Sudah sampai masanya untuk mengembangkan cerita di zaman UK. Sementara ada baki 2-3 minit untuk tarikh 3 Nov yang boleh ditulis dengan nombor cantik 3.11.13 ini biar disambung penceritaan daripada
Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144. Untuk pengetahuan saya telah mengambil masa yang agak lama untuk membuat artikel-artikel sokongan di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Oleh kerana ada bahagian dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit Nov 2007) menceritakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di kota London, awal musim luruh tahun 1991 biarlah ia di
copy paste, di celah-celahnya diselitkan gambar-gambar yang sesuai. Mari. :]
“Fasten your seatbelt. We are now approaching Heathrow airport, London!” teringat pengumuman ketua juruterbang setelah lebih 13 jam membelah udara tanpa-henti. Pesawat Jumbojet Boeing 747 yang dinaiki mula bergegar akibat penurunan laju daripada paras ketinggian 11,000 kaki ke paras laut. Dada pemuda itu berdebar-debar penuh harapan setelah lebih lima tahun mengidam untuk ke England - Dia pernah dibuang kolej kerana masalah disiplin dan nyaris-nyaris tidak dapat menyambung pengajian ke sana.
Kapalterbang mendarat lalu mengisi tempat yang disediakan. Aerobridge disambungkan kepada pintu pesawat dan penumpang mula keluar.
“Wow!” terkeluar reaksi awal melihat lapangan terbang utama Britain itu, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia. “Canggih!”
Kelihatan beberapa blok bangunan gergasi dikelilingi berpuluh pesawat pelbagai jenis dan saiz milik pelbagai syarikat. Terasa jauh bezanya dengan Lapangan Terbang Subang (ketika itu KLIA belum wujud) yang terasa begitu kecil dan third-world, begitu ketinggalan zaman.
Rasyid yang berpakaian segak dengan sepasang suit hitam lengkap milik almarhum Atuk Muar berserta kemeja putih bertali-leher (ramai juga orang menyangkakannya seorang businessman!) berjalan keluar menuju ke tempat pemeriksaan immigresyen. Setelah beratur lebih kurang 15 minit sampailah gilirannya untuk diperiksa. Pemuda itupun menghulurkan paspot dan embarkation pass. Sambil itu bersiap-sedia dengan financial guarantee letter, surat sokongan yang menyatakan dia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk bermastautin di London, dikepilkan bersama surat tawaran untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London, sebuah universiti terkemuka di England yang termasuk di dalam kelompok besar University of London.
Pegawai yang bertugas meneliti rupa-paras pemuda itu sambil membandingkannya dengan gambar serta maklumat yang tertera di dalam paspot. Tak banyak beza gambar dengan orangnya...
“I see, you come here for study, sir…” katanya seraya membelek visa pelajar di dalam paspot. “May I see your other supporting documents?” dia bertanya pula.
Rasyid menghulurkan surat-surat sokongan yang disediakan. Nampaknya teliti juga pegawai ini. Takut pemuda ini terrorist agaknya…
“I see you got everything in order,” katanya, puas-hati setelah meneliti segala dokumen yang di beri lalu mengecop paspot.
“Welcome to London, sir! Enjoy your stay here!” ucapnya dengan senyuman mesra seraya memulangkan semua dokumen-dokumen itu.
Anak muda itu melangkah lega. Secara rasmi, dia sudah berjaya memasuki London. Awal tadi, ada juga rasa takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Dia pernah mendengar cerita ada orang Malaysia yang ditahan pihak immigresyen lalu dihantar-balik dengan penerbangan seterusnya kerana masalah tertentu. Tak pastilah kenapa...
Rasyid pergi ke ruang bersebelahan untuk mengambil beg-beg pakaian dan keperluan di ruang menunggu bagasi lalu melangkah masuk ke ruang utama terminal. Sebaik sahaja melangkah keluar, terdengar satu laungan dengan satu suara yang agak familiar, biasa didengarnya…
“Abang! Sini, sini!”
Ah… Buah hati lamanya yang sampai seminggu lebih awal sudah sedia menunggu. Kota London, sudah sampai masa untuk kita berkenalan...
Banyak sungguh pengalaman baru hari itu. Setelah pertama kali menaiki kapal-terbang, pertama kali ke seberang laut, pertama kali ke London, pertama kali melihat lapangan terbang canggih seperti Heathrow, itulah pertama kali dia merasakan cuaca selain iklim khatulistiwa di tanah-air... Ketika itu England baru masuk musim luruh . Suasananya berangin sejuk dengan suhu sekitar 15 darjah Celsius., terasa berbeza sungguh dengan suhu 30 darjah di Malaysia.
