Selesai lawatan ke Pantai Minyak Beku dan Perigi Batu Pahat, kami terus mengambil jalan pesisiran pantai menghala selatan ke Pontian...
Oleh kerana kami meninggalkan kuala Sungai Batu Pahat pun sudah hampir waktu senja maka perjalanan seterusnya berlaku rata-rata waktu malam. Beberapa ketika melepasi pekan Rengit yang masih di dalam daerah Batu Pahat, kelihatan papan-tanda yang tertera nama Parit Betak. Terus saya teringat bahawa datuk kepada seorang datuk saya (bapa kepada ibu) ada memakai nama Bugis berbunyi Betak... katanya satu daripada nama yang dipakai untuk menyembunyikan identiti sebenarnya.
Saya tak tahu jika nama Betak yang dimaksudkan di sini merujuk kepada moyang itu. Tidak lama kemudan kami pun sampai ke daerah Pontian, satu daerah negeri Johor yang boleh kata majoriti penduduknya berketurunan Bugis...
Pengaruh Bugis begitu kuat di sekitar ini sehingga terdapat juga sebuah muzium Bugis yang didirikan orang persendirian.
Walaupun terbetik juga niat untuk menelusuri lebih dalam salasilah Bugis dari sebelah ayah kepada ibu, pengembaraan ini sendiri dibuat untuk mengkaji salasilah ibu kepada ibu yang berdarah Jawa, katanya dari belah Pekalongan di Jawa Tengah. Sebenarnya pengembaraan ke selatan ini dibuat dalam rangka-kerja untuk menerbitkan sebuah buku berdasarkan sejarah keluarga sebelah Jawa itu. Ini berikutan cadangan seorang bapa saudara dalam satu perhimpunan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Lihat artikel Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru... Setelah meneliti apa yang perlu, saya dapati harus berjumpa keluarga sepupu-sepupu ibu yang berada di Batu Pahat dan Johor Baru selain mendapatkan 'rasa' di tempat-tempat yang perlu. Setakat untuk mendapatkan cerita sahaja saya boleh menghubungi mereka melalui telefon. Tak perlu susah-payah berjalan ke sana ke mari. Tetapi untuk mendapatkan 'rasa' dan gerak ilham yang patut saya harus bertemu muka dan hadir di sesuatu tempat itu. Peluang inipun digunakan untuk membawa isteri berjalan setelah beberapa minggu asyik terperap di sekitar rumah akibat tempoh pantang melahirkan anak. Bila dah berjalan tu takkan le nak tinggalkan anak kecil sorang-sorang kat rumah kan? Itu yang jadi pengembaraan Al-Rasyid ke selatan...
Rancangan perjalanan pula boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Kalau ikutkan, kami harus berada di Batu Pahat lebih lama untuk berjumpa dengan seorang bapa saudara di Parit Raja. Tetapi disebabkan dia sibuk hari itu, saya membuat keputusan untuk terus menghala ke Pontian, lain kalilah dalam perjalanan kembali ke Muar baru singgah lagi di Batu Pahat. Kalau ikut rancangan asal, kami seharusnya sudah selesai apa-apa perkara yang perlu di Batu Pahat dan Pontian pada siang hari lalu boleh terus ke Johor Bahru. Tetapi disebabkan perjalanan dari Muar sendiri bermula selepas 3 petang dan kami masuk Pontian pun dah malam, seeloknya kami berehat di daerah ini dahulu. Di atas adalah gambar Al-Rasyid ketika kami berhenti makan malam di Serkat, makan malam lambat... lepas jam 10 daaa...
Dari Serkat tinggal 3 km sahaja untuk ke Tanjung Piai, kawasan paling selatan di tanah besar benua Asia, tempat saya merancang untuk bermalam...
Kali pertama dan terakhir saya sampai ke Tanjung Piai kalau tak salah ingatan adalah pada penghujung tahun 1996, ketika membuat satu perjalanan solo bermotosikal besar keliling Semenanjung.
Dari sini kami boleh melihat cahaya dari kapal-kapal yang berlabuh di selatan pulau Singapura. Dan memang kami pun bercadang untuk ke negara pulau itu nanti memandangkan moyang saya dari belah Jawa mula bertapak di Semenanjung melalui pulau itu lebih 100 tahun lalu. Bersambung...




































