Sebuah lukisan yang ditemui setelah membuat Google image search menggunakan perkataan "Abdul Qadir Jilani"
Subhanallah walhamdulillahi walailahaillahu wallahukbar. Lagi beberapa jam lagi akan masuk waktu Maghrib dan dengan itu masuklah tarikh 27 Rejab 1433, malam Israq dan Mikhraj. Semalam, setelah membuat artikel
Demi
masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian yang mengandungi bahagian tengah bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah" daripada buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" saya terasa harus berkongsi juga bahagian akhir bab yang sama. Ini mahu dibuat sebagai 'mukadimah' untuk satu artikel lain mahu dipersembahkan malam nanti, artikel memaparkan isi yang lebih berkaitan peristiwa besar Nabi Muhammad SAW berjalan malam hingga naik ke langit. Saya memikirkan mahu membuat 'mukadimah' tersebut petang ini tetapi mendapati bahawa isi yang mahu dikongsi sudah diletakkan di
blogspot ini 5 tahun lalu.
Dengan itu seluruh cerita bab tersebut boleh dibaca di sini. Masuk sahaja links mengikut tertib :-
Namun saya masih terasa wajib berkongsi sesuatu daripada buku ketiga saya itu untuk petang ini. Lalu setelah memikirkan konteks berkaitan saya terasa isi berikut daripada bab bertajuk "Impian seorang petualang : Melangkaui adat dan masa" sesuai untuk tatapan. Oh. Anggaplah cerita ini cuma khayalan saya sahaja ya. Ia cuma luahan perasaan yang pernah diletakkan ke dalam buku, itu sahaja. Ambil iktibar atau ilmu yang mungkin dipaparkan secara tidak sengaja, janganlah difikirkan terlalu mendalam... :]
---------------------
Rasyid dibawa dalam satu perjalanan merentasi udara.
Kali ini, entah bila pula munculnya, ada permaidani terbang di bawahnya. Rasa
sebak yang meliputi seluruh jiwanya tadi mula luput dihembus angin pantas yang
membelah perjalanan ajaib seperti cerita Aladdin dalam 1001 Malam.
Pemuda itu meneliti permaidani yang membawa mereka ke
destinasi dan zaman seterusnya. Eh… Rupanya saling tidak tumpah seperti tikar
mengkuang buruk yang pernah digunakan Nenek untuk berbaring semasa sakit
dahulu, tikar usang yang pernah diambilnya selepas Nenek mangkat lalu dibawa
berkelana mengelilingi Perak. Teringat pula ketika pertama kali sampai ke Pulau
Besar, Melaka dengan membawa tikar buruk Nenek... Entah kenapa, beberapa orang
yang ditemuinya mendakwa, tikar itu boleh dijadikan permaidani terbang jika
Rasyid tahu cara menggunakannya!
“Tumpukan perhatian pada perjalanan!” Nenek memotong
lamunan.
Seketika itu juga, pengembara melangkaui ruang dan
masa ini dapat melihat seorang lelaki lain berpakaian seperti seorang raja
keluar memburu membawa berpuluh orang pengikut bersama seekor anjing... Anjing
ini kemudian menyalak pada suatu tanah tinggi kerana terserempak seekor semut
sebesar kucing! Peristiwa ini menandakan kemunculan sebuah kerajaan yang akan membawa peranan besar menyebarkan
syiar Islam...
Rasyid juga dapat meyaksikan sebuah lagi peristiwa di
sebuah lokasi pada zaman silam yang
lain, sekali lagi di sebuah istana tetapi kali ini sedang dikepung dan diserang
tentera. Tidak jauh dari situ kelihatan seorang lelaki berlari mempimpin
seorang wanita yang sedang mengendong seorang bayi merentasi hutan untuk
menyelamatkan diri. Sampai di suatu tempat yang kelihatan agak tersorok, lelaki
itupun menyuruh isterinya melepaskan pelukan dan meletakkan bayi tersebut di
atas tanah.
“Adinda jangan risau,” kedengaran suara sang lelaki
memujuk lembut. “Percayalah, anak kita ini diTakdirkan akan membesar dengan
selamat lalu membela kembali bumi ini seperti yang tersurat dalam Loh Mahfuz.”
Rasyid dapat menyaksikan bagaimana pasangan ini
memanjatkan doa terhadap Ilahi lalu pasrah meninggalkan anak itu di dalam
hutan. Kemudian pergilah mereka bersampan sehelai sepinggang memudiki sebuah
sungai luas menghala ke hulu sebelum membelok masuk ke satu cabang anak sungai
untuk mendarat di satu tempat. Sambil itu, muncul seekor gajah tunggal
mengambil anak yang ditinggalkan. Di kala itu juga kelihatan segerombolan
tentera meredah hutan seolah-olah sibuk mencari banduan.
Rasyid yang sudah kembali tenang dibawa lebih jauh
merentasi ruang dan masa untuk melihat satu lagi pergolakan besar melibatkan
takhta dan agama yang berlaku lebih awal di bumi Serambi Mekah... Seterusnya
dia menyeberangi lautan luas untuk sampai ke sebuah kotaraya gergasi dengan bangunan-bangunan
berkubah indah yang penuh gemilang, saling tidak tumpah seperti pernah dilihat
dalam sebuah mimpi suatu masa dahulu.
“Baghdad!” tiba-tiba dia menjerit riang seperti
budak-budak.
Sekonyong-konyong itu, anak muda ini mendapati dirinya
berada di tengah sebuah majlis ilmu yang dihadiri beribu orang pendengar
daripada berbagai lapisan rakyat. Nenek pun memimpinnya lalu membawa pemuda itu
ke satu sudut. Nampaknya ada perbincangan hangat walaupun Rasyid kurang faham
apa yang diperkatakan, rasanya dalam bahasa Arab.
Dia cuma faham beberapa perkataan, antaranya bila
hadirin memanggil orang yang memberi syarahan di hadapan sebagai Sultanul
Awliya… Eh Sultanul Awliya? Keluar pula nama Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!
Sekali lagi pemuda itu tersentak. Tiba-tiba sahaja dia
berada di hadapan seorang lelaki berjubah berserban dengan penampilan yang
sangat hebat, seolah-olah ada cahaya matahari terpancar keluar daripada
tubuhnya. Apabila mata yang silau mula menyesuai dengan keadaan (atau cahaya
tadi beransur hilang kekuatan?) barulah Rasyid dapat menentang wajahnya…
“Eh… Macam pernah lihat orang ini. Tetapi bila dan di
mana ya?” hatinya bertanya. Adalah tu kat mana-mana... Tak pun mungkin dalam
mimpi?
Nenek pula menegur: “Salam! Cium tangan atuk kamu
ini.”
Pemuda yang masih terpinga-pinga itu menurut sahaja.
Orang tua tadi memeluknya erat seperti seorang datuk yang sudah lama tidak
berjumpa cucunya. Beribu orang yang mendengar syarahan tiba-tiba terpaku beku!
Ada yang ternganga sehingga kelihatan anak tekak, ada yang mata terbeliak tidak
bergerak-gerak... Malah Rasyid dapat melihat sekawan burung merpati yang sedang
terbang melepasi tingkap kaku dengan kepak terbuka dan terkuak seperti
patung-patung hidup yang tergantung di udara!
Nenek membisikkan sesuatu kepada orang itu kemudian
menoleh ke arah cucunya. “Kamu ikut atuk kamu ini jalan ya…” dia memberitahu.
“Biar dia bawa kamu ke tempat seterusnya. Nenek tunggu kamu di sini.”
Rasyid mengangguk-angguk tanpa bertanya apa-apa. Orang
tua itu tersenyum lalu memberikan isyarat supaya mengekorinya. Anak muda itu pasrah menerima segala
kemungkinan, menurut sahaja apa yang disuruh.
Sekali lagi keadaan berubah, kali ini dengan lebih
mendadak. Tiba-tiba Rasyid mendapati dirinya berada di luar sebuah teratak
buruk tetapi kemas di sebuah kawasan yang agak asing, rasanya seperti di Tanah
Arab.
Orang tua tadi memberikan salam, terus disambut
daripada dalam. Pintu rumah terbuka lalu dia memimpin pemuda itu masuk.
Kelihatanlah seorang lelaki tua yang jauh lebih hebat, gilang-gemilang
penampilannya hingga tidak terkata! Terlalu terserlah melangkaui ibarat, boleh
hilang akal jika cuba membicarakannya... Tetapi cahaya kuat yang terpancar
daripada orang ini tidak pula menyilau
atau menyakitkan mata, terasa lembut pula seperti cahaya bulan purnama… Rasa
sejuk nyaman pun ada!
Orang tua yang membawanya ke situ pula berubah wajah
menjadi muda lalu mencium tangan tuan rumah. Anak muda kelahiran Muar, Johor
itupun menurut sama mencium tangan lelaki hebat tadi lalu lelaki itu memeluknya seraya mencium kedua-dua kening
pemuda itu. Kemudian mereka diisyaratkan supaya pergi duduk di satu sudut di
teratak kecil itu.
“Ali, Fatimah! Hassan, Hussein!” tiba-tiba lelaki itu
memanggil.
Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang tidak
kurang hebat penampilannya memimpin seorang wanita yang sangat cantik. Wanita
itu sedang mengendong dua orang anak laki-laki yang masih kecil tetapi
nampaknya sudah mampu berjalan sendiri. Orang-orang ini menghampiri lelaki
berwajah cemerlang tadi. Lelaki itu mengibarkan sehelai selimut sehingga
menyebelubungi mereka sebelum turut masuk ke dalamnya.
Tiba-tiba Rasyid berada di dalam selimut.
Penampilannya pula berubah menjadi seorang kanak-kanak! Lelaki hebat itu
membacakan ayat....
Innama yuridullahu liyuzhiba‘ankumurrijsa ahlalbaiti
wayuthohhirakum tat’hiiro.
Ah… Pemuda ini
kenal ayat itu kerana ia selalu disebut dalam buku-buku mengenai Ahlul Bait
iaitu anak cucu keturunan Rasulullah SAW. Itulah penghujung Ayat 33 Surah
Al-Ahzab yang bermakna: “Allah hanya menghendaki untuk menghilangkan kotoran
(dosa) daripadamu wahai Ahlul Bait, mahu membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”
Ayat ini sering disebut para pembela Ahlul Bait
sebagai bukti betapa Allah SWT merahmati keluarga Nabi... Ia juga jaminan Tuhan
yang mahukan anak cucu Nabi turut menjadi suci sesuai dengan martabat yang
diberi...
Selimut pun dibuka… Seketika itu Rasyid terasa dirinya
disentap kuat lalu dibawa laju merentasi alam cahaya yang berubah-ubah seperti
warna pelangi... Terlihatlah alam demi
alam pelbagai ragam yang tidak terkira banyaknya, masing-masing dengan khazanah
sendiri yang tidak tercerita... Akal terkedu memikirkan, mulut terkunci, lidah
terkelu. Hilang segala bentuk kata-kata, tiada langsung kemampuan mengungkapkannya.
Masa atas masa, masa luar masa, alam tanpa masa, malah hilang bentuk
tubuh-badannya, wujud tanpa rupa. Terbetik daripada kalbunya kata-kata ini:
“Aku cuma zilal, bayang-bayangMu sahaja… Asyhadu
al la ilaha il Allahu wahdahu la sharikala wa asyhadu anna Muhammadan abdahu wa
Rasulu”
Alam demi alam bertukar menjadi satu medan fikiran
tanpa gambaran… Pemuda itu masih mampu berfikir kerana sedar akan kewujudan
fikirannya walau tanpa bentuk dan tubuh-badan. Keadaan berubah lagi. Ah… Kali
ini, fikiran Rasyid terasa semakin lama semakin pudar. Sudah... Fikirannya juga telah hilang, lesap segala
kesan wujud... Lalu Siapakah yang sebenarnya merasai, Siapakah yang sebenarnya
sedang mengalami semua ini?
MasyaAllah! Engkau sahaja yang mampu mengenali diriMu
ya Allah! Engkau Zat Wajibul Wujud
sedangkan aku ini Adum, tiada… Tiada lagi ku dengar kidungmu. Ah… ke situ pula
perginya… Sempat juga mengarut...
Akhirnya semuanya kosong belaka, ghaib
seghaib-ghaibnya. Kosong yang bagaimana? Tidak fikiran, tiada medan... Hilang
di dalam kuntu kanzan iaitu perbendaharaan Ilmu. Lenyap segala bentuk
wujud, lebur di dalam cahaya. Cahaya di atas cahaya, nurin ala nurin. Allahu
nurusamawatiwal ard…
Ya Awwal ya Akhir, Ya Zahir Ya Bathin, Ya Hayyu Ya
Qayum, Haq, Haq, Haq.
Segala-galanya Dia. Hu, Hu, Hu, lautan luas
tidak bertepi… Dia yang hidup, Dia yang berilmu, Dia yang berkehendak, Dia yang
berupaya atas segalanya. Dia juga yang
mendengar dalam ilmuNya serta melihat kesemuanya. Lalu Dia berkata-kata
mengikut kesukaanNya dengan ilmuNya. Dia itulah yang wujud tanya sesiapa atau apa-apa berserta
dengannya. Tiada sesuatu pun yang ada kecuali Dia, Hu, Hu, Hu! Noktah.
1 ulasan:
Allahuahad... Allah. hu.. Ahad...
Catat Ulasan