Rasyid juga buat pertama kali merasa naik keretapi bawah tanah London Underground yang sering diceritakan orang. Pemuda itu masih ingat perasaan pelik tetapi seronok apabila keretapi sampai di stesyen bawah tanah Heathrow di bawah lapangan terbang diikuti pengumuman aneh: “Mind the gap!”
Perkataan sama tertera di beberapa tempat sepanjang tepian pelantar.
“Apa ini, ‘Mind the gap!’, Mind the gap!’” dia bertanya seraya mengajuk…
Rupa-rupanya ia satu peringatan supaya berhati-hati apabila melangkah masuk ke dalam keretapi... Jangan sampai terjatuh kerana ada ruang sehingga selebar 1 kaki di antara pelantar dan keretapi.
Buah hati lamanya seronok melihat Rasyid begitu teruja. Itulah kali pertama dia melihat pemuda yang biasanya suka berseluar jeans dan t-shirt itu begitu segak memakai suit lengkap! Penumpang lain pula kelihatan hairan melihat seorang ‘businessman’ dengan beg-beg besar serta haversack di belakang memeluk seorang gadis berpakaian ranggi dengan muka seperti pelajar 15 tahun. Sudahlah masing-masing buat perangai macam jakun, seperti rusa masuk kampung pun ada, seorang kelihatan begitu dewasa, seorang lagi seperti bawah umur…
Setengah jam kemudian, keretapi bawah tanah itupun sampai ke Marble Arch, stesyen terdekat ke Malaysia Hall, tempat tumpuan pelajar dan warga-kerja Malaysia di London. Rasyid dan buah hati lama keluar menaiki escalator naik ke permukaan. Kelihatanlah sebuah arca besar yang diperbuat daripada batu mar-mar (sebab itu dipanggil Marble Arch) di tengah persimpangan jalan, bersebelahan taman terkenal kebanggaan rakyat tempatan Hyde Park.
Dari situ, mereka berjalan kaki menghala ke utara melepasi Malaysia Hall dan beberapa blok bangunan untuk ke rumah sewa wanita itu di Baker Street, sebuah kawasan perumahan yang agak ekslusif, terkenal dengan watak khayalan detektif ternama Sherlock Holmes ciptaan penulis Arthur Conan Doyle. Selepas berehat sebentar dan bertukar pakaian yang lebih selesa (apalagi, seluar jeans dan t-shirt kegemaran Rasyid lah tetapi mesti memakai sweater sekali kerana sejuk), pemuda itupun memulakan penjelajahan pertamanya di kota itu.. Destinasi pertamanya - Oxford Street, lebuh membeli-belah utama London.
Memang seronok bersiar-siar di sepanjang lebuh membeli-belah terkenal dunia yang menjangkau jarak 3km itu sambil singgah window shopping, cuci-cuci mata di gedung-gedung membeli-belah gergasi seperti Selfridge’s, Marks & Spencer dan Debenham’s. Pasangan yang memang suka berjalan kaki jauh bersama-sama sejak mereka berkenalan di Kuala Lumpur itu juga menjenguk beberapa kedai lain... Sambil melepasi lebuh-lebuh terkemuka seperti Regent Street dan menyelit-nyelit di tengah kebanjiran penduduk tempatan dan pelancong yang memenuhi hampir setiap inci kaki lima, rasanya tidak kurang lima kali lebih padat daripada keramaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika hujung minggu!
Pemandangan lautan manusia yang mengkagumkan itu dihiasi pula dengan deretan bas-bas dua tingkat London Transport berwarna merah, juga teksi-teksi besar berwarna hitam yang rupanya saling tak tumpak seperti kereta Rolls Royce lama. Masing-masing menjadi identiti tersendiri kota metropolitan terkenal dunia yang menampung sekitar 10 juta penduduk itu. Sampai ke stesyen Tottenham Court Road di penghujung timur Oxford Street, sebuah kawasan yang juga dikenali sebagai West End, Rasyid dan buah hati lama berjalan menghala ke utara sehingga menghampiri kawasan kampus University College of London yang akan menjadi tempat pemuda itu menyambung pengajian tinggi.
Mereka singgah sebentar di kedai buku kedua terbesar di London iaitu Dillon’s bersebelahan bangunan University of London Union, sebuah bangunan tiga tingkat sebesar pasaraya Batu Road Supermarket di Chow Kit ataupun gedung membeli-belah Mydin di Masjid India tetapi penuh dengan buku-buku pelbagai tajuk dan bermacam-macam subjek yang belum pernah ditemui pemuda itu di Malaysia. Apa yang membuat dia lebih seronok, itulah kedai buku pertama yang ditemuinya seumur hidup di mana seseorang itu boleh membaca apa-apa buku selama mana mereka suka sambil duduk bersila di atas lantai atau bersandar di tepi dinding. Malah pemuda itu cuba berbaring di atas lantai yang beralas permaidani... Tiada pula pembantu kedai yang menegur atau menghalaunya keluar. Ah... Terasa bagai berada di syurga dunia pula!
Rasyid keluar dengan senyuman lebar sampai ke pipi.
Tiba-tiba dia menoleh ke arah buah hati lama. “Cubit saya!” katanya...
“Hah? Apa dia?” wanita itu bertanya hairan.
“Cubit saya!”
“Kenapa?”
“Alah… Cubit sahajalah… Jangan banyak tanya!”
Gadis cantik berwajah budak sekolah menengah itupun mencubitnya.
“Kuat lagi! Kuat-kuat!” kata pemuda itu.
Buah hati lamanya menurut sehingga terbeliak mata…
“Adoi!” baru dia menjerit.
“Eh, kenapa awak ini? Buang tebiat ke?” wanita itu semakin pelik.
“Tidak ada apa-apa,” kata Rasyid tersengih seperti kerang busuk. “Sahaja-sahaja, hendak pastikan saya tidak bermimpi!”
Mereka ketawa riang lalu meneruskan perjalanan... Kali ini menghala ke selatan melepasi School of Oriental, African and Slovanic Studies, British Museum, seterusnya stesyen Holborn untuk menyusuri lebuh Kingsway hingga ke Aldwych, lokasi sebuah universiti pengajian ekonomi yang terkemuka di dunia, London School of Economics, tempat buah hati lama itu menuntut.
Dalam hari pertamanya di London, pemuda itu juga sempat bersantai di tempat-tempat tumpuan pelancong terkemuka yang sering menghiasai poskad antarabangsa, tempat-tempat seperti Trafalgar Square dan Piccadily Circus. Hari itu sahaja, dia berjalan kaki lebih 10km! Belum dikira hari-hari berikutnya membelek barangan antik di Camden Town atau menikmati hiburan jalanan termasuk orkestra kecil four piece classical music di Covent Garden, tempat tumpuan warga seni jalanan di kota London, tempat yang pernah memberi rakyat Malaysia yang sealiran ilham untuk menerbitkan Central Market di Kuala Lumpur. Belum dicampur hari-hari kemudian santai di taman-taman bunga seperti Hyde Park dan Regent’s Park atau menikmati angin tepian Sungai Thames sambil melihat jam besar Big Ben atau jambatan tergantung Tower Bridge. Pendek kata, cukup banyak tempat menarik di sana. Sesetengahnya begitu unik membuatkan seseorang itu tersenyum lebar sampai ke pipi. Boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menceritakan semua ini...
Ah... Memang indah rasanya berjalan di tempat begini... Tetapi itu di London, kota megah yang namanya sahaja boleh dikatakan dikenali seluruh penduduk bumi. Cuma terdapat beberapa buah kota sahaja di dunia yang boleh diletakkan sebaris dengannya seperti kota New York, Paris dan Tokyo… Berapa ramai pula manusia yang mengenali kota Langsa di Aceh? Siapa pula yang teringin sangat hendak pergi ke bandar yang terletak 40km ke utara sempadan Sumatera Utara-Aceh itu selain mereka yang mempunyai keluarga di sana?
Kembali pada cerita zaman UK. Di atas ditunjukkan kedudukan Lapangan Terbang Heathrow ke pusat bandar raya London. Klik pada peta untuk melihatnya besar. Garisan tegak kuning lapangan ke pusat berjarak sekitar 20 km. Lebuh raya lingkaran ditanda kerana ia hampir tepat meliputi kawasan besar pembangunan yang dikenali sebagai Greater London atau London Besar. Diibaratkan seperti Kuala Lumpur campur Petaling Jaya, Kajang dan beberapa kawasan sekitar yang meyokong perkembangan KL, lingkaran itu meliputi kawasan sebesar negeri Melaka.
Peta ini mula menunjukkan laluan yang diambil dengan berjalan kaki pada hari pertama saya sampai di London. Ukuran melalui Google Earth menunjukkan lebih 11 km telah diharungi, lebih dari anggaran yang dibuat dalam cerita iaitu 10 km. Cuma cerita tersilap menganggarkan Oxford Street adalah sepanjang 3 km sedangkan ia sebenarnya sepanjang 2 km. Gambar tempat-tempat yang diceritakan telah diletakkan dalam artikel sokongan. Lihat :-
Proses bercerita sambil mengingatkan laluan dan tempat-tempat membuat saya rasa harus menangani beberapa lagi perkara tambahan selain yang sudah disenaraikan pada artikel
Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144. Antaranya :-
1. Suasana sekitar menumpang di Baker Street
2. Suasana setelah berpindah di Bermondsey (dekat Tower Bridge), boleh dicampur sekali lawatan ke Greenwich di mana terletaknya garisan Greenwich Meridian yang digunakan untuk menandakan waktu piawai (waktu Malaysia adalah + 8 jam GMT - Greenwich Meridian Time).
3. Zaman menetap di Archway - zaman itu saya lebih rajin ke Camden Town kerana terletak dalam perjalanan.
4. Zaman menetap di Sheperds Bush - selalu singgah Notting Hill Gate dalam perjalanan (ingat filem dengan tajuk itu lakonan Julia Roberts). Teringat sekali saya selalu ke kedai kaset dan CD second hand sekitar itu, pernah juga membeli gadget terpakai untuk gitar eletrik...
5. Ada satu tempat saya pernah menetap, atas restoran India, dekat restoran Turki. Saya tak ingat lokasi tapi rasanya tak jauh dari Hampstead Heath.
6. Zaman menumpang di Edgeware Road. Ketika itu juga saya ada bekerja di Malaysia Hall ke kemudian? Banyak nak kena ingat ni yang mana dulu yang mana kemudian.
7. Zaman menetap di Chepstow Road/Place. Selalu turun ke Bayswater. Masa tu pernah kerja cuci serombong di Mara House lewat malam.
8. Zaman menumpang dekat-dekat Queensway
9. Zaman menumpang di Leytonstone. Ish... banyak beno saya menumpang. Ada le sebabnya.
10. Sesekali main kawasan mewah Knightsbridge di mana terdapat gedung membeli-belah Harrod's. Tak jauh dari Imperial College kalau tak salah ingatan.
11. Rasanya boleh juga dibuat satu artikel semata-mata untuk bercerita tentang pengangkutan awam di London. Beli kad bulanan mudah. Naik bas, kereta api, kereta api bawah tanah. Ada satu laluan tu lingkaran pusat pertengahan London dipanggil Circle Line. Kadang-kadang bila terasa jemu saya sengaja duduk dalam kereta api sampai satu pusingan. Jaraknya dianggarkan sekitar setengah pusingan Lebuh Raya MRR II di KL.
Masuk bab pengangkutan awam ni teringat ada gak cerita tertentu zaman nakal tapi rasanya tak elok le diceritakan. Simpan sebagai kenangan untuk iktibar diri sendiri dah le. Saya menulis siri ini pun untuk mengingatkan banyak perkara yang sudah lupa. Mungkin ada perkara lama tak berapa selesai yang mengganggu tanpa disedari. Dan sudah sampai masa untuk saya menangani dan menyelesaikannya secara baik sebelum dapat bergerak masuk ke fasa kehidupan seterusnya. Itu aje...
1 ulasan:
bilamana dana mega masuk ianya akan merancakkan dan melonjakkan ekonomi negara ke tahap status negara maju yang telah ditetapkan PBB dan Bank Dunia.Kuasa menjual tinggi nya kuasa membeli itu tadi.Selama ini kuasa jual beli dunia hanya dimonopoli oleh 10%-20% penduduk.Tapi kali ini kuasa jualbeli itu akan jauh lebih besar berbanding sebelum ini kerana ianya melibatkan kuasa jualbeli majoriti penduduk! Penawaran duit melebihi permintaan duit di dalam sistem bank dunia akan menyebabkan harga terkawal.Cuma sebelum ini pemainnya ialah bangsa bukan MELAYU! Tapi untuk kali ini pemain utama ekonomi dunia ialah bangsa MELAYU kita! Bank akan memiliki kecairan yang tersangat tinggi dan ini akan melonjakkan ekonomi negara kita ke tahap yang luar biasa hingga dunia memandang kepada kita!Tujuan ini semua ialah bagi menyatakan kepada dunia bahawa kita ialah sebuah negara maju yang memiliki pendapatan yang tinggi yang dikuasai oleh bangsa MELAYU,sebelum 2020? heheee
Pemikiran Strategik Melayu ADDP
madahselokaaddp.blogspot
Catat Ulasan