Salam semua. Sekarang tentang buku lagi satu. Bersambung daripada artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?.
Pada hari yang sama Jumaat 24 November 2017 saya meletakkan gambar atas berupa tajuk buku di Facebook berserta teks berikut :-
--------------
Salam semua. Semoga sihat sejahtera. Merujuk kepada update saya sebelum ini tentang satu buku bertajuk "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu". Sebenarnya saya bercadang untuk menerbitkan ia secara berkembar bersama sebuah lagi buku. Oleh itu apa pula pendapat kawan2 tentang tajuk yang kelihatan di bawah? Apakah yang terbit atau tercetus dalam fikiran?
--------------
Maklum balas yang diterima.... rata-rata mengatakan tajuk ini cantik dan menarik.
Sudah disebut pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?. bahawa buku ini memanjangkan lagi cara pemikiran yang dipertontonkan dalam buku Nabi Adam. Biar ditambah, jika buku Nabi Adam ada menceritakan tentang majlis-majlis ilmu dan pembentangan yang membentuk isi buku, sambungannya iaitu buku ini pula mendapat pengisian awal akibat mengkaji dakwaan seorang penulis Indonesia bahawa Candi Borobudur di Jawa Timur adalah peninggalan Nabi Sulaiman AS.
Lalu dipanjangkan kajian saya sendiri tentang dakwaan tersebut baik berdasarkan buku berkenaan mahupun lawatan lapangan ke Borobudur. Daripada situ ulasan, pemerhatian dan kajian dikembangkan lagi untuk menunjukkan keistimewaan kedudukan geografi Alam Melayu di Asia Tenggara. Sesungguhnya ada kajian-kajian daripada sarjana Barat sendiri menyatakan memang bumi sini sangat istimewa dalam sejarah manusia. Dikaitkan pula dengan cerita-cerita berdasarkan kitab termasuk tempat turunnya Nabi Adam AS setelah dikeluarkan dari syurga bertambah-tambah lagilah keistimewaan Alam Melayu yang suatu masa dahulu pernah berdiri di atas tanah besar yang dikenali pengkaji sebagai Benua Sunda.
Daripada situ dapat disusuri pergerakan manusia sejagat sehingga ke merata ceruk rantau dunia terutama orang Melayu, Maka baru betul-betul dapat dipanjangkan pemikiran daripada buku "Nabi Adam AS dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" (mungkin ditukar tajuk bergantung pada ilham dan saranan yang tiba). Jika buku tersebut cuba menyelaraskan fakta kewujudan manusia berdasarkan sains berbanding kitab menggunakan satu formula matematik yang mengambil kira hakikat daripada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa hari menjadi semakin pendek semakin kita menghampiri kiamat buku ini pula memanjangkan kesan atau implikasi daripada kira-kira. Maka peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah dunia, kemunculan tamadun-tamadun dan sebagainya pun diatur balik berdasarkan kira-kira. Semuanya diletak kembali dalam konteks 25 nabi dan rasul yang wajib orang Islam ketahui.
Seperti buku Nabi Adam, buku ini juga dibuat dengan pada saiz 6.36 x 9 inci dan 304 muka surat. Tetapi pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya? ada disebut bahawa baru pagi tadi saya disarankan untuk mengubah saiz dan muka surat supaya lebih jimat dan ekonomi kos percetakan. Saya disarankan agar mengubah saiz kepada 6 x 9 inci dan muka surat jadi 320. Ini untuk mengambil kesempatan atas sistem lipat kertas 32 muka surat (orang dalam bidang faham le) sedangkan selama ini saya ingat cuma ada sistem lipat kertas 16 muka surat.
Insyaallah ini akan dilakukan selepas kembali daripada perjalanan jauh seperti disebut dalam artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017. Selain itu kedua-dua buku belum mendapat reka bentuk kulit yang sesuai. Oh, merujuk pada gambar paling atas tadi, tentang teks berkenaan di FB. Lagi satu maklum balas utama yang diterima adalah membuka pre-order atau tempahan awal untuk buku. Elok tempahan dibayar awal oleh mereka yang berminat, dengan itu saya boleh mendapat bayangan baik berapa banyak bukukah yang perlu dicetak selain mendapatkan modal untuk percetakan.
Dengan ini cukuplah saya berkongsi tentang buku. Doakan ia iaitu kedua-dua tajuk buku berjaya mencapai matlamat, selamat dan lancar penerbitannya seperti mana harus juga selamat, lancar, mencapai matlamat malah mendapat berkat dunia dan akhirat perjalanan jauh yang akan dimulakan sedikit masa sahaja lagi. Amin. :]