Salam semua. Merujuk pada artikel lama QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf yang dipersembahkan pada 26 Mac iaitu lebih 3 bulan lalu. Ada disebut bahawa saya menghadiri acara berkenaan pada hari Selasa 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446 Hijriah berbusana tradisional Melayu penuh bertanjak dan berkeris. Ada ditunjukkan gambar berkenaan dalam artikel. Apa yang tidak diberitahu saya ada dirapati seorang wartawan yang kemudian menemuramah tentang pemakaian. Ada jurufoto juga mengambil gambar. Katanya hendak menerbitkan artikel berkenaan dalam akhbar.
Namun hal-hal yang muncul kemudian menyebabkan saya terlupa tentang perkara. Tadi selepas tengah malam, sudah masuk tarikh 12 Julai bersamaan 16 Muharram 1447 Hijirah baru tahu. Rupa-rupanya artikel berkenaan sudah muncul dalam akhbar Sinar Harian, sekurang-kurang dalam versi atas talian, pada petang 25 Mac itu juga. Boleh lihat dan baca di sini. Biar diabadikan dalam blogspot ini.

GOMBAK – Pemakaian busana tradisional Melayu bukan sekadar simbol budaya, tetapi turut mencerminkan nilai peradaban yang tinggi, terutama apabila dikenakan dalam acara berprestij seperti World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penulis buku dan aktivis peradaban, Radzi Sapiee, 55, yang hadir lengkap berpakaian seperti laksamana Melayu berkata, usaha memartabatkan pakaian tradisional ini telah diperjuangkannya sejak 13 tahun lalu.
“Ini bukan kali pertama saya menghadiri program ini, dan setiap kali hadir, saya pasti mengenakan pakaian seperti laksamana.
“Sebenarnya, bukan sekadar minat, tetapi saya juga berketurunan laksamana Perak. Justeru, saya memperjuangkan peradaban serta pemakaian busana tradisional,” katanya pada Selasa.
Menurutnya, masih ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap pemakaian busana tradisional dan lebih cenderung memilih pakaian moden seperti kot.
“Minda masyarakat hari ini lebih melihat pakaian Barat sebagai simbol kemodenan, sedangkan dahulu, baju Melayu lengkap dipakai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk para ilmuwan,” jelasnya.
Radzi yang pernah menuntut di University College London berkata, pada awalnya beliau lebih cenderung kepada budaya Barat, namun lama-kelamaan menyedari kepentingan menghidupkan warisan bangsa.
“Darah keturunan memanggil saya kembali kepada akar budaya sendiri dan menyedarkan bahawa nenek moyang kita bukan sekadar memakai busana ini, tetapi mereka juga hebat dalam strategi dan ilmu.
"Jika kita sendiri tidak menghargai pakaian dan budaya kita, siapa lagi yang akan mempertahankannya?" ujarnya.
Menyentuh kepentingan program World #QuranHour, Radzi menegaskan bahawa program tersebut tidak pernah gagal dalam menyatukan umat Islam serta menyebarkan nilai al-Quran dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, tema yang diangkat dalam program kali ini sangat bertepatan dengan keadaan dunia Islam yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya isu di Gaza, Palestin.
“Surah al-Saff mengajar kita tentang pentingnya penyusunan yang teratur dalam perjuangan. Umat Islam perlu bersatu dan membentuk saf yang kukuh bagi menghadapi cabaran zaman ini.
“Seperti yang berlaku di Gaza, surah ini memberi panduan kepada umat Islam untuk memahami kesukaran serta cabaran yang dihadapi saudara seagama kita di sana,” jelasnya.
------------
Untuk makluman. Ini adalah artikel ke-2,696 di CATATAN SI MERAH SILU. Cantik sungguh aturan Allah SWT. Baru menyedari kewujudan artikel ini pada ketika beberapa jam lagi hendak bergerak ke Taiping untuk mesyuarat terbaru jawatankuasa bertindak waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin daripada jalur Orang Kaya Arshad dan Aminah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan