Pagi tadi saya mendapat makluman agar menghadiri mesyuarat berkenaan acara yang mahu saya langsungkan. Saya diminta menyediakan kertas kerja dan pergi ke pusat belia atau lebih tepat. Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam 4.30 petang. Maka selepas menyelesaikan beberapa perkara saya pun menulis kertas kerja. Melupakan kepenatan akibat kurang mendapat tidur kerana asyik memantau perkembangan minat peserta selain menghubungi sejumlah pihak untuk mendapatkan lagi penyertaan juga pengisian acara, alhamdulillah saya berjaya menyiapkannya dalam tempoh dua jam lebih.
Sampai di sana saya pun bertemu muka dengan pihak yang ternyata bukan calang-calang. Mereka adalah para penggerak perjuangan Melayu Islam yang memiliki status tinggi dalam masyarakat, ada yang bergerak melalui wadah politik, ada yang merupakan ahli barisan intelektual negara. Ada yang sangat rapat dengan pemerintah tertinggi sejak zaman Tun Mahathir sehingga kini, nasihatnya boleh menentukan siapakah yang diangkat menjadi wakil rakyat tetapi bergerak di balik tabir. Sayangnya pejabat pusat belia sudah ditutup lalu saya tidak dapat mencetak kertas kerja. Bilik mesyuarat pula ada masalah penghawa dingin lalu mesyuarat diadakan di luar. Maka projektor pun tidak dapat digunakan untuk menunjukkan isi kertas kerja.
Selepas agenda lain mesyuarat selesai saya diminta mengemukakan cadangan acara. Saya tidak dapat menunjukkan kertas kerja yang dibuat dengan penuh tumpuan dan penat lelah siang tadi. Saya cuma dapat menyatakan isi secara lisan sahaja termasuk menyatakan sambutan yang diterima melalui rangkaian kawan dan kenalan di Facebook. Alhamdulillah cadangan saya diterima dan mendapat sokongan. Walaupun ada yang menyatakan kebimbangan takut ramai tidak muncul apabila acara betul-betul berlangsung mereka bersetuju agar saya meneruskan usaha menurut cara yang sedang digunapakai iaitu melalui Internet.
Sambil itu saya terfikir sesuatu. Selepas memberikan risalah promosi buku yang ada mengandungi alamat blogspot ini kepada semua, saya mencadangkan agar isi kertas kerja dimuatkan ke dalam blogspot di mana mereka boleh menelitinya kemudian. Mereka tidak membantah. Ini juga bermaksud saya tidak perlu merahsiakan isi kerana tentunya blogspot boleh ditatap oleh sesiapa sahaja. Dengan ini biar dikongsikan kertas kerja (bukan dalam format asal kertas A4 ya) tersebut. Sekarang semua orang boleh membacanya untuk menilai apakah yang sebenarnya cuba dicapai melalui acara. Ini dia...
Himpunan
Kedaulatan Melayu Islam
Akhir
Zaman
HIKMAH
Pengenalan
Melihat perkembangan
mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak
dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa
yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang
mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang.
Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi
Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih
di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila ditanya apakah
kerana umat Islam itu sedikit ya Rasulullah? Jawab baginda tidak. Mereka ramai
tetapi seperti buih-buih di lautan. Mereka lemah kerana dilanda penyakit wahn, cinta kepada harta dunia dan takut
mati.
Sejak beberapa tahun
ini boleh kelihatan nyata ramai anak muda Melayu mula mencari kembali jati
diri. Mereka cuba menggali kembali sejarah-sejarah lama untuk mendapatkan tafsiran
yang lebih sesuai dengan keadaan realiti zaman. Mereka mula menolak sejarah
popular yang sudah terpakai sekian lama seperti yang terdapat di dalam
buku-buku teks rasmi apabila menyedari kebanyakan isi ditulis oleh penjajah
untuk memenangkan kepentingan pihak mereka sambil menjatuhkan keyakinan pihak
yang dijajah, khususnya bangsa Melayu di rantau kita, umumnya umat Islam di
seluruh dunia. Ini boleh dibuktikan dengan kewujudan pelbagai wadah dan
kumpulan di Internet yang membincangkan sejarah Melayu Islam daripada pelbagai sudut.
Lihat sendiri pelbagai kajian mahupun pendapat yang boleh ditemui atas nama
atau kata-kata kunci seperti “Sejarah Melayu” dan “Akhir Zaman” melalui program
carian seperti Google.
Menyedari perkembangan
ini Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat
malam Sabtu, 12 Oktober 2012, lebih tepat sekitar jam 11 malam. Ia adalah
lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan
tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik
dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang
telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk
“Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat
dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan
dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila mendapat tawaran untuk menggunakan
sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis terfikir
alangkah eloknya kalau acara dapat juga mengenengahkan buah fikiran sejumlah
pengkaji bebas dan peminat sejarah serta budaya Melayu dan Islam.
Kenapa
Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)?
Seperti disebut awal
tadi acara asalnya mahu dibuat kecil-kecilan untuk berkongsi kajian peribadi
penulis melibatkan sejarah Melayu. Biar ditambah ini dibuat atas permintaan
sejumlah peminat dan pengikut penulis,
apabila mendapat tahu penulis ada membuat ceramah ataupun syarahan berkenaan
pada majlis tertutup di Muzium Negara. Apabila mendapat tawaran premis dan
terfikir untuk melibatkan lebih ramai pengkaji dan peminat lalu mahu
mewar-warkannya di Internet satu nama yang mampu menarik perhatian pun
difikirkan. Timbul Himpunan Kedaulatan Melayu Islam diikuti akronim atau
singkatan HIKMAH. Namun tidak ada huruf ‘h’ dalam Himpunan Kedaulatan Melayu
Islam untuk mewakili huruf ‘H’ dalam HIKMAH. Maka ditambah “akhir zaman” yang
walaupun kedengaran agak berat sangat relevan dengan tajuk.
Sesungguhnya sering
disebut, Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul akhir zaman. Maka tempoh yang
dipanggil akhir zaman itu sebenarnya sudah bermula sejak baginda dilahirkan
lebih 1,400 tahun lalu. Acara ini mahu menghimpunkan sejumlah peserta yang
memiliki matlamat sama iaitu mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Ramai di
antara mereka aktif berbincang hal ini di Internet dan melalui wadah itulah
penulis dapat mengumpulkan cukup penyertaan untuk menjadikan acara ini satu
realiti yang programnya boleh dipanjangkan.
Melihat tajuk yang
menjadi HIKMAH itu ada juga yang bertanya kenapa perkataan Melayu dalamnya harus
ditambah Islam, kenapa tidak Melayu sahaja?
Bukankah takrif Melayu itu sendiri meliputi Islam? Jawabannya – ini dibuat
agar dapat ditekankan makna syumul Melayu yang harus dibezakan dengan takrif
antropologi Melayu yang bermaksud satu gabungan besar bangsa Malayo-Polynesia
tanpa mengira pegangan agama. Ini juga dibuat agar takrif Melayu dan perjuangan
HIKMAH untuk mendaulatkan bangsa tidak diperkecilkan seperti yang sering dilakukan
oleh sesetengah pihak yang seperti ‘seriau’ dengan apa-apa bentuk perjuangan
untuk mendaulatkan Melayu. Mereka mendakwa bangsa itu tidak penting, Islam
sahaja yang penting. Pada mereka perjuangan untuk memartabatkan bangsa hanya
bersifat asobiyah belaka.
Mereka-mereka ini telah
menyempitkan perjuangan untuk memartabatkan Melayu sebagai perjuangan survival
sebuah parti politik sahaja. Mereka lupa, melalui takrif Melayu dalam
perlembagaan, Melayu itu sinonim dan seiring dengan Islam. Melalui takrif ini
mereka yang bukan Islam tidak layak dipanggil Melayu. Mereka yang masuk Islam
kemudian sudi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa harian dan mengamalkan
cara hidup yang selari dengan adat-istiadat dan ideal-ideal Melayu pula dikira
sudah ‘masuk’ Melayu.
Objektif
Acara ini dibuat untuk
mencapai beberapa matlamat :-
1. Menaikkan kesedaran tentang kedaulatan
Melayu Islam tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan politik
2. Memberi faham tentang kenapa umat Melayu
di Malaysia khususnya, umat Islam seluruh dunia umumnya sering diasak dari
pelbagai arah oleh musuh-musuh.
3. Menggali sejarah Melayu yang dikaburkan
akibat penulisan serong Barat (baca : penjajah) dijadikan rujukan rasmi sejak
beberapa dekad
4. Menaikkan jati diri anak-anak Melayu
agar dapat menjadi manusia yang lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara.
5. Meningkatkan persediaan menghadapi
segala kemungkinan akan datang akhir zaman.
Adalah menjadi harapan
penulis dan ramai lagi pihak agar orang Melayu dapat bersatu mempertahankan
kedaulatan agama, bangsa dan negara tanpa disempitkan oleh kecenderungan untuk
menyokong mana-mana parti politik. Dalam hal ini elok kita mencontohi kaum
Cina. Tak kira siapakah yang memerintah, siapakah yang mengaku mahu
memperjuangkan bangsa mereka, kaum Cina tetap dapat mempertahankan bahasa,
budaya juga sistem sekolah mereka. Kenapa premis yang sama tidak boleh kita
bina untuk mendaulatkan budaya dan hak kita?
Penyertaan
Ramai ahli kumpulan budaya
Melayu, persilatan, perkerisan, mereka-mereka dari pengajian pondok, juga aktivis-aktivis
belia telah menyatakan penyertaan. Ada juga kenalan yang terdiri daripada
golongan artis seperti sejumlah pelakon terkenal. Ada juga persatuan seperti
Pusaka Purba Selangor dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur mahu
mempamerkan koleksi keris. Ada yang sudi berkongsi ilmu secara sukarela, ada
yang menawarkan khidmat tenaga empat kerat untuk menjadi sukarelawan tanpa
dipinta. Malah sudah ada yang mahu menaja reka bentuk dan pembuatan banner/bunting untuk acara.
Sukacita dimaklumkan dalam
tempoh 48 jam selepas HIKMAH
diwar-warkan, 116 orang telah menyatakan akan datang dan 149 orang mungkin. Ini
baru mereka yang dijemput daripada friends’
list atau senarai kawan penulis dari Facebook. Ramai lagi menyatakan akan
datang sedangkan setiap mereka dijangka akan menarik beberapa lagi orang kawan
untuk memeriahkan lagi acara. Maka walaupun jangkaan awal adalah untuk 200
orang peserta, sudah ada tanda-tanda jumlah kedatangan boleh melepasi 500
orang.
Sekali lagi biar
disebut, acara diperkenalkan secara ad-hoc
atas jaminan ada premis untuk dijadikan tempat aktiviti dengan reputasi dan
rangkaian peribadi penulis sebagai daya penarik awal. Penulis telah memberikan jaminan bahawa ini
bukan acara politik atau bertujuan untuk menarik sokongan politik. Jaminan
harus dibuat dan dipertahankan agar penyertaan ramai daripada berbagai latar belakang,
ada di antara mereka mungkin berbalah pendirian politik dan pandangan hidup
dapat dihimpunkan dalam satu wadah yang bertujuan semata-mata untuk
mendaulatkan Melayu dan Islam. Adalah menjadi harapan penulis, semoga acara
dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan yang boleh memesongkan matlamat.
Print
screen menunjukkan sambutan selepas acara diwar-warkan dua
setengah hari iaitu pada jam 1 tengah hari Isnin 15 Oktober. Ketika ayat ini
ditulis jam 2 petang, 141 orang telah menyatakan akan datang, 195 orang
mungkin.
Atur
cara majlis
Acara pertama HIKMAH
sudah dipersetujui mahu diadakan pada hari Ahad 4 November 2012 iaitu seminggu
selepas cuti hari raya haji. Masa yang dicadangkan adalah 9 pagi sehingga 1
petang. Atas makluman inilah ramai sudah memberikan komitmen mahu menyertainya.
Ada pula yang mencadangkan agar ia dipanjangkan sehingga petang, ada yang mahu
ia dijadikan acara dua hari. Tetapi penulis berpendapat elok dipanjangkan sampai
ke 4 petang sahaja untuk memberi laluan kepada waktu solat Asar. Acara perlu
dipanjangkan kerana ada pembentang yang tidak ada keluangan masa pada waktu
pagi selain memenuhi permintaan mereka yang mahu mendapatkan manfaat lebih lama
kerana tertarik dengan apa yang bakal dikongsi.
Oleh kerana acara ini masih
baru diwar-warkan dan bersifat ad-hoc,
atur cara lengkap belum dapat dirangka sepenuhnya. Penulis masih mengusahakan
agar dapat didatangkan seorang wakil daripada Aceh yang arif sejarah sana dan
kaitannya dengan kerajaan-kerajaan di Semenanjung, wakil yang mungkin seorang survivor peristiwa Tsunami 26 Disember
2004 yang telah melihat dengan mata kepala sendiri keajaiban yang berlaku
akibat pertolongan Allah. Penulis juga berharap akan datang wakil dari Bentan atas inisiatif dan belanja sendiri untuk berkongsi hal keberadaan orang
Melayu di sana. Namun atur cara tentatif sudah boleh dibuat berdasarkan maklum
balas peserta juga mereka yang berminat untuk berkongsi ilmu.
8.30 – 9 : Kedatangan
peserta/ pendaftaran
9-9.30 : Acara dibuka/ persembahan silat/ kata-kata
aluan/ pengenalan
9.30- 1 : Pembentangan
kertas kerja (akan diatur elok sebelum cuti Hari Raya Haji)
1.
Bahaya syiah oleh penceramah yang dicalonkan penyedia premis
2.
Sejarah penggunaan Dinar Emas – Amirul Mohamad, seorang lulusan undang-undang
dari England yang kini menjalankan perniagaan konsultansi
3.
Srivijaya dan benua Terengganu oleh seorang peneraju NGO belia di Terengganu
4.
Simbolik perkerisan – Khairul Azhar, Yang Dipertua Pusaka KL
5.
Satu pengalaman sebenar mencari makna dan jati diri Melayu – Radzi Sapiee
(penulis dan pencetus acara)
1-2 : Rehat/makan
tengah hari/solat Zuhur
2-3.15 : Sesi
pembentangan petang :-
1.
Motif pedang Zulfiqar di Alam Melayu – Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu
yang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya. Kertas
kerjanya pernah terpapar dalam satu terbitan di Jakarta kemudian mendapat
perhatian cendekiawan terkenal dunia, Dr Annabel Teh Gallop dari British Library
sehingga sanggup membiayai pembentangan kertas pada satu seminar antarabangsa
di Aceh.
2.
Busana tradisional Melayu – Prof Dr Siti Zainon, aktivis terkenal budaya.
3.
Peranan Melayu Islam akhir zaman – Radzi Sapiee
3.15-3.45
- Acara berkumpulan.
Peserta boleh mengambil sudut dan tempat
mengikut kecenderungan masing-masing seperti persilatan, perkerisan,
kebudayaan, salasilah keluarga, busana tradisional, budaya, seni khat dan
sebagainya. Ini adalah lanjutan daripada interaksi kumpulan-kumpulan ataupun groups di Facebook di mana ahli-ahli
sering bertukar-tukar pendapat tetapi ramai tidak pernah bertemu muka di dunia
nyata. Acara ini adalah peluang untuk mereka lebih mengenali antara satu sama
lain. Sambil itu mereka boleh saling ‘mengintai’ aktiviti kumpulan lain.
Tiap-tiap
kumpulan akan diberikan pen/pensil dan kertas untuk menyatakan maklum balas dan
cadangan untuk membaiki acara dan apakah harapan mereka, apakah sumbangan yang
boleh dibuat demi mendaulatkan Melayu dan Islam.
3.45 : Penutup. Resolusi dibuat berdasarkan maklum
balas kumpulan.
4 : Bersurai namun
peserta boleh memilih untuk berlegar-legar di dewan meneruskan acara secara sendiri-sendiri.
Penyedia premis telah
mencadangkan agar penulis membuka gerai untuk mempamerkan/menjual koleksi buku tulisan
sendiri. Namun penulis mencadangkan agar peserta lain juga dibenarkan membuka
gerai pameran/jualan asalkan sesuai dengan objektif HIKMAH.
Yang benar,
Radzi Sapiee
OK. Lagi satu nak beritahu, premis acara HIKMAH 4 November ini mahu dialihkan ke tempat yang lebih menarik berdekatan pusat bandar raya Kuala Lumpur atas cadangan pengerusi. Ahli mesyuarat merangkap jawatan kuasa ad hoc acara pula menerima cadangan saya agar ia dipanjangkan sehingga ke petang. Adapun pada jam 11 malam iaitu sejurus selepas selesai menaip ayat di atas, saya dapati 158 orang telah menyatakan akan hadir, 217 menyatakan mungkin. Kelihatan jumlah akan bertambah dan terus bertambah sehingga sampai waktu acara. Diharap semua yang menyatakan kehadiran dapat mengotakan kata-kata ya. Untuk menyemak sendiri kenyataan saya ini sila klik badge di bawah. Selamat malam.
1 ulasan:
Salam.InsyAllah saya akan hadir berdua bersama seorang rakan..
Catat Ulasan