Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Oktober 15, 2012

Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed

Assalamualaikum semua. Ingatkan siang tadi nak sambung cerita siri "Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan". Rupa-rupanya tak dapat lagi. Sebaliknya saya harus menyambung cerita daripada artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).






Pagi tadi saya mendapat makluman agar menghadiri mesyuarat berkenaan acara yang mahu saya langsungkan. Saya diminta menyediakan kertas kerja dan pergi ke pusat belia atau lebih tepat. Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam 4.30 petang. Maka selepas menyelesaikan beberapa perkara saya pun menulis kertas kerja. Melupakan kepenatan akibat kurang mendapat tidur kerana asyik memantau perkembangan minat peserta selain menghubungi sejumlah pihak untuk mendapatkan lagi penyertaan juga pengisian acara, alhamdulillah saya berjaya menyiapkannya dalam tempoh dua jam lebih.

Malangnya printer di rumah sudah rosak. Tak mengapa fikir saya. Copy fail kertas kerja ke dalam thumb drive, pergi sahaja dahulu ke pusat belia. Bawa sekali komputer riba sebagai back up. Nanti di sana insyaallah saya boleh meminta pejabat mencetaknya agar dapat dikongsikan pada mesyuarat.

Sampai di sana saya pun bertemu muka dengan pihak yang ternyata bukan calang-calang. Mereka adalah para penggerak perjuangan Melayu Islam yang memiliki status tinggi dalam masyarakat, ada yang bergerak melalui wadah politik, ada yang merupakan ahli barisan intelektual negara. Ada yang sangat rapat dengan pemerintah  tertinggi sejak zaman Tun Mahathir sehingga kini, nasihatnya boleh menentukan siapakah yang diangkat menjadi wakil rakyat tetapi bergerak di balik tabir. Sayangnya pejabat pusat belia sudah ditutup lalu saya tidak dapat mencetak kertas kerja. Bilik mesyuarat pula ada masalah penghawa dingin lalu mesyuarat diadakan di luar. Maka projektor pun tidak dapat digunakan untuk menunjukkan isi kertas kerja.

Selepas agenda lain mesyuarat selesai saya diminta mengemukakan cadangan acara. Saya tidak dapat menunjukkan kertas kerja yang dibuat dengan penuh tumpuan dan penat lelah siang tadi. Saya cuma dapat menyatakan isi secara lisan sahaja termasuk menyatakan sambutan yang diterima melalui rangkaian kawan dan kenalan di Facebook. Alhamdulillah cadangan saya diterima dan mendapat sokongan. Walaupun ada yang menyatakan kebimbangan takut ramai tidak muncul apabila acara betul-betul berlangsung mereka bersetuju agar saya meneruskan usaha menurut cara yang sedang digunapakai iaitu melalui Internet.

Sambil itu saya terfikir sesuatu. Selepas memberikan risalah promosi buku yang ada mengandungi alamat blogspot ini kepada semua, saya  mencadangkan agar isi kertas kerja  dimuatkan ke dalam blogspot di mana mereka boleh menelitinya kemudian. Mereka tidak membantah. Ini juga bermaksud saya tidak perlu merahsiakan isi kerana tentunya blogspot boleh ditatap oleh sesiapa sahaja. Dengan ini biar dikongsikan kertas kerja (bukan dalam format asal kertas A4 ya) tersebut. Sekarang semua orang boleh membacanya untuk menilai apakah yang sebenarnya cuba dicapai melalui acara. Ini dia... 




Himpunan Kedaulatan Melayu Islam
Akhir Zaman
HIKMAH



Pengenalan

Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila ditanya apakah kerana umat Islam itu sedikit ya Rasulullah? Jawab baginda tidak. Mereka ramai tetapi seperti buih-buih di lautan. Mereka lemah kerana dilanda penyakit wahn, cinta kepada harta dunia dan takut mati.

Sejak beberapa tahun ini boleh kelihatan nyata ramai anak muda Melayu mula mencari kembali jati diri. Mereka cuba menggali kembali sejarah-sejarah lama untuk mendapatkan tafsiran yang lebih sesuai dengan keadaan realiti zaman. Mereka mula menolak sejarah popular yang sudah terpakai sekian lama seperti yang terdapat di dalam buku-buku teks rasmi apabila menyedari kebanyakan isi ditulis oleh penjajah untuk memenangkan kepentingan pihak mereka sambil menjatuhkan keyakinan pihak yang dijajah, khususnya bangsa Melayu di rantau kita, umumnya umat Islam di seluruh dunia. Ini boleh dibuktikan dengan kewujudan pelbagai wadah dan kumpulan di Internet yang membincangkan sejarah Melayu Islam daripada pelbagai sudut. Lihat sendiri pelbagai kajian mahupun pendapat yang boleh ditemui atas nama atau kata-kata kunci seperti “Sejarah Melayu” dan “Akhir Zaman” melalui program carian seperti Google.

Menyedari perkembangan ini Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012, lebih tepat sekitar jam 11 malam. Ia adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila mendapat tawaran untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis terfikir alangkah eloknya kalau acara dapat juga mengenengahkan buah fikiran sejumlah pengkaji bebas dan peminat sejarah serta budaya Melayu dan Islam.




Kenapa Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)?

Seperti disebut awal tadi acara asalnya mahu dibuat kecil-kecilan untuk berkongsi kajian peribadi penulis melibatkan sejarah Melayu. Biar ditambah ini dibuat atas permintaan sejumlah  peminat dan pengikut penulis, apabila mendapat tahu penulis ada membuat ceramah ataupun syarahan berkenaan pada majlis tertutup di Muzium Negara. Apabila mendapat tawaran premis dan terfikir untuk melibatkan lebih ramai pengkaji dan peminat lalu mahu mewar-warkannya di Internet satu nama yang mampu menarik perhatian pun difikirkan. Timbul Himpunan Kedaulatan Melayu Islam diikuti akronim atau singkatan HIKMAH. Namun tidak ada huruf ‘h’ dalam Himpunan Kedaulatan Melayu Islam untuk mewakili huruf ‘H’ dalam HIKMAH. Maka ditambah “akhir zaman” yang walaupun kedengaran agak berat sangat relevan dengan tajuk.

Sesungguhnya sering disebut, Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul akhir zaman. Maka tempoh yang dipanggil akhir zaman itu sebenarnya sudah bermula sejak baginda dilahirkan lebih 1,400 tahun lalu. Acara ini mahu menghimpunkan sejumlah peserta yang memiliki matlamat sama iaitu mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Ramai di antara mereka aktif berbincang hal ini di Internet dan melalui wadah itulah penulis dapat mengumpulkan cukup penyertaan untuk menjadikan acara ini satu realiti yang programnya boleh dipanjangkan.

Melihat tajuk yang menjadi HIKMAH itu ada juga yang bertanya kenapa perkataan Melayu dalamnya harus ditambah Islam, kenapa tidak Melayu sahaja?  Bukankah takrif Melayu itu sendiri meliputi Islam? Jawabannya – ini dibuat agar dapat ditekankan makna syumul Melayu yang harus dibezakan dengan takrif antropologi Melayu yang bermaksud satu gabungan besar bangsa Malayo-Polynesia tanpa mengira pegangan agama. Ini juga dibuat agar takrif Melayu dan perjuangan HIKMAH untuk mendaulatkan bangsa tidak diperkecilkan seperti yang sering dilakukan oleh sesetengah pihak yang seperti ‘seriau’ dengan apa-apa bentuk perjuangan untuk mendaulatkan Melayu. Mereka mendakwa bangsa itu tidak penting, Islam sahaja yang penting. Pada mereka perjuangan untuk memartabatkan bangsa hanya bersifat asobiyah belaka.

Mereka-mereka ini telah menyempitkan perjuangan untuk memartabatkan Melayu sebagai perjuangan survival sebuah parti politik sahaja. Mereka lupa, melalui takrif Melayu dalam perlembagaan, Melayu itu sinonim dan seiring dengan Islam. Melalui takrif ini mereka yang bukan Islam tidak layak dipanggil Melayu. Mereka yang masuk Islam kemudian sudi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa harian dan mengamalkan cara hidup yang selari dengan adat-istiadat dan ideal-ideal Melayu pula dikira sudah ‘masuk’ Melayu.





Objektif

Acara ini dibuat untuk mencapai beberapa matlamat :-


       1. Menaikkan kesedaran tentang kedaulatan Melayu Islam tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan politik

      2. Memberi faham tentang kenapa umat Melayu di Malaysia khususnya, umat Islam seluruh dunia umumnya sering diasak dari pelbagai arah oleh musuh-musuh.

