Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, September 16, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno

Salam pagi Isnin 16 September 2019 bersamaan 16 Muharram 1441 Hijriah. Adapun pada tarikh 16 September ini kita menyambut Hari Malaysia atau ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-56. Saya pula mengambil peluang berkelana ke Perak sejak semalam sempena esok pagi akan membuat pembentangan tentang hubungan Aceh-Perak di satu majlis ilmu dipanggil SIMPORA (Simposium Nusantara) 2019 di Ipoh. Pada ketika ini saya sedang menulis di atas kepuk makam Tok Temong di Kampung Temong Hulu, Kuala Kangsar. Bersambung penceritaan daripada artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Penerbangan yang dilewatkan, keindahan Lhok Seudu dan 'panggilan' Ja Tirom.


Awal pagi Khamis 29 Ogos 2019, kami sekeluarga dan kawan-kawan menikmati sarapan ringkas yang disediakan oleh penduduk tempatan.


Kami telah bermalam di rumah ini, dalam satu kawasan perumahan untuk mangsa Tsunami (yang melanda dan membunuh lebih 200,000 jiwa di Aceh 26 Disember 2004). Dipanggil Kompleks Nurin Mansoriah ia terletak di Lhoong 50 lebih km dari Aceh. Kompleks yang terdiri daripada 100 buah rumah ini didirikan oleh seorang rakan kami di Kuala Lumpur yang biasa berulang-alik ke Aceh.  Sebab itu penjaga di rumah sebelah melayan kami bagai tetamu khas. Lihat artikel Morning in Lhoong di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Sekitar jam 6.55 pagi waktu tempatan kami meninggalkan kompleks untuk menyambung perjalanan menyusuri pantai barat Aceh lebih jauh ke selatan.


Sampai satu bahagian di mana jalan raya terletak begitu rapat dengan pantai kami tertarik dengan pemandangan ombak kuat Lautan Hindi menerjah pantai lalu turun untuk singgah mengambil gambar. Lihat The waves at Meunasah Lhok.


Seterusnya kami dapat tahu di situ terdapat makam seorang ulamak yang mati syahid menentang Belanda awal abad ke-20. Lihat artikel Makam (Tomb of) Teungku Abdullah bin Yakub, Meunasah Lhok di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kami juga dapat tahu sebenarnya kawasan pantai itu asalnya adalah daratan yang melebar lagi 200 meter ke laut. Pernah terdapat kampung dengan ramai penduduk serta banyak pokok kelapa. Tetapi semuanya musnah akibat terjahan ombak ganas Tsunami.


Selepas pantai jalan mula menaik berliku-liku ke atas bukit.


Sampai suatu bahagian di tengah lereng bukit kami berhenti untuk mendapatkan sarapan yang lebih berisi.





Tempat ini dipilih kerana memberikan pemandangan menakjubkan daratan dan lautan.


Persinggahan memang dirancang sejak tahu tentang kewujudan tempat sekitar 2 minggu sebelum berlepas ke Aceh. Lihat Views from Puncak Geurute.


Selepas itu jalan mula menuruni bukit lalu kami sampai ke satu daerah bernama Lamno. Di sini pernah wujud pusat sebuah kerajaan Islam lama bernama Daya, kemudian menjadi sebahagian daripada kerajaan Aceh Darussalam.


Kami mahu menziarahi makam raja yang mengasaskan kerajaan tersebut lebih 500 tahun yang lampau. Oh. Sebelum itu kami menziarahi makam ulamak yang pernah menjadi mufti besar kerajaan dan mendampingi raja . Lihat artikel Makam (Tomb of) Mahdumsyah Daya diikuti Makam (Tomb of) Sultan Alaiddin Riayat Syah Daya.


Kedudukan makam dan kompleks atas bukit menghadap satu teluk memberikan pemandangan yang sangat menarik. Lihat Views from tomb of Poteumeureuhom Daya.


Adapun artikel yang dipautkan tadi serta artikel-artikel sokongan sebelumnya ditulis di surau Kampung Temong tempat saya beriktikaf dan menginap malam tadi. Selepas bangun Tahajud  tergerak untuk menulis sementara menunggu masuk waktu Subuh. Yang cantiknya didapati buat pertama kali sejak sekian lama saya dapat menggunakan hotspot daripada telefon bimbit masuk ke  dalam laptop lalu menulis. Cuma tak berjaya mencapai hajat mahu menyiapkan semua tulisan sebelum matahari naik. 

Kemudian timbul rasa teramat lapar lalu selepas mandi saya keluar mencari warung untuk bersarapan. Penulisan disambung di hadapan malah atas kepuk makam pembesar Melayu perempuan Perak 500 tahun lalu yang dikenali sebagai Tok Temong. Artikel bertajuk Makam (Tomb of) Raja Garut Nurullah (menunjukkan satu kompleks makam atas lagi bukit dari makam Sultan Daya) ditulis di makam Tok Temong.


Ia diikuti artikel tentang masjid (dalam gambar) yang masih terletak di dalam kawasan tapak pusat kerajaan Daya. Lihat Masjid Jamik (Main mosque of) Mereuhom Daya. Dengan selesainya ziarah ke makam raja yang mengasaskan kerajaan juga masjid yang dinamakan sempena panggilan ke atas baginda (Marhum Daya) barulah boleh dilaksanakan misi utama seterusnya iaitu mencari keturunan Portugis yang katanya bermata biru di Lamno. Untuk pengetahuan mereka adalah keturunan orang Portugis yang sudah berkurun lama memeluk Islam lalu mengahwini wanita tempatan dan beranak pinak hingga ke hari ini. Nenek moyang terawal mereka di Aceh memeluk Islam setelah kalah perang lalu ditawan oleh pasukan Sultan Alaiddin Riayat Syah. Raja yang dikenali sebagai Marhum Daya (selepas mangkat) itu dihantar dari kawasan berdekatan Banda Aceh sekarang ke pantai barat Aceh semata-mata untuk menangani Portugis yang mengancam Pulau Sumatera lebih 500 tahun lalu.


Orang Aceh keturunan Portugis bermata biru ini ramai menetap terus di Lamno. Tapi ada yang kata ramai terkorban akibat Tsunami 15 tahun lalu. Kawan kami orang Aceh, si Fadhlan Amini yang memandu kereta sendiri untuk membawa saya dan keluarga pun tak pasti di manakah harus dicari di Lamno itu. Kata beliau mereka amat pemalu dan tidak mahu menunjukkan muka kepada umum. Kami harus lepak lama di warung atau sebagainya berbaik-baik dengan orang tempatan kemudian baru cuba ditanya di manakah boleh ditemui mereka. 


Adapun saya masuk ke masjid untuk mengambil gambar-gambar sambil yang lain menunggu dalam kereta. Begitulah kebiasaan saya di mana-mana agar tidak terlalu menyusahkan ketika saya sendiri hendak melayan perangai suka mengambil gambar. Kecuali anak dan isteri hendak ikut sekali saya tak paksa. Satu lagi kereta mengandungi kawan-kawan pula sudah lebih awal meninggalkan tapak pusat kerajaan. 

Ketika keluar dari masjid ternampak sekumpulan laki-laki lalu tergerak untuk bertanya di manakah boleh dicari si mata biru keturunan Portugis Lamno. Ketika itulah baru tersedar semua orang-orang yang berkumpul itu memiliki ciri-ciri paras rupa darah campuran Barat. Cuma sudah tidak begitu ketara dan kulit pun agak gelap.


Seorang membawa saya ke sebuah sekolah berdekatan di mana katanya ada anak-anak yang masih jelas memiliki rupa paras Barat. Orang Aceh menyebutnya sebagai 'bulek'. Isteri kemudian ikut sama...


Apabila mendapat tahu kami dari Malaysia cikgu-cikgu sekolah sampai sanggup memanggil semua anak-anak keluar kelas untuk bertemu dengan kami. Tetapi yang jelas berkulit putih berambut perang pula lari tidak mahu diambil gambar...


Dipendekkan cerita kami ditunjukkan ke sebuah sekolah lain pula yang ada anak berupa 'bulek'.


Itupun harus dipujuk beberapa kali sebelum sanggup diambil gambar baik oleh saya mahupun bersama dengan isteri. Yang ini bukan soal malu lagi malah dia betul-betul takut. Katanya takut diculik orang. Rupa-rupanya, menurut cerita orang yang didengar kemudian, memang terdapat kes anak-anak comel bermuka Eropah dan Barat di Lamno diambil orang terutama sekitar masa kekacauan selepas Tsunami.


Seterusnya kami ditunjukkan arah ke rumah anak lelaki yang bergambar dengan isteri saya tadi. Dapatlah berkenalan dengan ayah mereka lalu ditunjukkan anak perempuannya yang juga berambut perang seperti abangnya. Cuma mereka tidak bermata biru. Ayahnya pun tidaklah kelihatan seperti Orang Putih sangat. Tetapi ciri-ciri darah campur itu jelas kelihatan pada mereka yang peka.


Melihat pada ciri-ciri rupa paras ibu mereka pula nampaknya memang tiada langsung kerana dia rupanya bukan orang Lamno. Ayahnya yang orang sini berdarah keturunan Portugis itu. Namun lihat anak kecil yang didukung. Walau tidak bermata biru, ciri-ciri terutama rambut perang itu jelas nyata. 


Sebetulnya sepanjang berjalan merata dari sekolah ke sekolah kemudian ke rumah itu saya dapat melihat beberapa orang penduduk dewasa yang matanya masih ada sedikit biru dengan warna kulit campur. Selain daripada itu lebih ramai yang matanya berwarna coklat cair, satu lagi warna mata yang biasa terdapat pada orang Eropah dan Barat termasuk Portugis. Tapi takkanlah nak ambil gambar? Masuk kampung orang tak pasal-pasal tahan penduduk sedang naik motosikal lalu ambil gambar sedangkan kita sudah sedia maklum mereka ini pemalu dan tidak suka dikenali orang.

Yang pasti saya telah menyaksikan dengan mata kepala sendiri bahawa di Lamno itu memang wujud satu komuniti penduduk dengan rupa paras Barat termasuk yang sedikit bermata biru walau tak sepenuhnya 'menyala' berwarna biru. Di atas adalah satu collage gambar yang ditemui setelah membuat carian Google "si mata biru Lamno".


Nah. Lihat salah satu wajah orang Aceh Lamno yang boleh ditemui di Internet. Begitu cantik, jelas rupa paras darah campuran Baratnya namun begitu sopan bertudung litup dan pemalu. Bandingkan dengan orang yang katanya berketurunan Portugis di Melaka (konon). Memang jauh panggang dari api.

Yang di Melaka tu dahlah rata-rata kulit gelap muka India Keling tapi lagaknya? Mereka amat berbangga dengan pemakaian dan cara kehidupan budaya Barat, dengan agama Kristian dan lain-lain hal yang mahu menonjolkan asal usul dari Eropah (konon). Tetapi lihat pada rupa paras mereka. Saya syak mereka bukan keturunan Portugis pun. Tetapi keturunan Keling yang bekerja dengan Portugis di Goa, India lalu dibawa ikut sama ke Melaka. Bukan kita tak tahu Keling ni lagaknya bagaimana. Kalau rasa educated sikit, boleh cakap Omputih sedikit peegggh... lagaknya lebih teruk daripada Orang Putih. Kita orang Melayu dan Bahasa Melayu  sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dipandangnya sebelah mata aje.

Tapi orang keturunan Portugis di Aceh yang masih jelas ada rupa paras Baratnya? Mereka bukan sahaja para Muslimin dan Muslimat yang taat. Mereka tidak sesekali berbangga dengan rupa paras yang boleh dikatakan elok cantik terserlah itu. Malah mereka merasa malu pula! Sebab apa? Setelah beberapa jam meninggalkan Lamno baru saya tahu. 


Seorang kawan Aceh kami, saudara Agam Al Usmani memberitahu, mereka malu dengan orang lain Aceh kerana rupa paras mereka seperti orang kafir. Saya pada mulanya bingung mendengar ini. Kalau di Malaysia ada rupa paras Omputih sikit pun ramai dah rasa bangga, rasa diri lebih bagus daripada orang Melayu tulen. Kemudian isteri mengingatkan bukankah saya sendiri pernah merasakan sebegitu? Bukankah saya pernah menulis dalam buku tetang hal rasa malu berparas rupa seperti Mat Saleh ketika membesar zaman kanak-kanak di Muar? 

Ah. Baru teringat. Memang rasa malu ketika itu kerana dilahirkan terserlah berkulit putih halus licin bersih lagi berambut perang. Biar dicopy paste bahagian berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006, satu bahagian dalam memahami apakah itu Melayu...


-----------


... seorang pakcik berumur sekitar 80 tahun tetapi masih tegap mengerjakan kebun sayurnya yang luas di kawasan pergunungan Pahang pernah menyoal Rasyid, apakah itu Melayu, apakah makna bangsa Melayu. Mengapa di Tanah Melayu ini Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Mengapa perlembagaan negara Malaysia ada menyebut takrif Melayu adalah orang Islam yang bermastautin di negara ini, bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat-istiadat Melayu...

“Cuba kamu teliti balik muka orang Melayu. Ada yang putih, ada sawo matang, ada yang gelap. Ada muka India, ada muka Cina, muka Arab dengan Mat Saleh pun ada,” orang tua itu memulakan satu polemik. 

“Tengok dan cermin diri kamu sendiri,” pakcik itu menuding ke arah anak muda itu. “Kulit putih merah, rambut perang, hidung mancung, mata coklat. Di manakah letak Melayunya? Adakah pada paras rupa?”

Rasyid terdiam. Teringat zaman kanak-kanaknya di mana dia sering diejek sebagai “Mat Saleh Celup”. Rupa macam Orang Putih tapi bukan... Sehingga dia pernah merasa malu malah benci melihat kulitnya yang putih bersih dan rambutnya yang sedikit keperangan. Kalau bersekolah di Kuala Lumpur, di St. John atau Victoria Institution lainlah juga kerana ada ramai Pan-Asian, anak kacukan yang ibu atau bapanya Mat Saleh. Ini di Muar, Johor. Jarang terdapat orang Melayu ‘tulin’ dengan rupa-paras begini. Lainlah kalau ada darah Orang Putih, tak pun Arab. Setahu anak muda itu, ayah dan ibunya tidak memiliki darah Mat Saleh walaupun mereka berdua memang berkulit putih cerah. 

Semasa di sekolah menengah pula, dia pernah ditegur seorang guru yang mengatakan rambutnya merah seperti rambut Sakai atau rambut orang tak mandi. Sedangkan Tuhan telah menjadikan rupa-parasnya semulajadi begini. Rasyid pernah terasa malu dengan keadaannya terutama kulitnya yang putih kemerahan bersih kerana selalu diejek rakan-rakan sebagai licin macam kulit perempuan... Sehingga dia sengaja membiarkan kulitnya tergores sampai luka-luka apabila bersukan terutama ketika bermain ragbi, supaya dapat parut yang membuktikan ‘kelakian’. Nak bagi nampak macho lah konon...

‘Malangnya’ kulitnya cepat sembuh dan tetap putih kemerahan bersih. Malah boleh dikatakan tidak ada parut langsung di tubuhnya walaupun dia telah berkali-kali luka kerana perangai lasaknya kecuali sedikit bekas luka yang dalam di tempat tertentu dan suntikan BCG di bahu. Yang eloknya, apabila umurnya meningkat remaja, ramai pula pelajar perempuan  yang menunjukkan minat terhadap rupa-paras anak muda ini. Dan yang pelik, satu hari nanti, manusia-manusia yang pernah mengejeknya sebagai Mat Saleh Celup berkulit licin macam perempuan pula yang akan sibuk mencari jalan untuk memutih dan mencantikkan kulit di samping mewarnakan rambut menjadi perang atau lebih terang...



Ya. Saya sendiri pernah merasa terganggu akibat memiliki rupa paras yang kelihatan keBaratan. Walhal yang tahu ketika itu saya cuma seorang anak Melayu biasa. Maka itu saya faham apabila kawan Aceh memberitahu orang-orang berupa 'Bulek' seperti di Lamno itu sampai sanggup menghitamkan rambut dengan arang dan sengaja membiarkan kulit mereka terkena panas matahari supaya gelap. Kerana mereka tidak mahu kelihatan terasing apa lagi apabila dikaitkan dengan orang kafir.

Dah masuk umur 15 tahun tahun 1985 baru saya tidak merasa malu lagi kerana rupa keBaratan yang selalu dikutuk-kutuk orang itu ternyata menjadi tarikan buat orang perempuan lalu ia menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan pula. Apapun, dah masuk umur 30an baru dapat tahu rupa 'keBaratan' itu adalah disebabkan nenek moyang dahulukala sebenarnya berdarah Arab-Parsi. Itupun bila dah berumur dan tak jaga rupa ia agak pudar. Tetapi ciri-ciri rupa darah campur itu tetap ada, tak hilang sampai sekarang. 

Selain kawan-kawan berdarah campur terdapat tiga orang sepupu perempuan saya berkahwin dengan orang Barat, dua orang laki-laki warga Amerika Syarikat, seorang berdarah Scottish (Scotland), seorang berdarah Muslim Bosnia. Seorang lagi pula berkahwin dengan warga New Zealand. Jadi saya sudah cukup biasa dan boleh mengenal rupa paras orang yang ada darah kacukan. Bukan seperti 'keturunan Portugis' di Melaka yang lagaknya boleh melebihi orang Eropah sejati tapi rupa parasnya lebih pada Keling India. 


Ah.  Sedar tak sedar sudah 3 jam saya berada di makam Tok Temong menulis untuk melepaskan gerak. Sampai beralih dari kepuk ke bangunan sebelah makam untuk menggunakan kipas juga bekalan eletrik.  Padahal ikut rancangan selepas ziarah makam saya mahu naik menyeberangi jambatan lama besi untuk kereta api yang dikenali sebagai Victoria Bridge, kemudian makan laksa kegemaran di Kota Lama Kanan sebelum bertukar baju untuk menyertai himpunan komuniti bertanjak di tengah bandar diraja Kuala Kangsar sempena Hari Malaysia. Maka itu cukuplah artikel ini meliputi separuh daripada hari ke-2 perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera ya. Selain itu biar 'dilampirkan' pautan untuk live videos yang telah dibuat bagi segmen berkenaan...


Pagi Khamis di Lhoong - sini

Makam syahid tepi pantai - sini

Puncak Geurute - sini

Mencari keturunan Portugis mata biru di Lamno - sini


1 ulasan:

Jerry R3dskai berkata...

Teruskan berkarya & mencari jatidiri Tuan.. Blogspot yg bertahan seperti ini makin berkurangan sejak adanya medan fb.����