Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Februari 08, 2019

Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Membina wawasan masa hadapan

Salam siang Jumaat. Sampai masa untuk berkongsi cerita hari ke-3 dan terakhir seminar yang  berlangsung pagi hingga petang tadi. Bersambung daripada artikel Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Antara dasar dan pelaksanaan.


Pagi Jumaat 8 Februari 2018 saya bergegas ke ISTAC untuk sesi ke-5 seminar.


Moderator adalah Profesor Dr Thameen Ushama yang merupakan dekan ISTAC.  Kelihatan sedang bercakap adalah pembentang pertama sesi Profesor Dr Muhammed Haron daripada University of Botswana. Beliau membawa tajuk "Africa's Muslim Communities : Caught between Modernist Thought and Traditional Practices". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Masyarakat Muslim Afrika : Tersepit antara Pemikiran Modenis dan Amalan Tradisional".


Menggunakan banyak slaid untuk membawa persoalan pemikiran keIslaman di benua Afrika beliau membuka dengan pertanyaan apakah ada antara perkara-perkara yang akan dibentangkan boleh disebut sebagai pemikiran moden atau semasa Islam?


Bercakap tentang reformasi dalam pemikiran Islam ada semacam pertentangan antara apa yang dilabelkan beliau sebagai pemikiran moden (yang saya lihat bersifat Salafi-Wahabi) dengan pemikiran tradisional berlatarbelangkan ajaran Sufi dan Tariqat.





Banyak perkara tentang keadaan sosio-politik dan geo-politik melibatkan Islam di Afrika diketengahkan. Cuma sekali lagi saya lihat sudut yang dibawa seperti mengangkat pemikiran Salafi-Wahabi berlandaskan ajaran Ibnu Taimiyah, Ibnu Jauzi dan Muhammad ibnu Wahhab sambil ajaran Sufi dan Tasawuf pula diwarnakan seperti keterbelakang dan tidak sesuai dengan zaman malah tidak berapa Islamik.


Pembentang kedua sesi, Profesor Dr Suheyl Umar daripada Universiti of Central Punjab kelihatan membawa sudut pandang yang berlawanan. Beliau membawa tajuk "Prospects for Islamic Educational Reform in the Indian Subcontinent" - "Prospek untuk Reformasi Pendidikan Islam di benua kecil India".


Ia dibuka dengan pertanyaan kenapa subjek-subjek ilmu sains sosial seperti sastera dan kemanusiaan harus diajar kepada para pelajar sains bukan sosial seperti fizik, biologi dan kimia. Ini untuk membentuk insan yang tidak kaku nilai terutama apabila melibatkan perkara-perkara seperti perasan dan hati nurani yang mana tidak dapat diliputi dan difahami dengan baik oleh sains. Daripada situ beliau mula menyentuh perkara-perkara bersifat spiritual dan ketuhanan. Memang berbeza dengan pembentang pertama yang lebih menekankan kekuatan logik akal.


Sesi seterusnya adalah syarahan khas oleh Profesor Dr Ziauddin Sardar daripada Centre for Postnormal Policy and Future Studies di London. Beliau terkenal sebagai seorang pemikir Islam yang memiliki pandangan jauh terhadap apa yang boleh berlaku berpuluh tahun ke hadapan berdasarkan trend atau corak semasa keadaan.


Tajuk yang dibawa boleh diterjemahkan sebagai "Masa Hadapan Reformasi Islam - Satu Perspektif Kajian Masa Hadapan".


Beliau menekankan betapa penting kita cuba meramalkan keadaan yang bakal muncul pada masa hadapan untuk mengatur langkah sejak daripada sekarang. Diberikan contoh bagaimana Nabi Muhammad SAW mengatur proses hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah dalam tempoh 2 tahun supaya langkah mereka tidak dapat dikesan dan dipintas musuh.





Dua buku tentang kajian masa hadapan yang pernah ditulis beliau...


Ditunjukkan beberapa contoh bagaimana data dan statistik tentang keberadaan keadaan dunia harus diperhatikan untuk merangka langkah.


Misalnya taburan bekalan semulajadi air tawar yang berada dalam jangkauan...





Ditambah perubahan suhu dan cuaca dunia yang boleh mengubah bentuk muka bumi akan datang dan mempengaruhi pergerakan migrasi manusia apalagi memandangkan paling ramai manusia hidup dalam pelarian kini disebabkan faktor seperti perang dan sebagainya adalah umat Islam. Kita sudah harus memikirkan bagaimana untuk memberikan mereka penempatan, sumber kehidupan, makan minum dan sebagainya daripada sekarang.


Petang jam 3 iaitu berapa lama selepas solat Jumaat diadakan sesi istimewa yang asalnya tidak ada dalam seminar.


Ia adalah forum penutup dengan topik atau tajuk "World Economic Forum, Davos 2019 : Muslim Responses" - maklum balas orang Islam terhadap apa yang dibincangkan pada Forum Ekonomi Dunia 2019 yang berlangsung di Davos, Switzerland bulan lepas.


Forum ini muncul hasil cadangan Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Profesor Emeritus Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak. Merujuk kepada forum dunia tersebut beliau pernah memberitahu hadirin dalam satu majlis agar ISTAC mengambil inisiatif menerbitkan satu forum sendiri untuk mengangkat suara orang Islam. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC?.


Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar (paling kanan) bertindak sebagai moderator lalu meminta Dzulkifli (tengah) sebagai panelis pertama untuk memberitahu kenapa forum ini dibuat. Diulanglah perkara-perkara berkenaan seperti sudah disebut 3 minggu lalu sambil ditambah beberapa perkara lagi. Antaranya bagaimana forum di Davos itu menjadi tempat para elit korporat berkumpul membincangkan pelbagai perkara yang boleh menentukan hala tuju dunia. Namun adalah sesuatu yang canggung bila beberapa tahun dahulu 60 lebih orang elit dunia ini menguasai lebih 50% kekayaan ekonomi dunia lalu jumlah ini berkurang sehingga terbaru tinggal 8 orang sahaja memegang kek ekonomi tersebut.


Panelis kedua Ziauddin mengingatkan forum Davos itu memang kelab elit. Katanya Davos itu adalah tentang menjajah masa hadapan dunia melalui rangkaian elit mereka. Secara rata ia adalah kelab orang terlebih kaya merangka rancangan perluasan perniagaan mereka dengan cara sebaik mungkin (buat mereka) supaya boleh diagih-agihkan apa yang patut tanpa menimbulkan pertembungan antara mereka. Maka itu kita umat Islam memang memerlukan satu forum untuk merangka pula cari kita menghadapi cabaran ketamakan puak elit itu. Bukan sahaja itu, kita perlu memiliki wawasan sendiri demi memajukan ummah juga manusia sejagat yang sesuai dengan ajaran syumul Islam.


Panelis ketiga, Mudassar Ahmed daripada Concordia Forum, London menyatakan bagaimana umat Islam seperti dipandang rendah, pandangan mereka tidak diambil kira dalam forum-forum besar seperti di Davos. Hal ini menyebabkan kita merasa rendah diri - pandangan-pandangan pihak lain pula boleh dipaksakan ke atas kita untuk menentukan hala tuju dunia. Maka sudah sepatutnya kita memberikan maklum balas dan bertindak terhadap hal ini.


Panelis keempat, Profesor Dr Mohd Aslam Mohd Haneef yang merupakan pakar ekonomi di UIAM pula bercakap daripada sudut ilmu itu. Forum di Davos itu katanya cuma membawa nama Forum Ekonomi Dunia walhal sifat perbincangan mereka melanggar sama sekali makna ekonomi itu sendiri iaitu pengagihan hasil sebaik mungkin untuk semua pihak. Sedangkan Davos adalah untuk golongan elit menguasai dunia.

Secara rata forum malah rentak keseluruhan seminar hari ini boleh dikatakan bercakap tentang masa hadapan dan bagaimana hendak menanganinya. Bila bercakap tentang reformasi itu sendiri tentunya kita bercakap tentang perubahan untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Antara perkara dipersetujui forum khas di ISTAC adalah insyaallah akan diadakan setiap tahun selepas mengikuti perkembangan Forum Ekonomi Dunia yang diadakan di Davos pada hujung bulan Januari setiap tahun. Biar ia menjadi suara kuat Islam di luar perkumpulan yang biasa kita dengar seperti OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) dan sebagainya.

Dengan ini tidaklah saya mahu mengulas lebih panjang lebar lagi perkara. Pada ketika ini saya masih berada di ISTAC menunggu hujan surut sambil berkongsi cerita dan menunggu waktu Maghrib masuk. Cukuplah setakat ini.  Untuk rekod saya ini adalah artikel ke 1,747 di blogspot ini. Sekian wassalam.



Tiada ulasan: