OK. Ini ada satu cerita daripada 2 hari lalu.
Pagi Isnin 26 Februari 2016. Saya dan isteri berkejar ke satu tempat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Kami mahu menghadiri satu syarahan umum bertajuk "The Malay World Within Islamic Civilisation : The Need For High Culture". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Dunia Melayu Dalam Peradaban Islam : Keperluan Untuk Kebudayaan Tinggi".
Lokasinya di bangunan institusi bernama ISTAC. Asalnya singkatan untuk Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut untuk Pemikiran dan Peradaban Islam). Tetapi kini sudah menjadi International Institute of Islamic Civilisation and Malay World (Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu). Ia merupakan satu institusi pasca-siswazah (post-graduate) di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kali pertama saya sampai ke tempat ini adalah untuk membuat penggambaran satu siri dokumentari . Ketika itu saya adalah hos dokumentari dan salah seorang penyelidik.
Tempat ini memang cantik.
Seni bina berunsur Alhambra daripada zaman kegemilangan Islam Andalusia di Semenanjung Iberia, Eropah memberikan rasa seperti berada dalam suasana intelektual dan pemikiran tinggi.
Kami sampai sedikit lewat.
Alhamdulillah, majlis baru sahaja hendak bermula ketika itu.
Ia menonjolkan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai pemberi syarahan. Tokoh yang pernah memegang beberapa portfolio menteri kerajaan Malaysia ini sebenarnya tidak asing lagi dalam arena politik juga pemikiran tanah air malah ke peringkat antarabangsa. Pengenalan yang dibuat oleh Shaikh al-Kuliyyah, Profesor DrAbdelaziz Berghout lebih merupakan formaliti majlis.
Masuk jam 10,25 Rais yang kini memegang jawatan presiden UIA, penaung ISTAC dan penasihat sosio-budaya kepada kerajaan Malaysia pun naik ke pentas untuk memulakan syarahan. Ia dibuat rata-rata dalam bahasa Inggeris kerana memang itu bahasa penghantar di UIA atau nama bahasa Inggerisnya IIUM (International Islamic University of Malaysia) disebabkan komposisi pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara dari seluruh pelusuk dunia. Namun sesekali diselitkan kata-kata dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab malah bahasa Cina pun ada.
Menarik apabila melihat beliau membuka dengan memberikan penghargaaan tinggi terhadap intelektual besar Melayu berketurunan Arab bertaraf antarabangsa iaitu Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai orang yang mengasaskan ISTAC lalu meletakkan landasan pemikiran dan wawasan besar institusi. Hal ini mengingatkan semasa sesi perbincangan ilmu bersama beberapa orang rakan sealiran di rumah saya petang Sabtu (lihat
Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan), ada kawan yang sedang menyambung PhD di ISTAC mengajak kami menghadiri majlis ini. Namun ada kawan lain menyatakan tidak senang hati kerana ia melibatkan Rais Yatim. Kata beliau ada seorang anak murid Syed Naquib yang kini sudah menjadi seorang profesor yang agak ternama dalam dunia pemikiran Islam sekurang-kurangnya dalam kalangan tertentu mengatakan Rais adalah musuh Syed Naquib. Ini merujuk kepada bagaimana ISTAC yang diasaskan oleh Syed Naquib telah diambil-alih sepenuhnya oleh UIA di bawah Rais.
Kata kawan yang mengajak hal ini tidak semudah itu. Sebetulnya apa yang berlaku adalah pertembungan para intelektual yang menyokong pemikiran Naquib dengan para intelektual yang menyokong seorang lagi pemikir besar, kalau tak salah ingatan namanya al-Faruqi. Apapun, menurut kawan tersebut Rais telah berusaha agar penerokaan dunia pemikiran dan peradaban Melayu dijadikan satu agenda penting UIA sekurang-kurangnya oleh ISTAC. Atas sebab itu kami yang semuanya mahu berusaha untuk mengangkat kembali kegemilangan sebenar dan kedaulatan Melayu harus menyokong usaha Rais tidak kiralah apakah hakikat sebenar permainan politik yang menyebabkan Naquib disisih daripada pengendalian satu institusi besar yang diasaskannya sendiri.
Rais pun membuka beberapa hal yang menunjukkan dunia Melayu sudah memiliki ketamadunan tinggi sejak zaman berzaman. Antaranya adalah penemuan piramid Gunung Padang di Jawa Barat yang beliau sebut berusia 20,000 tahun. Hal ini ada saya sebut dalam buku kerkembar saya yang baru 3 minggu keluar dari kilang. Dalam buku "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia" ia diletakkan dalam "Bab 9 : Mengesan 'Orang Melayu Pertama' 60,000 Tahun Lalu Dan Seterusnya Dalam Salasilah Para Nabi Dan Sejarah Peradaban Manusia". Sub-topiknya "Situs Gunung Padang - Tinggalan Piramid Alam Melayu Lampau?" bermula pada muka surat 284 buku.
Disebut pula tentang Gua Lidah Ayie di alam Minangkabau, Sumatera Barat sebagai satu lagi bukti ketamaduan lama Alam Melayu (Rais lebih banyak menggunakan perkataan Nusantara). Yang ini saya baru tahu.
Disentuh agak panjang lebar kajian Profesor Dr Stephen Oppenheimer dari Universiti of Oxford di United Kingdom. Beliau yang terkenal dengan buku "Eden in the East" dengan jelas menyebut Alam Melayu adalah punca peradaban dunia lalu Rais memanjangkan ini. Hal tersebut terutama berkenaan teori Sundaland yang menyatakan Alam Melayu pernah menjadi sebuah benua besar bersaiz 2 kali benua Hindi telah saya panjangkan dalam buku Benua Tua Melayu, juga 'abang kembarnya', buku "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu'. Saya pernah berpeluang berdialog dengan Oppenheimer dalam satu majlis di Pulau Pinang. Ini ada diceritakan dalam buku.
Rais turut mengaitkan dunia Melayu dengan watak raja penakluk terkenal Iskandar Zulkarnain.
Kedudukan Semenanjung Tanah Melayu yang pernah dikenali sebagai bumi emas oleh tokoh purba dunia Barat seperti Ptolemy abad ke-2 Masihi turut diberikan penekanan.
Menariknya hal melibatkan Iskandar Zulkarnain dan peta Ptolemy ada dipanjangkan dalam buku berkembar saya. Tetapi saya tidak menyentuh Batu Bersurat Terengganu seperti disebut Rais dalam syarahan kerana menghadkan huraian cerita dalam buku sampai ke zaman awal kemunculan Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun lalu.
Secara rata Rais cuba menekankan kepentingan dunia Melayu dalam dunia peradaban Islam sejagat. Disebutlah bagaimana populasi atau penduduk Islam dunia itu berjumlah 27% daripada penduduk keseluruhan bumi. Dan sebahagian besar dari itu berada di dunia Melayu.
Disingkap sejarah kegemilangan Islam dahulukala yang penuh dengan pelbagai penemuan sains dan dunia pemikiran tinggi yang memimpin seluruh dunia ke arah pencerahan dan peradaban gemilang...
Tetapi mana pergi semua itu kini? Bilakah kali terakhir kita mendengar nama seorang Islam disebut-sebut sebagai pencipta satu barangan yang memberikan faedah kepada dunia? Pada masa yang sama orang bukan Islam pula dilihat lebih berjaya dan berdisiplin.
Sampai pada masalah kebersihan tandas pun orang Islam rata-rata sudah ketinggalan berbanding sesetengah bangsa bukan Islam.
Disebut hal seperti orang Islam bertambah di beberapa negara Eropah. Tetapi mereka dilihat tidak dapat bersatu akibat semangat asobiyah yang dibawa daripada kelompok atau negara asal.
Maka dicadangkan diambil iktibar dan pengajaran, diusahakan pelbagai kerjasama untuk mengkaji kegemilangan lama Islam juga dunia Islam masa lalu.
Untuk itu harus dikaji juga penemuan zaman pra-sejarah seperti tinggalan Gobekli Tepi di Turki yang diperkirakan berusia 14,500 tahun lalu. Kata Rais harus ada perkaitan dengan dunia Melayu merujuk pada zaman Sundaland.
Disebut tentang negeri-negeri Melayu yang kini berada di bawah pemerintahan negara Thailand yang beragama Buddha. Sukacita saya melihat peta ini kerana sudah meliputi semua kawasan yang disebut dalam pengembaraan saya dan keluarga ke Thailand dengan menaiki kereta sendiri 12-23 Disember tahun lalu. Dapat juga menghidu dan mencari jejak-jejak Melayu secara fizikal di tempat-tempat tersebut. Rujuk artikel-artikel berikut :-
1.
Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani
6.
Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri penempatan Melayu dan laluan lama di Ranong, Takuapa dan Phuket
7.
Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Merenung hal Melayu lagi sambil pusing pulau Phuket sebelum berkejar ke Krabi
8.
Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai
Sebetulnya Rais menyentuh negeri-negeri selatan Thailand dalam konteks bagaimana keMelayuan dan keIslaman sering menghadapi ancaman zaman sekarang. Lalu diberi contoh pula bangunan tinggi dengan jam besar di Mekah yang kini telah menjadi lambang masuk semakin banyak unsur keBaratan ke kawasan ibadah paling mulia dalam dunia Islam.
Ini memberi ruang untuk kedai-kedai jenama terkenal Barat masuk mengubah landskap iman.
Maka itu harus difikirkan. Apakah yang sedang berlaku sekarang ini? Dunia Barat yang mementingkan keseronokan tanpa batasan semakin mendapat tempat dalam dunia Islam sedangkan negara-negara Islam itu sendiri semakin teruk bercakaran dan berperang.
Diingatkan tentang Deklarasi Balfour, bagaimana kuasa Yahudi Zionis dapat membentuk dunia yang kita lihat hari ini sedangkan umat Islam semakin ketinggalan dan tertindas? Bagaimana kita hendak mencapai kebudayaan tinggi sedangkan hal kesatuan ummah pun kita masih tak dapat betulkan lagi Saya rasa cukuplah syarahan beliau disimpulkan begini :-
1) Dunia Islam perlu bangkit mendapatkan kegemilangan yang ia pernah kecapi suatu masa dahulu. Kita perlu ada para peneraju dunia pemikiran, kita perlu mencipta barangan yang berguna kepada dunia, bukan setakat menjadi pengguna biasa.
2) Untuk itu kita perlu bersatu hati terlebih dahulu. Lupakan hal perbezaan mazhab terutama antara Sunni dan Syiah. Asalkan mengaku Islam dan mengucap dua kalimah syahadah biarlah kita sentiasa bersangka baik antara satu sama lain dan sedia berkerjasama saling membantu untuk mencapai kegemilangan.
3) Betulkan hal-hal 'kecil' seharian seperti disiplin diri dan hal kesucian dan kebersihan termasuk kebersihan tandas. Baru boleh beralih kepada kebudayaa tinggi yang harus berakar umbi pada pemikiran
4) Galilah kelebihan yang ada dalam peradaban lama Melayu termasuk pada zaman Sundaland yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai lokasi sebenar kerajaan purba bertamadun tinggi Atlantis itu. Ini dapat membantu mengangkat peradaban Islam sedunia apatah lagi kawasan Alam Melayu/Nusantara/Asia Tenggara ini memiliki 300 juta orang Islam, lebih ramai daripada umat Islam di Timur Tengah (Semenanjung Arab, Iraq,Iran dan sekelilingnya) yang disebut berjumlah 218 jura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan