Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Februari 11, 2019

Ilmu kebatinan jurus dalam silat dan kehidupan - Wacana ATMA di UKM

OK. Satu perkongsian ilmu daripada acara 2 hari lalu.


Minggu lepas saya menerima poster atas melalui WhatsApp. Adapun sudah agak lama saya tidak bertandang untuk mana-mana majlis ilmu anjuran ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) yang berada di bawah UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Untuk apa-apa majlis anjuran UKM pun saya sudah lama tidak bertandang kerana kedudukan tempat hampir 80 km dari rumah saya. Seingat saya sudah beberapa majlis ilmu di sana diwar-warkan melalui Facebook dan sebagainya. Ada beberapa melibatkan ilmu persilatan sejak ATMA memulakan usaha pendokumentasian bidang tersebut dan ia ada mengenengahkan kawan-kawan aktivis tetapi saya tidak dapat bersama.

Hal ini menyebabkan saya terasa wajib ke UKM untuk acara yang disebut dalam poster. Walaupun saya sebenarnya sedang kepenatan kerana telah 3 hari penuh berturut-turut mengikuti acara ilmu di tempat saya sedang belajar iaitu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada hari Rabu hingga Jumaat 6-8 Februari saya memberitahu isteri mesti berusaha ke UKM pagi Sabtu 9 Februari 2019. Kepenatan memang terasa setelah mengikuti perbincangan-perbincangan ilmu yang agak mencabar minda kemudian cuba mengulasnya sehingga terasa puas setiap kali kembali ke rumah. Lihat artikel-artikel berikut :-







Tanpa meneliti pun betul-betul poster kecuali ia adalah wacana ATMA melibatkan persilatan saya mencari jalan untuk pergi. Terasa wajib menyokong apalagi saya tahu ada kawan-kawan dalam bidang terlibat sama sedangkan saya belum pernah datang pada apa-apa acara ATMA melibatkan persilatan sejak usaha pendokumentasian mereka dimulakan beberapa waktu dahulu. Kalau ikutkan susah saya nak keluar memandangkan sudah 3 hari berturut menghadiri majlis sepenuh hari di ISTAC sehingga isteri perlu seorang diri mengatur bagaimana hendak menjaga anak-anak di rumah sedangkan beliau pun harus ke pejabat untuk bekerja. Tengok-tengok isteri menyokong malah mahu pergi sama. Lalu bergegaslah kami dari rumah hampir 80 km ke ATMA.


Seperti disebut tadi, punyalah terasa wajib pergi kali ini sehingga tidak menyemak di manakah acara diadakan. Walaupun ia anjuran ATMA ia bukan diadakan di bangunan ATMA tetapi di bangunan Canselori. Nasib baik ia terletak bersebelahan sahaja. Cuma kalau tahu lokasi tepat majlis tentu tak perlu buat satu pusingan kampus UKM mencari bangunan ATMA kerana bangunan Canselori boleh dicapai sebaik sahaja melepasi pintu masuk utama UKM.


Cuma tu le kena bagi selesai dahulu urusan-urusan di rumah kerana meninggalkan anak-anak kecil dengan abang mereka yang sedang menetap di asrama. Selepas jam 9.30 baru dapat bertolak sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 9. Apapun, ketika mahu memulakan penulisan ini baru tersedar satu perkara. Setelah menyemak senarai artikel-artikel lama rupa-rupanya kali terakhir saya menghadiri apa-apa majlis ilmu di UKM adalah pada hampir 4 tahun lalu! Rujuk artikel-artikel berikut :-


Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu

Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Menyelaraskan peristiwa purba menurut sains berbanding kitab

Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Apabila kekeliruan menyelinap masuk ke dalam majlis



Ketika kami masuk ke ruang majlis jam 10.41, pakar motivasi terkenal Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah sedang membuat perkongsian. Ternyata kami sudah terlepas perkongsian dua orang panelis sebelum itu, Dato' (Dr) Engku Ansaruddin Agus dan Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Tentang tajuk wacana iaitu "Seni Silat Melayu : Jurus - Konsep, Amalan & Pengalaman Dalam Aktiviti Kehidupan Harian" ada kawan persilatan yang agak skeptik kerana setahu dia ketiga-tiga orang panelis bukanlah orang silat. Saya jawab sekurang-kurangnya seorang daripada mereka memang pakar silat peringkat tinggi tetapi tidak lagi bergelanggang kerana lebih menumpukan pada hal-hal perubatan Islam yang ada banyak unsur kebatinan. 

Dua lagi saya tak tahu apakah pernah terlibat dengan dunia persilatan. Tapi pengalaman saya bergaul dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang dan bidang menunjukkan sebenarnya ramai orang berkedudukan tinggi pernah belajar silat semasa zaman muda-muda terutama mereka yang pernah duduk di kampung atau belajar di sekolah asrama. Cuma mereka tidak rajin bergelenggang atau tidak lagi aktif seperti halnya kawan-kawan aktivis dalam dunia persilatan. 

Yang pasti tidaklah mereka buta tentang dunia persilatan walaupun tidak pernah kelihatan menunjukkan bunga dan buah di hadapan umum. Dan lagi pada sesetengah daripada mereka persilatan bukan lagi tentang ilmu mempertahankan diri semata-mata tetapi pembawaan dalam hidup yang memungkinkan diri menjadi lebih peka dan cergas menghadapi cabaran kehidupan seharian. Misalnya apabila bercakap tentang jurus. Mereka yang duduk dalam fahaman persilatan sebagai ilmu mempertahankan diri dan/atau ilmu perang semata melihat ia sebagai ilmu membuat pukulan jarak jauh sahaja. Pada mereka jurus adalah ilmu permainan nafas dan kebatinan yang membolehkan kita menjatuhkan orang dengan mengerakkan tangan sahaja dengan cara tertentu lalu ditujukan pada sasaran walau jauh di hadapan mata.


Fadzilah harus sedia faham itu. Sebagai seorang anak Melayu yang lahir tahun 1951 (saya semak tadi di Internet) beliau harus pernah menempuh zaman yang berkaitan. Beliau datang daripada generasi lama yang membesar ketika gelanggang-gelanggang silat boleh dikatakan masih wujud sekurang-kurangnya satu di setiap kampung Melayu. Beliau membesar ketika cerita-cerita tentang pasukan jihad panglima Kiyai Salleh dan parang terbang masih begitu hebat berkumandang setelah mereka menumpaskan pengganas komunis di Batu Pahat tahun 1940an. 

Beliau sudah remaja berumur 16 tahun ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku lalu terjadi orang Melayu mempertontonkan kehebatan persilatan terutama bersifat kebatinan dalam menangani cabaran keganasan orang bukan Melayu yang berpaksikan gerakan ala komunis untuk menguasai negara. Oh. Kata-kata ini bukan kata-kata beliau. Ia adalah mukadimah saya yang terbit secara spontan untuk memperkenalkan gaya pembentangan Fadzilah. Sebagai seorang pakar motivasi beliau tidak melihat jurus daripada sudut faham sempit biasa persilatan sebagai ilmu mempertahankan diri dan perang sahaja. Sebaliknya ia dilihat sebagai ilmu pengolahan keyakinan diri dan minda dalam menghadapi kehidupan sehari-hari.


Bagi orang yang 'totok' pemahaman dalam dunia persilatan mungkin kelihatan Fadzilah tidak layak langsung bercakap tentang ilmu jurus kerana pada faham mereka ia adalah ilmu untuk menjatuhkan lawan daripada jauh sahaja. Fadzilah bercakap daripada sudut kajian biologi dan saikologi bagaimana 'jurus' itu merupakan cara kita menetapkan niat dalam minda agar dapat menzahirkan sesuatu yang berguna dan berfaedah dalam kehidupan.

OK. Bab ini saya dah terlupa apakah Fadzilah yang menyebutnya atau Engku Ansaruddin yang juga dikenali sebagai Pak Engku menyebutnya. Atau memang Fadzilah ada menyebutnya kemudian Pak Engku menyebutnya lagi ketika sesi soal jawab. Tersebut cerita Nabi Muhammad SAW pernah dikepung puak musyrikin Mekah lalu ada yang meletakkan sebilah pedang tajam ke tengkuk baginda lalu berkata : "Siapakah yang akan menyelamatkan kamu dari pedang ini wahai Muhammad SAW". Baginda yang sentiasa pasrah dalam keyakinan terhadap Tuhan pun menjawab : "Allah SWT yang akan menyelamatkan aku". 

Tanpa perlu pun menepis atau membuka buah perang/persilatan apa-apa orang yang memegang pedang itu jadi gementar dan menggigil sehingga terlepas pedang daripada genggamannya. Itu adalah satu contoh asas ilmu jurus yang wujud dalam Islam.


Apapun ia melibatkan keyakinan dan minda. Fadzilah pun memberikan beberapa contoh dalam saikologi lalu menyatakan itulah 'jurus' dalam kehidupan. Sambil berseloroh beliau memberi contoh menghantar suatu message atau pesanan melalui minda kepada isteri yang sedang tidur. Melalui penumpuan niat dan hajat dalam fikiran pesanan itu boleh sampai dan difahami tanpa perlu kita bersuara apa lagi menyentuh secara fizikal sasran. Kata Fadzilah ini lagi satu contoh 'jurus'.


Ada prinsip-prinsip tertentu yang boleh membuat fikiran dan tubuh badan kita bertindak secara semulajadi ke arah yang lebih positif. Ini semua adalah 'jurus' baik kepada diri sendiri mahupun untuk berurusan dengan orang lain. Fadzilah suka memberi contoh melibatkan rumah tangga. Sesungguhnya menunjukkan kasih sayang dengan cara yang betul kepada pasangan kita pun adalah 'jurus' dalam berumah tangga.  Komen saya dalam hal ini - Tidaklah lari daripada tajuk wacana iaitu "Seni Silat Melayu : Jurus - Konsep, Amalan & Pengalaman Dalam Aktiviti Kehidupan Harian". Walaupun tidak menyebut tentang silat yang pasti ada penjelasan tentang 'jurus' menurut sudut saikologi lalu kenalah dengan "Konsep, Amalan & Pengalaman Dalam Aktiviti Kehidupan Harian".


Masuk sesi soal jawab, moderator merangkap pengerusi majlis, Prof. Dr. Supyan Hussin yang merupakan pengarah ATMA membawa kembali perbincangan ke dalam lingkungan pemahaman yang lebih menepati citarasa pengamal tegar silat iaitu jurus sebagai ilmu pukulan jarak jauh.


Beliau yang memakai sepersalinan lengkap busana tradisional Melayu mengambil tempat di podium untuk menekankan persoalan. Diceritakan bagaimana pada suatu masa dahulu beliau pernah dikepung dan diserang oleh beberapa orang yang berniat jahat. Bekalannya ketika itu cuma beberapa ayat Al-Quran yang disuruh amal oleh ibu beliau. Tidak terfikir pun mampu menepis kejahatan kecuali berserah diri kepada Allah SWT.  

Kata beliau seorang cuba menyerang lalu beliau mengangkat tangan sekadar untuk meminta berhenti daripada diserang. Tiba-tiba jatuh terpelanting jauh orang yang menyerang. Hal ini berlaku sekali lagi apabila seorang lagi menyerang. Kata Supyan ketika itu beliau terpinga-pinga untuk memahami apakah yang sedang berlaku. Setelah lama mencari dan bertanya baru beliau faham begitulah ilmu jurus dalam persilatan.


Daripada mukadimah yang membuka sesi soal jawab ini beliau mula menunjukkan slaid-slaid gambar-gambar yang beliau dapati daripada satu pihak. Ia adalah gambar-gambar lama sekitar tahun 70an. Gambar-gambar ini menunjukkan beberapa tokoh utama yang menggerakkan ilmu jurus paling dikenali dan ditakuti di tanah air suatu masa dahulu iaitu Nasrul Haq. Masyaallah tiba-tiba timbul rasa sebak dalam diri saya...


Paling kiri tu ramai orang lama tahu. Beliau adalah arwah Dato Samad Idris, pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan tahun 1970an. Dilahirkan tahun 1923 di Negeri Sembilan tokoh yang pernah memegang banyak jawatan politik tinggi ini turut terkenal sebagai Khalifah Nasrul Haq. Nama beliau dan ilmu jurus tersebut berkumandang hebat selepas anak-anak buah beliau mempamerkan kehebatan orang Melayu pada peristiwa 13 Mei 1969. 

Dua nama di sebelah juga terkenal dalam kalangan orang lama tetapi tidaklah segah nama Samad. Yang pasti pada zaman itu ramai tokoh Melayu memiliki ilmu persilatan termasuk ilmu jurus walau tidak dipamerkan di gelanggang atau majlis-majlis di hadapan orang.


Supyan seterusnya menunjukkan gambar ini. Kelihatan paling kanan Pak Engku semasa muda bersama dua orang tokoh ilmu jurus asal dari Bukit Tinggi, Sumatera.


Seterusnya ditunjukkan gambar ini. Maka lebih jelaslah ramai anak Melayu pernah mengambil ilmu jurus yang dalam konteks ini memang ilmu pukulan jarak jauh. Inilah yang dikenali sebagai ilmu Nasrul Haq. Adapun umum tahu ilmu ini kemudian diharamkan oleh kerajaan Malaysia atas alasan ia mengandungi unsur-unsur syirik dan tahyul yang melanggar ajaran syumul Islam. Hal ini membuatkan ramai anak Melayu berpendapat bahawa alasan sengaja dibuat untuk mengharamkan Nasrul Haq kerana orang bukan Melayu takut akibat kehebatan yang dipamerkan semasa peristiwa 13 Mei dan selepas itu. Supyan pun meminta Pak Engku menerangkan hal sebenar.  Apakah betul Nasrul Haq sudah melanggar ajaran Islam?


Pak Engku yang umurnya sama dengan Fadzilah iaitu 67 tahun pun memberikan maklum balas. Beliau memulakan dengan menyatakan dirinya bukan ahli atau pengamal Nasrul Haq. Namun beliau faham semua jurus yang dimaksudkan dan kenal secara peribadi serta pernah berinteraksi dengan semua tokoh dalam gambar. Jelas beliau memang ilmu berkenaan ada diambil oleh Samad Idris dan beberapa orang dari Malaysia. Mereka belajar dengan guru beliau di Bukit Tinggi sebelum dibawa lalu dikembangkan di Malaysia. 

Asalnya ia cuma dipanggil ilmu jurus sahaja. Tapi Samad Idris dan orang-orangnya memberikan nama Nasqul Haq. Perkembangan ilmu di Malaysia sampai kepada guru utama di Bukit Tinggi lalu didapati tidak selari lagi dengan ilmu asal yang diajarkannya. Pak Engku yang masih berumur 20an ketika itu pun ditugaskan untuk memperbetulkan keadaan dengan menemui semua tokoh di Malaysia lalu menyampaikan pesanan guru. Kata beliau ilmu tersebut telah bercampur aduk dengan penggunaan pendamping jin dan sebagainya. Terpaksalah beliau pergi ke serata markas Nasrul Haq di seluruh negara untuk memperbetulkan perkara.

Samad Idris dan orang-orang di Kuala Lumpur menerima beliau dengan baik kerana sudah sedia kenal di Bukit Tinggi. Cabaran paling getir adalah di Pengkalan Chepa di Kelantan di mana beliau dicabar oleh empat orang guru. Seorang menunjukkan kehebatan menepuk batu besar sehingga berkecai, seorang boleh menusuk tangan menembusi batang pokok (saya ingat beliau ada menyebut itu tetapi boleh jadi ia contoh lain orang menunjukkan kekuatan dengan penuh sifat bongkak). 

Tiba-tiba beliau lari sekejap cerita untuk menyebut tentang usaha dakwah Nabi Muhammad SAW di Taif di mana baginda tidak diterima malah dibaling batu sehingga pecah kepala berdarah-darah. Muncul malaikat Jibril menawarkan untuk menghancurkan penduduk Taif. Jawab Rasulullah SAW : "Cukuplah Allah SWT bagiku". Kata Pak Engku tengok tu. Baginda bukan didatangi jin atau sebagainya untuk membantu memberikan kekuatan malah malaikat. Pun begitu baginda tetap menolak kerana berharap kepada Allah SWT semata-mata.

Kembali kepada sayembara di Pengkalan Chepa. Empat orang guru mengancam mahu membunuh Pak Engku kalau tidak meninggalkan gelangggang mereka. Jawab Pak Engku silakan. Tapi kalau kamu kalah maka bertaubatlah dan ikut aku. Namun sebenarnya Pak Engku mengaku ada rasa takut juga melihat kehebatan yang dipamerkan mereka. Cuma kerana mengingatkan amanah guru beliau pun pasrah sambil berdoa agar Allah SWT menunjukkan keagunganNya.

Dipendekkan cerita semua mereka terpelanting jauh lalu menggelupur kesakitan. Kata Pak Engku ini dibiarkan selama 15 minit sebelum beliau menawarkan untuk mengubat dengan syarat mestilah bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. 


Tamat sesi soal jawab diadakan satu pertunjukkan Silat Minang.


Ini dibawa oleh WAKAM (Persatuan Waris Keturunan Anak Minang Malaysia).


Ini adalah gambar saya diambil oleh isteri sambil kami mengikuti majlis dari bahagian belakang ruang...


Isteri kemudian meminta saya mengambil gambarnya bersama panelis...


Saya mengambil peluang ini untuk bertanya sedikit tentang Nasrul Haq kepada Pak Engku. Saya kata zaman budak-budak dahulu pernah mengambil sedikit ilmu ini. Kata Pak Engku tak mengapalah. Yang dulu tu dulu...



Seorang kenalan mengajak saya dan isteri bergambar bersama. Sesungguhnya sudah lama kami tidak keluar berdua begini tanpa membawa anak-anak. Bila keluar pun jarang dapat mengambil gambar bersama. 

Akhir kalam - Ilmu jurus bukan sekadar untuk membuat pukulan jarak jauh sahaja. Seperti ilmu persilatan sejati ia adalah langkah-langkah dalam memperbetulkan diri untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Lain-lain itu, apa-apa kekuatan dan kelebihan yang timbul atau muncul bukanlah matlamat sebenar ilmu. Malah ia boleh menjadi ujian dan fitnah yang melekakan lagi memesongkan dalam kita mencari keredhaan Ilahi.


2 ulasan:

Tubuhsatu berkata...

Assalamualaikum warahmatullah wabaraqatuh..Saya mencari perawat disekitar, untuk rawatan secara dekat, saya termakan makanan dari ilmu guna-guna, beratus benda halus di hantar kepada saya..

email saya : tubuhsatu@gmail.com

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum