Kami sekadar singgah di Kajang sebentar sebelum terus ke rumah ibu bapa saya di Muar. Esoknya kami bersedia untuk berjalan lagi. Kelihatan Al-Rasyid sedang duduk ceria bersama datuknya...
Hujan agak lebat pagi itu namun perjalanan harus dimulakan jika ingin mencapai matlamat.
Gerak hati saya menyuruh mengambil laluan ke Yong Peng.
Laluan melepasi Parit Sulong di mana boleh kelihatan bukit ini yang kalau tak salah saya dipanggil Bukit Payung. Teringat semasa zaman remaja dahulu apabila kembali ke asrama di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang menumpang seorang saudara dua pupu yang menjadi penolong pegawai daerah Kluang ketika itu melalui jalan ini. Dahulu saya melihat bukit yang ada begitu terserlah dengan bahagian atas berbatu mengingatkan kepada cerita legenda batu belah batu bertangkup. Sekarang dah tak nampak begitu menyerlah. Kenapa ya? Apakah kerana faktor usia dan pengalaman berjalan lebih banyak melihat perkara lebih ajaib berbanding zaman remaja?
Kemudian baru sampai ke Yong Peng.
Perjalanan diteruskan ke Air Hitam. Laluan yang diambil mengingatkan pada perjalanan pusing Johor dan Singapura yang dibuat penghujung 2009, selepas isteri saya tamat pantang melahirkan anak kecil kami Al-Rasyid. Laluan yang sama diambil ketika menamatkan perjalanan yang memakan masa beberapa hari juga...
Bezanya semasa itu dari Kluang kami masuk ke Air Hitam kemudian ke Yong Peng seterusnya Parit Sulong. Beberapa kilometer menghala ke Muar kami mengambil simpang kanan ke Pagoh. Perjalanan kali ini pula bermula dari Kampung Temiang 5 km dari bandar Muar masuk ke Bakri untuk ke Parit Sulong diikuti Yong Peng dan Air Hitam. Selepas itu kami pergi lebih selatan ke Simpang Renggam.
Sampai di Kulai baru berhenti rehat.
Selain makan tengahari lewat (dah 2:30 petang pun sebenarnya) saya perlu menukar duit.
Ya. Kami mahu masuk ke Singapura. Namun entah kenapa boleh terlepas simpang masuk ke lebuhraya terus ke Tuas, maka harus mengambil jalan ke Pontian yang melepasi Skudai terlebih dahulu untuk masuk ke lebuhraya sama. Kelihatan dalam gambar adalah Gunung Pulai setinggi lebih 2,000 kaki dari paras laut gitu...
Tidak lama kemudian masuklah ke lebuhraya.
Dipendekkan cerita sampailah ke Singapura.
Adapun kami selesai pemeriksaan imigresyen jam 5 petang. Entah kenapa di situ Al-Rasyid yang berumur setahun setengah menekan punat reset untuk mengosongkan meter kereta.
Dari pusat imigresyen Tuas jalan agak senang, boleh sampai terus ke Tanjung Pagar dan pusat bandaraya Singapura. Namun entah kenapa boleh termasuk satu terowong bawah tanah...
Rupa-rupanya terlupa mengambil satu susur keluar kiri. Tanpa disengajakan perjalanan pun membawa kami menghampiri Bukit Timah. Dalam keadaan tidak tahu jalan dan tidak membawa peta terjumpa sebuah masjid lalu mengambil gambar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Hajah Rahimabi, Singapura di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Kesudahannya kami sampai hampir jam 9 malam. Meter kereta yang dikosongkan oleh Al-Rasyid di Tuas menunjukkan nombor belasan (saya tak berapa ingat sebenarnya tapi paling banyak pun mungkin 20 lebih km, yang pasti tak sampai 30) ketika sampai di Masjid Ba'Alawi. Namun apabila sampai ke makam Habib Nuh ia telah melepasi 100 km! Masyaallah begitu jauh kami berpusing-pusing. Biasanya masuk jam 9 malam bangunan makam sudah ditutup. Rupa-rupanya ini aturan Allah jua.
Siapa sangka malam itu akan diadakan satu majlis zikir yang menyebabkan makam dibuka melepasi jam 10? Sebelum majlis bermula isteri saya ada bertanya apakah yang akan dibaca. Ketua kumpulan yang mengadakan majlis setakat menyebut ratib, maka dalam fikiran kami ia harus samada Ratib Al-Haddad atau Ratib Al-Attas. Tetapi apabila keluar bacaan dan diteliti saya tidak dapat memadankannya dengan mana-mana ratib yang pernah didengar. Saya pun bertanya pada ketua itu ratib apakah ini. Mula-mula dia menjawab ia cuma susunan sendiri untuk kumpulan. Apabila saya bertanya lagi dan menyebut tentang berbagai tariqat berbanding amalan biasa keluarga Ba'Alawi baru dia menjawab yang dibaca adalah ratib dari Tariqat Shadziliah!
Bangunan-bangunan pencakar langit yang boleh dilihat dari luar makam Habib Nuh. Saya cam bangunan-bangunan ini terutama yang berbentuk silinder. Beberapa kali dapat melihatnya sudah dekat ketika mahu ke sini dari Masjid Ba' Alawi. Tapi entah kenapa tidak terjumpa susur keluar untuk masuk jalan yang sepatutnya sehingga harus berpatah balik beberapa kali...
Ah. Dahulu saya rajin mengamalkan bacaan Hizib Bahar yang dibawa oleh pengasas Tariqat Shaziliyah, Imam Abu Hassan As-Shazili. Beliau adalah seorang imam dan wali besar berketurunan Saidina Hassan yang menerima bacaan hizib selepas bertemu nendanya baginda Rasulullah SAW secara sedar. Namun ia sudah lama tidak dibaca kerana merasakan diri kotor, tidak mampu membawa amanah yang tersirat di sebalik darah keturunan apalagi kalau dimangkin dengan bacaan hizib yang ada kuasa dan kesan yang tersendiri. Tetapi dengan tidak disangka saya tergerak untuk membacanya lagi selepas solat Jumaat di PWTC siang 30 April (ingat, malamnya baru kami mengorak langkah ke selatan).
Ini berlaku selepas terlihat kitab kecil bacaan Hizib Bahr di sebuah gerai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Allah! Terasa diri begitu kerdil apabila membacanya sambil terlihat begitu banyak buku tentang Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW. Siapa sangka malam keesokannya saya akan dihidangkan dengan bacaan Ratib Syadziliah di makam wali besar seperti Habib Nuh? Lihat artikel Special treat at the tomb of Habib Nuh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Di situ ada video klipnya...
Selepas itu kami anak-beranak pergi ke stesyen keretapi Tanjung Pagar.
Perjalanan disambung ke pusat bandaraya Singapura. Masuk 11.30 sampai di kawasan Kampung Gelam di mana terdapatnya Masjid Sultan.
Oh, sebelum itu saya ada mengambil gambar sebuah masjid lain berdekatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Malabar, Singapura. Di Kampung Gelam pula kami berjalan-jalan melihat suasana malam yang agak menimbulkan kemarahan dan kekecewaan kami. Maklumlah kami ini orang 'kolot'... tempat ini dahulu pusat pemerintahan kerajaan Melayu tapi kini dah jadi tempat orang enjoy dan kaki minum. Malah pada saya ia dah jadi tempat orang 'Sufi' songsang. Untuk memahami maksud saya lihat artikel The Singapura Malay 'heritage' that is Kampung Gelam.
Selepas berpusing-pusing lagi melihat suasana pusat bandaraya kami naik ke Mount Faber atau Bukit Teluk Belanga untuk menziarahi makam Raden Mas Ayu. Sayangnya kami cuma dapat melihat dari luar sahaja kerana makam telah berkunci... menurut jadual ia cuma dibuka siang hari. Memang asalnya kami mahu datang waktu siang. Tetapi Allah telah mengatur agar kami sampai ke Masjid Ba' Alawi terlebih dahulu kemudian sesat lebih 2 jam sebelum dapat sampai ke makam Habib Nuh.
Dari makam Habib Nuh ke makam Raden Mas cuba 3 km sahaja. Namun kalau tak sesat dan terus sampai ke Tanjung Pagar dari Masjid Ba' Alawi kemungkinan besar kami tidak akan hadir pada majlis Ratib Syadziliah di makam Habib Nuh. Kami akan samada pergi ke makam Raden Mas Ayu terlebih dahulu sebelum ke makam Habib Nuh atau sebaliknya kerana inilah rancangan yang awalnya bermain dalam kepala. Kalau ini dapat ditunaikan kami akan meninggalkan kawasan tersebut paling lambat pun selepas Maghrib untuk melihat ke tempat lain. Tidak terfikir pun hendak menghadiri apa-apa majlis apalagi ia diadakan selepas jam 9 malam dan berlangsung sehingga melepasi jam 10.
Dari hadapan makam Raden Mas Ayu kami naik ke puncak Mount Faber. Di atas adalah antara gambar pemandangan sekitar yang diambil. Dengan ini cukup cerita buat masa ini. Insyaallah siang nanti saya akan sambung dengan apa yang berlaku 1 Mei, cuti Hari Buruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan