Kalau tidak kerana perlu kembali ke Muar untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha Jumaat lalu, kami juga mahu berjalan ke daerah Mersing dan Segamat. Kiranya cukup semua daerah dalam negeri Johor... kerana kami juga melalui daerah Ledang (tak sampai 10 tahun lalu masih sebahagian dari Muar). Malah tak mustahil kami akan berlepas ke Batam, Tanjung Pinang dan Pulau Penyengat yang terletak di dalam negara Indonesia kerana gerak rasa tu ada, perkhidmatan feri terdekat pun ada, cuma masa sahaja tidak mengizinkan.
Pengembaraan keliling Johor termasuk ke Singapura ini dimulakan sebaik sahaja isteri saya tamat tempoh pantang 40 hari melahirkan anak iaitu pada hari Ahad 22 November. Sebelum itu kami singgah ke beberapa tempat di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk membuat paspot antarabangsa anak, singgah juga di Kajang seterusnya Rembau sebelum berehat di rumah keluarga di Muar. Adapun sebelum meninggalkan rumah kami di Bandar Tasik Puteri iaitu pada hari Khamis sebelumnya, saya telah mereset meter kereta kepada kosong agar dapat melihat sendiri jumlah jarak yang bakal dilalui. Sebaik sahaja pengembaraan ini selesai dan kami kembali ke rumah Sabtu 28 November meter kereta menunjukkan kami telah membuat perjalanan keseluruhan sejauh 1820.5 km!
Ini ternyata lebih jauh dari perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat bulan Ramadhan. Rujuk pada artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sampai masa untuk pulang... yang dibuat sebelum memulakan perjalanan terbaru ke selatan, artikel terakhir disiapkan untuk perjalanan itu. Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan memakan jarak keseluruhan 1,700 km, ketika Al-Rasyid berusia 8 bulan dalam perut sedangkan perjalanan terbaru ke selatan dibuat ketika anak itu telah pun keluar, sudah ada surat beranak dan ada paspot antarabangsa! Mykad aje belum ada sebab belum siap...
Maka itu sukacita dimaklumkan, InsyaAllah satu siri cerita yang dipanggil "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" akan dimulakan tidak lama lagi. Tetapi sebelum itu biar diselesaikan dahulu cerita perjalanan ke Pantai Timur ya. Cuma tak dapat janji bila. Kerana cerita itu memerlukan 3 bahagian lagi untuk selesai, pertama tentang perjalanan kembali melalui Dabong dan kawasan Gunung Stong hingga ke Gua Musang, kedua lawatan ke Cameron Highlands, ketiga tentang persinggahan ke Chenderiang dan Lata Kinjang sedangkan hujung minggu ini saya perlu keluar outstation lagi!
Untuk makluman, ini adalah artikel ke 599 di blogspot ini. InsyaAllah artikel tentang perjalanan kembali melalui Dabong dan Gunung Stong akan menjadi artikel ke 600. Selamat malam! :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan