Pada penghujung artikel sebelum ini iaitu Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Berapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times ada disebut bahawa sebelum dapat berkongsi cerita sebenar perjalanan ke Perancis ada baiknya dipersembahkan terlebih dahulu satu artikel khas tentang bagaimana boleh terlibat dengan sukan berkuda dan apa yang diketahu tentangnya. Sekarang biar dilakukan itu.
Saya tidak ingat bilakah tempoh masa tepat mula bertugas sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times tetapi ia harus sekitar bulan Mac tahun 1999. Begitu juga tidak ingat bilakah mula terlibat dengan sukan berkuda tetapi ia harus tidak begitu lama selepas itu. Yang ingat saya disuruh memberikan tumpuan pada sukan bermotor terlebih dahulu. Seterusnya apabila terlibat dengan sukan berkuda saya disuruh meliputi acara-acara dressage dan showjumping.
Ini adalah dua acara berkuda yang mana Malaysia ada wakil-wakil berwibawa untuk SEA Games (Sukan Asia Tenggara) dan beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa. Dressage melibatkan kepakaran mengawal kuda agar mengikut perintah bergerak menurut rentak dan corak tertentu sehingga membuat penunggang dan kuda kelihatan begitu berwibawa. Showjumping pula adalah melibatkan kawalan terhadap kuda untuk melompat melepasi tiang demi tiang yang semakin tinggi, juga dalam keadaan terkawal dan kelihatan berwibawa. Dua-dua boleh dikatakan sukan untuk orang berada. Maka lingkungan yang mengikuti pun rata-rata orang kaya, berpangkat tinggi, berpengaruh atau kaum keluarga mereka sahaja.
Saya sendiri asalnya tidak berminat langsung dengan sukan ini. Walaupun sejak menjadi wartawan biasa bergaul dengan orang berada, walaupun sendiri dibesarkan dalam kalangan saudara mara orang berada, walaupun sejak zaman kolej ramai kawan daripada golongan berada, walaupun kemudian kawan-kawan yang dahulunya biasa-biasa pun sudah ramai jadi orang berada secara peribadi saya kurang selesa dengan air atau suatu macam hawa lagak orang kaya yang selalu ada dalam kalangan mereka. Tetapi disebabkan tugasan saya menjadi satu-satunya wartawan NST yang meliputi sukan berkuda sekurang-kurang dalam tempoh tahun 1999 sehingga awal 2001. Selepas itu baru muncul seorang wartawan junior untuk meliputi perkara sama.
Di Berita Harian sudah lebih awal ada seorang berumur jadi stringer (bukan wartawan sepenuh masa, mendapat bayaran mengikut jumlah laporan yang dikirimkan) yang biasa meliputi sukan berkuda. Seingat saya akhbar-akhbar perdana lain seperti The Star, The Sun, The Malay Mail, Harian Metro dan Utusan Malaysia (ketika itu belum ada Kosmo) tidak ada wartawan yang dikhaskan bagi sukan berkuda. Selain saya dan stringer di Berita Harian cuma majalah sukan sahaja ada wartawan khas. Selain itu ada seorang yang betul-betul pakar kerana dia sendiri bertanding dalam sukan berkuda. Tetapi dia sebenarnya bukan wartawan pun. Cuma seorang penunggang yang biasa masuk pertandingan tetapi turut berjinak dengan dunia penulisan melalui laman sesawang sendiri khas bagi sukan berkuda.
Oh. Sebut pasal stringer yang berpangkat pakcik selalu pakai kopiah ke mana-mana itu baru teringat bahawa kami juga selalu meliputi acara-acara ragbi. Apapun, walaupun secara peribadi tidak selesa dengan air orang kaya saya tahu membawa diri dalam kalangan mereka. Lama-lama menjadi selesa dengan komuniti anak-anak orang kaya bermain kuda. Apa lagi bila mendapati ada seperti anak-anak keluarga Ambak (sekarang baru terasa mahu menyebut nama) iaitu tiga adik beradik Quzeir, Qabil dan Quzandria adalah sangat merendah diri walaupun datang daripada keluarga yang boleh dikatakan kaya antara kaya (rich of the rich).
Selepas beberapa lama saya disuruh pula meliputi acara sukan polo. Selalunya ini di Royal Selangor Polo Club di Ampang sana. Di situ lebih banyak tumpuan orang kaya dan berada. Di situlah saya pernah diperkenalkan dalam kapasiti peribadi 'kawan-kawan minum-minum' dengan seorang kerabat diraja yang kini memegang takhta sebuah negeri. Saya tidak canggung kerana mudah bergaul dengan semua peringkat. Lagipun memang kaum keluarga belah bapa berasal daripada kerabat diraja walaupun sudah beberapa keturunan meninggalkan istana. Kalau mahu mencari kedudukan seperti kehendak kebanyakan orang tentu mudah bagi saya kerana sudah dilorongkan jalan.
Tetapi bukan itulah kehendak dalam hidup ini mahupun dalam kerjaya. Tujuan sebenar saya menjadi wartawan adalah demi mengangkat satu idealisma yang sudah muncul dalam fikiran sejak zaman kanak-kanak lagi tetapi mula menjadi satu gagasan ketika berumur 18 tahun. Hal ini akan dikongsikan panjang lebar dalam satu cerita selepas siri ini selesai diikuti satu siri lagi tentang perjalanan ketika masih bertugas sebagai wartawan (sehingga penghujung 2001). Di sini apa yang hendak dinyatakan sebenarnya adalah selepas mengenali sukan berkuda dressage dan showjumping diikuti polo (tidak disebut pada tajuk atas) baru saya mengenali sukan endurance yang lebih merakyat sifatnya. Di situ baru terasa lebih sesuai demi misi dan idealisma diri. Ia juga lebih sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW supaya menggalakkan orang berkuda.
Equestrian endurance in France
Equestrian sports gaining ground?
Nota : Daripada salah satu artikel baru tahu pertandingan yang dihadiri di Perancis berlaku pada bulan November tahun 2000. Dan dalam satu yang lain ada pengakuan daripada satu nama besar dalam sukan bagaimana tulisan-tulisan saya di akhbar telah mengangkat sukan berkuda ke satu persada yang lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan