Khamis, Ogos 25, 2011

Tempat suluk di Pantai Layang dan legasi Temenggung Muar


Ahad 11 pagi hari ke 7 Ramadhan bersamaan 7 Ogos 2011. Selepas puas berehat dan bermalam di rumah ibu bapa kami ikut mereka mengambil buah di dusun peninggalan almarhum datuk.




Sedar tak sedar selepas jam 2 petang, mungkin dekat pukul 3 baru berhenti. Itupun apabila hujan rintik turun (semasa gambar ini diambil masih ada lagi buah-buahan sedang dipetik).


Mengikut rancangan asal kami mahu meninggalkan Muar selepas Zuhur untuk melihat satu tempat tertentu di Melaka. Selain itu saya mahu mengambil gambar Gunung Ledang dari beberapa sudut. Mungkin dengan mengambil jalan ke Tangkak kemudian ke Asahan di mana muka gunung yang menghadap ke Melaka dipercayai pernah menjadi tempat berdirinya jambatan emas dan perak yang dibina oleh Sultan Melaka demi memenuhi syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Namun 3 jam di dusun telah membuat kami kepenatan. Selain itu, buah-buahan yang dipetik berserta ulam membuatkan saya terasa mahu berbuka puasa dahulu di kampung.

Dengan itu pada waktu petang baru saya cuba mengambil gambar Gunung Ledang. Ternyata cuaca kurang elok di sebelah sana, sedikit sahaja bahagian gunung dapat dilihat seperti ditunjukkan pada gambar yang diambil dari atas jambatan kedua Muar. Lihat artikel Muar river from the second bridge di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kemudian timbul rasa untuk berjalan ke Pantai Layang, satu tempat di Muar (sekarang dalam daerah baru Ledang) yang seingat saya tidak pernah dijejaki sebelum itu. Ini kerana saya pernah terbaca di mana entah bahawa Pantai Layang adalah pusat pemerintahan seorang Raja Temenggung Muar yang dimakamkan di sana.


Selama ini saya setakat lalu sahaja di jalan besar yang membawa ke Tangkak juga ke tol terdekat Lebuhraya PLUS. Nampak papan tanda "Pekan Rawang" di atas? Saya membesar di Muar dengan memikirkan inilah satu-satunya tempat bernama Rawang yang wujud di Malaysia. Lama kemudian baru tahu ada Rawang di Selangor dan ia lebih dikenali ramai, Rawang di Muar pula yang kedengaran pelik bagi kebanyakan orang.


Menunggu masuk ke simpang Pantai Layang.


Kelihatan papan tanda ini di simpang kiri. Ngeri punya nama ni...


Tidak lama selepas memasuki simpang kelihatan papan tanda ini pula. Ait? Ada tempat suluk? Siap ada papan tanda lagi. Selalunya tempat-tempat suluk cuma diketahui oleh kalangan tertentu, tidak ditunjukkan kepada umum...


Perjalanan ke Pantai Layang diteruskan.


Kelihatan lagi papan tanda ke tempat suluk.


Saya pun mencarinya hingga terjumpa. Saya ditunjukkan arah oleh seorang pakcik yang sedang memetik buah pulasan lalu menghadiahkan beberapa tangkai kepada saya.

Inilah rumah suluknya. Daripada murid yang ditemui, datang dari beberapa tempat di Semenanjung saya dapat tahu kaedah suluk yang dijalankan serupa seperti kaedah Tariqat Naqshabandiah-Khalidiyah di Kampung Babussalam, Langkat, Sumatera, kaedah yang turut diamalkan di sebuah surau Naqshabandiah di Ulu Dong, Raub dan satu tempat di Ulu Langat. Saya juga mendapat tahu pakcik yang memberi saya buah pulasan adalah guru mursyid sini. Beliau juga ada membawa Tariqat Samaniah dan Qadiriah...


Sebelum meninggalkan tempat suluk saya sempat berjumpa kembali pakcik yang baru selesai memetik buah. Dia pun memberikan satu dua risalah kemudian menunjukkan arah jalan sekitar. Rupa-rupanya ada jalan pesisir Sungai Muar yang boleh digunakan untuk kembali ke jambatan kedua Muar. Tapi sebelum itu saya berpatah balik untuk melihat satu tanah perkuburan dengan harapan dapat menemui makam Temenggung Muar yang dicari. Namun saya tak nampak mana makamnya... mungkin di tempat lain, mungkin juga di sini tetapi tak nampak tanda...


Kemudian baru menuju ke arah yang ditunjukkan pakcik. Itupun mulanya saya tersilap mengambil simpang... patut masuk kanan pergi ke kiri. Hikmahnya saya terjumpa satu bahagian Sungai Muar yang menghadap ke kampung ibu iaitu Kampung Temiang di seberang. Lihat Muar river near Pantai Layang.

Oh. Tentang makam Raja Temenggung Muar yang mahu dicari di sekitar ini. Tadi saya menyemak kembali di Internet lalu mendapati yang dimakamkan dan memerintah di Pantai Layang bukan Temenggung Muar tetapi orang yang menjadi punca timbulnya jawatan itu. Beliau/baginda bernama Sayyid Jaafar, bergelar Datuk Pasir Diraja telah dikurniakan jajahan Muar untuk ditadbir dan diperintahnya sebagai satu negeri di bawah naungan Empayar-Johor-Riau-Lingga. Adapun Sayyid Jaffar ini berasal dari keturunan Sayyid di Aceh yang berkahwin dengan puteri seorang Sultan Aceh di mana anak dari perkahwinan ini pula berkahwin dengan samada puteri atau cucu kepada Bendahara Johor terkenal, Tun Sri Lanang, penulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menjadi rujukan ramai. Biar saya copy and paste sedikit maklumat daripada satu website tentang Temenggung Muar... saya highlightkan bahagian berkenaan. Sila klik sini untuk maklumat lanjut...


Dato’ Pasir Diraja Tun Sayid Jaffar telah berangkat ke Negeri Muar mulai tahun 1674 dari Kota Tinggi untuk membuka, memerintah dan berkerajaan di situ sebagai menebus dan melaksanakan amanah maskahwin yang dikurniakan “Negeri Muar’’ daripada al-Marhum Kota Tinggi, Sultan Ibrahim Shah I 1677-1685, Sultan Johor Ke-9 apabila al-Marhum berkahwin dengan puteri bongsu bernama Puteri Bakal. Beliau telah membuat pusat pemerintahan di Pantai Layang. Dato’ Pasir Diraja telah dikurniakan dua orang zuriat lelaki bernama Sa’Akar Diraja dan Engku Paduka Tuan. Dato’ Pasir Diraja adalah nenek moyang dan induk bagi dinasti Raja-Raja Temenggong Kerajaan Negeri Muar kerana selepas kematiannya pada tahun 1707, jawatan Temenggong Muar telah beralih dari anaknya hingga kepada keturunannya. Beliau dimakamkan di Kampung Pantai Layang, Sungai Mati, Muar.

Sa’Akar Diraja (Temenggong Muar Pertama) menggantikan ayahandanya menjadi Temenggong Muar di dalam Negeri Muar pada tahun 1707-1732 dan berkerajaan di Kuala Segamat iaitu berhampiran Kampung Batu Badak. Beliau mendapat tauliah perlantikan daripada al-Marhum Sultan Abdul Jalil IV. Beliau mempunyai dua orang zuriat lelaki bernama Engku Sa’Amar Diraja dan Engku Perdana Menteri.


Cukup ya... :]



Mengingati 500 tahun kejatuhan Kota Melaka ke tangan penjajah Barat

Saya agak confused ni. Setelah'bertanya' pada Encik Google saya mendapati ada tarikh berbeza-beza tentang kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis. Ada yang menyebut 10 Ogos 1511, ada 24 Ogos ada 25 Ogos. Yang pasti ia berlaku bulan Ogos 500 tahun lalu maka itu saya rasa tak salah untuk memakai tajuk di atas untuk artikel baru yang ditulis berdasarkan koleksi gambar bulan ini...


Adapun artikel Dari Masjid Wilayah ke Angkasapuri yang dibuat siang tadi merujuk pada aktiviti hari pertama dan kedua bulan Ramadhan. Hujung minggunya pula kami anak beranak meninggalkan rumah lewat malam lalu masuk ke Melaka.


Niat kami mahu beriktikaf sebentar di Masjid Kampung Hulu.



Selepas itu sahur di warung berdekatan.


Seterusnya kami pergi ke Kampung Ketek dalam kegelapan malam.


Duduk sebentar di tangga rumah ini sebelum masuk ke makam Sheikh Shamsuddin Pasai.


Ini pula adalah tokong di hadapan.



Kemudian kami menziarahi makam Hang Kasturi.






Lalu di Jonker Walk kelihatan tempat ini.


Nampaknya ia adalah taman kecil dengan beberapa patung binatang.


Kami kembali ke Masjid Kampung Hulu untuk solat Subuh. Oh, sebelum itu sempat menziarahi makam Hang Jebat tapi seperti di makam Sheikh Shamsuddin saya tak ambil gambar kerana terlalu gelap... saya pula tidak berapa suka mengambil gambar menggunakan flash...


Selepas solat kami berehat sehingga matahari naik.


Timbul rasa untuk melihat tempat-tempat bersejarah di Bandar Hilir termasuk Sungai Melaka. Lihat artikel Melaka river from a part of Bandar Hilir di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Berhenti juga di kawasan tempat bangunan tinggalan Belanda, satu lagi kuasa penjajah Barat yang pernah menduduki Melaka, selepas mengalahkan Portugis dengan pertolongan Johor 1641. Lihat Early morning at the Stadthuys.





Terlihat replika sebahagian tembok Kota Melaka yang dibina di atas runtuhan lama. Lihat artikel Kota (Fort of) Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Menarik juga pemandangan sekitar ini.





Kelihatan juga replika yang kalau tak salah adalah kinchir air zaman kegemilangan Melaka lebih 500 tahun lalu (sebelum kejatuhan Kota Melaka ke tangan penjajah).





Tidak lama kemudian hujan pun turun dengan lebatnya.




Perjalanan selatan diteruskan masuk ke Johor.


Berhenti sebentar di tempat rehat berdekatan sempadan negeri di jalan lama. Lihat Kesang river from the rest area off the old trunk road.


Kemudian baru masuk ke Muar untuk kembali ke kampung ibu. Untuk pengetahuan dahulu daerah Muar bermula dari selatan sempadan Melaka, beberapa tahun lalu baru ia dipecahkan dengan bahagian ke utara Sungai Muar dijadikan daerah baru Ledang.


Al-Rasyid di hadapan stesyen bas antara bandar di Bentayan, Muar, satu kawasan yang pernah dijadikan kubu terakhir penentangan orang Melayu Melaka terhadap pencerobohon Portugis 1511.



Dari Masjid Wilayah ke Angkasapuri

Assalamualaikum semua. Seperti biasa, apabila tamat penceritaan untuk satu hari aktiviti perjalanan ke Pantai Timur melalui siri "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur" saya akan membuat satu atau sejumlah artikel selingan. Sedar tak sedar sudah masuk hari ke 25 kita berpuasa Ramadhan tahun ini. Tetapi baru kini saya hendak membuat cerita yang ada menyentuh sedikit tentang bulan ini. Mari... :]


Seperti ramai sedia maklum Isnin 1 Ogos 2011 Masihi bersamaan 1 Ramadhan 1432 Hijrah, umat Islam di Malaysia pun memulakan puasa.



Lewat petang itu saya pun membawa anak dan isteri pergi ke Masjid Wilayah.



Kiranya untuk hari pertama berpuasa ni eloklah juga berbuka di sini.




Lagipun masjid ini memang ada 'feel'.



Keadaan selepas selesai solat Maghrib...




Esoknya tengahari Selasa saya dan isteri pergi ke kompleks Angkasapuri RTM untuk satu urusan.




Kali terakhir saya menjejakkan kaki di sini kalau tak salah ingatan adalah pertengahan 2007 untuk rakaman televisyen. Lihat Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007.... Tengok-tengok sudah ada sebuah masjid yang agak cantik berdiri. Terasa mesti melihat lebih dekat. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Muhammadi, Angkasapuri di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Kemudian baru kami menuju bangunan utama.




Terlihat rumah kecil seperti pondok main-main ini. Rumah Wartawan? Wartawan mana pula duduk kat sini? Teringat zaman ketika masih lagi bertugas di akhbar The New Straits Times. Ada beberapa kali juga saya datang menghadiri acara di Angkasapuri termasuk sidang media santai di pejabat Tok Mat atau Datuk Mohamed Rahmat ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Penerangan.







Ini pula adalah tapak masjid lama di Kampung Melayu, Sungai Buloh.


Selepas menghantar seorang rakan kembali ke rumahnya di kampung itu kami singgah di Tasik Biru, Kundang.




Teringat mandi-manda di kawasan yang sedikit cetek ini lalu menyeberang hingga ke pulau. Secetek-cetek bahagian ini masih boleh menenggelamkan orang dewasa seperti saya kalau tidak berhati-hati, maklumlah kawasan lombong. Oh, beberapa hari lepas tasik ini ada dipaparkan dalam satu program televisyen sebagai berpuaka. Hmm...




Berdekatan pekan Kundang, dalam perjalanan kami kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri boleh kelihatan binaan ini. Saya pernah meletakkannya dalam Facebook lalu menyebut begini...


Kesan tinggalan istana lama Empayar Kedah Pasai Ma Siam Puasa Khutbah Wida' Merong Mahawangsa di Kundang, Selangor. Apakah di sini letaknya 'rahsia' Khalifah yang menyebabkan Najib, Anwar malah Yang dipertuan Agong menggigil lutut akibat tuntutan mereka agar negara Malaysia diserahkan kepada puak Siam Puasa?

Tengok-tengok ramai juga menjawab secara serius menyangkakan ini benar-benar tinggalan istana lama atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Walhal ia cuma bekas jambatan kereta api samada dari zaman Inggeris ataupun Jepun dan saya cuma bergurau sahaja... kerana teringat bagaimana ada satu pihak yang dahulu sangat sibuk mengenengahkan sejarah versi sendiri sebagai realiti konon dalam rangka kerja ingin menuntut takhta seluruh Asia Tenggara pernah menggunakan gambar-gambar sekitar Bukit Treh, Muar dari blogspot saya lalu menyatakan ia sebagai runtuhan istana lama yang pernah wujud lebih 1,000 tahun lalu. Walhal ia cuma tembok bangunan zaman Inggeris, paling tua pun mungkin 100 lebih tahun sahaja! :]





Malamnya kami menghantar anak kecil kami Al-Rasyid ke kedai gunting. Inilah hasilnya. Patutnya saya ambil gambar di kedai gunting sekali kerana seronok juga melihat anak berumur setahun 10 bulan ini duduk elok diam memerhatikan sahaja cermin di hadapan walaupun kali pertama digunting rambut di kedai. Tetapi kamera pula tertinggal di rumah...

Adapun ini adalah artikel yang ke 888 di blogspot ini dan kebetulan pula filename gambar ini adalah P8020888 di mana 3 nombor terawal merujuk kepada tarikh gambar diambil (8 untuk bulan Ogos, 02 untuk hari). Nombor berikutnya 0888 merujuk pada nombor gambar yang bermakna sejak kali terakhir memory card kamera dikosongkan (saya semak tadi, awal Mei) ini adalah gambar ke 888 yang diambil dan disimpan. Macam dah janji pula nombor artikel sama dengan nombor gambar. Semoga ada hikmah besar yang akan terbit nanti...