Rabu, Julai 13, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Dari Limbat ke Salor... sedikit tentang Long Ghaffar

OK. Rasanya eloklah ditamatkan terus penceritaan hari ke 8 perjalanan ke Pantai Timur, hari yang jatuh pada 1 Januari 2011 iaitu masuk tahun baru. Bersambung daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Legasi Long Yunus.


Saya dapat merasakan artikel sebelum ini yang banyak menyentuh tentang keluarga Long Yunus, pengasas kesultanan Kelantan moden tidak disenangi pihak tertentu. Apapun, selepas puas melihat makam keluarga diraja itu di Langgar kami pun mengorak langkah keluar daripada bandaraya Kota Bahru.


Sambil itu terlihat Kompleks Pusat Islam di Telipot.







Sekitar ini saya mendapati jam kereta menunjukkan angka 3:13.


Meter kereta pula menunjukkan nombor 333.3. Ini bermakna sejak singgah di Masjid Jamek Gua Musang seminggu sebelum itu iaitu pada hari Krismas 25 Disember 2010, saya telah memandu kereta sejauh 1,000 km. Rujuk artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan Cameron Highlands ke Gua Musang, artikel pembukaan siri yang dibuat 3 bulan lalu.


Ke hadapan sikit baru kami makan tengahari... makan tengahari lambat daaa...


Singgah di masjid besar di Kubang Kerian. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian ke Limbat masuk ke satu jalan kecil.



Ada satu makam yang ingin diziarahi, milik seorang yang penting dalam sejarah Kelantan.


Baginda adalah putera raja kerajaan Reman (terletak di utara Perak) yang pernah menolong Long Yunus menaiki takhta Kelantan.


Namun saya merasa terpanggil untuk menegur isi pada papan maklumat yang diletakkan pihak tertentu pada makam. Saya rasa tahu siapakah mereka ini dan kenapa mereka memperbesar-besarkan Long Ghaffar (saya lebih suka ejaan ini berbanding Gaffar).

Pertama, tentang Long Ghaffar sebagai pengasas negeri Kelantan kerana kononnya perkataan Kelantan berasal dari "Kerat Lintang"... kononnya kerajaan Kelantan pernah dibahagi dua antara Long Yunus dan Long Ghaffar. Pada saya ini tidak benar sama sekali. Ini kerana perkataan Kelantan sudah wujud 600 tahun lebih awal daripada zaman mereka. Sudah disebut ramai sejarawan tentang penemuan wang syiling tertulis perkataan "Al Julus Kelantan" dengan tahun 577 Hijrah tertera yang bersamaan sekitar 1181 Masihi, zaman Sultan Salahuddin Ayubi membebaskan Baitul Muqaddis daripada tangan tentera Salib...

Kedua. Pembahagian Kelantan kepada Kelantan Timur dan Barat telah wujud sekurang-kurangnya sejak tahun 1600 Masihi di mana Kelantan pernah terletak di dalam satu persekutuan kerajaan yang dipanggil Patani Besar lalu menjadi negara bawahan yang pemerintahnya bergelar Datu Kelantan (sebab itu ada tempat nama Pengkalan Datu), dipilih oleh kerajaan pusat di Patani... sebelum Raja Sakti, pelopor Dinasti Raja-raja Jembal mengalahkan kerajaan utama Patani lalu menaikkan kembali taraf Kelantan. Jadi ia bukanlah pembahagian yang dipelopori Long Ghaffar.

Ketiga. Pada papan maklumat ini tersebut Kelantan Barat berpusat di Kota Bahru dan Kelantan Timur di Limbat. Ini salah sama sekali. Sila lihat peta negeri Kelantan. Limbat terletak di selatan Kota Bahru bukan ke timur. Malah pembahagian sebenar negeri Kelantan dahulukala adalah berdasarkan aliran Sungai Kelantan yang secara rata mengalir dari selatan keluar ke utara lalu membentuk sempadan semulajadi antara timur dan barat. Kedua-dua Kota Bahru dan Limbat sebenarnya terletak di timur Kelantan. Kalau Kota Kubang Labu tempat Long Yunus bersemayam sebelum mengalihkan pusat pemerintahan ke Kota Bahru itu baru betul kerana ia memang terletak di belah barat seberang Sungai Kelantan dan pernah menjadi pusat pemerintahan Kelantan Barat.

Keempat. Perkataan "Kerat Lintang" itu sendiri yang didakwa sesetengah pihak sebagai asal wujud nama Kelantan. Mungkin ini benar 600 tahun lalu, yang pasti ia bukan berlaku zaman Long Ghaffar. Tetapi itupun tidak tepat kerana kerat lintang bermakna negeri yang dikerat tengah kepada bahagian utara dan selatan, bukan timur dan barat kerana itu memerlukan keratan yang membujur. Ingat pepatah membujur lalu melintang patah? Kalau dalam istilah geografi ia ibarat perbezaan latitude dengan longitude. Garisan khatulistiwa yang membahagikan bumi kepada hemisfera utara dan hemisfera selatan adalah contoh garisan melintang. Greenwich Meridian yang merupakan garisan pembahagian zon masa dunia adalah contoh garisan membujur...

Kelima. Perkataan yang menyebut Long Ghaffar sebagai Raja Kelantan tidak benar sama sekali, Baginda tidak pernah menjadi Raja Kelantan atau memerintah separuh dari Kelantan. Tetapi kalau menjadi raja di wilayah sekitar Limbat sambil mentadbir seluruh Kelantan sebagai Perdana Menteri yang diberi mandat oleh Raja Kelantan, itu memang benar...


Di sebelah makam Long Ghaffar terdapat makam anaknya Long Seri.


Apa yang tertulis di sini lebih mendekati kebenaran iaitu Long Seri adalah Raja Limbat. Itulah juga sebenarnya kedudukan Long Ghaffar. Pangkat sebagai Perdana Menteri yang diwarisi anak daripada bapa itulah yang menyebabkan Long Ghaffar dahulu berpengaruh terhadap seluruh Kelantan. Lagi satu baginda disegani kerana rapat dengan Long Yunus... kerana mereka berkawan baik semasa pengasas kesultanan Kelantan moden itu dalam buangan dan pernah menolongnya mendapatkan balik takhta Kelantan.

Adapun hak Long Yunus terhadap takhta Kelantan diperolehi daripada ayahandanya Long Sulaiman yang mendapatkannya pula daripada ayahandanya Long Baha, kerabat diraja Patani yang mengahwini seorang puteri diraja Jembal lalu diberikan pemerintahan ke atas Kelantan. Walaupun betul Long Ghaffar berperanan besar menobatkan kembali Long Yunus yang pernah dihalau daripada Kota Kubang Labu setelah berlaku satu rampasan kuasa, itu tidak bermakna baginda harus menjadi Raja Kelantan atau mendapat separuh dari Kelantan.

Hmm. Cukuplah apa yang disebut sebagai contoh. Sehebat-hebat Hang Tuah dan Tun Perak menolong Sultan Melaka mengembangkan kuasa dan wilayah, mereka tetap Laksamana dan Bendahara, bukan pemerintah separuh apalagi seluruh Melaka. Lihat artikel Makam (Tomb of) Long Ghaffar dan Makam (Tomb of) Long Seri.


Perjalanan diteruskan ke Kedai Mulong.


Singgah sebentar di masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Kedai Mulong.


Perjalanan diteruskan menghala ke Pasir Mas.


Tetapi kami sebenarnya mahu ke Salor.


Di sini adalah lagi makam lama yang mahu dijejaki.


Nasib baik ada anak-anak muda sudi menunjukkan jalan.


Dahlah kena memandu jauh ke dalam, kena lagi berjalan kaki masuk kebun dan hutan belukar. Kalau mencari sendiri belum tentu dapat jumpa...









Kena pula menyeberang parit ini.


Baru sampai ke makam Raja Salor, raja yang memerintah wilayah yang dipanggil Salor. Atau makam Raja-raja Salor... kedudukan ini diwarisi dalam keturunan. Siapakah mereka? Baca sahaja apa yang tertulis di Makam Raja-raja Salor (Tombs of the rulers of Salor).


Oh. Untuk sampai ke makam tadi kami menumpang lalu kawasan rumah orang Cina.


Inilah 'buah tangan' yang dibawa dari kawasan makam. Pelik ni. Gambar ini sebenarnya melintang, bukan membujur, landscape, bukannya potrait. Tapi bila upload jadi macam ni. Inilah pertama kali berlaku begini. Mungkin ada kena mengena dengan kata-kata saya tentang "Kerat Lintang" dan Kelantan tadi?


Kami berehat sebentar di Masjid Kampung Laut.


Al-Rasyid sedang mengamuk. Namun dipaksa posing dengan kakaknya Erin.


Sepertimana ketika mengambil Erin dan si abang, Haziq 6 hari sebelumnya lalu membawa mereka ke Masjid Kampung Laut sebelum ke tempat lebih jauh, sesi berjalan dengan anak-anak ini ditutup di masjid yang sama. Lusa mereka harus kembali bersekolah. Kami pun memulangkan ke rumah bapa saudara mereka.


Perjalanan diteruskan lewat petang.


Sampai ke Pasir Puteh sudah malam.


Duduk sebentar di monumen peringatan Tok Janggut, pahlawan Melayu Kelantan menentang British yang berasal dari sini.


Jalan-jalan di bandar, tengok-tengok ada pasar malam.


Tempat seterusnya disinggahi adalah Masjid Ibrahimi, masjid jamek Pasir Puteh.


Cukuplah artikel ini ya. Lihat Masjid (Mosque of) Ibrahimi, Pasir Puteh.


Nota tambahan (dibuat pada 9/1/2019) : Saya telah menerima beberapa bantahan daripada mereka yang mengatakan berasal daripada keluarga Long Ghaffar tentang isi artikel ini yang dilihat mereka memperkecilkan peranan Long Ghaffar dalam Kesultanan Kelantan. Di sini tidaklah ingin saya memanjangkan perkara kecuali menyatakan apa yang ditulis itu adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi pada masa itu. Memang kelihatan ada pihak seperti terlalu ingin memperbesar-besarkan legasi Long Ghaffar. Pada mereka memang berhak berbuat begitu sedangkan saya merasakan sebaliknya.

Adapun kajian-kajian saya dibuat secara sepintas lalu sambil saya mengembara ke sana ke mari. Saya menerima segala teguran dengan hati terbuka jika ada kekhilafan tetapi tidaklah sampai wajib mengubah isi suatu artikel. Oleh itu dipersilakan terus membetulkan apa yang patut melalui ruangan komen. Saya boleh masukkan pembetulan dalam bentuk nota tambahan... kalau kena ubah isi parahlah wooo sebab saya banyak kerja. Saya telah menulis hampir 6,000 artikel di empat buah blogspot bukan berdasarkan pembacaan semata-mata tetapi selepas melangkah jejak di suatu tempat secara nyata, bukan buat-buat cerita.

Satu perkara yang saya ditegur baru ini adalah Long Ghaffar berpangkat bapa saudara kepada Long Yunus. Namun ada pula pihak menyebut tentang Long Ghaffar berbahasa kekanda kepada Long Yunus yang dipanggilnya sebagai adinda dalam menyatakan peranan - Long Yunus disuruh bersemayam dalam istana, biar Long Ghafar mentadbir Kelantan. Paling orang marah dengan saya nampaknya adalah bila artikel lama ini menyatakan Long Ghaffar sebagai perdana menteri kepada Long Yunus. Mereka bukan raja sama raja memerintah Kelantan yang dikerat lintang menjadi dua bahagian sama rata.

Dalam hal kerat lintang ini nampaknya saya tersalah kerana meletakkan Sungai Kelantan yang memanjang dari selatan ke utara sebagai garis lintang itu. Kalau itulah garisan sempadan maka ia lebih menunjukkan pada kewujudan Kelantan Timur dan Kelantan Barat pada zaman sebelum Long Ghaffar. Tetapi bila diteliti balik Sungai Kelantan sebenarnya terletak membujur dalam peta. Kerat lintang lebih pada garisan dari timur ke barat. Maka negeri Kelantan harus terbahagi kepada bahagian utara dan selatan kalau dikerat lintang. Ini lebih kena dengan penegasan daripada kaum kerabat anak cucu Long Ghaffar yang menyatakan Long Ghaffar menjadi raja yang memerintah dari Limbat hingga menghala ke Terengganu. Tetapi tidaklah sampai kerat lintang itu menjadi punca nama Kelantan yang terbukti sudah wujud sejak lebih 800 tahun melalu penemuan duit lama bertulis Al-Julus Kelantan dengan tarikh bersamaan 1181 Masihi.

Sekali lagi, terima kasih atas segala teguran. Sila tambah apa yang patut pada ruang komen.