      3. Menggali sejarah Melayu yang dikaburkan akibat penulisan serong Barat (baca : penjajah) dijadikan rujukan rasmi sejak beberapa dekad

 4. Menaikkan jati diri anak-anak Melayu agar dapat menjadi manusia yang lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara.

      5. Meningkatkan persediaan menghadapi segala kemungkinan akan datang akhir zaman.


Adalah menjadi harapan penulis dan ramai lagi pihak agar orang Melayu dapat bersatu mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tanpa disempitkan oleh kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti politik. Dalam hal ini elok kita mencontohi kaum Cina. Tak kira siapakah yang memerintah, siapakah yang mengaku mahu memperjuangkan bangsa mereka, kaum Cina tetap dapat mempertahankan bahasa, budaya juga sistem sekolah mereka. Kenapa premis yang sama tidak boleh kita bina untuk mendaulatkan budaya dan hak kita?








Penyertaan

Ramai ahli kumpulan budaya Melayu, persilatan, perkerisan, mereka-mereka dari pengajian pondok, juga aktivis-aktivis belia telah menyatakan penyertaan. Ada juga kenalan yang terdiri daripada golongan artis seperti sejumlah pelakon terkenal. Ada juga persatuan seperti Pusaka Purba Selangor dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur mahu mempamerkan koleksi keris. Ada yang sudi berkongsi ilmu secara sukarela, ada yang menawarkan khidmat tenaga empat kerat untuk menjadi sukarelawan tanpa dipinta. Malah sudah ada yang mahu menaja reka bentuk dan pembuatan banner/bunting untuk acara.

Sukacita dimaklumkan dalam tempoh 48 jam selepas  HIKMAH diwar-warkan, 116 orang telah menyatakan akan datang dan 149 orang mungkin. Ini baru mereka yang dijemput daripada friends’ list atau senarai kawan penulis dari Facebook. Ramai lagi menyatakan akan datang sedangkan setiap mereka dijangka akan menarik beberapa lagi orang kawan untuk memeriahkan lagi acara. Maka walaupun jangkaan awal adalah untuk 200 orang peserta, sudah ada tanda-tanda jumlah kedatangan boleh melepasi 500 orang.

Sekali lagi biar disebut, acara diperkenalkan secara ad-hoc atas jaminan ada premis untuk dijadikan tempat aktiviti dengan reputasi dan rangkaian peribadi penulis sebagai daya penarik awal.  Penulis telah memberikan jaminan bahawa ini bukan acara politik atau bertujuan untuk menarik sokongan politik. Jaminan harus dibuat dan dipertahankan agar penyertaan ramai daripada berbagai latar belakang, ada di antara mereka mungkin berbalah pendirian politik dan pandangan hidup dapat dihimpunkan dalam satu wadah yang bertujuan semata-mata untuk mendaulatkan Melayu dan Islam. Adalah menjadi harapan penulis, semoga acara dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan yang boleh memesongkan matlamat.








 Print screen menunjukkan sambutan selepas acara diwar-warkan dua setengah hari iaitu pada jam 1 tengah hari Isnin 15 Oktober. Ketika ayat ini ditulis jam 2 petang, 141 orang telah menyatakan akan datang, 195 orang mungkin.






Atur cara majlis

Acara pertama HIKMAH sudah dipersetujui mahu diadakan pada hari Ahad 4 November 2012 iaitu seminggu selepas cuti hari raya haji. Masa yang dicadangkan adalah 9 pagi sehingga 1 petang. Atas makluman inilah ramai sudah memberikan komitmen mahu menyertainya. Ada pula yang mencadangkan agar ia dipanjangkan sehingga petang, ada yang mahu ia dijadikan acara dua hari. Tetapi penulis berpendapat elok dipanjangkan sampai ke 4 petang sahaja untuk memberi laluan kepada waktu solat Asar. Acara perlu dipanjangkan kerana ada pembentang yang tidak ada keluangan masa pada waktu pagi selain memenuhi permintaan mereka yang mahu mendapatkan manfaat lebih lama kerana tertarik dengan apa yang bakal dikongsi.

Oleh kerana acara ini masih baru diwar-warkan dan bersifat ad-hoc, atur cara lengkap belum dapat dirangka sepenuhnya. Penulis masih mengusahakan agar dapat didatangkan seorang wakil daripada Aceh yang arif sejarah sana dan kaitannya dengan kerajaan-kerajaan di Semenanjung, wakil yang mungkin seorang survivor peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang telah melihat dengan mata kepala sendiri keajaiban yang berlaku akibat pertolongan Allah. Penulis juga berharap akan datang wakil dari Bentan atas inisiatif dan belanja sendiri untuk berkongsi hal keberadaan orang Melayu di sana. Namun atur cara tentatif sudah boleh dibuat berdasarkan maklum balas peserta juga mereka yang berminat untuk berkongsi ilmu.


8.30 – 9 : Kedatangan peserta/ pendaftaran

9-9.30  : Acara dibuka/ persembahan silat/ kata-kata aluan/ pengenalan

9.30- 1 : Pembentangan kertas kerja (akan diatur elok sebelum cuti Hari Raya Haji)

1. Bahaya syiah oleh penceramah yang dicalonkan penyedia premis

2. Sejarah penggunaan Dinar Emas – Amirul Mohamad, seorang lulusan undang-undang dari England yang kini menjalankan perniagaan konsultansi

3. Srivijaya dan benua Terengganu oleh seorang peneraju NGO belia di Terengganu

4. Simbolik perkerisan – Khairul Azhar, Yang Dipertua Pusaka KL

5. Satu pengalaman sebenar mencari makna dan jati diri Melayu – Radzi Sapiee (penulis dan pencetus acara)

1-2 : Rehat/makan tengah hari/solat Zuhur

2-3.15 : Sesi pembentangan petang :-

1. Motif pedang Zulfiqar di Alam Melayu – Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu yang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya. Kertas kerjanya pernah terpapar dalam satu terbitan di Jakarta kemudian mendapat perhatian cendekiawan terkenal dunia, Dr Annabel Teh Gallop dari British Library sehingga sanggup membiayai pembentangan kertas pada satu seminar antarabangsa di Aceh.

2. Busana tradisional Melayu – Prof Dr Siti Zainon, aktivis terkenal budaya.

3. Peranan Melayu Islam akhir zaman – Radzi Sapiee

3.15-3.45 - Acara berkumpulan.

 Peserta boleh mengambil sudut dan tempat mengikut kecenderungan masing-masing seperti persilatan, perkerisan, kebudayaan, salasilah keluarga, busana tradisional, budaya, seni khat dan sebagainya. Ini adalah lanjutan daripada interaksi kumpulan-kumpulan ataupun groups di Facebook di mana ahli-ahli sering bertukar-tukar pendapat tetapi ramai tidak pernah bertemu muka di dunia nyata. Acara ini adalah peluang untuk mereka lebih mengenali antara satu sama lain. Sambil itu mereka boleh saling ‘mengintai’ aktiviti kumpulan lain.

Tiap-tiap kumpulan akan diberikan pen/pensil dan kertas untuk menyatakan maklum balas dan cadangan untuk membaiki acara dan apakah harapan mereka, apakah sumbangan yang boleh dibuat demi mendaulatkan Melayu dan Islam.

3.45  : Penutup. Resolusi dibuat berdasarkan maklum balas kumpulan.

4 : Bersurai namun peserta boleh memilih untuk berlegar-legar di dewan meneruskan acara secara sendiri-sendiri.

Penyedia premis telah mencadangkan agar penulis membuka gerai untuk mempamerkan/menjual koleksi buku tulisan sendiri. Namun penulis mencadangkan agar peserta lain juga dibenarkan membuka gerai pameran/jualan asalkan sesuai dengan objektif HIKMAH.


Yang benar,

Radzi Sapiee                                                                                                                           





---------------------



OK. Lagi satu nak beritahu, premis acara HIKMAH 4 November ini mahu dialihkan ke tempat yang lebih menarik berdekatan pusat bandar raya Kuala Lumpur atas cadangan pengerusi. Ahli mesyuarat merangkap jawatan kuasa ad hoc acara pula menerima cadangan saya agar ia dipanjangkan sehingga ke petang. Adapun pada jam 11 malam iaitu sejurus selepas selesai menaip ayat di atas, saya dapati 158 orang telah menyatakan akan hadir, 217 menyatakan mungkin. Kelihatan jumlah akan bertambah dan terus bertambah sehingga sampai waktu acara. Diharap semua yang menyatakan kehadiran dapat mengotakan kata-kata ya. Untuk menyemak sendiri kenyataan saya ini sila klik badge di bawah. Selamat malam.

1 ulasan:

Mohd Ikhwan berkata...

Salam.InsyAllah saya akan hadir berdua bersama seorang rakan..