Khamis, November 04, 2010

Menyelesaikan bab Perak : Mencari pedang warisan di satu ceruk negeri Selangor?

Assalamualaikum semua. Masih ada lagi mahu diperkatakan sebagai kesinambungan perjalanan yang dibuat ke Perak 2 minggu lepas. Jika artikel Menyelesaikan bab Perak : Mendekati keluarga terdekat Haji Musa dan Laksamana Muhammad Arshad melibatkan follow-up yang dibuat sekitar Lembah Kelang awal minggu lepas, hujung minggu itu pula baru saya, isteri dan anak betul-betul keluar lagi berjalan untuk melanjutkan pencarian.


Asalnya hujung minggu itu iaitu minggu lepas kami cuma mahu berehat di rumah. Tetapi saya mendapat panggilan dari seorang kenalan baru Sabtu malam Ahad agar datang ke Putrajaya kerana ada yang mahu ditunjukkan. Memandangkan ada perkara lain yang turut boleh diselesaikan sekali, saya pun bersetuju datang. Singgah dahulu di hadapan Istana Kehakiman di pusat bandar Putrajaya. Tengok-tengok ada acara pula. Lihat artikel A night event at Putrajaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami berjumpa kenalan itu di tepi Istana Kehakiman sebelum terus ke Presint 4. Di hadapan bukit yang dikatakan ada faktor mistik kami berkongsi cerita tentang apa yang kami tahu tentang Putrajaya dan apa yang pernah ada di sini beribu tahun lalu.


Ya, ada sesuatu tentang Putrajaya yang melangkaui adat dan zaman. Percaya tak kalau saya kata binaan-binaan modennya yang dilihat kini pernah wujud sebegitu rupa 3,000 tahun lampau?


Nampak macam tak masuk akal. Tapi kalau saya katakan seluruh Asia Tenggara dahulu pernah bersambung sebagai hujung Tanah Arab, tentu ada yang ketawa. Tak mengapa. Ketawalah puas-puas. Cukuplah saya sekadar berkongsi maklumat kalau tidakpun sekadar pendapat. Saya tidak pernah menyebut apa yang saya tahu sebagai mutlak atau wasiat keluarga yang tidak boleh dipersoalkan. Dan saya tak memaksa orang percaya dan tak perlu meyakinkan sesiapa.

Saya sudah lama diberitahu bahawa Alam Melayu yang membentuk Asia Tenggara ini adalah sebahagian daripada kerajaan besar Saba' yang namanya ada disebut di dalam Al-Quran. Cuma dengan pertemuan ini saya mendapat kepastian dari satu lagi pihak. Lokasi Putrajaya pernah menjadi salah-satu kota besar pada zaman Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis memerintah. Mungkin sebab itu saya pernah mendapat mimpi yang menunjukkan sebuah kota lama dengan satu bangunan saling tak tumpah seperti rupa Istana Kehakiman? Lihat artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat lebih 3 bulan lalu.


Sebenarnya lokasi Putrajaya bukan setakat sekali dua pernah menjadi kota besar. Sebelum banjir Nabi Nuh ia sudah maju lalu hancur, kemudian didirikan kembali selepas 3 orang anak Nabi Nuh berpecah membawa pengikut masing-masing membina tamadun baru di 3 tempat berlainan termasuk lokasi yang bakal menjadi Tanah Melayu. Di atas adalah gambar Masjid Putrajaya. Dahulu ia adalah tempat kegemaran dan wajib pergi jika saya ke kota melangkaui zaman ini. Namun sejak menjejakkan kaki ke Masjid Besi saya lebih suka ke sana dan sekitar Istana Kehakiman. Apapun, masjid ini tetap ada kedudukannya sendiri. Lihat artikel Kaitan Masjid Putrajaya dengan Masjid Brunei di Danau Tok Uban? yang dibuat tahun lepas.


Ini adalah gambar keesokannya pagi Ahad.


Selepas sarapan kami bertandang ke rumah seorang ibu saudara sebelum menghala ke Semenyih.


Dari Semenyih kami mengambil jalan pendalaman Sungai Lalang yang menuju ke Hulu Langat.


Singgah sebentar melihat keindahan tasik buatan di empangan Semenyih. Lihat Stopping at Semenyih dam.


Oh. Ketika itulah saya menyedari meter bawah telah menunjukkan angka menghampiri 130 atau 130 km. Untuk makluman ia akhir sekali direset kepada kosong ketika berlepas ke Perak 2 minggu lalu. Maka apa yang ditunjukkan boleh dikira kesinambungan perjalanan ke Perak. Walaupun jarak yang ditunjukkan (campur 1000 km sebenarnya kerana meter kembali kosong selepas cukup 1000) turut bercampur jarak pergi-balik pejabat di Kuala Lumpur selama seminggu, bagi kami ia tetap bermakna. Ini membuat kami ternanti-nanti di manakah meter akan menunjukkan nombor 131, lebih cantik lagi 131.3.
 

Ternyata meter mencapai nombor 131.3 pada satu bahagian hujung tasik Semenyih...


Lebih menarik lagi, jam pula menunjukkan waktu 3:13 sedangkan di radio ada nombor 11:03.


Ke hadapan sedikit gunung tertinggi di Selangor iaitu Gunung Nuang mula kelihatan.


Di Sungai Lui pula kami ke masjid tepian jalan untuk bersolat. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ar-Rahman, Sungai Lui, Hulu Langat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

 

Hampir ke pekan Batu 18 kami berhenti rehat dan makan sebelum mandi sungai. Lihat The river besides a stall at Hulu Langat.


Perjalanan diteruskan hingga ke kaki Gunung Nuang. Teringat lebih 10 tahun lalu, mungkin jauh lebih lama dahulu pernah mendapat satu mimpi di mana saya telah mengambil jalan Hulu Langat sehingga ke penghujung lalu sampai ke satu perkampungan di celah-celah pokok dalam hutan yang diterangi lampu pelita dan obor api. Suasananya seperti kampung makhluk Ewok dalam filem Return of the Jedi ketika berpesta menyambut kemenangan puak pemberontak ke atas empayar jahat maharaja gelap (macam empayar khayalan Siam-Islam agaknya, hehe...).

Ketika itu saya belum pernah masuk ke mana-mana bahagian pendalaman Hulu Langat, setakat pernah melihat jalan di atas peta. Kalau tak salah ingatan saya cuma pernah ke sekitar ini setelah memiliki motosikal besar penghujung tahun 1997.


Dari kaki gunung kami berpatah-balik lalu singgah di masjid ini. Teringat tahun 2003 di mana saya pernah tersesat selama 19 jam dalam hutan seorang diri ketika turun dari mendaki puncak Gunung Nuang. Apa yang berlaku pernah diceritakan secara ringkas dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006). Lihat sedutan dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan.... Cerita lebih ringkas telah dibuat dalam Masjid (Mosque of) Kuala Pangsun tadi. 


Sambil keluar kembali ke Lembah Klang kami sempat menikmati pemandangan Sungai Langat yang sering menarik kunjungan ramai.


Kami mengambil jalan pintas mendaki dan menuruni bukit ke Ampang sebelum kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Sekarang barulah cerita boleh masuk ke bahagian yang lebih serasi dengan tajuk kecil artikel ini iaitu "Mencari pedang warisan di satu ceruk negeri Selangor?".


Adapun beberapa hari sebelum itu ada seorang kenalan yang nampaknya ada pertalian dengan keluarga sebelah bapa memberitahu ada saudaranya menyimpan sebilah pedang warisan yang mungkin dapat membantu pencarian saya. Ilham dan petunjuk yang didapati dari Sungkai (lihat Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana) pula menyebabkan saya terasa harus melihat pedang...

Apa yang terbetik di hati ialah apakah ia pedang yang pernah dilihat dalam satu mimpi (rujuk artikel Merah Syahir Nuwi, Aceh, Siam dan mimpi pedang). Paling tidak pun ia mungkin berkaitan dengan identiti sebenar seorang moyang saya yang mula dibayangkan setelah mendapat cerita sebenar tentang Puteri Buih dan Kota Laksamana. Tetapi lokasi pedang agak jauh dari rumah menyebabkan saya melupakan dahulu hasrat. Namun apabila mendapat panggilan agar ke Putrajaya isteri saya pun mencadangkan agar kami tidur di rumah milik bapa di Kajang. Dari rumah ke Putrajaya boleh ke Kajang kemudian melihat pedang. Kiranya segalanya dapat dilakukan dengan sekali jalan.


Sambil itu ada pertanyaan tentang identiti moyang yang mahu diutarakan kepada seorang ibu saudara yang sangat rapat dengan almarhum Nenek, ibu kepada bapa saya. Ibu saudara ini duduk di rumah Nenek di Raub tetapi apabila menelefonnya minggu itu ternyata dia sedang berada di sebuah rumah miliknya di Kajang. Dengan itu kami juga dapat bertemu ibu saudara. Tanpa berfikir panjang, dia membenarkan telahan kami tentang identiti sebenar moyang, datuk kepada Nenek yang cuma dikenali sebagai Haji Daud... apabila disuakan gambar orang yang kami percaya adalah Haji Daud, ibu saudara tersenyum panjang lalu menunjukkan sekurang-kurangnya 3 bahagian yang mirip dengan muka Nenek.

Di atas adalah Pedang Si Bongkok yang merupakan satu barang kebesaran diraja Brunei, katanya dibawa oleh Sultan ketiganya Syarif Ali dari Mekah ke Brunei sekitar 600 tahun lalu. Saya meletakkan gambar ini kerana hulunya sama dengan hulu pedang yang gambarnya diletakkan lebih atas tadi.



Saya tak pasti apakah signifikan pedang-pedang itu. Yang pasti pedang yang dilihat hujung minggu itu tidak sama dalam mimpi tetapi tetap ada kaitan dengan warisan belah bapa yang berasal dari keturunan Sultan-sultan Aceh dari keluarga besar yang dipanggil Dinasti Bugis. Ia mungkin warisan dari Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud yang dipaksa turun dari takhta oleh Belanda 1903... ia mungkin juga pedang yang digunakan oleh para pengiring baginda dari keturunan kerabat diraja ketika mengelak dari buruan penjajah.

Ada kemungkinan Sultan Muhammad Daud pernah menyorok di rumah saudara-mara dari keluarga Laksamana di Perak. Mungkin pedang yang dilihat hujung minggu itu dibawa pengikutnya bersama. Dalam keghairahan mengkaji untuk mengenali asal-usulnya terjumpa pula gambar sebilah pedang yang setakat ini kelihatan paling mirip dengan yang dilihat dalam mimpi. Tetapi pedang itu adalah barangan diraja Perlis, apa pula kena-mengena dengan saya yang lebih rapat dengan Aceh, Bugis dan Perak?


p/s: Adapun filename gambar pedang yang baru dilihat itu adalah PA311133. Apakah ada kena-mengena dengan kemunculan angka 131.3 pada meter bawah kereta pada jam 3:13, ketika radio pula menunjukkan angka 11:03?



Rabu, November 03, 2010

Menyelesaikan bab Perak : Mendekati keluarga terdekat Haji Musa dan Laksamana Muhammad Arshad

OK. Seperti disebut pada penghujung artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Kota Batu, Sultan Bolkiah dan Pulau Chermin cerita perjalanan di Brunei akan disambung Insyaallah minggu hadapan. Buat masa ini biar dilepaskan dahulu beberapa luahan dan gerak rasa yang boleh dikira kesinambungan pada perjalanan yang dibuat di Perak hampir 2 minggu lalu.


Adus. Seingat saya tidak pernah saya mengambil gambar masjid dengan namanya di papan-tanda tidak lengkap seperti ini. Nasib baik bahagian Jawinya lengkap. Selalunya apabila mengambil gambar saya akan semak kembali melalui paparan digital. Kalau tak lengkap atau tak puas hati saya akan buang dan ambil gambar baru. Entah kenapa kali ini boleh terlepas pandang, bila dilihat dalam komputer tadi baru perasan.

OK. Sekembalinya dari Perak Ahad 10 hari lalu saya telah mendapat banyak petunjuk dan ilham. Apabila membuka komputer dan melihat e-mail pula saya dapati seorang bapa saudara bertanyakan pendapat tentang beberapa perkara yang melibatkan keluarga. Lalu dia turut bertanya jika saya sudah membaca satu tulisan yang dibuatnya beberapa bulan lalu. Katanya tulisan yang dibuat dalam bentuk print-out telah dijilid menjadi buku kecil... ada satu salinan untuk saya disimpan abangnya di Selayang.

Diakui selama itu saya kurang berminat untuk membaca malah mengambil tahu, mungkin kerana tumpuan lebih terarah ke beberapa perkara lain. Bapa saudara yang merupakan sepupu kepada ayah ini pula kurang saya kenali. Seingat saya, kami cuma pernah bertemu sekali ketika mengikut ayah dan ibu menghadiri satu majlis perkahwinan di rumah adik sepupu ayah ini di Teluk Intan, kalau tak salah penghujung 2007, tak pun awal 2008. Itupun saya sebenarnya tak berapa ingat menemuinya. Tetapi dia ingat kerana saya telah menghadiahkan beberapa naskah buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang? kepada saudara mara. Ketika itu baru sahaja terbit (November 2007). Apa yang didapati baru ini di Perak terutama di Sungkai pula membuatkan saya terasa harus membaca tulisannya. Lalu satu pertemuan pun diatur dengan abangnya di Selayang, bapa saudara saya juga...


Disebabkan ada hal lain saya cuma dapat ke rumah bapa saudara ini hampir waktu Zuhur. Beliau pun mengajak saya bersolat jemaah di sebuah masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Taman Seri Melati, Selayang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sebelum itu bapa saudara ini sempat membuka sedikit cerita. Katanya kami tidak pernah bertemu sebelum ini sedangkan kali terakhir dia berjumpa ayah saya adalah selepas ayah tamat pengajian di universiti.


