tesis sendiri lalu menambah perkataan "Prophet". Padahal ia tidak wujud pada tesis. Tak mengapa. Yang penting jelas gambar reka bentuk kulit buku. Maklum balas yang diterima adalah majoriti sukakan yang berwarna gelap itu, satu sahaja mahu latar belakang putih. Bila ditanya pihak penerbit atau lebih tepat wakil penerbit dinyatakan putih adalah pilihannya. Apabila diberitahu majoriti sukakan gelap lalu diminta tanya pendapat boss tertinggi baru dipersetujui warna gelap. Sekarang barulah boleh dikongsikan status terbaru tentang buku.




Ini adalah reka bentuk kulit hadapan buku yang boleh dikira 'final'. Di bawah adalah reka bentuk kulit belakangnya. Maaf, saya kena conteng bahagian bawah kulit belakang. Kena rahsiakan dahulu siapa penerbit.




Reka bentuk kulit buku depan dan belakang juga tulang yang cukup memuaskan berjaya disiapkan lalu disampaikan kepada penerbit pada hari Ahad malam Isnin 10 Mac. Oh. Harus dinyatakan yang diambil secara print screen lalu dipaparkan di sini ada sedikit kabur berbanding rekaan dalam medium asal. Sebetulnya sambil mencari ilham reka bentuk kulit saya juga menyunting tesis ke dalam bentuk buku lalu membuat layout (reka letak) sekali. Saya berjaya menyiapkan muka-muka surat terawal sehingga selesai bab pertama seiring dengan kulit buku lalu dihantar bersama kepada penerbit pada 10 Mac itu. Ini supaya boleh digunakan untuk memohon nombor pendaftaran buku ISBN juga PDP (data pengkatalogan) daripada Perpustakaan Negara.

Malam sebelum itu, Sabtu malam Ahad 9 Mac saya telah mendapat maklum balas daripada Profesor Osman tentang apa yang ada dalam tesis tetapi tidak sesuai untuk bacaan umum. Terus bertindak mengubah apa yang patut sambil menyunting buku. Ini siap pada pagi Rabu 13 Mac lalu terus dihantar kepada Osman untuk semakan beliau.

Petang Khamis 14 Mac dapat nombor ISBN berserta grafiknya sekali. Terus letak dalam reka bentuk kulit buku. PDP belum dapat lagi. Ia memang selalu mengambil masa, boleh jadi sehingga lebih 2 minggu. Selain itu yang ditunggu adalah kata-kata aluan daripada Osman. 

Tadi sebelum memulakan penulisan artikel saya ada menelefon beliau lalu diberitahu ada kerja lain perlu diselesaikan sebelum dapat menyemak suntingan saya lalu memberikan kata-kata aluan. Kiranya inilah perkembangan paling mutakhir tentang buku. Insyaallah ia harus dapat diterbitkan selepas raya, atau selewatnya sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula 24 Mei. Doakan kejayaaan  buku ini ya, buku ke-15 daripada saya. :]


Isnin, Mac 11, 2024

Antara Janda Baik dan ISTAC - Dua tempat kesukaan

Ada satu cerita perlu dilepaskan sebelum masuk tarikh 1 Ramadhan kurang sejam lagi.



Dalam artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari yang dipersembahkan Ahad lalu iaitu pada 3 Mac 2024 ada dinyatakan saya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada Jumaat sebelum itu, 1 Mac bagi mengikuti satu majlis lalu menunaikan solat Jumaat.




Jumaat baru ini 8 Mac saya berbuat perkara sama.




Cuma kali ini majlis yang dituju berlaku selepas solat.




Berdasarkan tajuk yang diwar-warkan di media sosial saya menjangkakan  ia cuma sekitar perkembangan terbaru konflik Palestin-Israel di Gaza.




Rupa-rupanya ia jauh lebih menarik kerana berkisar pada punca asal konflik yang lebih jauh mendalam. Iaitu bagaimana sistem perbankkan dunia berdasarkan riba' menyebabkan banyak negara termasuk negara-negara Islam berhutang dengan pihak tertentu yang menyokong gerakan Zionisma. Disebabkan itulah mereka jadi lumpuh tidak dapat bertindak bagi membantu Gaza. 



Petang itu alhamdulillah dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi bulan Sya'aban di ISTAC.




Ini pula di surau di Janda Baik pada pagi Sabtu 9 Mac. 




Saya telah bermalam di sana sebelum pergi ke tahfiz berdekatan untuk mengambil anak keluar hujung minggu. Kena tunggu dahulu ustaz bagi report card.




Kemudian bawa anak makan-makan di Kuala Lumpur sebelum balik rumah.




Petang itu singgah melawat seorang kawan yang sedang sakit di Hospital Sungai Buloh kemudian ke satu majlis zikir di Petaling Jaya pada malamnya.




Pagi Ahad 10 Mac bawa anak-anak ke kelas silat di Bukit Beruntung. Petang itu hantar anak yang lebih tua kembali ke tahfiz di Janda Baik.




Sebelum meninggalkan beliau bawa jalan-jalan dahulu lepak tepi sungai.




Malam itu menginap di bahagian lain Janda Baik.




Awal pagi Isnin 11 Mac iaitu setengah hari tadi bersolat Subuh berjemaah di masjid jamek sana.




Jam 8 baru hendak bergerak meninggalkan Janda Baik. Tengok-tengok apabila hendak mengambil gambar dengan kamera digital kesayangan semua jadi lebih kurang macam ni. Apapun, saya pergi ke Arkib Negara untuk membuat sedikit penyelidikan sebelum mengambil anak balik sekolah kebangsaan jam 1.20 petang. Sampai sahaja rumah didapati saya telah memandu sejumlah 483 km sejak pagi Jumaat.

Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,484 di CATATAN SI MERAH SILU. Sungguh, Janda Baik dan ISTAC adalah dua tempat kesukaan yang selalu disinggahi dalam pelbagai keadaan sejak beberapa tahun kelapangan. Di sini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan beribadah bulan Ramadhan kepada semua pembaca. Semoga kita semua dapat mencapai matlamat ibadah lalu mendapat keredhaan Ilahi serta kebahagian dunia dan akhirat.
 

Rabu, Mac 06, 2024

Pertemuan kefalsafahan : Islam dan keagamaan lain

Salam semua. Adapun artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari yang dipersembahkan 3 hari lalu telah meliputi secara ringkas 5 majlis akademik, satu majlis zikir/ maulud serta pelbagai aktiviti lain termasuk mendaki bukit. Sekarang biar dipersembahkan satu artikel untuk satu majlis ilmu sahaja seperti kebiasaan saya sejak bertahun lama walau tidaklah panjang dan terperinci.



Tajuk majlis kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Pertemuan Kefalsafahan : Islam dan Keagamaan Lain". Dianjurkan secara atas talian oleh S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University Singapore ia mengenengahkan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sebagai pembicara.



Sampai masa jam 3 petang saya pun mula mengikuti melalui Zoom. Kelihatan pihak penganjur sedang memperkenalkan majlis. Mereka kemudian memperkenalkan Osman. Cuma saya tidak dapat memberikan tumpuan 100 peratus kerana fikiran asyik memikirkan tentang tesis saya di ISTAC yang sedang dalam usaha suntingan untuk dijadikan buku. Rujukan cerita berkenaan dalam artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari.  Sampai tak tidur sejak malam sebelumnya lagi kerana turut membuat reka bentuk kulit lalu lalu asyik mencuba pelbagai gaya.




Nasib baik saya sudah biasa mengikuti syarahan, pembentangan dan bicara beliau lalu dapat menangkap apa yang dibicarakan. Sekurang-kurangnya pasti ada mendengar Osman memberitahu beliau cuma menyediakan 2 slaid. Menggunakan slaid pertama Islam diberi 4 makna yang berlainan tetapi saling berkait rapat. Ia adalah :-


1. Ia membawa makna etimologikal (sejarah asal usul dan perkembangan penggunaan suatu perkataan) yang bermaksud penyerahan dan aman. Aman adalah hasil daripada penyerahan.

2. Ia membawa makna konseptual dan kefalsahan-teologikal (persoalan keTuhanan) yang bermaksud "penyerahan terhadap Kehendak Ilahi.

3. Ia membawa makna skriptural (berdasarkan kitab) agama yang lebih tepatnya adalah Ad-Din, cara kehidupan yang menyeluruh.

4. Ia membawa makna keinstitusian (diinstitusikan, dijadikan pegangan suatu kelompok besar) sebagai tiang kemasyarakatan agama.

Kesemua empat makna ini boleh didapati di dalam Al-Quran. Dalam kitab suci itu makna konseptual dan kefalsahan-teologikal Islam adalah sama dengan makna etimologikal.




Empat makna itu pun dikembangkan sebelum disatukan dalam satu makna serba meliputi iaitu menTauhidkan atau mengEsakan Allah SWT. Daripada situ disebutlah bahawa semua umat manusia sejak zaman Nabi Adam AS dihantar utusan untuk membawa agama yang sama, tiada lain iaitu Islam dalam erti katanya yang sebenarnya. Dalaman atau hakikatnya semua sama, menTauhidkan atau mengEsakan Allah SWT. Luaran atau kaedah luaran, syariat dalam menjalankan kehidupan beragama itu sahaja yang boleh berbeza disebabkan keadaan masyarakat dan perbezaan zaman.

Beginilah Islam yang difahami sekarang, Islam syariat Nabi Muhammad SAW, nabi dan rasul terakhir, utusan akhir zaman melihat  "the religious other" atau keagamaan lain. Ini merujuk kepada orang-orang lain agama yang setia pada agama lalu berbuat baik mengikut kepercayaan mereka. Islam hari ini melihat mereka sebagai penganut agama yang berasal daripada syariat-syariat Islam yang terdahulu lalu menerima baik mereka. Pada ajaran-ajaran mereka ada kebaikan yang diakui sama (kerana berasal daripada Islam jua). 

Falsafah, yang merupakan ilmu mencari dan memahami kebenaran tentang kewujudan alam, juga berasal daripada ajaran sebegitu. Dalam Islam sekarang falsafah lebih merujuk pada hikmah. Maka memang ada pertemuan kefalsafahan antara Islam dengan "keagamaan lain". Pada zaman perkembangan Islam (syariat Nabi Muhammad SAW) misalnya ia berlaku apabila jangkauan pengaruh dan penganut Islam berkembang luas sehingga memasuki benua Hindi lalu terserempak dengan orang agama sana, baik yang dikenali sebagai Hindu mahupun ajaran Buddha. Kelainan" memang wujud tetapi ada persamaan yang boleh diharmonikan. Ini boleh didefinisikan pada tingkat kerapatan mereka dengan Tauhid iaitu tahap pengEsaan terhadap Yang Maha Pencipta.


Ahad, Mac 03, 2024

Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari

Mengumpulkan sejumlah cerita yang diringkaskan dalam satu artikel. Ia meliputi 5 majlis akademik, satu majlis zikir/ maulud serta pelbagai aktiviti lain termasuk mendaki bukit.



Pagi Khamis 29 Februari saya memulakan satu permusafiran seorang diri selama 2 hari.




Perginya setakat di Lembah Klang tetapi ada pelbagai majlis mahu diikuti serta aktiviti. Mula sekali di Arkib Negara.



Alhamdulillah kali ini baru mendapat satu bahan yang dicari sejak lebih sebulan lalu. Sebelum mendapat bahan timbul niat untuk menghadiahkan senaskah buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" untuk simpanan arkib. Tanpa disangka diberikan sijil seperti yang tertera.

Ps : Saya letak sijil "berconteng" kerana dinasihatkan begitu. Ini kerana katanya di luar sana ada sahaja kaki scam juga kaki sailang yang sanggup mengambil kesempatan atas sijil-sijil sebegini.




Seterusnya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamaduan Islam) di Bukit Tunku.




Ada "Seminar Pengukuhan Nilai Dari Perspektif Syariah Ke Arah Kemampanan Tadbir Urus Baik" anjuran JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).



Menjengok sebentar majlis di dewan utama...




Namun tujuan utama saya ke ISTAC hari itu adalah untuk mengikuti majlis lain .








Diadakan di kafe ISTAC, ia lebih merupakan sesi sembang-sembang bersama Duta Besar Pakistan ke Malaysia.



Selepas itu  mengikuti majlis tentang "naik haji" secara atas talian. Boleh tonton rakaman Facebook livenya di sini.




Selepas beberapa lama baru betul-betul mengikut majlis anjuran JAKIM. Rakaman penuhnya ada di sini.




Petang selepas Asar bergerak ke satu bukit yang sudah dekat sebulan gitu dihajati mahu didaki. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kapal terbang bunian di Gombak?.




Alangkah seronoknya apabila dapat sampai puncak. Dekat sejam juga melepak di atas itu. Sempatlah membaca seluruh Surah Fatir, surah ke-35 Al-Quran. Lihat artikel Going up the hill called Bukit Guling Ayam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Views from the top of Bukit Guling Ayam.



Berjalan-jalan pula di Taman Melawati dan persekitaran bukit bukau di Klang Gate.


Majlis seterusnya dituju berlangsung malam Jumaat.



Sebelum itu mandi dan bersalin pakaian di sebuah masjid di Taman Melawati. Selepas solat Maghrib habiskan bacaan Surah Yasin yang selain menjadi kebiasaan pada malam Jumaat merupakan juga sambungan daripada Surah Fatir yang dibaca di atas puncak bukit, dalam usaha untuk mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Sya'aban.




Keadaan awal pagi Jumaat ketika menunggu solat Subuh berjemaah, dalam masjid Kampung Sungai Chinchin.



Dari luar masjid boleh kelihatan Bukit Guling Ayam yang didaki pada petang Khamis.




Saya pernah beriktikaf dan bermalam di masjid itu sekurang-kurangnya sekali. Kali ini saya menginap di makam pengasas masjid dan kampung, Sheikh Muhammad Nor al-Khalidi yang dikatakan bertaraf wali. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka....

Oh. Ketika membaca artikel lama tersebut tiba-tiba teringat tentang datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Baru teringat bahawa beliau hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Nor dan wali-wali tersebut. Sebelum itu tidak pernah terfikir sebegitu. Apakah mereka pernah bersua muka? Semoga ada pembukaan baru selepas ini.




Selepas bersarapan pagi jalan-jalan di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan induk yang menaungi ISTAC. Untuk pengetahuan ISTAC adalah institusi pengajian pascasiswazah iaitu bagi peringkat sarjana (Master) dan kedoktoran (PhD) sahaja. Untuk mengeluarkan ijazah ia harus bernaung di bawah satu badan bertaraf universiti penuh. Untuk menjadi universiti penuh harus menaungi pelbagai bidang dan ada beberapa fakulti, harus mengeluarkan ijazah sarjana muda selain Master dan PhD.



Dari UIA bergerak ke Batu Caves untuk urusan buku. Sukacita dimaklumkan pihak berkenaan telah bersetuju untuk menerbitkan tesis saya di ISTAC menjadi buku. Sasarannya mahu keluar untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 iaitu pada pertengahan tahun nanti.




Tentang tesis dan pengisiannya boleh lihat artikel lama Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat. Oh. Selepas urusan buku saya ke rumah kawan di Desa Sri Hartamas kemudian ke medan selera dekat pejabat lama saya, akhbar The New Straits Times untuk menikmati sepinggan nasi beringin.




Selepas makan baru bergegas ke ISTAC untuk solat Jumaat.






Kemudian mengikut majlis ini di salah satu bilik syarahan ISTAC.




Sebetulnya inilah tujuan utama saya keluar bermusafir Khamis dan Jumaat. Saya telah mendapat tahu tentang majlis sekitar sebulan lalu. 



Ini rakaman video sebahagian daripada majlis melalui Youtube...




Majlis-majlis selain itu baru dapat tahu dalam tempoh 2-3 hari sebelum itu lalu diatur supaya dapat hadir sekali jalan. Aktiviti-aktiviti seperti memanjat bukit, urusan buku dan ke rumah kawan di Desa Sri Hartamas (pergi sekali lagi selepas jam 5 petang) diatur sekali setelah menetapkan mahu ke ISTAC bagi syarahan petang Jumaat. Ia adalah yang pertama bagi tahun 2024 di bawah siri falsafah tajaan Kursi Al-Ghazali.  Sebelum itu telah diadakan 3-4 kali tahun 2023. Saya berkesempatan hadir dua kali. Lihat Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia diikuti Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik

Apabila kembali ke rumah didapati saya telah memandu hampir 200 km sepanjang 2 hari. Sampai rumah ikuti pula majlis ilmu seperti dalam poster atas. Sebelum itu saya tersilap menyangkakan ia mahu diadakan jam 9 pagi padahal 9 malam. Saya sebenarnya bercadang untuk mengikutinya secara fizikal di ISTAC selepas urusan buku pagi Jumaat . 



Sebaliknya saya harus menunggu orang berkenaan sampai jam 10 dan perbincangan berlanjutan sehingga jam 11. Sebelum beliau sampai saya cuba mengikuti secara atas talian (konon) tetapi mendapati majlis tak mula-mula. Dah sampai ke rumah selepas Maghrib baru menyedari ia berlangsung waktu malam. Cuma saya juga telah menetapkan mahu mengadakan sesi sembang santai melalui Zoom bersama beberapa orang ahli Kelab Buku Merah Silu bermula jam 9.30 malam lalu dapat mengikuti cuma setengah jam sahaja. 



   

 Tonton rakaman penuh di atas ini.