Salam hari Isnin malam Selasa 3 Ramadhan 1443 Hijriah. Gerak hati ini membawa untuk berkongsikan cerita hari ke-2 pengembaraan baru ini. Kali ini ada hal penting mahu dinyatakan berkenaan perjalanan hidup dan peranan diri. Bersambung daripada artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan.
Pagi Jumaat 1 April 2022. Sebaik sahaja matahari naik saya bergerak ke jeti berdekatan rumah ibu saudara di Batak Rabit. Sebelum itu saya telah membaca separuh Surah Al-Kahfi di rumah. Di jeti saya menyelesaikan lagi separuh bacaan surah. Gambar ini diambil melunjur kaki bagi menunjukkan di manakah saya telah duduk bersila menghadap Sungai Perak sepanjang membuat bacaan itu. Kalau diambil gambar ketika duduk bersila memang tak boleh nampak kaki bersama sungai...
Sejak masuk tahun baru Islam 1443 Hijriah iaitu pada 8 bulan lalu saya membiasakan diri agar membaca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al Kahfi pada pagi setiap hari. Setiap pagi Jumaat pula saya akan berusaha untuk menghabiskan bacaan keseluruhan surah. Ini adalah tambahan bagi sejumlah amalan lain termasuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran setiap bulan Hijriah yang dimulakan 3-4 tahun lalu. Selepas menyelesaikan Surah Al-Kahfi saya menyambung usaha pengkhataman dengan memulakan bacaan Juzuk ke-30 Al-Quran. Tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada seorang saudara. Selain mahu memastikan saya sudah berada di Teluk Intan untuk dua sesi mesyuarat pada pagi dan petang Jumaat beliau mahu memberitahu satu berita yang mengejutkan.
Ini adalah rumah ibu saudara, adik kepada bapa. Rumah itu dan dua pintu rumah kedai lama kayu yang bersambung dengannya terletak di atas tanah yang dihadiahkan kepadanya oleh nenek iaitu ibu kepada bapa saya. Antara 9 orang adik beradik bapa, ibu saudara ini sahaja yang terus menetap sepanjang hidup di Teluk Intan. Ini kerana dijadikan anak angkat sejak bayi oleh seorang bapa saudaranya di situ.
Bapa yang merupakan anak sulung berserta beberapa orang adik ikut atuk dan nenek berpindah ke Raub sekitar tahun 1960 kalau tak salah. Saya pula lahir tahun 1970 di kampung ibu di Muar kemudian membesar di sana sebelum melanjutkan pelajaran ke London tahun 1991-1995, selepas itu bekerja di Kuala Lumpur lalu menetap di sekitar Lembah Klang sehingga kini. Setelah berumur lebih 30 tahun baru hendak berjinak dengan keluarga belah bapa di Teluk Intan. Ini adalah setelah mendapat mimpi melibatkan nasab keturunan keluarga yang nenek moyangnya berasal dari Aceh, pada penghujung tahun 2001. Di rumah inilah saya mula menyambung pertalian lama, dengan ibu saudara tersebut sebagai penyampai cerita setelah mendapat pengenalan daripada almarhum nenek di Raub.
Tentang apa yang berlaku sudah diluahkan panjang lebar dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit Jun 2006 hingga November 2007. Sedikit cerita boleh diikuti melalui artikel-artikel berikut :-
Sekitar jam 9.40 pagi saya bertolak meninggalkan rumah ibu saudara. Mesyuarat waktu pagi di bandar Teluk Intan dijadualkan bermula jam 10.30. Masuk dahulu berjalan-jalan di pusat bandar...
Menara condong yang kelihatan boleh dikatakan pengenalan jelas bahawa suatu gambar itu diambil di Teluk Intan. Ini menjadi bukti sudah sampai ke sana...
Pergi ke Masjid Melayu di pinggir timur bandar. Saya sebenarnya keluar dalam keadaan belum mandi dan bertukar pakaian. Di masjid baru dilakukan...
Gambar ini pula menunjukkan tempat mahu mengadakan mesyuarat iaitu di pejabat Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak. Saya dan keluarga, atau lebih tepat saudara mara berupa tiga orang sepupu bapa, seorang saudara dua pupu saya dan seorang anak saudara telah pergi ke restoran berdekatan. Sepatutnya kami bermesyuarat dengan OBJ yang juga merupakan pemegang jawatan Laksamana Raja Mahkota Perak. Tengok-tengok beliau berada di Manjung untuk beberapa urusan. Nampaknya terlupa tentang mesyuarat bersama kami jam 10.30
Namun sebagai gantinya beliau berjanji akan bertemu di pejabat pada jam 3 petang. Sekadar memberitahu saya dan isteri pernah berjumpa dengan beliau di situ pada 23 Februari lalu. Ketika itu beliau yang asalnya adalah pemegang jawatan Toh Muda Laksamana iaitu bakal Laksamana baru sekitar 3 minggu diangkat menjadi Laksamana. Ini berlaku setelah hampir setahun kedudukan dibiarkan kosong iaitu setelah pemegang terdahulu meninggal dunia pada 25 Februari kalau tak salah ingatan. Lihat artikel
Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan.
Merujuk pada berita memeranjatkan yang diterima selepas selesai membaca Al-Quran di jeti tepian Sungai Perak di Batak Rabit. Kami semua baru sahaja diberitahu bahawa jawatan Toh Muda Laksamana telah diisi dan ini berkuatkuasa pada hari Jumaat itu 1 April. Saya sebagai orang yang berharap dapat mengambil kedudukan tersebut setelah gelaran Laksamana diisi 2 bulan sebelum itu tentu merasa terperanjat dan kecewa. Walaupun sudah bersedia dengan kemungkinan tersebut kerana tahu ada pihak berkuasa tidak suka orang seperti saya naik kerana "ada kepala sendiri" saya menyangkakan gelaran Toh Muda cuma akan disi selepas Hari Raya Syawal nanti.
Ketika pergi ke pejabat OBJ saya sudah berjaya mengenepikan perasaan kecewa. Tengok-tengok saudara mara lebih dukacita dan hampa malah merasa dikhianati. Ini kerana mereka mengharapkan saya dapat mengisi sebagai satu-satunya wakil keturunan Laksamana daripada cabang Muhammad Wahi bin Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah, Sultan ke-26 Perak pada tahun 1877). Lebih kurang seabad lalu Muhammad Wahi pernah menolak gelaran lalu adiknya Muhammad Ali Wasi pun menjadi Laksamana.
Selepas beberapa lama naik anak kepada Muhammad Ali Wasi iaitu Muhammad Razali menjadi Laksamana. Beliau adalah sepupu kepada datuk saya. Kemudian naik anak Razali iaitu Hamidi sebagai Laksamana. Beliau adalah dua pupu kepada bapa saya. Selepas itu baru naik Laksamana Muhammad Amin Shukeri yang merupakan cucu kepada Laksamana Muhammad Amin daripada isteri ke-5 kalau tak salah, anak kepada Laksamana Ali Akbar yang umurnya sekitar 40 tahun lebih muda daripada abangnya Muhammad Arshad yang berlainan ibu iaitu belah saya. Amin Shukeri inilah yang meninggal dunia Februari tahun lalu. Inilah yang digantikan dengan Laksamana yang ada kini iaitu Dato' Meor Redwan.
Selepas moyang saya Muhammad Wahi menolak belum ada lagi keturunannya memegang apa-apa gelaran atau jawatan istana. Semasa Hamidi iaitu dua pupu bapa menjadi Laksamana bapa saya pernah diminta masuk memohon untuk menjadi Toh Muda. Kerana selain merupakan seorang cucu lelaki sulung kepada Muhammad Wahi, beliau yang lahir tahun 1942 memiliki taraf pelajaran paling tinggi dalam kalangan saudara mara. Tetapi bapa menolak atas sebab tertentu.
Saudara mara daripada cabang Muhammad Wahi mengharapkan saya naik supaya dapat membela nasib keluarga. Ada cerita di sebalik itu melibatkan pengkhianatan dan pecah amanah terhadap kami oleh saudara mara daripada cabang lain. Saya diharapkan kerana dilihat sebagai memiliki kelulusan, pengetahuan dan pengalaman hidup terbaik juga keberanian dan keyakinan tinggi untuk menjadi Toh Muda seterusnya Laksamana. Alangkah hampanya mereka apabila mendapat tahu pagi itu yang naik adalah orang lain yang bukan sahaja jauh lebih muda dan dilihat tidak berpengalaman seperti saya. Malah, setahu kami, dia sebenarnya adalah keturunan Laksamana Muhammad Amin daripada sebelah ibu, bukan daripada nasab lelaki bin lelaki bin lelaki seorang Laksamana seperti seharusnya seorang bakal Laksamana.
Tentang apa yang berlaku (atau mungkin telah berlaku di sebalik tabir) biar disimpan ceritanya untuk kesempatan lain. Dipercayai pengesahan untuk jawatan Toh Muda itu telah dibuat 2 minggu lalu. Saya pun merenung kembali apa yang telah berlaku pada diri sendiri sekitar waktu itu. Tengok-tengok baru sahaja berjaya menyelesaikan satu keperluan rasmi penting untuk penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat
Berjaya mempertahankan cadangan tesis di ISTAC.
Maka fahamlah saya Allah SWT mahukan agar diberikan tumpuan penuh bagi menyelesaikan tesis. Saya pun pergi ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit tengah hari itu dengan perasaan akur. Di situ berjaya menamatkan bacaan Juzuk ke-30 lalu dapat mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Sya'aban.
Keadaan dalam masjid selepas masuk waktu Zohor. Untuk pengetahuan pada hari itu 1 April umat Islam seluruh Malaysia buat pertama kali dibenarkan untuk merapatkan saf setelah lebih 2 tahun dipaksa solat berjarak akibat wabak virus Covid-19. Saya merasa amat bersyukur kerana dapat merasakan ini di masjid keluarga. Sesungguhnya bangunan ini sangat bermakna buat diri. Saya sudah beberapa kali bermalam berseorangan juga bersama keluarga.
Keadaan sejurus sebelum solat Jumaat bermula. Gambar diambil dari satu sudut kegemaran di masjid iaitu dengan berbelakangkan satu tiang seri utama. Untuk pengetahuan masjid ini harus sudah berumur lebih 150 tahun. Berdasarkan fakta bahawa Sultan Abdullah bersemayam di Batak Rabit sepanjang memerintah Perak dari tahun 1874 hingga 1877 ia adalah masjid utama negeri pada waktu itu.
Sebelum itu pernah wujud masjid kayu lebih tua di tapak yang kelihatan iaitu di halaman utara masjid. Ini adalah dalam kawasan pemakaman khas bagi keluarga Laksamana daripada cabang kami iaitu anak cucu Muhammad Arshad.
Petang itu jam 3 bermesyuaratlah kami dengan OBJ iaitu Laksamana Raja Mahkota Dato' Meor Redwan. Alhamdulillah, kali ini beliau dapat muncul tepat pada waktunya lalu meminta maaf atas apa yang berlaku pada pagi hari. Dinyatakanlah harapan kami kepada beliau sebagai pemegang baru jawatan Laksamana. Ini termasuk memastikan kesejahteraan masjid di Batak Rabit walau beliau bukan daripada cabang keluarga belah situ.
Jam 4.30 saya dan saudara mara bertolak ke masjid keluarga. Selepas solat Asar diadakan pula mesyuarat bersama ahli jawatan kuasa masjid. Ada beberapa perkara dibincangkan termasuk hasil pendapatan daripada beberapa keping tanah kelapa sawit yang diwakafkan oleh keluarga termasuk tanah datuk saya. Selepas itu kami singgah ke rumah bekas pengerusi masjid bagi mendapatkan versi beliau tentang tanah-tanah wakaf tersebut.
Ini pula dekat tepi Sungai Batak Rabit yang mengalir masuk ke Sungai Perak. Saya telah meminta seorang bapa saudara agar menunjukkan di manakah kedudukan rumah besar keluarga yang sudah lama roboh, kedudukan yang beliau masih ingat kerana dibesarkan dalam rumah di sebelah rumah besar tersebut. Rupa-rupanya letaknya cuma di seberang jalan dari rumah ibu saudara...
Ditunjukkanlah satu kawasan yang telah diliputi hutan belukar tebal. Ia diapit oleh dua keping tanah peninggalan yang ada rumah. Satu masih diduduki waris, satu lagi katanya mahu dijadikan inap desa ataupun homestay. Kata bapa saudara dalam kawasan belukar itu pernah terletak istana yang didiami oleh Sultan Abdullah juga rumah besar keluarga. Tetapi seingat beliau cuma ada satu sahaja rumah besar yang mana bapa saya pernah memberitahu pernah melihat singgahsana raja di dalamnya. Ini berlaku ketika bapa masih kecil tahun 1940an dahulu.
Apabila ditanya tentang ini bapa saudara yang 7 tahun lebih muda daripada bapa pun memberitahu mungkin rumah besar dan istana merujuk pada bangunan yang sama. Selepas beberapa lama rumah besar ditinggalkan tidak berpenghuni, kayu kayannya pun diambil oleh saudara mara untuk didirikan rumah masing-masing pula. Bapa pernah memberitahu tiang-tiang serinya begitu besar sehingga setiap satu boleh dibelah untuk menjadi beberapa tiang seri bagi mendirikan rumah baru.
Menurut cerita keluarga, moyang yang memiliki rumah besar dikenali sebagai Haji Musa. Anaknya Hajah Halijah dikenali sebagai seorang wanita yang sangat cantik sehingga dikatakan anak-anak raja sanggup berperang untuk mendapatkannya. Akhirnya beliau berkahwin dengan datuk kepada datuk saya, Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Daripada perkahwinan ini terbitlah moyang saya Muhammad Wahi yang pernah menolak gelaran Laksamana lalu sampai sekarang belum ada keturunannya menjadi orang istana.
Oh. Ketika itu air sedang pasang tinggi lalu saya tidak dapat masuk ke kawasan belukar yang pernah menempatkan rumah besar keluarga. Dikatakan Haji Musa ini sangat kaya dan memiliki tanah seluas mata memandang serta ramai pekerja. Diceritakan, beliau selalu memerhatikan orang bekerja menggunakan teropong. Anaknya Hajah Halijah yang merupakan ibu kepada moyang saya dikatakan memiliki dayang-dayang dan barangan istana. Siapakah mereka sebenarnya ya sehingga Sultan Abdullah pun bersemayam dalam kota yang sama, kalau tidak pun dalam rumah yang sama?
Sesungguhnya boleh dikatakan seluruh tanah-tanah yang ada di Batak Rabit ini asalnya milik keluarga. Selepas berlaku perubahan zaman sehingga banyak tanah dijual atau terlepas tangan baru muncul para pemilik juga penduduk dari luar. Kalau tidak, yang ada selain daripada keluarga adalah para pengikut juga pekerja mereka sahaja. Cukup.
Nota tambahan (dibuat pada jam 12.44 pagi Selasa 5 April 2022) : Adapun selepas artikel ini disiapkan saya pun berkongsikan ia di Facebook. Sedikit kata-kata harus dikongsikan sebagai pengenalan. Elok ia diabadikan dalam artikel ini :-
PENGUMUMAN - LAKSAMANA TIDAK TOH MUDA PUN TIDAK
Salam malam 3 Ramadhan. Malam ini timbul rasa untuk mengumumkan bahawa saya bukan sahaja tidak dapat memegang gelaran Laksamana Raja Mahkota bagi negeri Perak. Gelaran Toh Muda iaitu bakal Laksamana pun tak dapat. Saya isytiharkan ini supaya tidak timbul cerita pada kemudian hari bahawa saya ada menyamar sebagai Laksamana mahupun Toh Muda untuk kepentingan diri atau mengabui mata orang ramai. Yang sebenarnya adalah saya memang ada malah sering mengaku diri sebagai keturunan Laksamana, pernah dipanggil untuk temu duga bagi jawatan tersebut oleh istana dan ramai ahli keluarga juga orang lain yang mengenali percaya saya memang layak menjadi Laksamana. Dan iya, saya memang pernah memberitahu beberapa orang berkedudukan tinggi termasuk mantan Ketua Polis Negara iaitu Tun Hanif Omar bahawa jika tiada aral melintang insyaallah saya akan menjadi Laksamana negeri Perak yang baru.
Tidak. Ini bukanlah cakap besar tetapi menyatakan harapan demi perjuangan Melayu. Kawan2 aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu dan Islam pula ramai mengharapkan agar saya dapat naik menjadi Toh Muda kalau tidak pun Laksamana... supaya dapat memperjuangkan agenda2 Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi apakan daya? Selain ada yang dengki memang ada yang tak mahu saya naik kerana risau ada "kepala sendiri".
Saya bukan jenis angguk2 senang ikut cakap demi menjaga status quo, mahu hidup mewah sehingga sanggup menggadaikan tanah orang Melayu kepada towkay2 Cina dan sebagainya. Saya sudah beberapa kali memberitahu kepada umum bahawa tidak sukakan orang politik juga sistem demokrasi yang pada saya membenarkan orang2 jahat lagi korup menjadi pemimpin Melayu. Antara agenda utama saya kalau menjadi pembesar istana adalah mengurangkan pengaruh orang politik dalam pentadbiran negara. Saya jelas dan tidak berselindung dengan kepercayaan bahawa sistem pembesar tradisional dan istana boleh diperbaiki sehingga dapat menjadi rantaian bagi berdirinya sistem kekhalifahan Islam yang sejati pada akhir zaman di bawah kepimpinan Imam Al Mahdi.
2 ulasan:
Tidak mengapa saudara, tanpa awak sedar awak dah belajar ilmu yang baru. Hidup ini memang lebih banyak kekecewaan, kesedihan, penderitaan,penantian dan tanda tanya berbanding kebahagiaan
Dari saya,
(Champa Putih)
Smoga Allah pérmudahkan sgala urusan...
Catat Ulasan