Hmm... kalau begitu kali terakhir pakcik berjumpa ayah adalah sebelum tahun 1975. Atau mungkin juga tahun 60an kerana ayah menuntut di maktab perguruan dahulu sebelum bekerja sebagai guru, beberapa tahun kemudian baru menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mungkin pakcik kali terakhir berjumpa ayah selepas tamat pengajian di maktab tetapi disangkakan tamat universiti, mungkin. Saya pula teringat zaman kanak-kanak di mana saya sering rindukan ayah yang belajar di Kuala Lumpur, saya, ibu dan adik pula duduk bersama keluarga ibu di Muar.

Ya, walaupun saya amat takutkan ayah kerana garang, saya sering rindukannya. Mungkin akibat perhubungan antara seorang anak lelaki dengan ayah. Walaupun perhubungan kami dahulu sentiasa panas, mungkin disebabkan faktor saya anak sulung, ayah juga anak sulung dan muka hampir serupa, walaupun saya sering dipukul sebelum berani melawan lalu sering lari rumah, hakikatnya saya sangat sayangkan ayah. Walaupun dibesarkan dalam lingkungan keluarga ibu sebelum keluar untuk mengejar cita-cita sendiri, ternyata saya sebenarnya lebih anak ayah. Siapa sangka ketika masuk umur 31 tahun, setelah begitu lama tidak ambil peduli, saya mula mencari dan menelusuri sejarah dan salasilah keluarga sebelah ayah?


Petang itu saya pergi ke Perpustakaan Negara di mana saya membaca buku kecil yang dibuat oleh adik kepada pakcik tadi. Sambil itu saya juga membaca satu buku tentang sejarah Perak lalu tergerak untuk mengambil gambar-gambar ini. Di atas adalah Istana Raja Muda yang terletak di Teluk Intan. Kalau tak salah ia akhir sekali digunakan oleh Raja Muda Musa ibni almarhum Sultan Abdul Aziz ibni Raja Muda Musa (mereka suka pakai nama berulang-ulang) lalu terbiar apabila Raja Muda Musa yang lebih muda mangkat tahun 1983. Lihat Istana Raja Muda (The regent's palace), Teluk Intan, Perak.

 

Ini pula adalah masjid yang didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Saya tak pasti bilakah sebenarnya ia dibina tetapi pada atap genting di menara atas ada tertera tahun 1865 gitu. Masjid ini kekal dengan bentuk binaan yang kelihatan sekian lama. Sekitar tahun 2005 gitu baru ia menerima perubahan, perubahan yang walaupun meluaskan kawasan tetapi pada saya menghilangkan rasa dan bentuk klasiknya yang asal. Lihat Masjid lama Batak Rabit (The old mosque of Batak Rabit).



Pada mukasurat 171 buku sejarah Perak yang bertajuk Cempaka Sari itu ada suatu perkara menarik perhatian.

Perhatikan, ada satu tempoh masa sekitar tahun 1918 di mana Perak tidak memiliki Raja Muda... tiba-tiba sahaja Raja Bendahara dapat melompat jadi Sultan. Perkara ini pertama kali saya lihat ketika menelaah buku tersebut untuk memahami sejarah keluarga 8-9 tahun lalu... baru kali ini terasa ingin mengenengahkannya. 

Setahu saya tidak pernah ada dalam sejarah Perak tidak memiliki Raja Muda kecuali ketika itu. Alangkan semasa kekecohan perebutan takhta tahun 1870an yang membawa kepada Perjanjian Pangkor pun ada Raja Muda (semasa itu Raja Bendahara iaitu Raja Ismail dapat menaiki takhta menyebabkan Raja Muda iaitu Raja Abdullah tidak puas hati sehingga menjemput campurtangan Inggeris), inikan pada tahun 1918 yang kelihatan aman menurut kebanyakan sumber bacaan yang sebenarnya diolah Inggeris. Kecuali keadaan ketika itu sebenarnya tidak aman tetapi ceritanya digelapkan. Eloklah ditambah bahawa zaman sekitar itu sebenarnya memang kacau-bilau. Ketika Raja Bendahara yang bakal menjadi Sultan ke 30 Perak, Sultan Alang Iskandar ditabalkan bulan Disember, Perang Dunia Pertama baru sahaja tamat.

Biar juga ditambah selepas itulah kerajaan keKhalifahan Uthmaniyah jatuh melutut sehingga terlepas Palestin dan tanah suci Baitul Muqaddis. Namun di Tanah Melayu berita itu cuba digelapkan sementara raja-raja Melayu yang menyokong Inggeris dipuji bagai nak rak sebagai raja yang progresif lagi sedia menerima 'kemodenan'. Tidak lama kemudian bala menyusul di Tanah Arab apabila pemerintahan Bani Hasyim dari keturunan cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan, pemerintahan para Syarif Mekah ditamatkan oleh kaum Bani Saud dan puak Wahabi dengan pertolongan British. Mungkin ramai tidak sedar, ketika itulah umat Islam termasuk bangsa Melayu mula menjadi anak-anak yatim yang kehilangan pegangan asal...

Walaupun ada sumber lain cuba menyebut Sultan Alang Iskandar telah menjadi Raja Muda April 1918 sebelum abangnya Sultan Abdul Jalil mangkat bulan November saya terasa ada perkara yang tidak kena. Seolah-olah ini cuma berita yang ditambah kemudian apabila pihak berkepentingan menyedari ada kelompongan sejarah seperti disebut Cempaka Sari yang boleh dijadikan asas untuk anak cucu kemudian mencari kebenaran. Saya teringat ketika mula-mula mahu menelusuri sejarah keluarga, setelah mendapat satu mimpi kemudian dikejutkan peristiwa keruntuhan menara berkembar WTC di New York 11 September 2001 yang terasa seperti ada kaitannya. Setelah lebih 3 tahun tidak berjumpa dengan Nenek, ibu kepada ayah, saya mencarinya di kampung lalu mula bertanya.

Kebetulan satu malam seorang ibu saudara mahu membawa Nenek berjumpa seorang perawat tradisional di sebuah kampung berdekatan. Saya pun mengambil peluang untuk bertanya tentang hal keluarga kepada perawat yang dikatakan memiliki kelebihan melihat ke alam ghaib. Katanya sekitar tahun 1920an telah berlaku satu peristiwa menyayat hati di mana seorang moyang saya akhirnya terbunuh... kalau tak salah ia melibatkan perebutan takhta...


Ketika itu saya kurang memasang telinga kerana lebih berminat untuk menelusuri sejarah keluarga 500 tahun ke atas. Setelah beberapa tahun, baru saya dapat tahu salah seorang moyang terdekat adalah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah akibat dikatakan terlibat dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch 1875. Ketika itu pertengahan tahun 2006 dan saya baru sahaja menerbitkan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006). Setelah beberapa lama asyik menziarahi makam moyang-moyang teratas baru timbul rasa untuk melihat makam Muhammad Amin pula...

Baru saya tahu ia terletak di Singapura. Tiba-tiba mendapat berita ia mahu dialihkan ke kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan. Lihat Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan..., lihat juga Laksamana kembali ke Perak dan artikel lain yang sewaktu dengannya di sidebar kanan atas. Peristiwa itu telah membuka banyak ilham dalam pencarian saya yang seterusnya... Di atas adalah buku kecil yang dibuat oleh sepupu ayah untuk tatapan keluarga.

Ternyata dia telah mengambil perhatian atas apa yang disuarakan melalui buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" malah turut menggunakan seluruh isi dari artikel "Laksamana kembali ke Perak" sebagai pembuka cerita. Pakcik ini juga membuat sedikit follow-up tentang berapa perkara yang telah saya utarakan sebelum ini. Oh, sejak mendapat buku di majlis perkahwinan penghujung 2007 atau awal 2008 itu dia ada beberapa kali menghubungi saya melalui e-mail

Sebenarnya pakcik ini memiliki kelebihan sendiri kerana dibesarkan di kampung ayah di Teluk Intan tahun 50an dan 60an sedangkan saya pula dibesarkan di kampung ibu di Muar 70an dan 80an. Dia merasa membesar di dalam kawasan kota milik keluarga yang sudah hilang kesannya, di sebelah rumah besar yang sudah lama runtuh, rumah lama yang menurutnya turut memiliki singgahsana. Atas kelebihan inilah dia menurut saranan saya untuk cuba mencari identiti sebenar seorang moyang kami yang lebih dikenali sebagai Haji Musa. 

Rata-rata setakat yang diketahui keluarga, Haji Musa adalah orang kaya yang hidup sezaman dengan Sultan Abdullah. Tetapi melalui penyelidikan saya, baru disedari bahawa Haji Musa ini adalah ayahanda kepada seorang moyang (pangkat datuk pada pakcik ini) yang dikenali sebagai Hajah Halijah, seorang perempuan cantik yang menurut ceritanya menjadi rebutan anak-anak raja sehingga berlaku peperangan, sehingga kisah kecantikannya dijadikan syair dan sebagainya.

Tahun 2007 kalau tak salah ingatan saya terjumpa sebuah salasilah yang disimpan seorang saudara jauh yang baru dikenali di Taiping. Salasilah itulah yang menyebut seorang moyang utama kami di Perak yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama, orang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam adalah adik-beradik dengan Daeng Selili, Maharajalela pertama lagi bersaudara dekat dengan 5 anak Raja Bugis terkenal, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Pada salasilah itu tercatat bahawa Hajah Halijah adalah puteri kepada Haji Musa. Lebih menarik lagi, baru saya tahu Hajah Halijah berkahwin dengan Laksamana Muhammad Arshad, anakanda kepada Laksamana Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles.

Saya pernah mendengar cerita dari Nenek bagaimana Hajah Halijah memiliki dayang-dayang sendiri dan tinggal di rumah seperti istana. Tetapi Nenek tidak pernah menyebut siapakah bapa Hajah Halijah mahupun suaminya sedangkan kesemuanya adalah nenek moyang saya. Maklumat ini kemudian saya sampaikan kepada sepupu ayah yang menulis buku kecil di atas. Hasil penyelidikannya menunjukkan Haji Musa, bapa kepada Hajah Halijah bukan sahaja memiliki kota sendiri... malah Sultan Abdullah sendiri duduk menumpang di kota itu!

Siapakah Haji Musa yang memiliki kota sendiri sehingga ada rumah dengan singgahsana di dalamnya? Siapakah Hajah Halijah yang ada dayang-dayang sendiri, yang kecantikannya menyebabkannya menjadi rebutan anak-anak raja? Pada mereka yang sudah diberi ilham jawabannya sangat terang. Pada pihak yang berkepentingan, mahu sahaja kedua ini disebut sebagai orang kebanyakan lantaran nama mereka tiada lagi dalam daftar salasilah rasmi kerabat diraja, cuma iras-irasnya sahaja yang ada.

Lebih penting lagi pada saya adalah apa yang berlaku pada Laksamana Muhammad Arshad iaitu anakanda kepada Laksamana Muhammad Amin. Cerita tentang beliau nampaknya hilang begitu sahaja, makamnya pun tidak diketahui di mana. Menurut sejarah rasmi, Muhammad Arshad tidak pernah pun menjadi Laksamana. Beliau cuma dikenali sebagai Orang Kaya, ada pula yang menambah beliau dikenali sebagai Orang Kaya Besar, satu panggilan yang biasanya cuma dipakai Maharaja Diraja, salah satu orang besar empat Perak. Lalu ada yang menyoal mana mungkin Muhammad Arshad dikenali sebagai Orang Kaya Besar sedangkan jawatan Laksamana yang lebih rendah iaitu salah satu orang besar lapan pun belum tentu pernah dijawatnya. Atas dasar itu, siapalah kami untuk bercerita lebih-lebih... kecuali sudah terbongkar kedudukan sebenar keluarga.

Allah. Sungguh banyak perkara telah digelapkan oleh pihak berkepentingan, perkara yang menurut petunjuk yang saya dapat kebanyakkannya diubah sekitar tahun 1920an sebelum dijadikan hitam putih yang muktamad terutama melalui Undang-undang Tubuh Negeri Perak 1953. Kebetulan tahun tersebut Sultan Azlan (ketika itu belum tersenarai sebagai Raja Bergelar yang boleh masuk penggiliran takhta Perak) mendapat ijazah sarjana muda undang-undang dari Britain. Saya teringat kata Nenek dan ibu saudara bahawa dahulukala Laksamana boleh menjadi raja. Tetapi melihat pada aturan sekarang di mana Laksamana cuma orang kaya lapan mana mungkin ini boleh berlaku...

Setelah mendapat tahu asal-usul sebenar sistem penggiliran takhta Perak yang berlaku apabila kerabat diraja dari keturunan Bugis, Melaka dan Aceh bergaduh sesama sendiri, satu cerita yang sengaja digelapkan agar takhta dapat dipegang oleh keluarga tertentu sahaja baru saya faham. Mungkin kehilangan Laksamana Muhammad Arshad ada kena-mengena dengan tiadanya pemegang jawatan Raja Muda pada tahun 1918 seperti disebut dalam buku Cempaka Sari itu. Mungkin itulah cerita sedih yang dimaksudkan perawat tradisional yang ditemui ketika mula-mula mencari salasilah 9 tahun lalu. Mungkin cerita sebenar akan menyebabkan ramai pihak panas punggung. Dengan itu cukuplah luahan berkenaan. Selamat malam...


p/s: Saya ingin mengambil peluang ini untuk membuat satu pengumuman. Atas cadangan Pakcik Hamiri sepupu kepada ayah saya Muhammad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Laksamana Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin, satu perjumpaan keluarga akan diadakan Insyaallah tahun depan. Untuk memudahkan urusan, biar dibuat untuk anak cucu Muhammad Wahi sahaja buat masa ini. Perhimpunan dicadangkan mahu di buat di Batak Rabit hujung minggu selepas Maulidur Rasul. Harap jika ada saudara-mara terbaca sampaikan kepada yang lain dan sila beri maklum-balas. Saya boleh dihubungi di merahsilu@hotmail.com.


Lawatan tak dijangka ke Brunei - Kota Batu, Sultan Bolkiah dan Pulau Chermin

Hmm. Nampaknya siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" ni sedang dalam mood laju. Setelah perhatian dialihkan ke arah lain lebih seminggu tiba-tiba ia muncul kembali dengan 2 artikel baru dalam 2 hari dan kini artikel seterusnya menyusul pula hari ini. Bukan apa... saya mahu cepat melepaskan bab tertentu dari dada. Selepas ini bolehlah mengalihkan perhatian lagi untuk penulisan lain juga apa yang mahu dibuat sempena cuti Deepavali Jumaat ini.

Rabu 4 haribulan Ogos 2010, satu sesi perjalanan baru bermula.


Seperti biasa kami dijemput dari tempat penginapan, kali ini oleh Mariam dan Jep terus melepasi Bandar Seri Begawan.

Seperti perjalanan hari kedua kami menghilir Sungai Brunei.


Tetapi kali ini kami berhenti di satu tempat bersejarah yang dipanggil Kota Batu.



Apa ada di Kota Batu? Sila baca artikel-artikel berikut yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi mengikut turutan...


Kota Batu, pusat pemerintahan lama Brunei (the old ruling centre of Brunei)

Tapak (Site of) Kota Batu I

Perkuburan lama (Old graveyard of) Kota Batu


Namun paling utama kami mahu menziarahi makam ini, makam Sultan Bolkiah. Oh, ketika ini Hajah Sopiah yang menaiki kereta lain sudah muncul bersama Sobrina. Untuk pengetahuan Sultan Bolkiah yang merupakan cucu Sultan Syarif Ali sering dianggap sebagai penakluk dan Sultan teragung kerajaan Brunei Darussalam. Kerana semasa pemerintahan bagindalah penguasaan Brunei menjangkau seluruh pulau Brunei sehingga setiap pelusuk kepulauan Filipina. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Bolkiah.





Melihat pencapaian baginda, mungkin orang akan berkata Sultan Iskandar Mahkota Alam yang di Aceh itu menurut jejak langkah Sultan Bolkiah. Namun pengaruh Mahkota Alam yang hidup lebih 100 tahun kemudian nampaknya lebih menyeluruh. Selain pernah menakluki hampir seluruh pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, pengaruh Sultan teragung Aceh ini menjangkau jauh ke pulau Borneo sehingga batu Tarsilah Brunei sendiri menyebut baginda dapat menentukan siapakah yang layak memerintah di sini. Lihat bahagian akhir artikel Pameran di Muzium Brunei (Exhibits at Brunei Museum) 2.






Dari makam Sultan Bolkiah kami pergi ke Muzium Teknologi Melayu.


Pameran yang ada agak menarik. Lihat Muzium Teknologi Melayu (Malay Technology Museum), Brunei.




Perjalanan menghilir Sungai Brunei diteruskan. Sampai ke satu bahagian saya turun kereta untuk meninjau...








Punyalah nak meninjau sampai turun di tepi rumah orang.






Bukan apa, saya mahu melihat sebuah pulau yang dipanggil Pulau Chermin.





Ke hadapan sedikit baru saya tersedar ada tempat lebih elok untuk melihat pulau. Lihat artikel The island called Pulau Chermin di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Apa istimewanya pulau ini? Dari segi sejarah rasmi biar dicopy and paste isi dari website Pusat Sejarah Brunei...


PULAU CHERMIN terletak di Kuala Sungai Brunei yang bertentangan dengan Pulau Keingaran. Sebelah barat Pulau Cermin terletaknya Tanjong Kindana yang dipisahkan oleh satu kawasan perairan dinamakan Pasir Si Bubu. Pada 29 Ogos 2003 serombongan penyelidik dari Pusat Sejarah Brunei yang terdiri daripada Awang Haji Su’ut bin Haji Ahmad dan Awang Haji Mohd. Noor Irwan bin Haji Osmar serta Awang Mohd.Zefri Ariff bin Zain Ariff dan Awang Shahdi bin Metussin dari Universiti Brunei Darussalam telah mengadakan penyelidikan dan penggambaran di Pulau Chermin. Ketika berada di sana rombongan membuat rakaman gambar video dan pegun terhadap lokasi-lokasi tertentu di darat dan laut pulau berkenaan.

Walaupun tidak banyak ditemui kesan-kesan sejarah di pulau berkenaan tetapi peristiwa perang saudara yang berlaku di pulau itu pada abad yang ke-17 tetap terpahat dalam sejarah Brunei. Pulau Chermin pernah didiami oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin (Sultan Brunei yang ke-13) iaitu atas cadangan Pengiran Bendahara Muhyiddin dengan alasan Bandar Brunei pada ketika itu tidak aman disebabkan kekacauan oleh orang-orang darat. Apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin bersemayam di pulau itu, maka Pengiran Bendahara Muhyiddin pun mengisytiharkan dirinya menjadi Sultan Brunei dengan gelaran Sultan Muhyiddin. Oleh yang demikian pada ketika itu Brunei mempunyai dua orang Sultan. Sultan Muhyiddin yang mengisytiharkan diri menjadi Sultan itu semata-mata bertujuan menuntut bela di atas kematian ayahnda mertua baginda, Sultan Muhammad Ali yang dibunuh oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin ketika menjadi Pengiran Bendahara dan seterusnya mengambil alih pemerintahan dengan menggelarkan diri baginda Sultan Abdul Hakkul Mubin. Kekacauan yang dilakukan oleh orang-orang darat semasa Sultan Abdul Hakkul Mubin memerintah di Bandar Brunei adalah sebenarnya atas suruhan Pengiran Bendahara Muhyiddin yang bertujuan untuk menghuru-harakan Bandar Brunei. Pada mulanya mereka mengaruk lantai istana dan beberapa buah rumah Pembesar Negara, kemudian dilaratkan kepada rumah-rumah orang ramai yang menyebabkan kekacauan berlaku berleluasa.

Pengisytiharan Pengiran Bendahara Muhyiddin menjadi Sultan di Bandar Brunei itu telah menyebabkan berlakunya perang saudara yang berlanjutan dari tahun 1662 hingga 1673 dengan kekalahan di pihak Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Sultan Muhyiddin membuat kubu di Tanjong Kindana semasa memerangi Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Baginda juga mendapat bantuan dari tentera Betara Suluk yang membuat kubu pertahanan di Pulau Keingaran. Sebelum kalah, Sultan Abdul Hakkul Mubin telah membinasakan segala harta benda, membakar istana dan merosakkan Mahkota serta cop mohor. Baginda juga memerintahkan supaya Mahkota itu dilemparkan ke laut Pulau Chermin. Akibat daripada peperangan itu semua peninggalan pemerintahan Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin musnah sama sekali dan sukar dikesan hingga sekarang.


Dari segi tidak rasmi pula saya merasakan Pulau Chermin memiliki aura yang serupa dengan Pulau Besar di Melaka. Nampaknya ada rahsia dan faktor mistikal lebih besar dari apa yang diakui sejarah. Nama Chermin itu sendiri mengingatkan kepada kerajaan empayar Chermin yang dikatakan pernah berpusat di sebuah kota purba yang dipanggil Kota Jiddah lebih 600 lalu. Kebetulan di Danau Tok Uban, Kelantan di mana katanya kota itu pernah bertapak Sultan Brunei ada membina sebuah masjid moden. Apakah di sini terletak satu kaitan? Lihat artikel Danau Tok Uban pula... dan Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban! yang dibuat lebih 3 tahun lalu.


Masuk waktu Zuhur kami bersolat di masjid ini di Muara. Lihat Masjid (Mosque of) Setia Ali, Muara.



Kemudian pergi ke kompleks jeti feri di mana Mariam dan Jep menurunkan kami... selepas makam Sultan Bolkiah, Hajah Sopiah kembali untuk menguruskan rumah, Sobrina kembali ke pejabat...





Ah. Nak berlepas ke mana pulak ni? Takkan dah habis cerita kat Brunei dah? Jangan takut. Siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" ini baru nak masuk separuh jalan. Jadik ke mana kamik nik? Itu yang nak kasi suspense (konon). Dengan ini kita berehat dahulu dari siri. Insyaallah minggu depan baru sambung ya... :]


Selasa, November 02, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Mencecah air muara

OK. Kita teruskan dengan cerita yang agak ringkas tapi perlu demi kesinambungan gerak rasa serta aliran ilham dan petunjuk dalam merungkai pelbagai persoalan yang melibatkan akhir zaman. Bersambung dari artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Baru betul-betul dapat melihat makam di Luba .


Dari makam di Luba kami menghala kembali ke Bandar Seri Begawan...


Perjalanan diteruskan ke Muara yang terletak di satu penghujung Brunei.



Saya mahu ke sini kerana ada tiga sebab... satu mahu memastikan kedudukan terminal feri...


Bila dah tahu kedudukan nak tahu pula jadual feri.



Kemudian saya mahu melihat satu tempat yang terletak di Muara.




Untuk itu saya harus melihat pekan kecil ini dari beberapa sudut...












Mengingatkan kembali gambar satelit dari Google Earth yang dikaji malam sebelumnya saya membuat kesimpulan, untuk ke tempat yang dicari kami harus mengambil jalan pantai.







Kemudian kami harus berjalan agak jauh. Lihat artikel The beach at Muara di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.






Perjalanan itu membawa ke satu tambak batu. Lihat Mouth of the Brunei bay/sub-bay?.






Bila sudah pasti di manakah kedudukan muara yang benar-benar menjadi pertemuan antara laut dengan air sungai, saya pun mencecahkan kaki ke dalam air. Moga-moga akan terbuka lagi banyak perkara yang tertutup selama ini... paling kurang pun saya puas hati sebab dah cecah kaki. :]