OK. Walaupun apa yang hendak dikongsikan di sini terbit setelah mendapat maklumat daripada kawan-kawan lama ketika menulis artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester malam semalam saya memilih untuk menunggu siri berkenaan selesai terlebih dahulu sebelum betul-betul menangani perkara. Ini adalah bagi meletakkan baseline atau suatu garis asas menggunakan apa yang dapat diingat telah berlaku secara pasti tanpa ragu-ragu.
Biar diletakkan garis asas itu sebegini :-
1). Saya pertama kali sampai ke London untuk pengajian tahun pertama di University College of London pada 7 Oktober 1991. Ini adalah pada penghujung musim panas masuk musim luruh. Tarikh boleh dibuktikan melalui cop paspot dalam artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot.
2) Saya kembali ke Malaysia pada cuti musim panas tahun 1992. Dalam artikel sama boleh kelihatan cop paspot menunjukkan sampai ke tanah air pada 13 Julai sebelum masuk kembali ke UK 25 September.
3) Musim panas tahun 1993 pula saya pergi ke Sheffield melepak di rumah kawan. Asalnya mahu duduk seminggu tetapi memanjang sehingga 3 bulan. Dalam tempoh waktu itu kalau ada ke tempat lain mungkin ke persekitaran Bradford-Leed-Huddersfield iaitu dalam mukim West Yorkshire. Ini kerana terdapat ramai kawan lama di sana dan letaknya cuma 50 km ke utara.
4) Musim panas 1994? Yang inilah yang timbul rasa ragu- baru ini sehingga boleh mengacau kronologi beberapa perjalanan lain yang dapat diingati ada dibuat di UK. Selama ini fikirnya ketika itulah dibuat perjalanan pusing separuh England bersama teman wanita lama dengan kereta sewa. Tetapi ketika menulis artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester baru dapat tahu ramai kawan sama batch (sama umur dan belajar sama peringkat di kolej) telah kembali ke Malaysia pada musim panas tahun 1993. Jadi bagaimana boleh berjumpa malah menginap di rumah salah seorang mereka pada tahun 1994?
5) Pada musim panas 1995 pula dibuat perjalanan pusing Eropah dan ceritanya telah menjadi buku ke-13 saya (terbit selepas pertengahan 2019). Ini adalah sejurus sebelum kembali ke Malaysia kerana sudah selesai pengajian. Bukti tempoh masa berkenaan ada melalui cop-cop paspot dalam artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot.
6) Dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford disebut bahawa di Bradford saya dan teman wanita lama bermalam di rumah kawan sebilik dan sekelas semasa zaman kolej. Ketika menulis artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester baru dapat tahu mustahil kami singgah pada tahun 1994. Ini kerana :-
a) Kawan lama di Bradford itu memberitahu telah kembali ke Malaysia pada bulan Julai 1993.
b) Disember 9 beliau masuk bekerja di Perwaja, April 94 di Motorola. Ini menegaskan bahawa beliau sudah kembali ke Malaysia pada tahun 1993 dan mustahil berada di UK pada tahun 1994.
c) Menurut beliau rumah yang diduduki ketika kami datang itu adalah disewanya pada tahun kedua pengajiannya (1991-1992). Ini kerana beliau ingat keadaan 2-3 buah rumah yang pernah diduduki dalam tempoh dua tahun berada di UK 1991-1993 (pengajian tahun pertama beliau di Malaysia bawah program NCUK iaitu Northern Consortium of United Kingdom).
d) Seterusnya beliau ingat ketika itu musim sejuk atau sekitarnya. Maka itu beliau percaya perjalanan pusing separuh England itu harus dibuat antara Disember 91 hingga sebelum musim panas 92.
Sebetulnya apabila diteliti kembali hal ini boleh diterima apa yang dikatakan kawan. Cuma ia telah melanggar kenyataan dan kepercayaan sebelum ini bahawa saya pertama kali membuat perjalanan jauh ke luar London pada musim panas tahun 1993 iaitu ke Sheffield. Ini ada dinyatakan dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain. Nampaknya kenyataan harus diubah menjadi perjalanan ke Sheffield itu adalah yang pertama pergi jauh sendiri, bukan bersama teman wanita.
Hmm. Bila difikirkan kembali ini lebih mendekati kebenaran. Sebabnya kami memang selalu bersama ke sana ke mari. Tetapi pada musim panas tahun 1993 memang saya bersendirian kerana teman wanita kembali bercuti ke Malaysia. Saya pula tidak mahu kembali akibat gagal dalam peperiksaan tahun dua. Yang ini jelas dalam ingatan tanpa ragu-ragu.
Selain itu ada diceritakan dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford bahawa perjalanan dibuat selepas selesai peperiksaan ulangan tahun dua bagi saya lalu didapati lulus boleh masuk tahun tiga. Teman wanita pula sudah lulus peperiksaan tahun tiga yang merupakan tahun akhir kebanyakan jurusan ijazah sarjana muda di UK lalu menunggu masa sahaja untuk kembali ke Malaysia. Maka itu saya sudah salah faham dan salah bercerita dalam hal ini.
Pun begitu biarlah cerita-cerita berkenaan dikekalkan dalam artikel. Biar pembetulan dibuat melalui penerangan dalam artikel ini. Yang paling dirisaukan sebenarnya adalah takut kenyataan kawan bahawa saya sampai ke rumah beliau antara Disember 91 hingga sebelum musim panas 92 itu merosakkan tarikh atau tempoh perjalanan ke Scotland yang cerita telah ditulis lebih awal. Lihat Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun 1993. Nasib baik ini tidak bercanggah dengan perkiraan bahawa ia harus berlaku sekitar penghujung tahun 1993. Kalau didapati perjalanan pusing separuh England berlaku pada penghujung 1993 mana pula nak letak perjalanan Scotland itu? Namun bila difikirkan kembali ada kemungkinan pula perjalanan Scotland itu berlaku penghujung tahun 1994. Entahlah.
Selain itu saya risau jika ia merosakkan tempoh waktu bilakah berlaku beberapa perjalanan lain seperti dinyatakan dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford. Tetapi apabila dilihat kembali dengan saksama tiada apa-apa percanggahan pun kerana saya tidak menetapkan bilakah perjalanan tersebut berlaku. Yang ada cuma anggaran tempoh waktu.
Sesungguhnya saya bukan jenis orang kuat berangan sehingga ilusi dengan mimpi boleh dicampur aduk dengan kenyataan lalu diceritakan sebagai pengalaman hidup konon. Saya bukan jenis orang suka tokok tambah cerita untuk menambah perisa. Saya ada rasa maruah yang tinggi, tidak akan sesekali mengaku ada membuat sesuatu yang tidak pernah dibuat sendiri. Dalam berkongsi ilmu pengetahuan saya tidak akan membuat karangan kreatif menipu orang seperti mengatakan sami di Chaiya selatan Thailand membaca mantera "Om Sriwitchai" untuk menunjukkan di situlah kerajaan Srivijaya bermula 1,400 tahun lalu.
Saya tidak akan menambah rasa saspens ala-ala filem Da Vinci Code seperti mengatakan pada jam 9 pagi berada di Peru, jam 11 di Eropah kalau perkara itu tidak benar-benar berlaku pada saya. Saya tidak akan sesekali menipu pembaca lalu membiarkan mereka terus tertipu dengan segala macam dakwa dakwi sehingga bertahun-tahun lama orang boleh percaya telah pernah ke sana ke mari walhal tidak demi meraih dan mengekalkan populariti. Saya tidak akan merendahkan orang lain dengan mengatakan kelulusan yang dimilikinya cuma sijil biasa dari luar negara sedangkan ia adalah ijazah dalam satu bidang pemikiran tinggi yang tak ramai orang mampu gapai, daripada salah satu universiti terkemuka di dunia. Pada masa yang sama saya tidak malu mengaku kelemahan diri seperti dibuang daripada kolej kerana masalah disiplin juga gagal peperiksaan tahun dua universiti sehingga takut hendak kembali ke Malaysia berhadapan dengan keluarga kerana itulah saya, bila bercerita maka dikongsikan sejujur-sejujurnya buruk dan baik pengalaman sebenar hidup.
Walaupun ada masa kelihatan bongkak tidaklah sesekali saya mereka-reka cerita. Yang ada mungkin kesilapan dalam mengingati butiran apa lagi bagi tempoh masa hal-hal yang berlaku hampir 30 tahun lalu. Sebab itu saya merasa cukup risau apabila maklumat baru seperti maklum balas kawan-kawan menyebabkan harus menilai kembali bilakah suatu perjalanan itu berlaku. Tetapi tidaklah sesekali saya mencipta cerita tentang suatu perjalanan kecuali ia memang benar-benar telah dilakukan. Lalu ia cuba dikongsikan setakat dapat diingati. Sebab itu dibuat artikel ini. Cukup perkongsian tentang perkara.
Nota tambahan penting : Artikel ini sebenarnya ditulis lewat malam atau awal pagi Isnin 22 Mac. Jam 4 pagi baru masuk tidur. Jam 5.35 bangun untuk menunaikan solat Tahajud juga bersahur bagi puasa sunat. Biasanya solat dahulu baru makan. Kali ini makan dahulu baru solat.
Ketika hendak menunaikan solat baru terfikir satu perkara. Bagi pihak saya mustahil perjalanan pusing separuh England berlaku sekitar Disember 1991. Kerana masih terlalu awal kedatangan ke UK, masih sibuk hendak mengenali selok belok London berserta hal ehwal universiti. Seperti disebut dalam perkara 1 saya pertama kali sampai ke London dan UK adalah pada 7 Oktober.
Bagaimana pula sebelum musim panas 1992? Bagi saya masih terlalu awal juga. Dan lagi kawan ingat saya sampai itu sekitar musim sejuk. Kalau begitu penghujung tahun 1992 adalah lebih logik untuk ia berlaku. Kawan ada menyebut beliau percaya perjalanan berlaku antara Disember 91 dengan sebelum musim panas 1992 kerana ketika itu beliau sudah berpindah ke rumah yang menepati ingatan beliau sebagai tempat saya dan tempat wanita sampai lalu menginap. Kalau musim panas 1993 memang rumah lain. Dan saya pula pasti ketika itu berada lama di rumah kawan lain di Sheffield sehingga 3 bulan lamanya.
Beliau tidak menyebut pula pada penghujung tahun 1992 duduk di rumah mana. Mungkin ketika itu masih rumah sama seperti pada penghujung 1991? Apabila ditanya tentang hal ini beliau menjawab ada kemungkinan. Cuma dalam ingatan beliau bulan Disember 1992 berpindah rumah. Boleh jadi saya sampai sebelum itu? Apapun bolehlah dikatakan perjalanan pusing separuh England itu berlaku pada tahun 1992. Cuma belum dapat dipastikan lagi pada bulan berapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan