Awal pagi 30 Mei 2010, fajar baru sahaja menyingsing...
Al-Rasyid bermain dengan anak kucing.
Inilah pantai Teluk Senangin di bahagian utara daerah Manjung.
Rasyid bermain-main di tepi pantai.
Bapa 'berborek' mengajar anak 'merintik'. Heh! :]
Di sinilah Rasyid pertama kali merasa mandi laut. Ada masanya dia seronok, ada masa pula menangis meronta tak tentu pasal...nak belajar menyelam sendiri agaknya...
Pantainya memang indah, rasanya lebih cantik daripada Teluk Batik. Keindahannya tidak kalah dengan apa yang terdapat di Pulau Pangkor. Malah saya rasa mandi laut di Teluk Senangin lebih puas berbanding mandi pantai di Pulau Pangkor yang sering kali ada binatang air halus menggigit, boleh pula terpijak binatang laut yang berduri seperti landak. Lihat artikel The beach at Teluk Senangin di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kami pergi lagi ke pusat pembiakan penyu di Pasir Panjang.
Sebenarnya hari sebelumnya kami sampai lewat seminit dua sahaja selepas ia tutup 5 petang. Terpaksalah menunggu hari ini untuk melihat penyu... isteri dan anak belum pernah sampai sedangkan saya pernah masuk, kalau tak salah ingatan 2 kali. Itulah yang menjadi asbab kami bermalam di Teluk Senangin yang terletak cukup dekat. Kalau tidak, tentu kami bermalam di Lumut kalau tidak pun terus ke Pulau Pangkor. Lihat video klip. Untuk gambar-gambar lihat Pasir Panjang turtle sanctuary.
Al-Rasyid posing naik penyu...
Kami meninggalkan Pasir Panjang dalam keadaan hujan.
Kami kembali ke bandar Lumut.
Makan tengahari sebelum berjalan lagi...
Singgah sekejap di masjid.
Selain bersolat dapat juga berehat. Untuk peringatan saya, filename gambar ini ialah P5300505.
Destinasi seterusnya ialah Teluk Batik...
Terlihat pula papan-tanda ini...
Tengok-tengok ada jeti baru yang lebih dekat ke Pulau Pangkor. Lihat The new jetty for Pulau Pangkor.
OK. Asalnya kami memang bercadang mahu ke Pangkor. Tetapi pagi di Teluk Senangin ternyata kami anak-beranak sebenarnya penat malah demam dan batuk-batuk lalu membuat keputusan untuk membatalkan rancangan masuk pulau. Ya, kami ada mandi laut dan rasanya rugi kalau dah jalan jauh tak mandi laut... ini mungkin tidak menolong menghilangkan demam. Tapi sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi terkejar-kejar hendak ke Pangkor dan ini memberikan masa untuk melawat lain tempat menikmati suasana dengan lebih santai.
Di Teluk Batik kami sekadar berpusing lalu. Saya mahu melihat keadaan sambil menunjukkan kepada isteri bagaimana saya pernah berjalan kaki seorang diri meredah hutan dari sini ke Teluk Rubiah...
Saya pun membawa anak dan isteri ke Teluk Rubiah.
Apakah istimewanya Teluk Rubiah? Antaranya di situ terdapat apa yang dikatakan tapak kaki Rubiah, seorang wanita bertaraf wali katanya. Di sebelah tapak kaki ada pula perigi Rubiah. Namun saya sendiri pertama kali sampai ke sini kerana mencari tempat yang serupa dalam mimpi...
Saya tak ingat bila ia berlaku, yang pasti sebelum 2008. Saya mendapat mimpi menunjukkan sungai besar yang kelihatan seperti Sungai Muar. Bezanya dalam mimpi, ke bahagian muara sungai ada bukit-bukit sedangkan keadaan sebenar di Muar hanyalah tanah rata. Tenyata Sungai Dinding lebih menepati ciri-ciri dalam mimpi lalu saya berjalan kaki meredah hutan dari Teluk Batik ke Teluk Rubiah semata-mata untuk mencari sebuah bukit yang menepati mimpi.
Cukuplah cerita tentang mimpi. Bukit yang dicari memang terdapat di Teluk Rubiah. Untuk gambar sekitar teluk lihat artikel The gulf called Teluk Rubiah. Tanpa dirancang, artikel ini muncul menjadi artikel ke 550 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH... sedangkan sebuah gambar yang digunakan memiliki filename P5300550.
Di luar Teluk Batik di bahagian bertentangan kaki bukit terdapat satu tasik.
Saya teringat pertama kali dibawa ke tasik ini tahun 2007 oleh beberapa orang kawan. Kawan-kawan yang meminati ilmu ghaib, katanya biasa berhubung dengan alam bunian jugalah yang membawa saya ke pantai di Segari yang katanya menghadap pusat sebuah tamadun seperti Atlantis. Lihat balik artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara?. Cuma ketika itu saya dibawa waktu malam, jadi taklah nampak apa-apa sangat...
Kata mereka tasik ini ada kena-mengena dengan cerita Lancang Kuning yang menurut sesetengah riwayat menjadi asal-usul pemakaian Adat Perpatih yang mengutamakan kaum perempuan sebagai pemegang pusaka keluarga. Kalau tak salah ingatan, seorang perempuan mengandung rela mengorbankan diri dengan berbaring di hadapan lancang atau kapal diraja yang entah kenapa tersangkut setelah dibina, tidak dapat dilancarkan masuk ke dalam air. Kemudian raja mendapat syarat, lancang itu cuma boleh dilancarkan jika digelongsorkan ke atas perut perempuan mengandung. Syarat ini pun dilakukan sehingga perempuan itu terkorban. Pengorban tersebut menyebabkan raja mengisytiharkan keutamaan pusaka harus diberikan kepada orang perempuan sehingga jadilah Adat Perpatih yang kita kenali sekarang.
Menurut mereka di tasik ini ada pintu untuk masuk ke alam bawah bumi yang kalau tak salah ingatan dipanggil Bumi Dipa. Alam bawah tanah dengan penduduknya yang tersendiri ini ada disebut dalam buku-buku sastera lama terutama yang bersifat keHinduan apalagi dikatakan di dalamnya terdapat banyak lembu putih, binatang yang memang sering dikaitkan dengan Hindu. Mendengarkan ini, hati saya cepat sahaja mahu menolak. Saya tidak ingin lebih tahu kerana merasakan ia bercanggah dengan amalan peribadi. Tetapi apabila difikirkan balik bertahun kemudian, mungkin di sebalik ini ada satu rahsia yang boleh dijadikan kekuatan perjuangan bangsa Melayu di akhir zaman. Walaupun saya tidak suka bersahabat dengan jin dan bunian, adalah menjadi satu kesombongan jika saya menolak hakikat bahawa mereka juga ada tempat dan peranan dalam perancangan Allah Ta'ala.
Sesungguhnya alam-alam ghaib, baik alam bunian mahupun alam jin, kayangan dan bawah tanah bukan semata-mata konsep agama Hindu. Ia ada disebut dalam banyak peradaban di seluruh dunia kerana merupakan realiti zaman lampau bumi kita. Sesungguhnya perhubungan manusia dengan alam-alam ini adalah satu perkara biasa ketika itu. Pemahaman tentangnya dapat menerangkan beberapa perkara yang digelapkan dalam sejarah, perkara yang tidak akan dapat dirungkai sampai bila-bila jika kita mengukur segalanya menurut logik akal pemahaman zaman sekarang.
Misalnya kalau mengikut akal dan pemahaman popular berdalilkan ilmu sains yang mendakwa tamadun zaman dahulu lebih mundur daripada sekarang, piramid di Mesir dijangka mengambil masa berpuluh tahun untuk dibina, itupun dengan tenaga kerah beribu orang hamba yang dipaksa. Tapi kalau kita faham realiti sebenar keadaan dahulukala di mana perhubungan dengan alam ghaib adalah perkara biasa, tidaklah menghairankan jika sebuah piramid dapat dibina dalam tempoh sehari sahaja. Lihat kisah orang alim zaman Nabi Sulaiman yang dapat mengalihkan singgahsana Ratu Balqis dari Saba beribu batu ke Baitul Muqaddis dalam sekelip mata. Kalau tidak ada orang alim sebegitu pun, tidak susah untuk mendapatkan pertolongan jin yang dapat membuat perkara yang sama tetapi mungkin memakan masa beberapa saat lebih panjang.
Adapun perhubungan dengan alam ghaib yang begitu senang dicapai kebanyakan manusia dahulukala terputus dengan kelahiran junjungan besar kita Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Alam kayangan pula runtuh, ada yang kata hilang. Namun disebut juga, ketika kita bersiap-sedia untuk menghadapi perang akhir zaman yang semakin hari semakin hampir, begitu juga keadaan makhluk-makhluk di alam lain yang turut akan berpuak dan berpihak. Alam-alam ini bukan tidak relevan langsung, cuma kita sahaja yang tak nampak. Malah difahamkan, salah satu taktik paling besar pihak Yahudi Zionis untuk menakluki dunia adalah dengan membuka pintu alam ghaib untuk membenarkan segala macam syaitan dan jin jahat menerobos masuk menyerang secara fizikal di alam kita!
Berbalik kepada tasik di kaki bukit luar Teluk Rubiah. Dikatakan Bumi Dipa yang boleh dimasuki melalui satu pintu bawah air di tasik juga ada kaitan dengan kerajaan Beruas dan Gangganegara. Dari Bumi Dipa, seseorang boleh berjalan kaki jauh di bawah tanah lalu keluar di tapak kerajaan lama Gelanggayu di Johor, kerajaan yang pusatnya disebut oleh Bendahara Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebagai memiliki kota berbatu hitam. Kitab tersebut ada menyebut Raja Suran yang menjadi moyang Sultan-sultan Melaka pernah turun ke dalam laut lalu terjumpa sebuah kerajaan dan berkahwin dengan puteri di sana. Puteri inilah yang melahirkan 3 orang anak yang kemudian muncul di Bukit Siguntang, salah satunya Sang Sapurba yang mengahwini puteri kepada Demang Lebar Daun sehingga terbit Sang Nila Utama yang merajai Temasik atau Singapura.
Sesetengah pihak menerangkan, kerajaan bawah laut itu bukanlah bermakna ia kerajaan alam ikan duyung atau rakyatnya duduk berbasahan di dalam air. Sebaliknya ia satu kerajaan 'kering' seperti kita tetapi di Bumi Dipa, alam bawah tanah yang juga boleh dimasuki melalui pintu dalam laut. Dalam artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara ada disebut betapa selepas keluar daripada laut Raja Suran telah membuat sebuah batu bersurat lalu ada pihak menyebut itulah Batu Bersurat Beruas yang kini sudah hilang entah ke mana. Gambar tasik di atas pula memiliki filename P5300555... ada kombinasi nombor 55 seperti yang terdapat pada gambar dalam masjid Lumut juga artikel dan gambar mengenai Teluk Rubiah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Apakah ini semua satu petunjuk?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan