Salam petang Jumaat. Menyambung gerak penulisan sama daripada artikel
Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru. Ada disebut dalam artikel itu bahawa asalnya saya mahu menulis tentang satu majlis ilmu yang dihadiri semalam. Tetapi dilepaskan dahulu hal pesta buku setelah terlihat gambar-gambar berkenaan dalam fail bulan Mac. Sekarang barulah boleh bercerita tentang majlis ilmu tersebut....
Dirujuk di atas poster tentang majlis ilmu yang dimaksudkan. Maklumat yang terpapar harus cukup jelas. Sebelum ke lokasi majlis di Dewan Bahasa Pustaka pagi semalam Khamis 7 Mac 2019 ada sedikit konflik nak pergi ke tidak. Ini disebabkan badan tak berapa sedap. Nak menelaah ilmu baca buku dan sebagainya 2-3 hari kebelakangan ini terasa susah nak masuk kepala.
Selain itu ada soal siapa hendak mengambil anak-anak daripada sekolah kebangsaan jam 1 petang nanti kemudian menghantar mereka ke sekolah agama sebelum 2.30. Persoalan ini harus ditangani terlebih dahulu sebelum saya keluar ke mana-mana majlis yang biasanya diadakan di Kuala Lumpur 40 km dari rumah. Kebiasaannya saya yang harus mengambil dan menghantar anak-anak kerana bekerja daripada rumah. Kalau keluar jauh daripada kawasan perumahan sama ada saya harus berkejar kembali pantas untuk menguruskan anak-anak atau isteri harus bergerak 13 km meninggalkan pejabat beliau di Rawang semasa waktu rehat makan tengah hari kemudian kembali ke pejabat selepas jam 2.
Ah. Kebelakangan ini banyak kali pula saya menyebut tentang urusan anak-anak yang harus ditangani. Mungkin kerana begitu banyak majlis ilmu harus dihadiri dalam tempoh sebulan dua kebelakangan. Walaupun bukan wajib pergi tapi atas dasar sayangkan ilmu juga perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam saya cuba menghadiri selagi larat dan terasa ada kelapangan. Untuk majlis semalam isteri bersetuju menangani anak-anak. Cuma beliau meminta saya menghantar satu barangan berupa hadiah kepada seorang kawan kami di bahagian lain Kuala Lumpur selepas jam 3. Selepas itu saya harus berkejar untuk mengambil anak-anak balik sekolah agama jam 5.30 kemudian menghantar mereka mengaji Mukaddam dan Al-Quran.
Nak jadi cerita sebelum keluar rumah mesin basuh buat hal sedangkan basuhan hampir siap. Dah jadi kebiasaan isteri memasukkan pakaian ke dalam mesin sebelum bergerak ke pejabat, saya menyidainya di halaman rumah selepas siap basuhan. Saya pun cuba mencari punca masalah. Alhamdulillah dapat dibetulkan tetapi memakan masa lalu saya keluar lewat. Sampai ke DBP pula tersilap masuk ke bahagian lain bangunan. Rupa-rupanya majlis diadakan di satu bahagian yang saya tidak biasa sampai. Dipendekkan cerita jam 10.53 baru saya berada dalam dewan.
Ternyata saya telah terlepas pembentangan daripada ahli panel pertama iaitu Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican. Penulis buku "Batu Uban : Sejarah Awal Pulau Pinang" ini boleh dikatakan orang paling lantang mempersoalkan sejarah rasmi Pulau Pinang yang pro-Barat. Ini merujuk kepada kenyataan yang bisa kita dengar bahawa Pulau Pinang dibuka oleh pedagang Inggeris bernama Francis Light pada tahun 1786. Sejarah 'rasmi' inilah yang sering digunakan oleh pihak chauvinist untuk menolak keberadaan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.
Ketika saya sampai pembentang kedua Dr Ahmad Jelani Halimi sedang bercakap. Mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang ini terkenal sebagai seorang pakar pengkaji perkapalan Melayu lama. Namun kali ini beliau cuba mengupas suasana zaman di sebalik kedatangan Light.
Diceritakan bagaimana Light pernah bersifat biadap terhadap Sultan Kedah tetapi menjadi begitu bersopan santun dalam surat menyurat apabila memerlukan sesuatu. Diketahui umum bahawa Light harus mendapatkan Pulau Pinang untuk dijadikan pengkalan Inggeris daripada Sultan Kedah kerana pulau tersebut memang jajahan takluk Kedah. Ia didapatkan melalui perjanjian pajakan dengan Inggeris membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan kepada Sultan Kedah setiap tahun. Amalan membayar wang pajakan ini masih berjalan sehingga sekarang dengan jumlah sama (kalau tak salah $6,000 untuk pulau, $4,000 untuk bahagian di tanah besar iaitu Seberang Perai, dolar itu asalnya dalam matawang Sepanyol) walau jumlah tersebut telah jauh susut nilai.
Ahmad Jelani sedang bercakap. Terus terang cakap keupayaan saya untuk menyerap maklumat sedang berada pada tahap lemah. Oleh itu maafkan saya kalau perkongsian ini kurang lengkap.
Tidak berapa lama kemudian pembentang atau panelis ketiga, Abd Ur-Rahman Mohamed Amin mula berkongsi kajian. Yang saya dengar pensyarah Universiti Teknologi Petronas di Perak ini mahu bercerita tentang surat-surat Light. Tetapi beliau mengupas terlebih dahulu keberadaan awal Pulau Pinang.
Ditunjukkan satu peta lama lakaran barat abad ke-16 di mana ada tertera nama Pulau Pinang. Namun penekanan peta adalah terhadap kedudukan Melaka. Nama tempat-tempat lain disebut demi menjelaskan di manakah wilayah yang dinamakan Melaka itu berpusat di Semenanjung Tanah Melayu.
Disebut juga Pulau Pinang pernah dikenali sebagai Pulo Ka Satu.
Ketika Inggeris sampai tahun 1786 sudah ada sejumlah penempatan...
Disebut nama-nama asal beberapa tempat misalnya Tanjung Penaga...
Inilah kawasan pesat bandar raya yang kini dikenali sebagai Georgetown. Kalau sebut Tanjung Penaga entah berapa orang sahaja kenal...
Berdasarkan surat-menyurat Light juga pegawai penting Inggeris yang lain dengan Sultan Kedah dan para pembesar Melayu dapat dilihat bagaimana pendudukan Inggeris di Pulau Pinang mengambil masa untuk dirancang lalu mencapai kata sepakat...
Pendek kata terdapat banyak bahan bukti yang boleh menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan 'dibuka' oleh Francis Light malah telah wujud dengan kampung-kampung orang Melayu sejak beberapa lama. Untuk mengakhiri artikel ini biar dipaparkan laporan Astro Awani tentang apa yang diperolehi daripada majlis semalam :-
Guna media sosial perbetul sejarah Pulau Pinang - Ahmad Murad
KUALA LUMPUR: Pengaruh media sosial akan digunakan untuk memperbetulkan sejarah Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light.
Penulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, ia termasuk mewujudkan kesedaran tentang tokoh-tokoh dan peristiwa sejarah menggunakan visual atau cerita pendek yang akan dipaparkan di platform media sosial.
"Apa yang saya lihat adalah, walaupun buku teks sejarah mengatakan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light, hanya 2018 sahaja tetapi ia tidak begitu jelas dari segi penerokaan awal Pulau Pinang, perhubungan Francis Light dan Sultan Kedah.
"Ada juga fakta yang tidak tepat, tahun yang tidak tepat dari segi merujuk kepada penempatan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
"Cuma dia merujuk dari buku saya dari segi peta, dari segi cerita orang Melayu di Pulau Pinang tetapi tahun itu tidak betul," katanya ketika ditemui selepas menjadi pembicara Forum Wadah Cendekia 'Francis Light Bukan Pembuka Pulau Pinang' di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada Khamis.
Selain Ahmad Murad, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halini dan pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Abdul Rahman Mohamaed Amin turut menjadi pembicara forum.
Buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang menceritakan tentang sejarah penempatan awal masyarakat Melayu Minangkabau di Batu Uban yang wujud sebelum kedatangan Francis Light.
Di dalam buku itu, Ahmad Murad menyediakan huraian lengkap menggunakan pelbagai fakta dan contoh berkaitan usaha membuktikan kepentingan perjuangan mendapatkan pengiktirafan tapak warisan kepada Batu Uban.
Beliau turut menerangkan kepentingan proses merungkai fakta sebenar kepentingan nasional sekali gus keperluan asas dalam reformasi persejarahan negara.
Dalam pada itu kata Ahmad Murad, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang respons daripada pihak berkuasa, kementerian, kerajaan negeri atau pusat mengenai isu tersebut.
"Kita sedang berusaha dari segi membuat kegiatan untuk mengalih kesedaran masyarakat terutamanya melibatkan tanggapan dan kesedaran popular serta apa yang perlu dilakukan ialah kita sedang memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai sejarah awal Pulau Pinang sebelum 1786.
"Kita bukan mengatakan bahawa sesiapa menjumpai Pulau Pinang, tidak. Cuma hendak kata sebelum itu Pulau Pinang sudah ada penduduk, sudah ada masyarakat, sudah ada undang-undang sebelum 1786 malah beratus tahun sebelum itu.
"Cuma dalam sejarah apa yang kita boleh kaji, terdapat kelompok masyarakat Melayu sejak tahun 1730-an lagi dengan adanya masjid, salasilah, cerita lisan, asal usul dan sebaginya," katanya.
------------
Untuk laporan asal sila rujuk
sini. Sekian perkongsian saya tentang majlis. Sekadar memberitahu semalam saya keluar dengan motosikal besar untuk mengikuti majlis kerana menyangkakan cuaca akan terang benderang sehingga petang. Tengok-tengok masuk jam 3 turun hujan lebat. Terpaksalah meredah untuk menyampaikan hadiah kepada kawan seperti diminta isteri. Kemudian harus ke Sentul pula untuk menggantikan cermin sisi motosikal yang tiba-tiba patah ketika hendak meninggalkan rumah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan