Selepas berjalan hampir ke seluruh pelusuk bangunan, sempatlah berjumpa beberapa kawan lama dari pihak media, saya membuat keputusan suasana di sini tidak sesuai untuk menjual atau mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Di sini tempat berjual-beli mencari peluang buat duit lebih, peluang perniagaan dan dapat projek, lobi-melobi jawatan dan kedudukan, bukan tempat betul-betul mahu berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Saya pun bergegas keluar lalu mengambil motosikal di belakang. Dalam perjalanan keluar, tiba-tiba ternampak satu tempat yang sesuai untuk membuat promosi jalanan. Ya, tempat itu memang sesuai. Tetapi bukan sekarang, insyaallah selepas solat Jumaat esok!
Sampai hari Jumaat, bermulalah misi membuat promosi...
Selepas bersolat Jumaat di Bukit Damansara, saya kembali ke pejabat isteri di Jalan Ipoh untuk mengambil motosikal. Kelihatan tanda-tanda hujan lebat baru sahaja tamat. Selepas mengatur apa-apa barangan yang perlu dibawa sama, saya pun bergegas ke hadapan PWTC. Tujuan saya adalah satu bahagian di hadapan kompleks membeli-belah The Mall di mana dirasakan elok untuk membuat promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh".
Isteri saya sampai ke The Mall dalam keadaan redup antara hujan. Yang pasti promosi jalanan tidak dapat lagi dibuat di tempat tadi yang tidak berbumbung. Saya pula mula hilang rasa mahu membuat promosi. Maka kami suami isteri membuat keputusan berjalan-jalan melihat segala macam aktiviti dan apa-apa yang ada ditawarkan di PWTC sempenan perhimpunan UMNO 2009.
Selepas bersolat Maghrib di Hentian Putra, kami turun menghala kembali ke PWTC. Kelihatan aktiviti jualan di bahagian luar tepi PWTC begitu berwarna-warni. Ketika lalu di hadapan Restoran Riverside di dalam PWTC, kelihatan pula 2-3 penulis buku politik telah membuka meja untuk menjual buku sedangkan siang tadi tidak begitu. Ini membuat saya terfikir kembali, elok juga jika kami dapat membuka meja sendiri...
Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, kami dapat membuka meja di hadapan Bilik Perak, di bahagian lain dalam PWTC...
Sebenarnya meja ini ditinggalkan kosong di hadapan Bilik Pahang yang terletak bersebelahan. Kami pula mengalihkannya ke hadapan Bilik Perak kerana satu, kami turut membuat promosi DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang melibatkan Perak. Kedua kerana ia lebih dekat dengan sumber kuasa yang boleh digunakan untuk menghidupkan komputer riba lalu memainkan DVD itu untuk tayangan kepada mereka yang lalu-lalang...
Oh, ketika itu sudah melepasi jam 8 malam. Masih ada sedikit program berjalan di PWTC. Di atas ini adalah gambar sekumpulan orang mengelilingi Perdana Menteri Pak Lah yang singgah ke bilik media bersebelahan tempat kami. Melihatkan itu, isteri saya mencadangkan agar kami menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh" kepada beliau. Isteri saya sendiri menyampaikannya kepada Pak Lah sedangkan saya setakat melihat dari jauh.
Apapun, ternyata usaha kami membuka meja dan membuat promosi tidak sia-sia. Tanpa perlu dipanggil, ada yang sudi datang membeli buku malah ingin bergambar dengan saya. Ada pula yang setakat membelek-belek buku sebelum bertanya jika kami akan datang keesokannya hari Sabtu. Itu yang membuat saya lebih bersemangat untuk menyambung promosi. Kalau tidak, mungkin setakat hari itu sajalah...
Esoknya hari Sabtu, hari terakhir perhimpunan UMNO 2009. Kami sampai tengahari, terus membuka kembali meja malah terus mendapat satu keluarga pengunjung yang berminat dengan produk kami. Mereka-mereka ini telah membaca ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Kini mereka mahu mencari DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" lalu jadilah mereka pelanggan pertama DVD ini sejak kami mula beroperasi di sini...
Lihat! Dengan kuasa Allah, kami mendapat pertolongan sehingga diberi meja yang amat cantik ini! Walaupun asalnya kami tidak tahu di mana boleh mempromosi buku hingga hampir hilang semangat langsung, kami tetap tawakal dan pergi. Cuma yang cacat sedikit mungkin poster di belakang yang ada menunjukkan gambar kaki-kaki luka. Tetapi semasa itu saya membiarkan sahaja kerana suka dengan nombor 55 yang tertera.
Kehadiran orang yang sentiasa lalu-lalang di sini memastikan meja kami sentiasa ceria dan dikunjungi...
Kalau nak ramai lagi pengunjung, mungkin lebih elok buka meja di hadapan Restoran Riverview. Tetapi lihat sendiri keadaan di sana, begitu sesak, susah nak bernafas... lebih baik lagi tempat yang kami dapat di hadapan Bilik Perak...
Apapun, kami puas hati dengan promosi di sini. Cukuplah disebut, dalam tempoh tidak sampai satu setengah hari, hampir 50 buku di bawah siri "Berpetualang ke Aceh" telah dibeli orang termasuk oleh mereka-mereka yang berpangkat. Sejumlah DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" juga turut dibeli. Termasuk yang membelinya adalah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry. Sekian! :]
p/s: Harapan saya adalah kerajaan Perak kini dapat melihat masjid tinggal lama di Teluk Memali sebagai satu bangunan warisan yang perlu dipertahankan sebagai satu simbol ketuanan Melayu. Moga-moga ia akan mendapat pemeliharaan yang sepatutnya tidak lama lagi, begitu juga makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang terletak berdekatan. Mana boleh makam raja Melayu dibiarkan tidak terjaga sedangkan kubur wakil penjajah J.W.W. Birch yang juga terletak tidak jauh dari situ boleh cantik dipelihara!
4 ulasan:
salamssss .. .. alhamdulillah .. .. begitulah kalau rezeki itu datang, kurniaan Allah tidak tersangka sangka sebenarnya .. .. dan sy yakin, setelah mengenali Nur Kedua, sememangnya byk membantu membuka jalan ruang ruang yg tak kelihatan .. .. tambahan pula orangnya sgt bermotivasi!! .. ..
dan sy secara peribadi sgt sgt berharap agar Masjid Misteri yg begitu dekat di hati sy ini mendapat 'pembelaan' yg sewajarnya agar ia kembali 'berseri' sebagaimana yg terzahir dahulu .. .. wsalamssss .. ..
JIWA
..caya la bro...
Semoga Berpetualang Ke Acheh dapat menembusi minda dan jiwa orang-orang di PWTC yang selama puluhan tahun begitu fanatik mempertahankan tamadun sekular Barat/Yahudi yang telah mengharubirukan sistem dunia dan teramat 'babil' pula untuk kembali kepada sunnah Rasulullah saw - selain sekadar yang bersifat pragmatisme.
waaah..
aku tumpang gembira.
wassalam
Catat Ulasan