OK. Saya kini berada di pekan Beruas, setelah menghadiri satu mesyuarat melibatkan keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak daripada satu cabang, di masjid lama warisan nenek moyang kami di Batak Rabit. Dapat menziarahi kawasan pemakaman keluarga di sebelah masjid, juga menziarahi 7 buah makam dari Teluk Intan membawa ke Bota Kanan termasuk makam 3 orang Sultan Perak yang memakai nama Muzaffar. Namun biar cerita tentangnya dikongsikan pada masa lain. Pagi ini biar disambung cerita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur.
Selepas sampai ke Tumpat petang Rabu 31 Disember saya harus telah bermalam di bandar Kota Bahru (sekarang bandar raya). Namun gambar seterusnya masih wujud dalam simpanan menunjukkan keadaan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir hampir waktu Maghrib pada tarikh 1 Januari 1998 yang merupakan hari Khamis. Walaupun tidak ingat butiran logiknya sebelum itu mesti telah singgah ke banyak tempat sepanjang perjalanan memandangkan pada hari itu berlaku sambutan tahun baru. Dan seperti biasa apabila ada masa untuk berjalan santai saya akan memilih laluan terdekat menyusuri pantai.
Gambar berikutnya diambil tengah hari Jumaat 2 Januari. Saya telah menginap malam Jumaat di tepian tasik, kalau tak salah ingatan dengan menumpang sebuah restoran terapung yang sedang kosong. Ketika itu memang susah hendak nampak manusia di sekitar. Mungkin akibat musim tengkujuh, tiada mahu masuk melancong ke tasik.
Ini pula gambar di persisiran Sungai Terengganu dekat jeti ke Pulau Duyong kurang 2 jam kemudian. Saya ingat ada masuk ke pulau dengan motosikal kesayangan lalu pusing ke merata tempat. Ketika berehat di sebuah surau terbaca satu catatan pada sebuah papan maklumat. Isinya adalah lebih kurang seperti yang terpapar pada bahagian bawah paparan berikut. Lihat nama Surau Putih di Pulau Duyong disebut dalam cerita berikut...
Paparan diambil daripada artikel
Risalah kecil Tok Pulau Manis. Ia adalah berkenaan ulamak besar Terengganu bertaraf wali abad ke-17 Masihi dan bagaimana seorang moyang beliau bernama Sharif Muhammad sampai dari Timur Tengah. Sharif Muhammad dikatakan orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu yang sangat terkenal itu. Isi risalah telah dipersembahkan di
blogspot ini pada pertengahan tahun 2014. Sedangkan ia diterima di makam Tok Pulau manis sekitar 15 km ke barat-daya Kuala Terengganu pada tahun 2003.
Tetapi ketika perjalanan pertama solo bermotosikal besar keliling Semenanjung dibuat hujung 1997 hingga awal 1998 saya belum berminat untuk mengambil tahu tentang hal-hal itu. Cuma apabila diimbas kembali ingatan rupa-rupanya saya sudah dipertontonkan satu petunjuk penting tentang arah tuju hidup tetapi tidak menyedarinya langsung waktu itu. Untuk pengetahuan persekitaran Tasik Kenyir dan pekan/bandar terdekat iaitu Kuala Berang merupakan tempat di mana Sharif Muhammad menetap dan 'bermain' abad ke-14 Masihi. Kajian saya menunjukkan beliau terkait dengan satu watak yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah di Perlak (sekarang dalam Aceh) 5 abad lebih awal.
Sebetulnya induk penulisan ini sudah disediakan lebih awal iaitu pada 6 hari lalu. Cuma menunggu masa dan giliran sahaja untuk dipersembahkan setelah dibuat sedikit lagi suntingan berserta apa-apa tambahan . Menarik apabila difikirkan ia dapat dikongsikan pada pagi ini di Beruas, Perak satu tempat yang merupakan warisan daripada kerajaan lama Melayu Beruas. Sungguh ini tidak dirancang. Baru Selasa lalu memikirkan untuk ke sini iaitu setelah selesai urusan di Teluk Intan.
Saya tak tahu pun akan berada di Beruas pada pagi ini kerana jika tidak sempat selesai proses ziarah makam antara Teluk Intan ke Bota Kanan semalam boleh jadi saya bermalam di Kampung Gajah, boleh jadi di Bota Kanan lalu paginya harus berada di sekitar sana. Apapun saya kata menarik kerana menurut sejarah yang saya tahu kerajaan Beruas diasaskan oleh Sultan Malikul Mansur yang berasal daripada kerajaan Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh) pada abad ke-14 Masihi. Sedangkan catatan yang pernah dilihat di surau di Pulau Duyong, Kuala Terengganu seperti diceritakan di atas melibatkan kerajaan awal Terengganu yang juga diketahui mulai wujud pada abad ke-14. Dan kedua-dua watak di Beruas dan Terengganu sebenarnya ada kaitan nasab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan