Sekarang sudah sampai masanya untuk mengeluarkan cerita ini... Tetapi masih dalam mood bercerita dengan gambar sahaja ya, satu mood yang cuma akan tamat setelah selesai mengeluarkan segala gambar yang perlu tentang perjalanan terbaru saya ke Pantai Timur yang telah tamat lebih sebulan lalu.
Adapun cerita ini dimulakan dengan gambar masjid di Dabong dalam keheningan pagi selepas solat Subuh. Di masjid itulah saya bermalam selepas sampai di situ setelah tengah malam, dengan menaiki keretapi daripada Kota Bahru.
Di masjid itu, saya telah diserang sakit perut berserta penyakit kejang otot, demam-demam dan ceret-beret yang sangat teruk. Bukan sahaja saya tidak dapat betul-betul tidur malah hampir sepanjang malam itu saya mengerang kesakitan selain terpaksa berulang-alik masuk ke tandas masjid... Mungkin sebab malam itu saya tidak makan apa-apa kecuali kerepek ubi kentang pringles?
Mungkin keadaan ini menjadi teruk juga akibat kepenatan mengembara tidak berhenti di Pantai Timur sejak 3 minggu sebelum itu? Dan lagi, sejak saya berhenti merokok secara mendadak hampir 2 tahun lalu, memang saya selalu diserang sakit-sakit sendi dan urat yang amat sangat... Ini belum dikira kesan segala beban hidup yang dialami lebih-lebih lagi setelah lama tidak bekerja dan tidak berumahtangga, sentiasa sahaja mengembara ke sana ke mari untuk memahami keadaan yang menimpa seorang diri dalam keadaan terpinga-pinga dan orang yang tidak memahami sering menghina...
Apapun, pagi itu selepas solat Subuh, dalam kesakitan yang belum surut itu lagi, saya gagahkan diri juga untuk memanjat Gunung Stong demi melihat air terjun tinggi yang saya pertama kali sampai 8 tahun lalu... Ketika mengembara seorang diri menaiki motosikal ke Perak seterusnya masuk ke Jeli, Kelantan kemudian mahu ke Gua Musang melalui Dabong, melalui sebuah jalan tepian Banjaran Titiwangsa yang rupa-rupanya telah rosak teruk.
Gambar-gambar yang ada ini sedikit pun tidak dapat membayangkan kesakitan yang saya alami ketika itu selain penat-lelah teruk dan kejang-kejang otot sehingga terasa seperti mahu "tercabut pinggang" ketika memanjat sebahagian gunung... Sepertimana cerita-cerita yang saya buat di mana-mana blogspot saya yang ada tidak dapat membayangkan segala susah-payah sebenar dan air-mata darah yang mengalir dalam pengembaraan untuk mengorek cerita-cerita yang tersembunyi... Kecuali apabila saya tergerak untuk meluahkan rasa secara jujur demi untuk melicinkan gerak bercerita yang boleh jadi tersekat apabila dilanda masalah.
Cukuplah dikatakan Gunung Stong yang bersambung dengan Gunung Ayam dan sebuah lagi gunung, kalau tak salah ingatan namanya Gunung Cintawangsa menyimpan rahsianya yang tersendiri. Di sini dikatakan tempat persemayaman terakhir raja perempuan Kelantan dahulukala yang terkenal iaitu Chik Siti Wan Kembang.
Selain itu saya terasa sesuatu yang menarik tentang batu-batan dan galian yang terdapat di sini. Air gunungnya yang berwarna sedikit kekuningan melambangkan satu kandungan mineral yang tertentu... Setakat ini air berciri serupa cuma pernah saya lihat di kawasan air terjun Kota Tinggi, Johor dan air terjun Lata Kekabu di Perak.
Lihat pula 2 gambar terakhir yang menunjukkan batu-batan yang kelihatan ada warna-warna metallic... Agak-agaklah, apa yang terkandung di dalam batu batan ini? Sekian! :]
1 ulasan:
xpe..lebih baik merasa kesusahan baru kita tahu erti kesenangan
Catat Ulasan