Salam. Perkongsian ilmu daripada satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) siang semalam.
Pagi Rabu 7 Ogos 2024 sekitar jam 8 tiba-tiba terlihat poster atas ini muncul dalam beberapa grup WhatsApp ISTAC. Ia menunjukkan ada majlis ilmu yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Pihak Berkuasa Agama, Kearifan Negara dan Lokal di Indonesia dan Malaysia". Tetapi saya tidak bercadang untuk mengikuti kerana kesibukan urusan lain di rumah.
Jam 9.49 ada seorang pensyarah menghantar gambar ini dalam salah satu grup WhatsApp kami. Fikir saya ada mesyuarat kakitangan. Terus diberitahu ini menunjukkan majlis yang posternya dilihat lebih awal tadi sedang berjalan secara fizikal di ISTAC.
Ah. Fikir saya dibuat atas talian sahaja. Ini kerana cuma melihat sepintas lalu sahaja poster, nampak ada institusi dari Madura mengadakan tetapi ada sekali gambar Dekan ISTAC, Profesor Dr Aziz Berghout. Kelihatan seperti anjuran pihak berkenaan, harus dipancarkan dari Madura di Indonesia dengan penyertaan dekan ISTAC secara atas talian. Saya pun mencari kembali poster dalam WhatsApp. Ada disertakan sekali pautan bagi penyertaan atas talian melalui platform Zoom. Terus masuk lalu mula mengikut majlis sekitar jam 10.45 pagi.
Ternyata perbincangannya sangat menarik. Bermacam-macam isu melibatkan praktik agama dalam masyarakat diperkatakan. Ini termasuk hal perkahwinan sekufu yang sangat dijaga di Indonesia oleh golongan Sayyid dan Sharifah keturunan Nabi Muhammad SAW. Sehingga tergerak untuk terlibat aktif menyatakan soalan. Disebutlah tentang bagaimana di Malaysia itu kalau ada yang membawa ajaran atas nama Islam tetapi kelihatan menyeleweng boleh ditangkap pihak berkuasa tetapi di Indonesia tidak.
Gambar ini pula diambil pada jam 11.59. Fikir saya selepas sesi soal jawab tadi majlis pun selesai.
Rupa-rupanya ada lagi pembentangan. Saya pun menyemak poster lalu mendapati majlis dinyatakan berjalan dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.
Ini membuat saya mahu pergi ke ISTAC. Nasib baik isteri mengambil cuti untuk menyelesaikan satu urusan bersama anak di luar kawasan. Saya pun memberitahu mahu pergi. Isteri cakap boleh. Beliau boleh mengambil alih tuga mengambil anak bongsu kembali daripada aktiviti korikulum sekolah pagi pada jam 3.30 petang.
Dengan itu saya pun bebas untuk keluar lalu bersiap. Sampai ke perkarangan ISTAC lebih 40 kilometer perjalanan hampir jam 1 petang. Cuma dalam perjalanan itu didapati kereta bermasalah suhu enjin asyik naik sehingga ke tahap 3/4 meter. Nasib baiklah dapat juga sampai. Boleh dengar bunyi air dalam radiator menggelegak kuat apabila membuka pintu untuk keluar...
Masuk ke ruang majlis tepat jam 1 menurut kamera digital. Terus dialu-alukan kerana pihak penganjur dapat cam diri saya yang suka bertanjak akibat bertanyakan soalan dalam Zoom lalu diminta berkongsi lagi pemikiran. Saya pun menyebut tentang hal penggunaan kalimah Allah yang selalu menjadi kontroversi di Malaysia. Bagi kita di sini ia sangat dijaga, tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam dalam apa-apa penerbitan. Di Indonesia tiada masalah. Sesiapa pun boleh pakai walaupun membawa makna yang berlainan. Ini kerana tidak ada pihak berkuasa agama yang disokong oleh negeri atau negara untuk mempertahankan kesucian Islam. Yang ada cuma gerakan-gerakan bersifat badan bukan kerajaan yang tidak memiliki kuasa untuk menegah apa lagi menghalang, cuma boleh menasihat.
Gambar ini pula diambil pada 1.37 petang, selepas majlis dinyatakan selesai. Saya sangat teruja dengan pelbagai perkara yang dibincangkan. Sebetulnya ramai yang kelihatan ini adalah pihak pengurusan dan tenaga pengajar serta pelajar daripada IAIN (Institut Agama Islam Negeri) Madura. Mereka, sekitar 40 orang kesemuanya, telah berada di Malaysia sejak pertengahan Julai untuk menjalankan beberapa aktiviti. Majlis di ISTAC merupakan penutup. Namun antara yang membentang adalah seorang pensyarah UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang fikir saya harus berasal dari Madura juga tetapi rupa-rupanya dari Lamongan, Jawa Timur, masih agak dekat dengan Madura. Beliau itulah yang banyak menjawab tentang perbezaan dan persamaan penguatkuasaan agama antara di Malaysia di Indonesia. Kerana berasal dari Indonesia tetapi sudah menetap lama di Malaysia.
Oh. Dalam perjalanan kembali ke rumah suhu enjin naik lagi. kali ini lebih teruk lalu harus berhenti beberapa kali berehat agak lama. Ini supaya turun sedikit suhu lalu dapat menyambung perjalanan tanpa merosakkan enjin. Alhamdulillah dapat juga sampai ke bengkel kebiasaan tidak jauh dari rumah. Rupa-rupanya satu kipas enjin tidak berfungsi selain cecair sistem penyejuk sudah sangat kurang berfungsi. Nasib baik dapar diperbaiki dalam tempoh kurang sejam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan