Kelihatan dalam gambar Bukit Engku Busu yang menghiasi latar-belakang Lumut. Kalau tak salah ingatan Engku Busu ialah seorang kerabat diraja Bugis yang datang dari Selangor untuk menawan lanun yang pernah bermaharajalela sekitar ini.
Selepas berjalan-jalan di pekan juga sarapan kami pun mengorak langkah ke luar Lumut...
Di hadapan tempat yang kononnya "Venice of Perak", kami berhenti...
Bukan apa, mahu melihat Taman Paya Bakau. Lihat Lumut's mangrove park.
Ketika melanjutkan perjalanan terlihat pula papan-tanda ini...
Saya pun saja-saja masuk. Tak nampak kampung pun? Yang ada cuma taman perumahan.
Melihat pada papan-tanda "Kedai kopi Ah Bee" berdekatan papan-tanda "Taman Acheh Maju" terbetik di hati... apakah Kampung Aceh (maaf. Saya lebih suka ejaan Aceh dari Acheh) sudah jadi Kampung Ah Ceh? Sepertimana ada pihak beriya-iya mahukan Hang Tuah jadi Hang Too Ah, Hang Jebat jadi Hang Jee Fatt?
Berbalik kepada perjalanan mencari Lebuh Aceh di Pulau Pinang. Ada juga hikmah sehingga Rasyid terlajak sampai ke bangunan Komtar...
Kalau tahu jalan pintas dari Masjid Kapitan Keling, kemungkinan besar dia akan terus masuk dan berehat di Masjid Lebuh Aceh lalu tidak dapat melihat hakikat sebenar keadaan Lebuh Aceh ketika itu. Sebaliknya dari bangunan Komtar, anak kelahiran Muar, Johor itu terpaksa berpatah-balik sebelum memasuki jalan lain yang memerlukannya merentas sepanjang lebih separuh lebuh itu, jalan yang perlu melepasi sebuah rumah besar peninggalan seorang saudagar Arab dari keluarga Sayyid Al-Attas sebelum sampai ke masjid. Lalu terserlahlah kepincangan kawasan yang pernah menjadi kebanggaan anak watan Pulau Pinang ini...
Dalam perjalanan itu, Rasyid banyak menggeleng-gelengkan kepala. “Kata area Melayu tetapi yang nampak kedai Cina belaka,” getus hatinya.
Jika satu masa dahulu, Lebuh Aceh pernah menjadi tempat berkumpul segenap jemaah haji daripada seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura sebelum berlepas ke tanah suci, aktiviti yang dapat dilihatnya malam itu cuma sebuah opera Cina berdekatan. Kedai-kedai buku dan kitab agama milik orang Melayu masih banyak terdapat di situ tetapi semuanya tidak berpenghuni lagi, daif seperti menunggu masa sahaja untuk dirobohkan. Nampaknya yang tinggal Melayu cuma Masjid Lebuh Aceh dan kawasan sekeliling, itupun sebab ia berdiri di atas saki-baki tanah wakaf yang ditinggalkan untuk membela nasib bangsa. Kalau tidak kerana itu, mungkin langsung tidak ada apa-apa lagi kesan tinggalan milik orang kita. Mungkin ketika itu, Lebuh Aceh dan sekitarnya sedang, sedang dibaik-pulih? Jalan tarnya telah dipecahkan sementara ada bahagian yang dilubangkan. Malah ada sebuah lubang di tengah jalan yang separuh ditakungi air, nampaknya cukup besar untuk menenggelamkan sebuah kereta...
Rasyid bertanya kepada seorang pemuda yang sedang lalu, mengapa jadi begini. Kata pemuda itu, sebab kerajaan hendak mencantikkan Lebuh Aceh, mahu buat persiaran batu-bata untuk pejalan kaki... “Sebab itu kedai-kedai milik Melayu dikosongkan,” katanya lagi. Tetapi mengapakah orang Cina masih ramai di situ? Ada kelihatan di rumah-rumah kedai walaupun tidak dibuka untuk perniagaan. Mana pula pergi orang Melayu kita?
Pemuda itu tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan ini. Dia cuma tersenyum sinis kemudian melangkah pergi. Nampak gayanya seperti sudah meluat, fed-up dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Mungkin dia salah seorang penduduk Melayu situ yang akhirnya terpinggir?
Memang rumah-rumah kedai di Lebuh Aceh sudah buruk belaka. Memang patut dikosongkan supaya dapat dibina baru, lebih elok dan canggih, lebih sesuai dengan image Pulau Pinang sebagai bandaraya moden menuju wawasan Malaysia negara maju 2020. Tetapi siapakah yang sebenarnya akan mendapat keuntungan apabila projek untuk memperbaiki dan mencantikkan warisan utama orang Melayu di Georgetown ini siap nanti? Apakah orang Melayu akan dapat mempertahankan hak mereka ke atas kawasan prime property yang pernah diwakafkan semata-mata untuk kebajikan anak watan? Atau mereka nanti terpaksa dipinggirkan ke kampung-kampung di luar arus pembangunan pesat Pulau Pinang?
Masjid Lebuh Aceh pula, masjid tertua di pulau ini yang masih mengekalkan bangunan asal berumur hampir 200 tahun sudah jarang digunakan. Sudah jadi seperti rumah hantu, bukan lagi rumah Tuhan... Yang selalu datang meramaikan masjid cuma para penarik beca dan kutu rayap. Datang pun setakat hendak melepaskan penat lelah seraya menghisap rokok di tepian tembok bukannya hendak sembahyang, apalagi menghidupkan rumah Allah... Kalaulah orang Melayu dahulukala boleh melihat apa yang berlaku, mahu mereka menangis agaknya...
“Apakah Lebuh Aceh nanti akan menjadi Lebuh Ah Chong?” Rasyid tertanya-tanya. “Tak mustahil jika orang Melayu terus terpinggir begini...”
Destinasi seterusnya adalah Beruas, satu nama besar yang sering dikaitkan dengan sejarah kegemilangan Melayu silam.
Kami mahu singgah di Kampung Kota , 3-4 km sebelum pekan Beruas.
Kampung Kota dipercayai pernah menjadi pusat kerajaan Melayu Beruas, kerajaan yang dahulunya pernah meliputi jajahan sekurang-kurangnya hingga ke kawasan Dinding dan sebahagian besar pantai Barat, Perak... sebelum berpecah menjadi dua buah kerajaan yang sering bersengketa, satu masih mengekalkan nama Beruas, satu lagi dikenali sebagai Manjung. Ini ada termaktub dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang. Kitab itu menyebut bagaimana Sultan Mahmud Shah yang memerintah sehingga Kota Melaka ditakluki Portugis 1511 telah menghantar angkatan untuk membantu Beruas mengalahkan Manjung.
Kelihatan dalam gambar adalah Masjid Kampung Kota yang ada makna tersendiri buat saya. Untuk pengetahuan, dalam ziarah pertama saya ke masjid ini kira-kira 8 tahun lalulah baru saya mendapat petunjuk bagaimana nasab keluarga saya bersambung dengan para pemerintah kerajaan lama Samudera dan Pasai (kini dalam Aceh), melalui jurai mana. Biar dicopy and paste bahagian berkenaan... dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007)...
Malam itu, buat pertama kali dalam hidupnya, pemuda itu tidur di bilik almarhum nenda. Tikar buruk yang digulung elok siap dengan tongkat kayu rambutan terselit di dalam turut ‘tidur’ sama. Dan benar seperti disebut Mak Uda, tiga hari kemudian Rasyid pun mendapat ilham...
Dahulu, tahun 2001, tiga hari selepas pertama kali bertanyakan Nenek tentang cerita-cerita lama Perak, Rasyid tergerak untuk berkelana memudiki kanan Sungai Perak. Ketika itu dia mahu mencari kaitan sebuah mimpi yang dialami dengan keSultanan Perak, mimpi awal yang mencetuskan pencariannya sehingga dia mengembara jauh ke berbagai tempat.
Kini tahun 2002, tiga hari selepas kembali ke rumah ini, sebulan selepas almarhum Nenek meninggal dunia, pemuda itu tergerak lagi untuk ke Perak. Kali ini dia harus mudik kiri Sungai Perak dengan membawa tikar mengkuang buruk dan kayu rambutan peninggalan Nenek untuk meliputi sebuah wilayah yang mengikut perjanjian lama keSultanan Perak adalah di bawah kekuasaan seorang pemimpin perempuan bernama Tok Temong...
——————————
Selepas semalaman di masjid, sempat pula bersantai sebentar di tepian Sungai Dinding yang agak luas, dia menaiki feri bot kecil menyeberangi sungai untuk ke Damar Laut. Inilah kali pertama anak muda ini sampai ke kawasan itu, juga beberapa kawasan seterusnya... Dari sana, Rasyid mengambil bas buruk ke Pantai Remis kemudian ke Beruas. Keesokannya, dia pergi pula ke Kuala Kangsar, singgah lagi di makam diraja Perak di Bukit Chandan dan Masjid Kota Lama Kanan sebelum menutup perjalanan di makam Tok Temong di Kampung Temong, utara Kuala Kangsar.
Sepanjang perjalanan itu, pemuda ini sempat menziarahi beberapa buah masjid dan surau yang dipilih mengikut gerak rasa dan keperluan semasa. Contoh mengikut gerak rasa, tiba-tiba terasa mahu masuk ke suatu masjid walaupun bukan waktu bersolat. Kalau ikut keperluan pula, kebetulan kita sampai di suatu tempat ketika masuk waktu solat atau terasa mahu buang air... Maka singgahlah kita untuk menunaikan hajat...
Ternyata dalam banyak-banyak masjid dan surau malah dalam banyak-banyak tempat beribadat yang pernah diziarahinya dewasa ini, ada sebuah sahaja yang masih menggunakan tikar mengkuang seperti tikar Nenek yang dibawa bersama. Itulah Masjid Kampung Kota di Beruas...
Di situlah Rasyid mendapat petunjuk susur galur keluarga Laksamana Perak sampai kepada Sultan Malikus Salih melalui cucu keduanya Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera, bukan melalui Malikul Mahmud yang mewarisi Pasai. Cerita-cerita lama pula menyebut kerajaan lama Beruas telah diasaskan oleh Malikul Mansur selepas dibuang negeri atas kesalahan mengambil perempuan daripada Istana Pasai.
Tidak jauh dari masjid terdapat apa yang dipanggil makam Raja-raja Beruas. Ada dua kelompok kawasan yang ditanda pihak muzium sebagai makam Raja Beruas I dan makam Raja Beruas II, satu ke kiri papan-tanda satu lagi ke kanan. Saya tak ingat yang manakah satu dikatakan makam I, mana makam II. Dahulu memang ada tertera pada papan-tanda tapi tulisannya sudah luput. Apapun, itu cuma penanda yang diletakkan oleh pihak muzium.
Kami pergi ke kawasan yang terletak di kiri dahulu... itulah yang saya anggap sebagai makam I. Lihat artikel Makam Raja-raja Beruas (Tombs of the kings of Beruas) I di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Oh... ini kali pertama isteri dan anak sampai ke sekitar Beruas.
Selepas itu kami bergerak menuju ke kawasan yang kedua. Di satu tepian jalan kelihatan pula makam ini...
Ia terletak di laman sebuah rumah, luar dari kelompok yang dipanggil makam Raja-raja Beruas I dan II. Lihat artikel Makam Raja-raja Beruas (Tombs of the kings of Beruas) II untuk kelompok kedua...
Kemudian baru kami menuju ke pekan Beruas.
Oh. Jalan yang diambil dari Lumut ke Beruas adalah sama dengan jalan yang diambil oleh rombongan membawa kembali jenazah moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin untuk ditanam kembali di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan 4 tahun lalu. Bezanya, di persimpangan masuk ke pekan kami membelok ke kiri sedangkan rombongan belok ke kanan untuk pergi ke Kuala Kangsar melalui Manong. Lihat artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak , antara artikel paling awal ditulis untuk blogspot ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan