Salam Jumaat malam Sabtu 10 Muharram. Dengan masuknya tarikh keramat yang disebut sebagai Hari Asyura biarlah disambung penceritaan daripada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan?. Pagi Sabtu saya dijadualkan berjalan jauh bersama keluarga ke utara. Jadi biarlah siri kecil ini diselesaikan.
Kami sudah menyusuri Sungai Muar dari kuala di Bandar Muar, Johor hingga membawa ke Jalan Penarikan di Bahau, Negeri Sembilan. Untuk melengkapkan perjalanan sampailah masa untuk menyusuri laluan kapal purba berkenaan sehingga ke kuala Sungai Pahang.
Dari Bahau kami mengambil jalan raya yang didapati paling dekat mengikuti aliran Sungai Serting.
Sudah diterangkan dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan? bagaimana Sungai Serting mengalir masuk ke Sungai Bera kemudian Sungai Bera mengalir masuk ke Sungai Pahang.
Cuma untuk sampai ke tempat di mana Sungai Serting masuk ke Sungai Bera kelihatan agak sukar. Google Map menunjukkan kedudukannya agak jauh ke pendalaman, jauh daripada mana-mana jalan raya yang wujud dalam peta. Kalau ada jalan pun mungkin berbentuk off-road atau jalan balak.
Lagipun kami sudah kesuntukan masa. Ketika meninggalkan Bahau sudah jam 3.45 petang. Sedangkan kami mahu sampai ke kuala Sungai Pahang sebelum Maghrib menggunakan laluan berliku-liku lebih 250 km. Dengan itu keutamaan kami adalah singgah ke kuala Sungai Bera sebelum menyusuri Sungai Pahang. Saya tahu boleh sampai ke kuala dengan kereta kerana pernah singgah sekali lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Batu nesan 1,000 tahun Islam Pahang, panggilan Tasik Chini dan pencarian di Kuala Bera.
Sekurang-kurangnya kami telah mengambil jalan yang disebut dalam Google Map sebagai Jalan Serting Hilir. Maka tahulah kami itulah jalan raya terdekat bagi menyusuri sungai tersebut. Selepas beberapa lama nampak pula pintu gerbang masuk ke Kampung Orang Asli Kuala Serting. Tahulah kami sudah lalu dekat dengan tempat di mana Sungai Serting masuk ke Sungai Bera.
Oh. Tadi tu adalah gambar ketika menyeberangi jambatan melepasi Sungai Bera di Kuala Bera. Jam 5.10 masuklah kami ke jalan kecil yang boleh membawa ke kuala.
Kami masuk sejauh mungkin tempat yang boleh dicapai dengan kereta. Kalau tidak kerana pengalaman sudah sampai lebih 3 tahun lalu belum tentu boleh jumpa jalan masuk itu dengan sekali pandang. Dan bila dah tahu di manakah jalan masuknya pun belum tentu berani hendak mengambilnya. Ini kerana keadaannya seperti tempat jin bertendang. Sehingga kawan saya Shamsul merasa ragu-ragu kalau tidak diberikan jaminan boleh sampai ke hujung...
Kami pergi hingga sampai ke gigi air di mana Sungai Bera betul-betul bertemu dengan Sungai Pahang. Lihat artikel On to the actual estuary that is Kuala Bera di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Dahulu saya tak sempat sampai ke bahagian tersebut kerana sudah hampir waktu Maghrib. Sedangkan ada benda lain lagi mahu dicari di Kuala Bera. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Batu nesan 1,000 tahun Islam Pahang, panggilan Tasik Chini dan pencarian di Kuala Bera.
Sesungguhnya pengalaman banyak mengembara ke merata ceruk rantau sangat-sangat membantu untuk menentukan tempat-tempat yang patut disinggahi dan jalan terbaik untuk mencapainya. Disebabkan pengalamanlah saya boleh memberitahu Shamsul dengan yakin bahawa dari Kuala Bera kita boleh bergerak ke bandar diraja Pekan, Pahang menggunakan jalan yang kelihatan. Kalau tidak perlu mengambil jalan lain di sebelah utara...
Disebabkan pernah mengambil laluan ini sekurang-kurangnya 2 kali saya tahu bagaimana dekat ia menyusuri Sungai Pahang. Ia asalnya adalah laluan yang terputus-putus. Setelah beberapa lama baru disambungkan sehingga boleh sampai ke Pekan.
Ternyata Shamsul amat teruja. Kata beliau inilah laluan terbaik setakat ini beliau temui untuk memandu uji kereta. Ia kerana ia cukup ciri-ciri untuk memecut, bermain dengan liku serta turun naik bukit. Ada pula perbezaan kondisi jalan antara elok bertar dengan sedikit bahagian kasar. Dan semua ini berlatarbelakang pemandangan cantik sungai, bukit bukau dan kawasan kampung tradisional.
Jam 7.21 kami menghampiri Pekan.
Namun bandar diraja negeri Pahang itu bukanlah tujuan utama kami ketika itu. Sebaliknya kami mengambil jambatan menyeberangi Sungai Pahang ke suatu tempat yang masih di dalam lingkungan daerah Pekan...
Kami mahu pergi ke bahagian paling dekat kuala Sungai Pahang boleh dicapai dengan kereta. Untuk itu kenalah pergi ke tempat bernama Kuala Pahang.
Cuma kami sampai selepas masuk waktu Maghrib. Ternyata pula kuala sungai kini terletak lebih jauh ke laut disebabkan berlakunya kerja-kerja penambakan. Lihat artikel Pressing on further down the Pahang river mouth.
Selesai itu baru menyeberang kembali jambatan untuk masuk ke bandar Pekan di mana kami makan malam juga mengisi minyak. Dekat jam 11 baru mengorak langkah kembali ke Lembah Klang. Shamsul yang menetap di Bukit Damansara menghantar saya sehingga ke Bandar Sungai Buaya, Rawang. Didapati ketika itu kami sudah mengembara sejauh 1050 km dalam tempoh 20 jam!