
Menurut ceritanya, suatu masa dahulu di hulu Sungai Deli, terdapat sebuah kampung bernama Siberaya. Di situ lahirlah Puteri Hijau yang amat cantik bersama saudara-saudara kembarnya seekor naga dan sebuah meriam (? Jangan tanya...). Masalahnya, naga itu kuat makan. Sampai satu ketika, rakyat Siberaya tidak sanggup lagi menyediakan makanannya.
Puteri Hijau dan saudara-saudaranya pun membuat keputusan untuk berpindah ke hilir dan menetap di Deli Tua. Rakyat di situ menerima kedatangan mereka dengan baik lalu membangunkan sebuah kota yang teguh. Puteri itu meningkat dewasa dan menjadi semakin cantik. Berita kecantikannya tersebar ke merata ceruk rantau sampailah ke Aceh. Raja Aceh pun menghantar rombongan meminang tetapi pinangannya ditolak. Baginda murka lalu mengarahkan bala tenteranya menyerang Deli Tua.
Tetapi bukan senang hendak menembusi benteng pertahanan kota itu yang teguh. Orang Aceh terpaksa bermain akal dengan menembakkan ribuan wang emas ke dalam kota. Askar Deli Tua pula menjadi leka memungut wang emas lalu meninggalkan kawalan yang sepatutnya.
Kota itupun dengan mudah dikuasai tentera Aceh. Tinggallah pertahanan terakhir Deli Tua iaitu sang meriam, saudara kembar Puteri Hijau.
Demi menyelamatkan keadaan, meriam itu telah ditembakkan terus-menerus sehingga menjadi terlalu panas lalu terputus dua. Muncungnya tercampak ke kampung Sukanalu dan sisanya itulah yang tinggal lalu diabadikan di dalam bangunan seperti bangsal di halaman Istana Maimon.
Melihatkan ini, saudaranya sang naga pun menaikkan Puteri Hijau ke atas punggungnya dan menyelamatkan diri melalui sebuah terusan, memasuki Sungai Deli langsung ke Selat Melaka. Begitulah al kisahnya...





Pergaulan Rasyid dengan orang-orang di Pengkalan Brandan terutama pengunjung tetap masjid agak mesra walaupun baru sahaja berkenalan. Tidak seperti di Medan di mana dia terasa was-was untuk bergaul dengan penduduk tempatan (kecuali Kak Dewi, abang Arman, adiknya Apin dan keluarga), pemuda itu terasa begitu selesa dengan mereka seolah-olah sudah lama berkenal-mesra. Mungkin kerana orang-orang ini ahli masjid? Maka mereka dengan senang hati menerima kehadiran tetamu sebangsa dan seagama dari seberang itu? Sebagai orang Islam, apalagi pengunjung tetap masjid, mereka mestilah menghormati tetamu, apalagi yang sama-sama Islam dan Melayu... Kalau ikut adat orang lama pun, harus diajak bertamu selama tiga hari. Atau mungkin juga orang di sini lebih mesra disebabkan keadaan dan gaya hidup mereka yang lebih santai? Sedangkan Medan yang pembangunannya pesat, harga barang mahal berserta suasana metropolitan mementingkan diri sendiri menyebabkan penduduknya lebih banyak memikirkan duit dan untung-rugi daripada kebajikan masyarakat...
Apapun, kalau difikirkan balik, manusia bergaya samseng yang ditemui Rasyid di Medan adalah orang jalanan yang mungkin “berpengkalan” di tempat-tempat tertentu sahaja. Cuma pemuda itu sahaja tidak tahu kawasan mana yang “panas”, kawasan manakah yang lebih selamat… Sepertimana jika seseorang itu sampai ke Kuala Lumpur dan kebetulan lalu di kawasan yang banyak kutu rayap, banyak muka gangster dan “kaki pau”, mungkin di sebahagian hentian bas Puduraya, mungkin di beberapa ceruk sekitar Central Market atau lorong-lorong sempit di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit. Jika dia kelihatan seperti orang luar, orang yang baru sampai ke kota dan tidak tahu selok-belok tempatan, kemungkinan besar orang itu akan dikacau, diacah-acah dan diuji samada timbul rasa cuak, takut ataupun tidak. Kalau agak-agak boleh “dimakan”, kemungkinan besar dia akan kena “pau”, kena bagi duit untuk menyelamatkan diri... Kalau tidak pun kena buli seperti disuruh buat ketuk-ketampi kerana orang-orang jalanan seperti ini selalunya memang kaki buli, sahaja seronok tengok orang gelabah, terpaksa menurut cakap dan titah perintah mereka.
Rasyid faham gelagat orang-orang sebegini kerana dia sendiri pernah dibuli dan digertak semasa umur belasan tahun di sekolah asrama oleh pelajar senior. Ada pula pelajar mengaku mengenali kaki pukul di luar supaya digeruni ramai. Sampai satu masa, pemuda itu juga mula bergaul dan berkawan dengan gangster dan mula lali dengan gelagat mereka.
Orang-orang jalanan selalunya cukup bangga kalau dapat jadi gangster, atau ada hubungan dengan gangster... Suka ‘diiktiraf’ sebagai kaki pukul, lebih seronok lagi jika diketahui “ngam” dengan gangster-gangster besar yang terlibat dengan jenayah berat seperti merompak, mengedar dadah malah membunuh! Maka itu ramai di antara mereka ingin tunjuk handal, tunjuk besar kepala di hadapan khalayak ramai seolah-olah dunia ini berada di dalam genggaman mereka. Gangster yang terasa ada class atau taraf, ada gaya dan citarasa pula sering tunjuk lagak di kelab-kelab malam, kemudian sahaja cari alasan untuk bergaduh tunjuk kuat pada semua orang…
Sepanjang pengalaman Rasyid merantau ke sana ke mari, pernah bertembung dengan samseng-samseng kulit putih juga kulit hitam di England yang cuba menggugut tetapi menarik diri apabila terpandang matanya mula kelihatan merah semacam, mereka yang betul-betul handal jarang menonjolkan diri kerana tidak suka membuang masa dengan perkara remeh-temeh dan tidak mahu dikenali pihak berkuasa… Selalunya orang yang betul-betul handal dalam dunia underground, dunia gelap bawah tanah lebih “pandai makan pandailah simpan.” Kalau boleh jejak tindakan mereka tidak mahu dikesan, senyap tetapi dapat mencapai matlamat... Ibarat ninja mencantas mangsa, ibarat assasin, pembunuh upahan yang tanpa disedari pihak lawan telah berjaya memasuki kawasan yang dikawal ketat, menjalankan tugas kemudian keluar tanpa dapat dihidu kehadiran.
Kebanyakan mereka yang menjalankan aktiviti tidak sihat di jalanan adalah jenis “kurang handal”... Bolehlah bersilat sedikit-sebanyak, bertinju atau “bertomoi”, tahu kick-boxing dan sebagainya, kira handallah juga pada kebanyakan orang tetapi bukan sebenar-benarnya handal. Mereka ini sering bersikap seperti lalang yang sentiasa mahu menegak, tidak faham resmi padi yang semakin tunduk semakin berisi. Lalu ramai yang suka menjadi jaguh di kawasan sendiri, dengan dikelilingi rakan-rakan “sealiran” yang sedia membantu jika apa-apa terjadi. Bila disuruh mengembara seorang diri cari pengalaman di tempat orang mulalah kecut perut mencari alasan…
Sebab itu wujud istilah gangster kampung yang lagaknya tidak ubah seperti Sarip Dol, samseng Kampung Dusun dalam cerita P. Ramlee, “Seniman Bujang Lapok”. Orang seperti ini paling pantang tengok orang luar masuk kampungnya. Mesti hendak dicuba, kalau dapat hendak dibulinya sepuas hati. Hendak tunjuk kejantananlah konon, tunjuk terror. Kawan-kawan pun boleh tumpang gelak dan dia pula terasa dirinya gah, hebat...
Semasa mula sampai di Masjid Raya Pengkalan Brandan tadi ada juga orang yang cuba menggertak Rasyid dengan menegurnya secara kasar dan biadab... Lalu bertanya kenapa pemuda itu boleh sampai ke daerah itu dengan nada memerintah, seolah-olah dia sedang bercakap dengan seorang budak hingusan dan mentah, ada hati hendak menguji keberaniannya.
Mula-mula anak Malaysia ini menjawab dengan elok kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa ketegangan, setakat memberitahu bahawa dia cuma mengikut gerak hati lalu sampai ke Pengkalan Brandan, setelah tidak dibenarkan masuk ke Aceh pagi tadi... Tidak ada rancangan pun hendak ke tempat ini, tidak pernah terfikir pun wilayah ini wujud di mukabumi... Cuma Takdir sahaja menentukan dia boleh sampai ke sini...
Kemudian orang itu bertanya pula jika Rasyid ada membawa banyak duit, masih dengan nada biadab dan memerintah. Apabila ditanya balik kenapa, katanya kerana setahunya, orang Malaysia kaya-raya belaka. Adakah patut bertanya begini? Apa punya adat? Adat Sarip Dol agaknya.
Rasyid mula terasa marah tetapi cuba menyembunyikan keadaannya. Lalu menjawab dengan nada yang tegas tetapi terkawal. “Kalau saya banyak duit, tentu saya tidak akan sampai ke sini. Buat apa pergi ke Pengkalan Brandan? Ini bukan tempat pelancongan. Kalau saya banyak duit tentulah saya sudah pergi ke Danau Toba. Atau mana-mana tempat orang biasa pergi. Apa ada di sini sampai saya perlu menjejakkan kaki?”
Mendengarkan jawaban yang “separuh kurang ajar” ini, orang itu terus terdiam. Mata Rasyid pula merenungnya tajam, tidak berkelip langsung! Tetapi tidak pula terlalu tajam seperti mahu memukul orang. Setakat hendak menghantar “message” jangan cuba-cuba hendak membuli...
Akhirnya orang itu tidak berani bertentang mata lagi lalu kepalanya tertunduk ke bawah. Selepas itu barulah dia bercakap dengan lembut. Rasyid sedia menyambut dan mereka pun mula berbaik-baik. Pemuda ini datang bukannya hendak mencari musuh apalagi hendak mencari gaduh. Tetapi kalau orang hendak juga mencari pasal, dia tidak boleh memberi peluang. Nanti tidak habis-habis diganggu! Jangan sampai dia tidak ada pilihan… Alangkan tikus kecil yang tersepit pun akan menerkam menggigit balik walaupun pihak yang menghimpit itu sebesar gajah inikan lagi anak muda berdarah Aceh yang tahu sedikit-sebanyak ilmu berperang.

Kitab Sejarah Melayu menyebut Haru pernah menjadi sebuah negeri besar yang setaraf dengan Melaka dan Pasai... Kerana cuma “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Semasa itu, awal zaman kegemilangan Melaka, sekitar awal abad ke 15 Masihi, Haru merupakan sebuah kerajaan yang hebat lagi kuat dengan sempadan utaranya di Temiang, melepasi sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang dan sempadan selatannya beratus kilometer jauh ke Rokan, sekarang ini di dalam wilayah Riau. Tetapi kitab itu tidak menyatakan Haru setaraf dengan Melaka dan Pasai kerana keluasan wilayah dan jajahan takluknya. Sebaliknya ia mendapat penghormatan itu kerana kebesaran raja serta ketinggian daulatnya. Siapakah Raja Haru ini sehingga boleh menjadi setaraf dengan Raja Melaka dan Pasai?





Memang keadaan berubah begitu drastik hari itu. Tidak cukup dengan ‘ditendang’ keluar pihak imigresyen, sempadan Sumatera Utara-Aceh pula menyaksikan Rasyid dimarahi pihak tentera yang pernah melarangnya masuk 10 hari lalu. Nampaknya mereka masih ingat rupa-parasnya. Lalu dia diberi amaran keras jangan cuba-cuba lagi hendak masuk ke Aceh!
“Kalau tidak…” seorang askar berpangkat sarjan tidak menghabiskan ayat sebaliknya mengangkat mesingan tinggi dengan gaya mahu memukul orang. Faham-faham sahajalah, Askar-askar lain melihat sahaja...
Rasyid tidak berputus asa. Mungkin apa yang berlaku itu setakat satu setback sahaja, satu halangan sementara untuk menduga kesungguhan dan keyakinan pemuda itu terhadap Qada’ dan Qadar. Dia terus pergi ke Pengkalan Brandan, bandar kecil tempatnya berteduh ketika pertama kali dihalau daripada memasuki Aceh. Kali ini, anak Malaysia itu tidak mahu menumpang tidur mana-mana rumah kawan ataupun kenalan kerana hendak bermunajat di masjid memohon petunjuk akan gerak seterusnya.
Kebetulan di Masjid Raya Pengkalan Brandan, terdapat dua orang pengemis daripada Aceh menumpang sama. Tidak disangka, kehadiran mereka juga kehadiran pemuda itu menyebabkan satu operasi tentera akan dilancarkan! Pada malam kedua Rasyid bermunajat, dua buah trak tentera dengan lebih 20 askar bersenjata telah datang ke masjid. Dengan keras seperti menyerbu markas penjahat mereka terus mengangkut pengemis-pengemis ini serta dua tiga orang lain lalu membawa mereka pergi...
Ketika itu, Rasyid sedang minum kopi bersama kawan-kawan di warung seberang jalan. Terus dia teringat, siang tadi Pak Lurah iaitu penghulu kawasan ada memberitahu pihak tentera akan datang ke masjid untuk mencarinya. Pemuda lurus bendul ini mahu menyerahkan diri kerana tidak mahu orang lain ditangkap tetapi kawan-kawannya menahan,,,
“Jangan pergi!” kata seorang kawan sambil menarik baju anak muda yang sedang cuba bangun meninggalkan meja. “Teruk kamu nanti... Ada orang mengesyaki kamu ini orang GAM (Gerakan Aceh Merdeka)”
Kata seorang kawan lain, jika tidak disabit sebagai anggota GAM pun Rasyid boleh dituduh sebagai seorang penyokong dari luar. Ceritanya masuk ke Aceh sudah diketahui ramai... Maka pemuda ini boleh dianggap berani masuk ke wilayah darurat itu kerana ada kaitan. Selepas tentera beredar, baru dia kembali ke masjid. Tengok-tengok beg galas yang mengandungi paspot antarabangsa serta barang keperluannya pula sudah hilang!
Rasyid termenung panjang. Rasa-rasanya beg itu telah diangkut pihak tentera. Nampaknya, dia tidak ada pilihan kecuali pergi ke pejabat mereka untuk menuntut barang. Kebetulan Pak Lurah masih berada di sekitar masjid, dia pun meminta orang tua itu membawanya ke sana...
Markas tentera yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Pengkalan Brandan terletak sekitar 2km dari Masjid Raya. Pak Lurah membawa Rasyid masuk lalu memperkenalkannya. Kelihatan beg galas pemuda itu sudah digeledah... Barangan seperti paspot antarabangsa, surat dari Kedutaan Malaysia dan telefon bimbit yang telah ditutup suisnya sejak berada di Indonesia telah diatur di atas meja seorang pegawai...
Dua orang pengemis dari Aceh yang diangkut tadi sedang duduk di sebalik pintu yang terbuka di sebuah bilik bersebelahan sementara tiga orang anak muda yang turut ditahan duduk di kerusi yang disediakan. Mengelilingi mereka adalah tidak kurang daripada 10 orang askar termasuk polis tentera juga mata-mata, dua daripadanya bersenjatakan mesingan...
“Itu barangan saya pak,” Rasyid membuka kata-kata sambil menuding jari ke arah barangan miliknya. “Saya tinggalkan di masjid tadi.”
“Hmm…” pegawai yang duduk di meja, nampaknya chief interrogator yang akan menjalankan soal-siasat menganggukkan kepala. “Ke mana kamu tadi semasa kami datang ke masjid?” dia bertanya pula.
Pemuda itu menjawab tenang: “Saya ada di warung bersebelahan... Sedang minum kopi dan makan bersama kawan-kawan.”
“Kamu orang Malaysia ya?” pegawai itu menunjuk paspot di meja.
“Ya pak!” Rasyid mengaku. Tiada apa yang perlu diselindungkan...
“Buat apa kamu ke sini?”
“Saya ingin menziarahi kampung halaman nenek-moyang saya pak. Mereka berasal dari Aceh,” jawabnya jujur.
Pegawai itu memberikan isyarat supaya Rasyid mengambil tempat duduk. Pemuda itu dengan selamba memilih kerusi di sebelah orang itu… Melihat caranya yang tidak menunjukkan sebarang rasa takut, seorang askar berpangkat lance corporal menyergah dengan mesingan yang diangkat tinggi, siap dengan gaya seperti hendak memukul kepala dengan laras.
“Kenapa orang Malaysia begitu senang hendak masuk ke sini tetapi orang Indonesia mahu ke sana begitu susah?,” dia menengking. “Kenapa kamu pula boleh masuk dengan mudah sedangkan kami banyak ditanya, banyak syarat-syaratnya? Dipandang pula seperti pendatang bangsat?”
Rasyid merenung mukanya dengan mata yang sedikit ditajamkan.... Gayanya seperti hendak melawan tetapi bukan mencari gaduh. Dia dapat merasakan orang ini ada hati hendak menguji keberaniannya. Lalu dengan tutur kata tenang tetapi tegas tanpa teragak-agak dia menjawab: “Apa kena-mengenanya dengan saya? Itu polisi pemerintah bukan polisi saya!”
Lance corporal itu tidak puas hati. Mesingan tadi diletakkan kembali di sisi tetapi mukanya masih merah padam. Chief interrogator memberikan isyarat supaya askar itu berundur ke belakang kemudian melemparkan beberapa soalan kepada pemuda itu... Antaranya, sudah berapa lama di Indonesia? Masuk ikut mana? Sudah sampai ke mana? Bagaimana boleh sampai ke Pengkalan Brandan sedangkan ia bukannya sebuah destinasi pelancongan? Siapakah yang dikenali di sini? Kerja apa di Malaysia…
Rasyid menjawab dengan jujur menggunakan tutur-kata yang terkawal. Dia sedar, setiap tentera, polis dan mata-mata yang berada di bilik itu (ada lima atau enam lagi di luar) sedang menganalisa setiap gerak-gerinya.... Cuba mencari tanda-tanda percubaan menipu melalui perubahan nada, juga gerak badan atau body language. Pemuda yang memiliki banyak pengalaman mengembara ke merata ceruk rantau, pernah beberapa kali cuba disantau orang itu dapat merasakan mereka juga cuba meniliknya secara batin.... Ini adalah perkara biasa di kalangan mereka yang pernah mendalami ilmu persilatan sampai ke peringkat pengajian ilmu ghaib ataupun batin dan merupakan salah satu skil atau kebolehan utama yang dimiliki mereka yang terlibat dalam dunia mata-mata atau dunia intelligence.
Tanyalah polis SB (Special Branch) yang selalu menyamar sebagai orang biasa untuk memantau keadaan sesuatu kawasan. Mereka mungkin tidak akan mengaku berbuat perkara sebegini tetapi kita boleh melihat sendiri dengan sedikit kepekaan... Biasanya, apabila seseorang cuba menilik kita, dia akan memandang kita penuh perhatian sambil jari tangannya kelihatan seperti berzikir memetik tasbih. Mereka mungkin SB atau orang yang mengamalkan ilmu ‘scanning’ atau menilik manusia secara batin.
Orang sebegini biasanya suka memakai cincin dengan batu berbagai jenis yang dikatakan memiliki pelbagai khasiat. Selalunya mereka akan cepat-cepat memandang ke tempat lain apabila menyedari kita sudah tahu mereka sedang menilik kita... Iaitu dengan memandang tepat ke mukanya penuh yakin tanpa berkelip mata. Rasyid sudah biasa melihat orang cuba meniliki peribadinya sehingga mula terasa lucu pula melihat ia berlaku!
Ada masanya Rasyid senyum dan tertawa kecil melihat keadaan dirinya sedang disoalsiasat, sekejap oleh chief interrogator di sebelah, sekejap oleh dua tiga pegawai di hadapan. Sesekali askar-askar berpangkat rendah yang berdiri jauh sedikit ke pintu cuba menunjukkan belang. Mereka cuba menyergah dengan soalan-soalan yang disuarakan secara kasar walaupun tidak sekasar askar yang cuba menggertak awal tadi. Anak muda itu tetap tidak menunjukkan tanda-tanda takut mahupun gementar. Sebaliknya mereka pula kelihatan pelik tertanya-tanya melihat pembawakan anak muda itu. Siapakah orang ini sebenarnya? Kenapa dia begitu berani?
Setelah berterus terang tujuan utamanya berada di Pengkalan Brandan adalah untuk ke Aceh demi melawat makam Sultan Malikus Salih lalu menceritakan sedikit kaitan peribadi (mereka asyik bertanya kenapa mesti ke makam itu), askar-askar ini mula kelihatan sedikit takut. Ini kerana nama pengasas kerajaan Samudera-Pasai itu masih bergema sebagai seorang Sultan yang sangat tinggi daulat dan keramatnya dalam jiwa sesetengah rakyat Indonesia yang kebanyakkannya sangat mempercayai hal-hal kebatinan. Rasyid dapat merasakan walaupun askar-askar ini lebih ramai, kuat malah siap bersenjata pula, mereka takut tersilap pukul atau buli orang... Takut juga dengan tulah dan balasan yang boleh datang…
Pengemis dua orang yang berada di situ kurang bernasib baik... Senang-senang sahaja boleh dimaki-hamun, diherdik malah diterajang di dada! Mereka disuruh berdiri dan berjalan walaupun kedua-duanya tempang. Askar-askar ini tidak percaya mereka betul-betul cacat walaupun seorang kakinya ternyata lembik dan bengkok ke dalam, seorang lagi mungkin menghidap penyakit polio, paha dan betisnya kecil sebelah.
Kata chief interrogator, ramai orang GAM menyamar sebagai pengemis menagih wang di kota-kota luar Aceh untuk menampung perbelanjaan GAM. Ada pula menjadi cacat akibat berperang dengan tentera Indonesia...
Daripada isyarat dan mimik muka yang diberikan dua orang pengemis ini, Rasyid dapat merasakan mereka sedikit lega dengan kehadirannya. Mereka tahu pemuda ini simpati terhadap rakyat Aceh berdasarkan cerita-ceritanya kepada kawan-kawan di Masjid Raya Pengkalan Brandan. Askar bermisai tebal seperti tanduk kerbau dengan perut buncit yang sering memaki-hamun dan memukul mereka kelihatan sedikit segan untuk bertindak lebih ganas di hadapan Rasyid. Mungkin kerana dia seorang rakyat Malaysia dan ada mengaku pernah bekerja sebagai wartawan?
Pihak tentera terus cuba mengaitkan Rasyid dengan GAM. Setelah tidak berjaya mendapatkan apa-apa bentuk akuan, mereka cuba menuduhnya sebagai seorang ahli puak pemisah yang telah merampas paspot antarabangsa Malaysia daripada seorang pemilik lain pula! Kedudukannya sebagai warganegara Malaysia pun dipersoalkan lalu mereka menguji dakwaan itu dengan bertanyakan lokasi Bangunan Felda di Kuala Lumpur. Pemuda itu menjawab, Jalan Ampang. Terus seorang askar menggertak, mengatakan jawaban itu salah. Menurutnya, Bangunan Felda terletak di Jalan Tun Razak maka ini adalah ‘bukti’ Rasyid bukan orang Malaysia...
Anak kelahiran Muar, Johor itu mula naik darah. Inipun mahu dijadikan alasan untuk memerangkapnya sebagai anggota GAM? Dia pasti jawabannya tepat tetapi orang ini pula masih hendak bermain teka-teki,,,
“Mana boleh!” Rasyid memotong dengan nada keras. “Saya selalu lalu-lalang di Ampang. Bangunan Felda memang terletak di Jalan Ampang, sebelum sampai pusat membeli-belah Ampang Point.”
Askar ini cuba menegakkan benang basah.... Sempatlah bertekak dua tiga minit sambil diperhatikan askar-askar lain. Rupa-rupanya Bangunan Felda yang dimaksudkan adalah Wisma Peladang di Jalan Semarak!
Chief interrogator pula sibuk membelek sekumpulan foto muka orang yang dikenalpasti sebagai anggota GAM sambil memadankannya dengan mereka yang ditahan. Sampai pada satu foto yang rupanya agak mirip dengan salah seorang pengemis tadi,dia pun mengangguk-anggukkan kepala memberi isyarat kepada askar lain. Pengemis itu sedar dirinya sedang diteliti lalu memandang muka Rasyid ... Pemuda itu pula menganggukkan kepala, memberikan isyarat kepada pengemis yang mukanya memang telah dikenal pasti. Air mukanya berubah seketika sebelum kembali tenang seolah-olah pasrah menerima takdir yang bakal menimpa.
Dipendekkan cerita, kedua-dua pengemis ditahan sementara tiga anak muda yang turut diangkut di masjid tadi dilepaskan kerana mereka sekadar kutu rayau. Rasyid turut dilepaskan dan semua barangannya dipulangkan... Tetapi dia tidak dibenarkan tidur lagi di Masjid Raya Pengkalan Brandan atau mana-mana tempat awam di pekan itu sedangkan jam sudah melepasi 1.30 pagi. Mana sempat menumpang rumah kawan ataupun kenalan?
Pagi Khamis 22 Januari 2004 bersamaan 29 Zulkaedah 1424. Setelah menunaikan solat Subuh di masjid Pasar Lebar yang terletak 8km ke selatan Pengkalan Brandan, Rasyid menaiki van pengangkutan awam ke Medan... Sempat singgah di Kota Maksum untuk mencari Apin, anak muda sebaya yang pernah membawanya berjalan-jalan sekitar kota kedua terbesar di Indonesia itu lebih 2 minggu lalu tetapi dia pula outstation untuk melawat abangnya di Langsa, Aceh.... Pemuda ini terus ke selatan Medan. Destinasi seterusnya Batubara demi memenuhi pesanan Nenek...
Memandangkan sudah hampir Maghrib, anak Malaysia ini singgah di masjid raya berdekatan di Timbang Deli lalu menumpang tidur bilik imam muda masjid yang umurnya belum sampai 25 tahun. Ada juga beberapa cerita menarik semasa di sana... Salah satunya, perjumpaan dengan seorang pemuda tempatan dengan umur sebaya dan muka saling tak tumpah seperti almarhum adik Rasyid yang meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya penghujung 2002. Pemuda ini begitu berminat dengan dunia Tasawuf, maka banyaklah perkara yang diperbualkan lebih-lebih lagi kerana gaya dan cara percakapannya memang serupa dengan almarhum adik...
Dipendekkan cerita, selepas solat Subuh dan bersarapan pagi, pemuda itu mendapatkan bas ke Batubara, sekitar 200km ke selatan Medan. Cuma bas ini sebenarnya menghala ke Tanjung Balai 30km lagi ke selatan. Maka dia terpaksa turun di simpang tiga lalu menunggu kenderaan lain.
Setelah menaiki sebuah van sejauh 10km, baru anak muda ini sampai ke bandar yang jika dicari dalam mana-mana peta sekarang ada dipanggil sebagai Tanjung Tiram. Tidak ada lagi nama Batubara walaupun penduduk tempatan sangat berbangga dengan nama itu. Apakah nama Batubara yang dahulu terkenal dengan orang-orang gagah berani dan sarat dengan ilmu zahir dan batin, dunia dan akhirat cuba dihilangkan daripada catatan rasmi> Apakah kerana ada suatu cerita atau sejarah lama yang ingin digelapkan?

Perjalanan feri Pulau Pinang ke Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan, Sumatera tidaklah selicin yang disangkakan. Menurut brochure yang diberi, perjalanan ini sepatutnya memakan masa tidak lebih empat jam menaiki feri jenis bot laju. Maka Rasyid sudah berkira-kira akan makan tengahari di Medan kerana ia berlepas jam 9 pagi. Sebaliknya dia sampai setelah matahari terbenam, lewat lebih 7 jam dari yang dijadualkan.
Pada mulanya, feri itu bergerak lancar meninggalkan jeti Georgetown. Tidak ada apa-apa masalah, semuanya nampak OK belaka sambil ia meluncur laju di bawah Jambatan Pulau Pinang lalu melepasi selat kecil yang memisahkan Pulau Jerejak dengan kawasan Bayan Lepas, terus membelok menghala ke barat. Tetapi apabila sampai di perairan Balik Pulau, tidak pasal-pasal pula kemudinya patah, tersangkut pukat nelayan.
Memandangkan mereka sudah hampir ke perairan lepas, pemandu feri dan anak kapal cuba meneruskan perjalanan menggunakan tayar yang diikat sebagai pelampung untuk mengimbangi arah. Dua orang anak kapal memegang sambil mengawal tali yang diikat sementara seorang lagi bertindak sebagai perantaraan untuk memberitahu pemandu di hadapan hala yang patut dituju dalam mencari perseimbangan arah.
Rupa-rupanya percubaan ini tidak berhasil. Bukan senang mengawal feri besar dengan lebih 100 orang penumpang melawan arus yang sentiasa berubah dengan kemudi yang patah. Selepas lebih dua jam berpusing-pusing di perairan Balik Pulau, mereka terpaksa berpatah balik ke jeti Georgetown. Makan tengahari yang hendak dinikmati di Medan pun bertukar menjadi sesi makan nasi bungkus atas jeti sementara menunggu feri gantian.
Apapun, tetap ada hikmah di sebalik kejadian ini. Kelewatan yang tidak dirancang telah mengenalkan Rasyid dengan Kak Dewi, seorang warga Medan yang baru selesai melancong ke Malaysia dan Singapura bersama tiga orang anak gadisnya. Lalu dengan pertolongannya, dia dapat melepasi pemeriksaan kastam dan imigresyen dengan mudah, diberi pula keizinan berada di Indonesia sehingga 60 hari tanpa banyak cerita!
Sebelum itu ramai orang memberitahu bukan mudah melepasi kastam dan imigresyen Indonesia tanpa menghulurkan “buah tangan”, apalagi mendapatkan kebenaran menetap begitu lama tanpa alamat yang hendak dituju. Pemuda itu tidak mengenali sesiapa di sana, tidak pernah sampai ke Indonesia, tidak cukup belanja untuk penginapan jika ingin berjalan lama. Walaupun dia sudah biasa tidur bersepah, boleh menumpang mana-mana masjid dan surau, apakah hendak dijawab jika kastam dan imigresyen bertanya di manakah dia akan menginap? Tentu banyak cerita nanti... Silap-silap Rasyid boleh ditahan, dipaksa pula bermalam di Belawan.
Nasib baik ada Kak Dewi. Kepadanyalah anak muda ini berterus-terang hendak ke Sumatera menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk Istana Maimon, istana kesultanan Deli yang menjadi kebanggaan penduduk Medan. Kebetulan pula wanita cantik berumur sekitar 40an ini mempunyai adik ipar yang tinggal tidak jauh dari istana. Lalu dia berjanji akan menyuruh adik iparnya membawa pemuda itu ke sana nanti.
Kalau mengikut rancangan asal, semua penumpang feri sepatutnya menaiki bas yang disediakan ke Medan, dalam 20 kilometer perjalanan. Tetapi kelewatan itu menyebabkan adik ipar Kak Dewi datang sendiri menjemput di pelabuhan untuk memastikan mereka selamat pulang. Kastam dan imigresyen pula tidak banyak bertanya apabila Kak Dewi menyebut Rasyid bersamanya. Ada pula adik iparnya, si Apin menggunakan nama seorang saudara yang bekerja sebagai pegawai kastam. Maka anak muda itupun selamat sampai ke Medan dengan selesa, dapat pula tidur nyaman di sebuah bungalow sederhana mewah di Pulau Berayan...
Memang Tuhan ingin menolong Rasyid. Keluarga Kak Dewi bukan sahaja melayannya mesra malah mahu menghulurkan pertolongan untuk memastikan rancangannya ke Aceh berjalan lancar. Suami Kak Dewi, Abang Arman memberitahu bukan senang hendak masuk ke Aceh... Kecuali rakyat Aceh yang memiliki kad pengenalan berbeza, setiap warga Indonesia yang ingin masuk ke sana pun perlu mempunyai alasan yang kukuh seperti menziarahi saudara-mara atau ada urusan rasmi dan perniagaan. Itupun perlu menyediakan bukti seperti nombor telefon orang yang ingin dihubungi, jika pihak tentera yang menjaga sempadan meminta.
“Aceh sedang diperintah tentera, sudah bertahun diisytiharkan darurat,” katanya. “Setahu saya, kalau bukan warga Indonesia amat sulit sekali hendak ke masuk sana. Perlu mendapatkan keizinan bertulis daripada pihak pemerintah di Jakarta. Lagipun keadaan sangat bahaya sekarang. Hari-hari ada orang mati kerana pertempuran demi pertempuran antara GAM dengan TNI. Baru-baru ini, ada wartawan mati kena tembak!”
Memang benar Aceh sedang bermasalah. Berita televisyen tidak henti-henti memaparkan konflik di wilayah itu termasuk laporan tentang pertempuran-pertempuran yang mengorbankan nyawa. Tetapi Rasyid tetap nekad mahu ke sana kerana pasti bumi Serambi Mekah itu menyimpan jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama bermain di fikirannya. Walaupun niatnya itu nampak seperti hendak mencari maut, Abang Arman dapat memahami apabila pemuda itu mengaku dia mahu melawat kampung halaman nenek-moyangnya serta menziarahi makam-makam lama sambil cuba mencari saudara-mara dan menyambung kembali silaturrahim. Katanya, dia sendiri sudah dua tiga kali berulang-alik ke Semenanjung, mencari saudara-mara di Pulau Pinang dan Kedah.
“Ada nenek-moyang saya pernah bertapak dan beranak-pinak di sana,” kata suami Kak Dewi yang mengaku mempunyai titisan darah KeSultanan Deli, dari cabang yang menjadi Raja-raja Serdang. “Cuma saya tidak pasti di manakah keturunan yang ditinggalkannya berada sekarang. Ibu saya cuma beritahu, mereka ini keturunan Bidan Susu Lanjut.”
Bidan Susu Lanjut? Macam pernah dengar ini. Tetapi di mana ya? Lama selepas pertemuan itu, baru Rasyid teringat, orang yang disebut ini tersenarai sebagai salah seorang daripada 300 lebih pemilik makam di Semenanjung Malaysia yang diketahui memakai batu nesan Aceh menandakan hubung-kaitnya dengan bangsawan bumi Serambi Mekah.
Esoknya Rasyid mengekori Apin ke rumahnya di Kota Maksum menaiki van panjang, pengangkutan awam utama di Medan. Rupa-rupanya, rumah adik Abang Arman ini terletak 1 kilometer sahaja dari Istana Maimon.
Selepas berehat sebentar makan tengah hari di rumah menikmati masakan tempatan ibunya yang mengusahakan sebuah kedai makanan berdekatan, pemuda rugged berambut panjang dengan rupa paras seperti pelakon Apek Senario inipun memulakan ‘tugas’ sebagai tour guide. Destinasi pertama mereka, masjid lama kebanggaan keSultanan Deli, Masjid Raya Al Mansun, dalam perjalanan ke Istana Maimon.

Dari Istana Maimon, Rasyid terus kembali ke rumah Apin untuk berehat selepas sehari-suntuk berjalan kaki merata tempat termasuk menziarahi makam diraja keSultanan Deli di sisi Masjid Raya Al Mansun. Lalu terserempak pula dengan bapa saudara Apin yang sedang duduk di rumah bersebelahan, seronok menghisap rokok di serambi rumah...
Pakcik berumur sekitar 50an ini pernah bekerja sebagai kelasi kapal. Sudah berbagai-bagai tempat dia merantau dan menetap termasuk negeri-negeri di Malaysia. Tahu berbagai adat dan beraneka ragam manusia pelbagai kaum. Maka Apin pun menceritakan rancangan perjalanan kawan yang baru dikenalinya, tentang bagaimana anak muda itu boleh terserempak dengan Kak Dewi dalam feri dan bagaimana dia beriya-iya sangat hendak ke Aceh. Mendengarkan ini, pakcik yang pandai berbahasa Melayu dengan loghat orang Malaysia itupun menggeleng-gelengkan kepala.
“Ish... Ish... Ish... Buat apa kamu hendak ke sana?” dia menegur. “Bukankah wilayah itu sedang darurat? Kamu hendak matikah, ingin sangat mencari maut? Apalah yang hendak dikejarkan sangat di Aceh?”
Rasyid terasa sedikit terkilan. Belum apa-apa lagi sudah kena ‘sembur’. Tetapi dia mengawal perasaan seraya menguntumkan senyuman...
“Tidak pakcik, saya bukannya mahu mencari maut atau hendak buat kerja sia-sia.” jawab pemuda itu jujur. “Saya cuma teringin sangat hendak melawat kampung halaman asal nenek moyang saya di sana.”
“Baik jangan pergilah!” pakcik itu menegur lagi, kasar. “Buat susah aje mahu cari jalan ke sana. Sekarang ni orang luar tidak dibenarkan langsung masuk ke Aceh. Kamu tak dengar ke cerita hari itu ada orang Amerika kena culik? Baru-baru ini ada wartawan dari Jakarta mati ditembak, keluar dalam berita. Hari-hari ada orang mati. Kamu tidak takut matikah? Baik kamu balik dahulu ke Malaysia. Atau pergi berjalan ke tempat lain seperti Danau Toba atau daerah Minang. Tunggu darurat reda baru masuk Aceh.”
Rasyid terdiam berfikir sejenak. Perlukah menurut nasihat ini setelah lebih setahun menyimpan harapan untuk ke Aceh demi mendapatkan jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama menghantui jiwanya? Perlukah dia mengubah haluan dan pergi ke tempat lain lalu menyia-yiakan duit simpanannya yang terakhir hasil jualan saham yang asalnya bernilai lebih RM20,000 tetapi telah susut-nilai menjadi RM1,000? Perlukan dia duduk termangu entah di mana pula sementara menunggu bumi Serambi Mekah itu aman? Tidak. Tentu tidak...
“Tak boleh pakcik. Saya mesti pergi juga!” anak muda ini menjawab. “Sudah lama saya kempunan hendak ke sana. Kalau tidak, serupalah saya ini dah mati. Lebih elok saya terkorban dalam perjalanan daripada duduk di mana-mana tanpa cuba menjejakkan kaki ke sana. Sekurang-kurangnya saya mesti berusaha, selagi hayat di kandung badan...”
Pakcik itupun senyap melihat hamba Allah di hadapannya berdegil tidak mahu mengalah. Lama dia memandang muka anak Malaysia itu, seolah-olah cuba meniliknya pula.. Cuba menduga apakah motif sebenar anak muda itu beriya-iya sangat mahu ke Aceh, cuba membaca isihatinya melalui riak muka dan body language, bahasa tubuh-badan.
Kalau ikut perkiraan akal biasa, mana ada manusia yang sanggup melangkah masuk ke zon perang, ketika ramai orang kalau boleh hendak lari meninggalkan segala kesengsaraan. Kecuali dia memang penduduk tempatan yang terpaksa bertahan walaupun bila-bila masa sahaja boleh terkorban, terkena peluru sesat atau diserang orang... Lain daripada itu, cuma para wartawan, askar atau mata-mata sahaja yang sanggup masuk ke Aceh sekarang. Boleh percayakah anak muda ini cuma mahu menziarahi kampung halaman nenek-moyangnya? Betulkah nenek-moyangnya berasal dari Aceh atau dia cuba mereka-reka cerita untuk menutup tujuan sebenarnya?
Kemudian baru dia bertanya. “Siapa nama kamu?”
“Rasyid” jawab pemuda itu pendek.
“Huh,” dia mengeluh seperti tidak senang. “Nama pun bukan nama Nabi-Nabi. Besok kalau masuk ke sana bukan askar sahaja keroyok kamu... Silap haribulan orang Aceh pun pukul kamu juga! Entah siapa, datang dari mana... Dikatanya kamu mata-mata. Bukankah susah kamu nanti?”
Mendengarkan ini, Rasyid pun terus memberitahu. “Itu nama singkatan sahaja. Memanglah tidak ada nama Nabi... Nama penuh saya Muhammad Al Aminul Rasyid bin Muhammad Ali Wasi!”
“Muhammad?” kata pakcik itu seperti mengajuk.
“Ya! Muhammad...” anak muda itu menyahut memberi kepastian.
Dia pula terdiam seolah-olah mengira-ngira keadaan. Setelah termenung beberapa detik, pakcik itupun tersenyum lalu bersuara: “Hmm... kalau Muhammad, Insya’allah ada jalan.”
Rasyid dan Apin saling pandang-memandang pelik...
“Kalau begitu tak mengapalah. Awak cuba dahululah Encik Muhammad. Moga-moga hajat awak terkabul nanti,” pakcik itu menutup bicara.



7 comments:
Assalamualaikum
Sekadar Ingin Bertanya...Adakah Kaitan Puteri Hijau Ini Dengan Puteri Hijau Di Beting Beras Basah???
Vet-RMAF salam, sekadar informasi buat pak radzi berkenaan penemuan kawasan pemakaman dimana terdapat 4 pasang atau lebeh berbatu nisan Acheh di daerah saya iaitu di mukim Lambor Kanan Perak dimana dulu juga pernah di berita kan maqam Tok Sagor di Telok Pedayung. susunatur nya persis seperti pembesar2, tiada apa2 maklumat yang dapat membantu, saya serahkan pada pak radzi untuk seterusnya untuk di amati atau perhalusi milik siapa kah makam2 itu...
Wassalam.
Anon 3:30 pm - Inilah kali pertama saya dengar di Beting Beras Basah ada Puteri Hijau. Nanti dalam siri ini akan saya tunjukkan makam Puteri Hijau di Banda Aceh.
Vet-RMAF - Tentang nama Tok Sagor tu, orang dah terbiasa mengaitkan dengan Tok Sagor yang terlibat membunuh J.W.W. Birch 1875. Walhal Tok Sagor tu sebutan orang untuk pangkat Datuk Seri Agar Diraja. Jadi dah ramai orang pegang pangkat tu maka mungkin di Teluk Pedayung tu salah satu pemegang jawatan. La ni tau tak sapa Tok Sagor? Tu ha... Tan Sri Ramli Ngah Talib...
Kalau ada kajian tentang puteri hijau,megat alang diLaut dan Panglima hitam/daeng Kuning dr beting beras basah...harap boleh dikongsi bersama...
assalaamu alaikum tuan.
warna font dan background kurang mesra pembaca.
Wassalam. Saya akan cuba perbaiki setakat mampu. Lebih dari itu saya tak dapat menjamin. Kadang2 kita dah buat sebaik mungkin tapi di kaca mata televisyen atau monitor sesetengah pembaca tetap kelihatan janggal juga kerana setting atau browser yang digunakan tidak sama hasil paparannya berbanding yang dimiliki orang lain.
layan...best citer tuan ni....tak dapat mengembara baca kisah org yang mengembara ni pun dah best...moga tuan dipermudahkan segala urusan dan semoga bahagia pada hari2 mendatang.
Post a Comment