OK. Kalau ikut giliran hari ini saya mahu mengeluarkan cerita-cerita tentang perjalanan saya dan keluarga di sekitar Kuantan, Pahang membawa ke Pekan, Tasik Chini dan Kuala Bera hujung minggu lalu. Tetapi ada dua aktiviti baru yang terasa mahu dikongsikan terlebih dahulu supaya lebih segar penceritaan...
Pagi semalam 5 Mei 2017 saya menaiki kenderaan awam dari Rawang untuk ke bangunan Dewan Bahasa Pustaka di Kuala Lumpur.
Ada majlis menarik diadakan di tingkat 31 menara...
Ada syarahan dengan tajuk yang kelihatan oleh Dato' Dr Annabel Gallop daripada British Library di London, United Kingdom.
Tajuk yang saya terima dalam undangan yang dihantar melalui Whatsapp oleh Prof Dato' Dr Salleh Yaapar, pengerusi lembaga pengelola DBP adalah "Filologi Facebook : Sumbangan Media Sosial Pada Penelitian Manuskrip Dunia Melayu". Itulah juga yang saya lihat diwar-warkan di media sosial. Tengok-tengok perkataan Facebook dalam paparan ditukar menjadi Fesbuk. Nasib baik bukan masbuk, mabuk atau penyibuk... :]
Bercakap dalam Bahasa Melayu yang lancar dan petah tapi ada kedengaran seperti loghat Indonesia dengan sedikit pelat Inggeris, Annabel membuka dengan menceritakan satu usaha yang dilakukan oleh seorang pengkaji bernama Ian Proudfoot lebih 10 tahun lalu. Pengkaji yang sudah meninggal dunia ini pernah menerbitkan satu artikel bertajuk "Politik Filologi Melayu" lalu menyatakan kajian filologi (ilmu yang mempelajari bahasa dalam sumber-sumber sejarah bertulis,,kombinasi kritikan sastrera, sejarah, dan linguistik atau ilmu bahasa) di Barat semakin berkurangan sedangkan di Asia Tenggara ia semakin berkembang. Annabel pun memaparkan laman sesawang projek MyManuskrip oleh Universiti Malaya sebagai contoh. Walaupun pernah diabaikan buat suatu masa yang agak lama ia kembali hidup sejak kebelakangan ini...
Annabel pun menunjukkan laman sesawang berkenaan yang dikendalikan pihak beliau iaitu British Library, perpustakaan United Kingdom pula.
Mereka memiliki program pendigitalan manuskrip yang sangat ekstensif (perkataan saya) iaitu luas jangkauan. Lebih 100 manuskrip Melayu di bawah simpanan British Library telah didigitalkan bersama manuskrip-manuskrip simpanan pihak lain termasuk di Asia Tenggara. Semuanya boleh dicapai melalui laman sesawang yang kelihatan.
Dengan teknologi digital manuskrip boleh diteliti dengan lebih baik, paparan dibesarkan secara zoom-in sesuka hati kita. Ditunjukkan contoh daripada Hikayat Nabi Yusuf...
Ditunjukkan juga apa yang dipanggil sebagai Endangered Archives Programme. Ini merujuk pada naskah-naskah langka yang kalau tidak dijaga dengan cara yang sepatutnya boleh rosak atau hilang.
Ditunjukkan beberapa tajuk manuskrip langka yang telah dimasukkan ke dalam program.
Memang meluas jangkauan. Kalau dari Aceh atau Minangkabau juga Riau itu saya biasa dengar. Ni manuskrip dari Ambon pun masuk..
Cerita-cerita Panji dari Pulau Jawa yang sangat terkenal itu tentu juga termasuk dalam senarai...
Lalu disebutlah disebabkan usaha pendigitalan manuskrip di British Library, Annabel yang kalau tak salah memiliki darah campuran Inggeris dengan Cina Malaysia boleh membuka akaun Facebook tahun 2013. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas berguna tentang manuskrip yang boleh memanjangkan pengkajian lalu menerbitkan hasil yang memberangsangkan. British Library sudah biasa menggunakan blog untuk mewar-warkan naskah. Penggunaan FB dijangka dapat membantu lagi usaha-usaha pendigitalan dan promosu. Ternyata ia juga nanti dapat membantu mengesan naskah-naskah di luar simpanan dan jangkauan perpustakaan termasuk yang disangkakan sudah pupus atau hilang.
Hmm. Saya masuk FB 7 tahun lebih awal untuk mencari kembali kawan-kawan lama zaman kolej, sekolah menengah malah sekolah rendah hingga ke tadika. Alhamdulillah dapat jumpa ramai lalu terus berhubung hingga ke hari ini. Selepas itu baru digunakan untuk membantu mempromosi penulisan. Selain itu ia menjadi medan untuk meluahkan perasaan apabila perlu. Ternyata ia kemudian amat membantu apabila mahu mengadakan acara-acara HIKMAH bermula penghujung 2012. Lihat atikel
HIKMAH - Bagaimana ia bermula dalam
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)..
Namun saya lihat ramai juga orang sekarang masuk FB untuk mengejar populariti dan mengumpul pengikut. Tak kurang yang menerbitkan identiti-identiti palsu yang kelihatan hebat berserta tulisan-tulisan ciplak yang diulas balik mengikut cita rasa sendiri menggunakan ayat-ayat hiperbolik lagi bersifat marketing untuk memancing minat. Tetapi tidak Annabel. Walaupun cukup popular dalam dunia akademik malah boleh dikatakan bertaraf dunia beliau menghadkan jumlah friends atau kawan pada mereka yang dilihat (melalui profil dan paparan dalam FB masing-masing) cukup cenderung ke arah budaya dan sejarah.
Penglibatan beliau dalam FB dipacu oleh satu peristiwa yang membawa pada penemuan mushaf yang dipercayai hilang selama 21 tahun. Diceritakanlah tentang satu mushaf Al-Quran yang sangat langka dari Mindanao di selatan Filipina (Phillipines) jatuh ke tangan Amerika lebih 100 tahun lalu apabila kuasa besar Barat itu masuk menceroboh. Ia disimpan di sebuah muzium di Chicago sebelum dibawa kembali ke Filipina tahun 1980. Apabila Imelda Marcos iaitu isteri kepada Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos dapat tahu tentang kewujudan mushaf masuklah ia ke dalam simpanan kediaman rasmi presiden iaitu Istana Malacanang. Namun beliau digulingkan dalam revolusi rakyat tahun 1986 di mana istana diserang dimasuki orang ramai, barangan yang ada dimusnahkan atau dirampas.
Sejak itu mushaf ini hilang, tidak diketahui apakah diambil orang atau dibakar. Annabel dan Midori dapat mengkaji mushaf pada tahun 2010 pun berdasarkan sejumlah foto berwarna dan salinan fotokopi lengkap yang disediakan muzium di Chicago. Hasil kajian diterbitkan di Jepun tahun 2011. Beberapa bulan kemudian Annabel menerima gambar daripada seorang kawan di Itali menunjukkan gambar satu naskah serupa dilihat orang yang masuk melawat Istana Malacanang.
Cuma naskah dipamerkan tanpa apa-apa catatan. Apabila diselidiki lebih mendalam baru dapat tahu itulah mushaf yang disangkakan hilang. Rupa-rupanya tersorok di satu sudut istana tanpa diketahui kepentingan. Apabila ditemui beberapa tahun kemudian ia cuma dipaparkan sebagai satu contoh manuskrip lama simpanan...
Annabel seterusnya menunjukkan perhubungan melalui FB dengan seorang kenalan atas talian (on-line) dari Indonesia yang memakai nama Yuni Mo. Beliau menerima request atau permintaan untuk menjadi friend selepas wall kenalan menunjukkan ciri-ciri orang yang minat budaya. Pada gambar atas wall kelihatan gambar surat lama bercap mohor. Annabel pun bertanya tentang surat lalu mendapat tahu ia adalah pusaka di desa kenalan tersebut, seorang mahasiswi Universitas Batang Hari di Jambi.
Kata Annabel beliau sudah melihat cukup banyak surat piagam Sultan Jambi muncul di Kerinci dan Merangin tetapi itulah kali pertama melihat surat dari daerah Sarolangun, desa wanita tersebut. Rupa-rupanya ada 3 pucuk lagi surat piagam asli disimpan di desa tersebut dan Yuni dengan baik hati telah mengirimkan foto kesemuanya melalui FB.
Seterusnya ditunjukkan stempel atau cap mohor. Annabel telah mengumpul data cap mohor Nusantara sejak sekian lama untuk kajian PhDnya tahun 2002. Kini beliau memiliki data dan gambar untuk lebih 2,000 cap yang boleh diterbitkan. Antaranya adalah tentang satu koleksi alat cap yang disimpan di sebuah muzium di Sulawesi Selatan. Beliau dapat tahu daripada Dr Rahilah Omar dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang datang ke UK membuat PhD dalam tempoh waktu sama.
Beberapa waktu kemudian Annabel mendapat foto dari sebuah muzium di Amsterdam menunjukkan koleksi yang terdiri daripada 43 cap. Rupa-rupanya ia adalah pusaka kerajaan Bugis Bone yang disita oleh Belanda tahun 1905 lalu dibawa ke Batavia (sekarang Jakarta). Ia dikembalikan ke Bone tahun 1931 untuk upacara naik takhta. Foto koleksi sempat ditangkap dan dihantar ke Amsterdam berserta bacaan tulisan oleh pengkaji Indonesia, Dr Hoesein Djajadiningrat.
Cuma ada kerisauan apabila Annabel mendapati ada orang mendakwa koleksi yang seterusnya disimpan dalam muzium di Sulawesi itu adalah duplicate ataupun salinan. Muzium kemudian ditutup untuk renovasi. Tak mungkin Annabel dapat ke sana apalagi tanpa kenalan tempatan untuk memastikan keaslian.
Akhirnya beliau nekad. Menggunakan FB bulan September 2015 beliau membuat status update atau pengumuman meminta sesiapa sahaja yang dapat agar pergi ke muzium membuat foto cap untuk beliau. Beberapa minggu kemudian dapat komen daripada seseorang bernama Drs Mukrimin, pensyarah IAIN Gorontalo yang sedang memulakan kajian PhD di Perth, Australia memberitahu akan menyambut permintaan. Tidak lama selepas itu muncul e-mel demi e-mel menunjukkan foto semua cap dalam koleksi. Dapatlah dikenal pasti keaslian malah didapati ia adalah koleksi cap raja Nusantara asli yang paling lengkap diketahui, mulai abad ke-17 sampai akhir abad ke-19 Masihi.
Seterusnya disebut tentang sekitar 40 cap mohor dari Lampung di Sumatera Selatan yang pernah dikaji Annabel ketika membuat PhD 15 tahun lalu tetapi tidak boleh dimasukkan ke dalam katalog kerana tidak dapat membaca aksara Lampung. Semua cap terdapat pada surat-surat berhuruf Lampung.
Pada 15 Mac tahun lepas Annabel tergerak untuk meletakkan gambar satu cap ke dalam FB seraya memohon bantuan membaca tulisan. Tak sampai 2-3 jam kemudian beliau mendapat penjelasan daripada seorang kenalan FB yang memakai nama Arya Purbaraya.
Daripada kenalan tersebut beliau mendapat lokasi geografi tepat yang disebut pada cap. Ditambah maklumat daripada kenalan/kawan-kawan lain FB yang berpengetahuan dapat dikumpulkan data yang cukup lengkap untuk dimasukkan ke dalam katalog lalu proses sama dilakukan untuk meliputi semua cap dalam tempoh 3 minggu kemudian. Nah. Bertahun-tahun tidak dapat memecahkan persoalan, tiba-tiba menggunakan FB dapat menyelesaikan hal dalam waktu sesingkat itu...
Contoh-contoh terakhir bagaimana FB membantu memudahkan perkara atau manuskrip dapat dimanfaatkan melibatkan minat dari Malaysia.
Ini adalah akibat manuskrip yang didigitalkan oleh British Library boleh digunakan oleh sesiapa sahaja menurut tahap dan syarat yang tertera.
Salah satu koleksi paling cantik dalam perpustakaan United Kingdom itu adalah sekeping surat daripada Temenggung Johor Daeng Ibrahim yang dialamatkan kepada Maharaja Peranchis, Napolean III, ditulis pada tahun 1857.
Setelah melihat salinan digital seorang kenalan FB telah menggunakan motif luaran surat berserta cara tulisan untuk melukis dan menulis Surah Yaasin. Ia dapat dijual lalu menerbitkan peluang perniagaan yang berpanjangan.
Baru ini kenalan atau kawan tersebut berpeluang melihat naskah asal di London. Semua ini berlaku akibat perhubungan melalui FB.
Melalui FB juga satu naskah cerita bertajuk Hikayat Raja Babi dalam katalog digital British Library menarik minat pihak tertentu di Malaysia lalu ditransliterasikan menjadi buku yang terbit tahun 2015. Cuma saya tidak gemar dengan hal ini kerana tahu keadaan sosio-politik semasa ketika itu. Cerita dalam hikayat mungkin sahaja jujur berpenglipurlara tentang seorang anak raja yang dilahirkan dengan rupa jijik babi akibat sumpahan lalu menghadapi pelbagai cabaran hidup sebelum mendapat rupa manusia elok. Tetapi saya tahu kecendurangan tertentu pihak yang menerbitkan juga siapa yang paling seronok mewar-warkan. Rata-rata mereka adalah golongan liberal yang disokong kafir harbi yang bencikan Melayu dan Islam lalu mahu melihat institusi beraja di Malaysia runtuh. Nampak tak apa kena mengena dengan tajuk Raja Babi?
Sekitar waktu itu berlaku beberapa hal yang sangat mengguris umat Melayu Islam termasuk usaha mengadakan pesta minum arak Oktoberfest (nak tiru macam di Jerman lah itu) berserta kempen memegang anjing yang menonjolkan beberapa gadis muda bermuka Melayu bertudung begitu seronok memegang anjing. Hal ini saya nyatakan dalam sesi soal jawab bersama beberapa hal lain. Jawab Annabel beliau sebagai ahli akademik cuma bertindak jujur menyimpan dan mewar-warkan manuskrip. Bagaimana pihak lain menafsirkan atau memanfaatkan/memanipulasikan itu terpulang kepada mereka.
Oh. Satu lagi yang ditanya sambil berkongsi cerita adalah tentang manuskrip Undang-undang Kedah yang ditransliterasikan oleh Mariyam Salim dan diterbitkan DBP. Ia sering digunakan oleh pihak tertentu untuk mendakwa keluarga mereka yang berdarah Siam berhak memerintah seluruh Asia Tenggara/Nusantara malah sampai ke India, Cina, Turki semua harus tunduk di bawah mereka! Manuskrip itu juga disebut selesai ditulis pada tahun 222 Hijriah (sekitar 838 Masihi) lalu digunakan untuk mendakwa kerajaan Kedah dengan pemerintah utama berdarah Siam telah menguasai seluruh Alam Melayu/Nusantara seawal itu. Saya pernah meneliti buku hasil transliterasi tersebut lalu mendapati memang tertulis begitu pada bahagian akhir.
Peliknya saya juga mendapati teks bermula dengan catatan cara pemerintahan dan undang-undang Kedah oleh raja-raja tertentu pada abad ke-17 diikuti ke-18 dan seterusnya. Oleh itu mana mungkin ia habis ditulis pada tahun 222 Hijriah bersamaan 838 Masihi? Yang logik menurut turutan masa atau kronologi adalah penulisan harus selesai pada 1222 Hijriah bersamaan 1807 Masihi.
Hal ini dikongsikan kepada Annabel dan semua yang hadir dengan diberitahu dahulu bahawa pihak yang sering menggunakan manuskrip untuk memanjangkan dakwaan menyebut ia telah disorokkan oleh British sekian lama untuk menutup sejarah 'realiti' sebenar. Menurut ceritanya Tun Dr Mahathir telah mendapatkannya kembali dari London ketika menjadi Perdana Menteri. Selepas itu ia ditransliterasikan oleh Mariyam Salim lalu diterbitkan DBP tahun 2005.
Sejak itu terdedahlah (konon) sejarah 'sebenar' yang disembunyikan British untuk menutup cerita tentang satu keluarga yang layak memerintah seisi Alam Melayu sejak berkurun lama konon. Saya lihat Annabel seperti blank atau tidak tahu langsung tentang hal ini. Kalau betul naskah diambil di London beliau yang dianggap ramai sebagai salah satu pengkaji manuskrip Melayu yang tersohor di dunia harus tahu tentangnya. Cukup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan