Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Julai 05, 2013

Bersiaran langsung bercakap tentang Islam, Melayu dan raja-raja

Salam pagi Jumaat. Ini ada cerita dari 3 hari lalu...


Selasa baru ini saya dan isteri pergi ke Shah Alam untuk hal tertentu. Dari rumah di Bandar Tasik Puteri kami mengambil jalan melepasi Meru menghala ke Klang. Terlihat lori yang ada nombor 191, nombor yang ada makna tersendiri buat saya. Lihat artikel lama .911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?).


Kami pergi ke bangunan ini.


Saya mahu ditemuramah secara langsung di stesyen radio IMR bermula 2.30 petang, sebuah stesyen yang beroperasi di dunia Internet.


IMR bermaksud Islam Melayu Raja. Tapi pada mulanya saya menyangkakan ia bermaksud In-Motion-Radio... kerana nama itu yang saya jumpa ketika membuat Google perkataan "Radio IMR".


Sesuai dengan makna sebenar IMR saya pun ditanya tentang perkara-perkara tersebut. Sedar tak sedar temu ramah berlangsung hampir 45 minit tanpa diganggu iklan mahupun lagu dan sebagainya. Lihat rakaman di atas.



Selepas itu kami ke Galeri Shah Alam yang terletak di kawasan tasik berdekatan Kompleks PKNS. Ada pameran seni yang dipanggil  "Nuqtah - Jalinan Dua Tradisi: Puisi Melayu Dalam Keindahan Seni Khat". Lihat artikel Nuqtah exhibition at Galeri Shah Alam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dari sana kami menghala ke satu lagi tempat, kali ini bersebelahan masjid negeri...


Ia adalah Kompleks Taman Seni Islam, juga dikenali sebagai bangunan Yayasan Restu.


Ada pameran tentang warisan rasul dan anbiya'.


Masuk ke ruang legar teringat bagaimana saya telah menganjurkan acara pertama HIKMAH, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman 9 bulan lalu. Lihat artikel Video klip sekitar HIKMAH 4 Nov di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Satu tarikan pameran rasul dan anbiya' ini adalah jubah gergasi yang digantung pada tengah bangunan. Ia dibuat untuk memberi gambaran ketinggian manusia pertama Nabi Adam AS yang dikatakan mencapai 60 hasta.


Selasa, Julai 02, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Fort Rotterdam dan 'gegaran' Muzium La Galigo

Salam semua. Pada artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sampai ke Makassar setelah 2 tahun menyimpan hajat yang dibuat 5 hari lalu telah diterangkan panjang lebar sebab-musabab perjalanan ini terjadi dan kenapa siri penceritaannya diberi tajuk besar "Terhencot-hencot" itu. Sekarang masuklah pada penceritaan setelah sampai. Kiranya ini tentang hari kedua perjalanan...


Pagi Sabtu 4 Mei 2013. Saya memandang ke luar rumah tempat menginap milik kenalan di Makassar. Biasanya apabila berada di perantauan saya akan mula berjalan-jalan melihat persekitaran sebaik sahaja sudah bangun pagi dan mandi. Tapi disebabkan kecederaan kaki saya cuma mampu memandang ke luar.


Jam 3 petang setelah tuan rumah menyelesaikan beberapa hal baru saya dan keluarga dibawa berjalan-jalan.


Kami mulakan dengan melihat persekitaran Universitas (universiti) Hassanuddin, tempat kawan kami bekerja. Beliau ialah seorang profesor dan pensyarah kanan di sini. Lihat artikel A look at the University of Hasanuddin, Makassar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Rumah profesor iaitu tempat kami menginap terletak sekitar 2-3 km dari sempadan kota Makassar, Universitas Hassanuddin pula 1 km lebih hampir. Kami meneruskan perjalanan ke kota. Monumen yang kelihatan di hadapan menandakan masuk ke dalam sempadan.


Ternyata kota Makassar agak besar, kota paling besar dan makmur di Timur Indonesia iaitu ke timur dari Pulau Jawa. Nak sampai ke pusat harus berjalan lagi beberapa kilometer. Lihat On to Makassar city.


Kami melepasi pusat untuk melawat sebuah kota pertahanan peninggalan Belanda. Ia adalah Fort Rotterdam yang didirikan setelah kuasa penjajah dari Eropah itu berjaya mengalahkan kerajaan Makassar Goa tahun 1660an. Goa adalah kerajaan paling besar di Sulawesi dan timur Nusantara, dapat mengawal lalu-lintas perdagangan dari Kalimantan hingga ke selatan Filipina membawa ke Papua. Kejatuhan kerajaan ini yang mana kota Makassar, juga dikenali sebagai Ujung Pandang adalah pelabuhan utamanya, menjadi titik permulaan penghijrahan besar-besaran orang Bugis ke luar termasuk ke Semenanjung Tanah Melayu.


Kalau ikutkan kami harus meninggalkan kereta di luar lalu berjalan kaki ke dalam. Tetapi disebabkan saya kecederaan kaki pengawal membenarkan kereta masuk.


Lagipun profesor ada kawan di dalam, kawan yang mengambil satu bangunan peninggalan Belanda dalam Fort Rotterdam sebagai markas aktiviti seni teater. Lihat Fort Rotterdam...


Gambar bersama profesor (dua dari kiri) bersama kawan yang dimaksudkan (paling kiri). Ah. Saya terlupa  nama kawan tersebut. Tetapi menurut profesor yang bernama Nurhayati, kami panggil Buk (ibu) Nur, kawan tersebut adalah seorang sutradara yang agak terkenal di Indonesia, pernah mengarah beberapa sinetron (drama tv) popular. Sutradara ini ada menghadiahkan saya senaskah skrip terbaru karya beliau. Pada skrip itu ada nama dan apabila saya Google kemudian boleh jumpa nama tersebut. Tapi saya tak ingat letak skrip di mana. Dalam keadaan kaki cedera masih belum pulih, masih tak boleh berjalan kecuali berkerusi roda atau bertongkat kiri kanan, bukan senang saya hendak mencarinya.


Dalam kawasan kota terdapat muzium yang memakai nama La Galigo, merujuk pada teks tertua dalam sejarah bangsa Bugis. Oh, biar diberitahu. La Galigo inilah yang menjadi punca perkenalan saya dengan Buk Nur. Lihat artikel La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis yang dibuat lebih setahun lalu. Dalam artikel ada banyak penerangan tentang orang Bugis dan pola masyarakat di Sulawesi Selatan. Antara yang patut difahamkan adalah di sini ada suku kaum Makassar yang memiliki bahasa sendiri namun sangat hampir cara dan budaya dengan suku kaum Bugis. Namun luar dari Sulawesi terutama di negara kita Malaysia mereka sering diserkap jarang sebagai orang Bugis kesemuanya.


Untuk melihat pameran muzium kita perlu naik tangga kayu lama. Bolehkah anda bayangkan bagaimana saya  mahu naik dengan keadaan kaki cedera retak tulang itu? Saya malah meloncat sebelah kaki dari anak tangga ke anak tangga. Bayangkan penatnya berbuat begitu selain menahan kesakitan yang masih ada...


Nah. Lihatlah keadaan saya. Kaki kanan tidak boleh digunakan untuk melangkah namun saya bertegas untuk naik juga. Maka terhencot-hencotlah lagi. Sekurang-kurangnya saya harus melihat apa yang ada. Lihat artikel Muzium (Museum of) La Galigo di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tengok tu kaki saya bengkak membiru. Masuk hari itu sudah 11 hari kecederaan dialami. Kalau ikut kebiasaan bengkak harus surut dalam tempoh 3 hari atau paling lama pun seminggu. Inilah akibatnya bila banyak berjalan malah terlompat-lompat. Segala macam gegaran yang dialami menyebabkan sistem badan bertindakbalas menghasilkan cecair dalam badan yang terzahir sebagai bengkak


Nasib baik kami ada membawa kerusi roda dalam kereta, kerusi roda yang dibawa dari Malaysia. Dapatlah juga saya melihat persekitaran kota peninggalan penjajah yang agak luas ini.


Namun sekali lagi saya harus menaiki tangga untuk melihat pameran di bahagian lain muzium. Lihat Muzium La Galigo lagi (More of La Galigo Museum). Cuma kali ini saya lebih bijak apabila memilih untuk naik tangga dengan gaya hampir merangkak menggunakan kedua-kedua tangan untuk menaikkan badan sambil kaki diangkat setapak demi setapak. Taklah terlalu teruk gegaran...


Keluar dari Fort Rotterdam kami singgah di gerai tepi jalan.


Berehat sat minum petang. Saya harus meletakkan kaki atas kerusi untuk mengurangkan kesan bengkak. Kelihatan di belakang pemandu kereta yang merupakan saudara dua pupu Buk Nur.


Gerai-gerai sini rata-rata menjual makanan yang sama.


Ia dipanggil pisang epe, pisang bakar yang ditekan hampir leper.


Kami lalu di sebuah jalan dipanggil Jalan Somba Opu di mana terdapat banyak kedai emas.


Dari situ kami pusing sebentar melihat satu kawasan moden yang didirikan atas tanah tambak.


Menghala kembali ke pusat kota Makassar, kami lalu di satu kawasan tepi laut yang dipanggil Pantai Losari. Ia bukanlah pantai untuk bermandi-manda, sekadar kawasan hadapan laut yang sangat popular menjadi tempat rehat muda-mudi.


Satu tarikan di Losari adalah masjid atas air ini. Pada mulanya saya sekadar melihat dari jauh sementara menunggu Buk Nur bersolat Maghrib. Maklumlah saya dan isteri boleh menjamakkan di rumah, Buk Nur takut tak sempat. Namun akhirnya saya terpaksa juga ke masjid kerana tak tahan sakit perut. Bukan senang wooo bagi saya yang bertongkat kiri kanan ini mahu jalan begitu jauh ke sana turun naik tangga. Lihat Masjid 'terapung' ('Floating' mosque of) Losari..


Sesungguhnya di kota Makassar ini terdapat banyak masjid, beberapa darinya sangat besar.


Kalaulah tidak kerana kecederaan kaki tentu saya akan singgah masuk ke sekurang-kurangnya 4-5 masjid  untuk mengambil gambar luar dan dalam. Inilah salah satu kebiasaan saya apabila keluar mengembara. Gambar-gambar masjid terpilih kemudian diabadikan pada blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Namun dalam keadaan ini cukuplah dapat masuk ke halaman melihat dari dalam kereta...


------------


Nota tambahan (dibuat jam 9 malam) : Tadi selepas Maghrib isteri saya terjumpa skrip yang diberikan sutradara yang ditemui di Fort Rotterdam tetapi saya terlupa namanya ketika menulis artikel. Biar ditambah sutradara berbangsa Bugis ini suka hidup seperti seniman jalanan kerana tidak mahu menjadi alatan kapitalis katanya. Tertera pada kulit skrip nama beliau adalah Fahmi Syariff. 

Ia adalah skrip drama teater terbaru beliau "Jenderal Terakhir" (terbaru pada waktu itu le...). Saya belum berkesempatan membacanya dengan teliti. Sekadar yang saya nampak sepintas lalu ia adalah mengenai perlawanan yang dipimpin bangsawan Bugis terhadap penjajah Belanda. Kata Pak Fahmi ketika menghadiahkan skrip kepada saya, tunjukkanlah kepada mana-mana kawan yang berminat. Mungkin ada orang Malaysia ingin menerbitkannya?,


Khamis, Jun 27, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sampai ke Makassar setelah 2 tahun menyimpan hajat

Subhanallah. Hampir sebulan setengah lalu saya ada membuat sebuah artikel bertajuk Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat, menceritakan secara ringkas satu perjalanan ke wilayah itu yang dibuat 3-12 Mei. Ketika itu saya masih dalam proses membuat penceritaan perjalanan ke Tanah Arab untuk ziarah dan umrah 1-12 April. Maka cadangnya selepas tamat penceritaan tersebut baru saya akan memulakan cerita lebih mendalam tentang perjalanan ke Tanah Bugis.

Lebih kurang 3 minggu lalu cerita perjalanan Tanah Arab itu pun berjaya diselesaikan. Lihat Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Namun selepas itu saya terasa begitu malas hendak membuat cerita baru. Selain itu saya rasa wajib menyelesaikan beberapa perkara sebelum dapat menulis tentang Tanah Bugis. 

Hari ini, setelah begitu lama menangguhkannya baru saya mendapat gerak dan kekuatan untuk membuka siri baru. Mungkin ini gerak selepas Nisfu Syaaban yang akan berlanjutan sehingga ke penghujung Ramadhan? Saya rasa ada hikmah tertentu yang saya tak pasti apa. Kena tulis dahulu baru ia akan menjelma...


Jumaat 3 Mei 2013, saya dan isteri bersedia untuk ke luar negara lagi selepas baru 3 minggu kembali dari  ziarah dan umrah di Tanah Arab.


Kali ini kami membawa bersama dua anak kecil kami, Rasyid (kiri) dan Johan yang kami tinggalkan di rumah ibu saudara mereka sepanjang kami berada di Tanah Arab. Nampak tak kerusi roda di belakang?


Tidak seperti biasa, isteri harus memandu kerana saya mengalami kecederaan kaki yang agak serius. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot  yang ditulis pada hari berlaku kecederaan iaitu 23 April 2013. Sebelum kecederaan saya tidak pernah membenarkan isteri memandu kalau saya ada sama. Tapi bila dah cedera apa boleh buat?


Perjalanan dibuat dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri lebih kurang 90 km ke rumah abang sulung isteri di Bukit Changgang. Semenjak setahun dua kebelakangan kami selalu menyimpan kereta di rumah beliau apabila ke luar negara. Dari rumah beliau cuma 16 km ke terminal utama KLIA, 20 km ke terminal tambang murah di LCCT. Abang sulung menghantar kemudian mengambil kami apabila kembali. 


Kami pergi meninggalkan hiruk-pikuk sekitar pilihanraya atau PRU-13 yang hari pembuangan undinya jatuh Ahad 5 Mei. Ketika itu pihak-pihak yang berlawanan sudah lama berkempen untuk memenangkan parti atau sekutu masing-masing, adakalanya hingga menjaja fitnah yang sangat jijik lagi menggusarkan mereka yang berfikiran sihat dan mahukan keamanan. Sungguh ini satu kebetulan yang menepati pendirian kami tidak mahu terlibat dengan sistem demokrasi yang pada kami adalah alat ciptaan Yahudi untuk memecah-belahkan umat. Mana kami tahu  akan berada di luar negara ketika ramai orang berpusu-pusu mahu menentukan siapa yang bakal memerintah negara? 

Mana kami tahu akan berada di Tanah Bugis untuk menjalankan misi tersendiri di kala ramai berebut-rebut untuk menjadi orang berkuasa? Oh. Lupa pula. Selain menyebut nama Tanah Bugis pada  perenggan pertama artikel ini saya harus memberitahu destinasi kami kali ini adalah kota Makassar, pintu masuk ke Tanah Bugis, bandar raya utama di Sulawesi malah kota terbesar di timur Indonesia. Tiket untuk ke situ sudah kami beli sejak awal tahun lagi. Ketika itu tiada siapa pun tahu bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jangankan itu. Semasa awal tahun orang masih lagi tertunggu-tunggu dan berteka-teki bilakah pembubaran parlimen akan diumumkan. Bila ini akhirnya berlaku 3 April, saya dan isteri baru sahaja sejam dua sampai di Madinah lalu pergi ke Masjid Nabawi untuk menziarahi makam junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Tempahan untuk ziarah dan umrah telah kami buat lebih awal sebelum mendapatkan tiket ke Makassar. Maka memang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa kami tidak harus terlibat langsung dalam proses demokrasi yang penuh penipuan ini.

Kalau ikutkan kami juga harus ada saham dalam PRU-13 ini. Seorang daripada ramai abang isteri saya adalah salah seorang calon ADUN atau Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor. Namun saya beritahu isteri, selain mendoakan kejayaan abangnya biarlah kita mengambil sikap berkecuali. Kami tidak ada kepentingan kepartian. Yang kami mahu adalah penyatuan orang-orang Melayu demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara apalagi saya telah menerajui badan longgar tapi agak berpengaruh yang dipanggil HIKMAH, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, sejak mengasaskan ia 12 Oktober 2012. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sebaik sahaja selesai menghimpun barangan iaitu selepas turun dari kereta di LCCT kami berposing sebentar. Kesian isteri, dalam keadaan saya cedera begini beliaulah yang harus mengatur dan mengangkat segala barangan. Ya lah, nak angkat bagaimana sedangkan untuk berdiri pun saya perlu bertongkat kiri dan kanan? Nasib baik ada kerusi roda peninggalan almarhum nenek saudara yang diambil dari rumah seorang makcik di Ampang beberapa hari sebelum membuat perjalanan. Kalau tak lagilah susah hendak bergerak ke mana-mana. 


Kalau ikutkan saya dan isteri masih penat, sangatlah penat. Bayangkan. Sejak mengasaskan HIKMAH kami berturut-turut mengatur acara. Tiga minggu selepas ia diasaskan kami mengadakan acara pertama di Shah Alam 4 November. Tiga minggu kemudian ada acara susulan di Melaka 25 November. Ini diikuti acara ketiga di Lumut, Perak 27 Januari. Awal bulan Mac saya bermotosikal besar seorang diri dalam keadaan demam meredah musim tengkujuh untuk ke Kelantan mengatur penganjuran acara ke-4.

Pada 16 Mac acara tersebut pun diadakan di Kandis, Bachok. Walaupun masih baru acara kami bukan calang-calang. Selain disertai masyarakat awam dari pelbagai peringkat dan taraf hidup kami menghimpunkan cendekiawan bertaraf profesor dan para VIP dari seluruh pelusuk Malaysia malah negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Dua minggu selepas acara keempat pula kami ke Tanah Arab 1-12 April.


Di Tanah Arab kami bukan sekadar berjalan kaki dari hotel ke masjid malah ke merata tempat yang bukannya terletak dekat. Lihat sahaja cerita-cerita yang sudah dikumpulkan pada artikel Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Pada hari pertama di Madinah sahaja saya sudah berjalan kaki lebih 11 km, isteri pula cuma mengikut perjalanan sejauh itu hari kemudiannya. Kalau dicampur berjalan kaki dari hari ke hari campur proses membuat umrah di Mekah itu sendiri selain panjat bukit tinggi yang dipanggil Jabal Nur, entah berapa jauh kami sudah berjalan. Tu yang agaknya menyebabkan kami susah nak baik dari demam yang melanda di Madinah apabila sudah kembali ke tanah air, demam yang sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya kecederaan kaki yang berlaku 23 April, 11 hari setelah kembali ke tanah air.

OK. Kalau ikutkan pada kecederaan tentu tidak elok untuk saya berjalan lagi. Bayangkan 10 hari selepas retak tulang kaki, kecederaan yang kemudian saya dapat tahu ditambah koyak ligamen, saya mahu ke Tanah Bugis menjejak sejumlah tempat yang ada kaitan tersendiri dengan keluarga. Tempat yang mahu dijejaki bukan dekat. Naik penerbangan sahaja 3 jam. Itu dari KLIA ke Makassar. Kemudian ada kampung halaman tertentu yang saya perlu jejaki dan letaknya 6 jam berkereta dari Makassar.

Namun saya rasa tetap mahu meneruskan perjalanan. Itu adalah antara sebab sebenar saya tidak mahu kaki dibedah masuk besi apabila doktor mencadangkan berbuat begitu, selepas kaki diimbas x-ray 24 April. Kalau mahu dibedah pun mungkin paling cepat 3 hari selepas itu baru dapat dibuat kerana keadaan kaki yang sedang teruk bengkak, perlu menunggu masa untuk surut. Selepas pembedahan pula saya harus menunggu 3 hari lagi sebelum dapat keluar hospital, itupun kalau tiada apa-apa masalah. Kalau ada masalah bagaimana? Sempat ke saya menaiki kapal terbang 3 Mei?


Sesungguhnya saya sudah lama menunggu peluang dan kelapangan untuk Tanah Bugis. Semenjak kembali dari perjalanan ke-5 saya ke Aceh Nov 2011, saya sudah terfikir untuk menurut jejak leluhur di Tanah Bugis. Perjalanan itu adalah yang ke-4 buat isteri, ke-3 buat Rasyid di Aceh. Rujuk artikel Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Selama lebih 10 tahun saya lebih taksub untuk menjejak leluhur dari belah Aceh. Inilah yang membuat saya kali pertama masuk sana melalui laluan darat dari Medan Januari 2004, ketika ia masih lagi dilanda darurat akibat peperangan antara TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka).

Perjalanan tersebut kemudian dijadikan latar belakang cerita trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Perjalanan-perjalanan seterusnya lebih banyak abadikan di blogspot. Biar disenaraikan begini :-

a) Perjalanan Jun 2009, kali pertama dibuat bersama isteri dan ketika itu Aceh sudah aman, selepas ia dibuka untuk pertolongan dari luar demi menangani masalah selepas Tsunami 26 Disember 2004. Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan Rasyid.  Ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki di Aceh. Lihat artikel Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur.....

b) Perjalanan penghujung Januari 2010, kali kedua bersama isteri, pertama kali bersama Rasyid yang sudah berumur lebih 3 bulan. Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh. Turut ikut sama adalah seorang kawan kami yang merupakan seorang pelakon wanita. Sambil berjalan kami ada membuat rakaman dengan tujuan mahu menerbitkan satu siri rencana sejarah kedatangan Islam.  Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

c) Perjalanan yang dibuat sebulan selepas perjalanan b). Ini atas tajaan kawan untuk menyambut Maulidur Rasul di sebuah masjid yang dibina beliau. Lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat....

Hampir 2 tahun selepas itu berlakulah perjalanan Nov 2011 seperti disebut di atas. Dalam perjalanan itu kami telah menziarahi maka seorang leluhur yang bernama Daeng Mansur. Baginda adalah orang yang menurunkan Raja-raja Aceh abad ke 18 hinggalah kesultanan Aceh ditamatkan Belanda 1903. Mereka ini disebut sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis kerana Daeng Mansur dikatakan berasal dari Tanah Bugis.


Selepas perjalanan Aceh Nov 2011 itu saya ada memberitahu isteri akan ke Aceh lagi cuma SELEPAS menjejakkan kaki sekurang-kurangnya sekali di Tanah Bugis. Biar diberitahu selain Daeng Mansur yang merupakan leluhur saya sebelah ayah, leluhur yang turut memiliki darah Sultan Aceh, Melaka dan Pasai, kami ada seorang moyang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam juga dari Tanah Bugis. Daeng Mansur hidup abad ke 16 Masihi sedangkan Nakhoda Hitam lebih dekat kepada kami kerana muncul di Perak abad ke 18. Dalam salasilah keluarga, hubungan dengan Nakhoda Hitam juga lebih nyata kerana direkodkan sebagai pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota, jawatan yang masih wujud di istana Perak hingga kini tetapi tidaklah sekuat kuasanya seperti dahulu.

Selain itu ayah kepada ibu memang diketahui berdarah Bugis. Rujuk artikel Jejak Bugis di Pontian - Dari Parit Raja ke Parit Betak yang dibuat 4 hari lalu untuk butiran lanjut. Maka ikrar untuk ke Tanah Bugis itu boleh dikira satu "Aku Janji". Selagi tak jejak Tanah Bugis, selagi itu kami tidak boleh ke Aceh lagi. 

Seperti biasa kami pun menunggu peluang tambang murah pesawat muncul di Internet pada harga terendah. Tapi selepas beberapa lama ia tak juga muncul-muncul. Sebaliknya kami terlihat tawaran sangat menarik ke Surabaya. Itu yang membawa kami anak-beranak untuk ke Pulau Jawa Mei 2012, ketika anak kecil kami Johan baru berumur 2 bulan setengah. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa". Kiranya kami terbawa untuk menjejak leluhur belah ibu kepada ibu yang berdarah Jawa.

Sekitar itu atau selepasnya kalau tak salah ingatan baru kami mendapat jemputan seorang rakan, seorang profesor dari Makassar agar datang bertandang ke rumahnya. Di sana kami boleh menginap secara percuma dan menggunakan kereta juga pemandunya. Namun kami tetap menunggu jika ada harga terendah seperti biasa kami dapat untuk ke Aceh. Kami terlupa perjalanan ke Makassar adalah hampir atau sekitar tiga kali ganda jauh berbanding ke Aceh, setengah jam lebih lama berbanding perjalanan ke Surabaya. Akhirnya kami harus akur bahawa harga terendah untuk Makassar memang mahal sedikit. Namun kami sekurang-kurangnya sudah ada jaminan tempat penginapan dan kenderaan. 


Maka itulah tiket kami beli awal tahun tidak lama selepas membuat tempahan untuk ziarah dan umrah di Tanah Arab. Sebab itu saya tidak sanggup membatalkan perjalanan walaupun kaki cedera teruk. Kami bukan orang kaya, nak menunggu peluang muncul pun memakan masa tiba-tiba nak batalkan sahaja lalu rugi sejumlah duit yang telah dibayar untuk penerbangan pergi balik. Lagipun selain berjanji dengan kawan di Makassar untuk datang, kawan yang bekerja di Malaysia tapi sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut kami sekeluarga, saya telah berjanji dengan anak-anak mahu membawa mereka berjalan menaiki kapal terbang. Semasa kami di Tanah Arab, hampir 2 minggu mereka ditinggalkan. Perjalanan ke Tanah Bugis ini boleh dikira sebagai penebus masa bersama yang hilang. 

Sekarang hal-hal yang membawa kepada perjalanan telah diluahkan agak panjang lebar bolehlah saya memberikan penerangan tentang beberapa gambar. Pertama, gambar di ruang menunggu. Setelah beberapa lama menunggu tiba-tiba muncul seorang gadis duduk 2-3 kerusi dari saya. Ketika itu isteri sedang berada di bilik air bersama anak. Apabila isteri kembali gadis itu pun menegurnya lalu memulakan perbualan.

Saya pula terfikir apakah dia ini orang Sulawesi Selatan lalu bertanya. Jawabnya tidak, dia orang Malaysia tetapi pernah belajar di Universiti Hasanuddin (UnHas) di Makassar selama beberapa tahun. Cerita punya cerita baru kami tahu gadis bertudung ini seorang doktor muda yang baru 2 tahun tamat pengajian lalu mula bertugas di sebuah hospital di Selangor untuk housemanship atau tempoh pengenalan. Menariknya bidang pengkhususan beliau adalah sakit-sakit berkenaan tulang atau orthopedik. Memang pun masalah kaki saya adalah di bawah pakar orthopedik. Kata beliau UnHas memiliki fakulti perubatan yang baik di mana terdapat ramai juga pelajar dari Malaysia. Salah seorang pensyarahnya adalah antara pakar orthopedik terbaik di dunia.


Itulah gadis yang bergambar bersama kami di luar pesawat. Oleh kerana kami perlu menaiki tangga beliau  menolong membawa tongkat-tongkat saya ke atas. Kerusi roda yang digunakan untuk saya bergerak sendiri dari luar terminal hingga ke tempat menunggu dan bawah pesawat harus diserahkan kepada kaki tangan untuk dibawa masuk melalui jalan lain.  Saya tiada pilihan kecuali meloncat-loncat sebelah kaki sambil tangan memegang railing atau landasan tangga untuk masuk ke pesawat. 

Inilah yang memberikan ilham untuk saya memakai tajuk besar "Terhencot-hencot ke Tanah Bugis" untuk siri ini. Kerana perbuatan serupa terloncat-loncat juga jalan terhencot-hencot harus saya ulangi beberapa kali terutama ketika melawat tempat-tempat. Oh. Saya sebenarnya bernasib baik kerana pesawat cuma separuh penuh. Lalu saya boleh mendapat satu barisan kosong membolehkan saya meletakkan kaki dengan selesa di atas tempat duduk. 

Kalau tak tentu menjadi masalah buat saya kerana tidak cukup ruang. Rasanya ramai sudah tahu bukan bahawa tempat duduk ekonomi dalam penerbangan murah adalah rapat-rapat. Kaki saya sedang disimen separuh (maksudnya simen bahagian bawah, bahagian atas kaki cuma ditutup dengan balutan) sampai ke paras peha. Mana boleh dibengkok-bengkokkan? Kalau dapat satu tempat duduk sahaja, tidak mungkin kaki dapat dimuatkan kerana berlaga dengan tempat duduk hadapan. Apapun kaki seeloknya diletakkan ke atas agar darah dan apa-apa cecair dalaman yang timbul akibat kecederaan tidak tertumpu turun ke bawah lalu menambah bengkak.

Kalau ikut saranan syarikat seperti ditunjukkan di Internet, orang dengan kaki bersimen seperti saya harus membeli satu lagi tempat duduk untuk memuatkan kaki. Manalah saya mampu apalagi tempahan saat akhir  harus dibuat pada harga penuh yang berkali-kali ganda lebih mahal dari harga tawaran murah yang cuma boleh ditempah 2-3 bulan lebih awal? Di atas adalah gambar ketika pesawat mendarat hampir jam 5.50 waktu tempatan. Sebaik sahaja melihat gunung-ganang di luar timbul rasa sayu yang amat sangat sepertimana halnya ketika kali pertama mendarat di Banda Aceh tahun 2009 (perjalanan pertama saya ke Aceh Januari 2004 adalah melalui jalan darat dari Medan). Lihat Flight to Makassar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya bukan sekadar harus terhencot-hencot menaiki pesawat, masa turun di Bandara (lapangan terbang) Sultan Hasanuddin di Makassar pun kena ulang lagi malah lebih teruk. Apa yang berlaku adalah kami telah turun  tangga dari pintu belakang bersama sejumlah penumpang lain. Selepas itu baru kami tahu sebenarnya ada 'belalai' yang menyambungkan pesawat dengan bangunan tetapi melalui pintu hadapan.

Ah. Sebelum mendarat saya ada bertanya petugas apakah di Makassar ada 'belalai'? Mereka kata tak tahu. Kebetulan tempat duduk sebaris kosong yang saya dapat untuk memudahkan letak kaki adalah paling belakang dalam pesawat. Itu yang saya terus ikut penumpang keluar dari belakang apatah lagi isteri, anak-anak dan kenalan baru kami juga keluar dari situ.

Bila dah sampai ke bawah baru kami terlihat 'belalai' di hadapan. Kemudian apabila ditanya pasal kerusi roda kata petugas ia ada menunggu saya dalam 'belalai'! Allah. Laluan untuk penumpang memerlukan kami masuk ke tingkat atas bangunan. Lalu saya tiada pilihan. Harus berjalan bertongkat ke tangga yang kelihatan di kanan gambar kemudian terhencot-hencot terlompat-lompat sebelah kaki naik ke atas. Aduh! Allah sahaja yang tahu bagaimanakah keadaan sakit bercampur penat...


Apapun kami telah selamat sampai ke Makassar. Alhamdulillah pemandu kepada rakan kami sudah siap menunggu begitu juga kawan kepada kenalan baru kami, doktor muda yang menegur di LCCT. Kami pun berpisah arah. Ni posing sebentar sementara menunggu pemandu membawa kereta ke tempat menunggu luar.


Oh. Apabila kami keluar lapangan terbang hari sudah senja. Kelihatan patung gergasi berupa sosok badan dan wajah yang katanya milik  Sultan Hassanuddin, raja dan pahlawan kebanggaan tempatan. Gambar ini diambil jam 6.14 petang waktu Sulawesi Selatan. Untuk pengetahuan waktu di wilayah ini sama dengan di Malaysia sedangkan kedudukan kota Makassar adalah hampir atau sekitar 1,800 km ke timur Kuala Lumpur. Maka itu ia lebih cepat menerima matahari naik juga turun, sejam lebih cepat.