OK. Kalau ikut rancangan asal hari ini sedang berehat di rumah setelah sampai selewatnya sebelum tengah malam semalam. Tetapi disebabkan hal seperti dinyatakan dalam artikel Pantai Timur Ramadan 2025 - Mencari jejak Puteri Saadong hingga ke puncak Bukit Marak dua hari lalu sehingga kini masih lagi dalam permusafiran. Di celah-celah itu dilepaskan cerita demi cerita supaya tidak tertunggak. Maka pergi pada cerita hari keempat perjalanan Pantai Timur. Bersambung daripada Pantai Timur Ramadan 2025 - Jejak legasi wali-wali Kelantan.
Pagi Isnin 17 Mac 2025 bersamaan 16 Ramadan 1446 Hijriah. Memandang ke luar daripada tempat kami menginap di Hulu Perak.
Dalam artikel tersebut ada dinyatakan, saya tidak ingin memanjangkan cerita kerana isteri mendapat tahu abangnya di Tanjung Sepat sedang nazak lalu kami harus bergerak ke sana. Namun hampir jam 2.20 petang baru betul-betul siap artikel lalu boleh dipersembahkan. Selepas itu harus mandi bertukar pakaian dan menunaikan solat. Sekitar jam 3 baru bergerak hendak menuju ke Tanjung Sepat, lebih 350 km perjalanan.
Oh.. Sebetulnya abang ipar saya itu sedangf berada di Hospital Banting, dalam Wad ICU, unit jagaan rapi. Walaupun mahu berkejar isteri setuju kami tetap singgah di makam moyang saya iaitu Laksamana Raja Mahkota di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan. Kebetulan laluan yang ditunjukkan Google Map melalui simpang masuk ke makam Tok Temong. Isteri pun mengajak singgah.
Sambil berjalan isteri menghubungi adik beradik bertanyakan khabar tentang abang. Dimaklumkan beliau sudah ditidurkan sebagai usaha terakhir untuk memanjangkan nyawa. Diberitahu juga waktu melawat tamat jam 6.30 petang sedang mustahil kami sempat sampai. Dengan itu isteri menyedari tiada gunanya terkejar-kejar. Kalau hendak melawat pun kena tengok keesokan hari. Lalu bersetuju agar satu lagi rancangan asal ditunaikan iaitu singgah ke masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat batu nesan tunggal dalam masjid menandakan tempat ghaibnya Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Syah ketika bersolat Jumaat hampir 500 tahun lalu.
Ke makam Laksamana Muhammad Amin itu sudah tentulah. Bagi saya ini tempat yang sangat penting dalam melanjutkan satu penceritaan dan menegaskan hala tuju perjuangan...
Kalau ikut rancangan asal selepas itu ke makam Daeng Selili di kampung berdekatan belakang Bukit Chandan diikuti Kampung Pulau Semat menghadap makam Sultan ke-4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang terletak di pulau, tengah Sungai Perak. Kemudian ke makam Raja-raja Beruas di Kampung Kota, Beruas. Selepas itu mahu ke Beting Beras Basah, tempat terakhir perlu dijejaki setiap Sultan Perak ketika ada pertabalan. Sebagai gantinya cuma meneruskan perjalanan dengan mengambil laluan yang kebetulan berdekatan dengan tempat-tempat tersebut.
Setelah beberapa lama menyedari meter bawah kereta akan menghampiri nombor cantik 313.1. Ini menandakan sudah memandu sejauh 1,313.1 km sejak meninggalkan rumah. Saya pun memperlahankan kereta agar dapat berhenti mengambil gambar dari bahu jalan.
Tenyata ia tidak jauh dari satu papan tanda penunjuk jarak...
Nah. Cantik nombor-nombor ini bukan? Seperti ada suatu petunjuk.
Menyeberangi Sungai Perak berdekatan Teluk Intan jam 6.11 petang.
Isteri bersetuju kami singgah di masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit, 6 km keluar dari laluan terus untuk ke Banting. Dapatlah menziarahi makam-makam nenek moyang.
Melihatkan sudah tidak terlalu lama untuk sampai waktu berbuka puasa isteri juga bersetuju melaksanakannya di masjid keluarga.
Alhamdulillah, selepas berbuka dapat juga beriktikaf menunaikan solat Maghrib dan menjamakkan Isyak serta melalukan wirid pada malam Nuzul Al Quran. Cukuplah itu walau tidak dapat menunaikan rancangan asal untuk bermalam.
Nota : Sebetulnya sejak memulakan perjalanan kami telah membuat video-video untuk siaran dalam akaun TikTok isteri terutama apabila singgah di tempat-tempat bersejarah. Kemuncaknya adalah apabila membuka hal kepincangan di sebalik Perjanjian Pangkor di makam Laksamana Muhammad Amin kemudian dipanjangkan lagi hal di Batak Rabit. Namun untuk CATATAN SI MERAH SILU biarlah dikumpulkan pautan untuk video-video itu dalam satu artikel khas selepas selesai berkongsi cerita perjalanan harian ya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan