Awal pagi Jumaat 30 Ogos 2019. Kami bangunan awal untuk menunaikan solat Tahajud sambil membiarkan anak-anak terus tidur nyenyak.
Oh. Kami tidur di masjid lama di Tapak Tuan. Memang kena bangun awal pun kerana orang sudah sampai untuk solat berjemaah Subuh.
Kereta-kereta kami diparkir dalam halaman masjid dengan kebenaran imam. Kami tiada masalah berurusan dengannya walau sampai lewat kerana seorang kawan Aceh kami, saudara Fadhlan yang memandu kereta sendiri untuk membawa saya dan keluarga memang orang Tapak Tuan.
Tetapi lebih menarik lagi, di situ juga terdapat sebuah makam panjang yang disebabkan orangnyalah Tapak Tuan mendapat nama. Lihat
Makam (Tomb of) Tuan Tapa.
Kami mengambil masa menziarahi makam sebelum berjalan kaki melihat kawasan berdekatan.
Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada imam kami keluar dengan kereta lalu bersarapan di satu kawasan.
Dari situ berjalan kaki pula ke tempat yang menjadi asbab nama Tapak Tuan.
Asbab apakah itu? Poster besar ini boleh memberikan gambaran...
Jam 8.30 pagi kami singgah di masjid utama Tapak Tuan.
Fadhlan mahu menunjukkan lokasi tapak rumah ibunya sebelum mereka berpindah ke Banda Aceh entah berapa tahun lalu.
Di lokasi ke-2 yang terletak di tepi jalan utama menghala ke selatan kami berpisah arah. Fadhlan mahu berehat di Tapak Tuan sebelum memandu seorang diri kembali ke Banda Aceh, dekat 440 km perjalanan. Saya dan keluarga pula berpindah ke kereta lagi satu iaitu kereta yang dinaiki oleh 4 orang kawan (2 pasangan suami isteri yang lebih tua) dan dipandu oleh seorang lagi kawan dari Aceh yang dikenali sebagai Agam. Yang ini memang kereta sewa yang diusahakan beliau. Kami anak beranak kira menumpang untuk segmen perjalanan seterusnya lalu duduk di kerusi paling belakang.
Sebahagian barangan kami termasuk baju kotor daripada hari-hari sebelum itu telah dimuatkan ke dalam kereta Fadhlan. Dapatlah kerusi belakang itu digunakan sepenuhnya untuk kami 4 beranak walau harus bersempit juga.
Jam 10.54 kami sampai ke satu wilayah yang dikenali sebagai Trumon. Ia pernah menjadi kerajaan bawahan Kesultanan Aceh tetapi memiliki raja-raja sendiri abad ke-18.
Walaupun raja pertama Trumon asalnya dihantar oleh Sultan Aceh untuk menjadi wakil menguasai dan mengendalikan wilayah sehingga ke Singkil ia dapat membina kekuatan sendiri hasil berdagang lada hitam dengan pihak luar sehingga berani engkar dengan Sultan Aceh. Ada tinggalan makam raja-raja Trumon juga masjid berdekatan. Ada sebuah benteng agak besar untuk bertahan daripada serangan mana-mana pihak yang tidak diingini. Lihat artikel-artikel berikut :-
Oh, baru teringat. Terdapat 2-3 lokasi di pantai barat Aceh yang pernah menjadi begitu maju dan dicemburui sehingga pernah diserang kapal perang daripada Amerika Syarikat 200 tahun lalu! Untuk butiran cuba cari sendiri ya. Memang ada. Jam 12.40 tengah hari kami makan di suatu tempat dalam perjalanan ke Barus. Tak sempat hendak menunaikan solat Jumaat kerana tak jumpa apa-apa masjid antara Trumon dengan bandar terdekat selepas itu iaitu Subulussalam pada waktunya.
Niat kami kalau terjumpa masjid di tepi jalan ketika hampir sampai waktu maka baru berhenti untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah. Kami tiada masa untuk menunggu lama di mana-mana masjid sebelum masuk waktu. Lagipun tak wajib pun untuk kami yang sedang bermusafir jauh.
Adapun Trumon terletak kira-kira 88 km selepas Tapak Tuan. Pada ketika gambar atas ini diambil jam 1.22 pula kami sudah bergerak ke tenggara dalam 48 km dari Trumon. Saya tahu ini kerana gambar menunjukkan kami sedang menyeberang satu-satunya sungai besar dalam laluan pada siang hari itu. Sungai yang sama boleh membawa ke makam seorang ulamak besar terkenal bertaraf wali 45 km mengikut liku-likunya ke hilir. Saya dah semak menggunakan Google Map...
Kalau lalu dengan kereta kena masuk bandar Subulussalam 32 km dari jambatan tadi. Selepas itu masuk jalan lain sejauh 24 km.
Nasib baik Subulussalam terletak pada laluan ke Barus. Jadi cuma 24 km pergi campur 24 km balik sahaja yang terkeluar daripada laluan. Namun tetap jauh itu...
Jam 2.46 kami pun sampai. Ketika itu saya masih berharapan dapat sampai ke Barus sekitar 150 km perjalanan sebelum masuk waktu Maghrib sekitar jam 6.30. Kalau ikut Google Map harapan masih realistik kerana jarak melalui jalan berliku-liku itu katanya dapat dicapai dalam tempoh 3 jam 50 minit. Malah saya berharap dapat menziarahi makam-makam penting di Barus sebelum berehat waktu malam.
Kami juga mengambil masa untuk menikmati pemandangan sungai besar di sebelah kompleks makam. Inilah sungai yang diseberangi dengan jambatan sebelum bandar Subulussalam pada jam 1.22 tadi. Semakan peta menunjukkan kualanya terletak dekat pekan Singkil. Lihat
River besides tomb of Hamzah Fansuri at Kampung Oboh.
Seterusnya kami menunaikan solat jamak Zohor diikuti solat berjemaah Asar di sebuah masjid 6 km ke utara makam. Masjid ini membawa nama besar ulamak yang dimakamkan. Lihat
Masjid (Mosque of) Hamzah Fansuri, Pasar Rundeng. Untuk pengetahuan Sheikh Hamzah adalah seorang daripada 4 orang ulamak paling besar dan terkenal dalam sejarah Aceh sepanjang zaman. Selain tercatat sebagai seorang wali besar abad ke-16 dan 17 Masihi beliau ada seorang pujangga dan sasterawan. Biar dikongsikan lirik lagu Kias Fansuri nyanyian dan tulisan M. Nasir.
Tak sempat dipapas
Hidangan ku habis
Bila ku terpandang
Dia melangkah masuk hendak menjamu selera
Geletar lututku
Di belakang tabir
Bila ku terdengar
Namaku dipanggil
Dia matanya merah menyala
Dia... hadiahkan tubuhku
Tujuh lacutan pedang saktinya
Dia...
Jangan sesekali kau ceritakan
Pengalamanmu Yusuf
Takut-takut mengundang bencana
Siapa tahu
Betapa berat cinta yang ditanggung
Sehingga dia sanggup lakukan
Biar apa saja demi mendapatkan
Restu Sultan cahaya hatinya
Tak sia-sia azam Zulaikha
Bisa jadi cermin mengintai jiwa
Tak sia-sia mimpi Zulaikha
Bisa jadi…
Jam 4.11 baru kami menyambung perjalanan. Biar dikongsikan pula sebahagian daripada Syair Perahu karangan Hamzah Fansuri...
Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i'tikat diperbetuli sudah
Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil hidupmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal hidupmu
Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.
Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu
Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.
Dipendekkan cerita kami sampai ke Barus selepas jam 10 malam. Biar diberitahu bahawa nama Fansuri pada Hamzah Fansuri itu merujuk kepada tempat asal dan lahir beliau iaitu Fansur. Ramai percaya ia adalah nama lama bagi Barus sedangkan Barus suatu masa lalu pernah meliputi daerah Singkil juga wilayah di mana terletaknya makam Sheikh Hamzah.
Namun ada yang percaya Fansur itu merujuk kepada Panchor satu daerah hujung daratan utara Sumatera yang sekarang dikenali sebagai Hujung Pancu. Letaknya cuma 10 km dari Banda Aceh sedangkan Barus terletak 700 km jauh. Di situ ada satu makam yang juga dikatakan milik Hamzah Fansuri. Rujuk artikel lama
Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri.
Apapun ada makam ulamak-ulamak lain menjadi sasaran kami di Barus. Ia adalah makam pendakwah-pendakwah yang boleh jadi adalah sebahagian daripada 124,000 sahabat Rasulullah SAW. Tunggu apabila sampai masa untuk berkongsi cerita hari ke-4 pengembaraan.
Sekadar memberitahu. Adapun kesemua 14 artikel sokongan bagi penceritaan hari ke-3 ini ditulis di Perpustakaan Negara selepas menghadiri satu wacana ilmu tentang silat Hang Tuah hingga jam 1 petang. Selepas makan tengah hari saya pun menulis artikel-artikel tersebut. Selepas jam 6.30 siaplah ia lalu saya pun memulakan penceritaan utama iaitu artikel ini. Tapi setakat dapat menyiapkan sehingga bab tapak kaki gergasi menerbitkan nama Tapak Tuan sebelum perpustakaan tutup jam 7. Masuk jam 9.30 baru dapat menyambung kembali di rumah selepas selesai makan malam di luar.
Insyaallah artikel tentang wacana silat Hang Tuah itu akan dibuat esok selepas menghadiri satu majlis diskusi di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi hingga tengah hari. Selepas itu akan dibuat artikel tentang diskusi buku. Hari Khamis saya bercadang untuk menulis artikel hari ke-2 perjalanan Perak baru ini. Jumaat selepas solat pula ada rancangan untuk menghadiri satu majlis ilmu lain di ISTAC sebelum mengikuti satu syarahan pada malamnya.
Sabtu hingga Ahad ada perjalanan mahu dibuat singgah ke beberapa tempat di Seremban atas cadangan isteri. Oleh itu tak dapat janjilah ya bila cerita hari ke-4 pengembaraan Aceh dan utara Sumatera akan dikeluarkan. Tunggu... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan