Ini ada cerita santai petang tadi...
Tadi siang, selepas berjalan-jalan di Templers Park kemudian melawat pejabat lama iaitu ibu pejabat akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar saya bersolat Jumaat di masjid Universiti Malaya.
Saya tak ingat bila kali terakhir menjejakkan kaki di masjid itu. Semasa kecil dahulu ada seorang ibu saudara selalu membawa saya masuk ke universiti lalu ke kedai bukunya. Ketika itu saya cukup suka dengan buku Origami, satu kaedah Jepun melipatkan kertas menjadi pelbagai objek terutama rupa bintang dan ibu saudara itu selalu membelikannya di kedai buku universiti. Kali ini, buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki masuk ke Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Ada seminar tentang kitab Sulalatus Salatin, kitab lama yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang.
Seminar bermula dengan membincangkan pelbagai naskah kitab Sulalatus Salatin yang muncul dalam pelbagai versi akibat disalin lain pihak lalu ada perbezaan dari segi isi. Pembentang iaitu Profesor Dr Ahmat Adam pun mengenengahkan satu versi yang muncul di Rusia di bawa seorang pelaut berketurunan Jerman bernama Ivan Krusenstern lebih 200 tahun lampau lalu dikenali sebagai naskah Krusenstern.
Oh. Nama Krusenstern sebenarnya mengingatkan saya pada ketam. Mungkin kerana perkataan Inggeris Crustacean, satu terma saintifik biologi yang merujuk kepada sekumpulan binatang berkulit keras termasuk ketam dan udang. Tamat seminar ada makan-makan. Tapi tak da pulak makan ketam ataupun udang hehe. Satay dan lemang ada le... :]
Rupa-rupanya bukan sekadar makan-makan biasa tetapi jamuan hari raya!
Walaupun bulan Syawal sudah tamat dan sudah masuk 3 Zulkaedah suasana Aidil Fitri masih dapat dirasakan.
Difahamkan seminar sebegini diadakan 2 bulan sekali tetapi bergilir dengan 2 lagi tempat. Maka sambutan raya diadakan mengambil kesempatan kerana giliran di Jabatan Sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan