Salam malam Jumaat. Berbalik pada cerita-cerita perjalanan lama. Daripada zaman belajar di United Kingdom tahun 1991-1995 beralih kita ke zaman saya berkhidmat sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001. Ada perjalanan dibuat dalam kapasiti peribadi semasa bergelar wartawan, ada yang memang tugasan. Ini salah satu perjalanan peribadi. Tugasan nanti akan dikongsi.
Dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands yang dipersembahkan hampir 4 bulan lalu ada ditunjukkan gambar atas. Kelihatan surat menunjukkan saya mula masuk berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada 16 September 1996, Hari Malaysia. Ketika itu belum ada lagi sambutan Hari Malaysia seperti kita lihat hari ini menyusul selepas sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Hari Malaysia mula disambut sekitar 10 tahun kemudian untuk memuaskan tuntutan pihak tertentu atas alasan Sabah dan Sarawak belum lagi wujud dalam cerita ketika kemerdekaan Malaysia (atau lebih tepat Persekutuan Tanah Melayu) berlaku 31 Ogos 1957. Malaysia cuma dibentuk apabila Sabah dan Sarawak masuk pada 16 September 1963.
Dalam artikel sama terdapat gambar dokumen menunjukkan saya mula memiliki motosikal besar kesayangan berjenama Yamaha Virago pada 12 Jun 1997. Penghujung tahun tersebut saya mengambil cuti selama sebulan setengah untuk membuat perjalanan keliling Semenanjung dan balik bercuti di kampung. Ia adalah perjalanan jauh pertama saya dengan motosikal tersebut juga perjalanan jauh pertama setelah bergelar wartawan. Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung. Kira-kira menunjukkan saya telah berjalan hampir 4,000 km!
Motosikal besar itu adalah kenderaan bermotor pertama yang dimiliki dan dibeli dengan duit sendiri. Merata saya pergi dengannya termasuk ke tempat kerja juga membuat tugasan di luar sehingga ia cukup dikenali di bangunan utama pejabat kumpulan NSTP (New Straits Times Publishing) di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Asal ada sahaja masa dan peluang keluarlah saya ke mana-mana. Baru setengah tahun dimiliki pun sudah pusing keliling Semenanjung dan berjalan dekat 4,000 km. Jadi tak hairanlah jika dikatakan dalam tempoh kurang 5 tahun kemudian ia sudah dibawa melalui hampir semua jalan utama di Semenanjung.
Namun cerita yang hendak dikongsikan kali ini memberikan tumpuan pada satu perjalanan sahaja. Asalnya sekadar mahu menghantar isteri lama (rasanya lebih sesuai guna perkataan ini berbanding bekas isteri) ke tempat kerja beliau di Changkat Lada, Perak. Tetapi boleh jadi terlajak hingga ke hulu Sungai Perak lalu menyeberangi Banjaran Titiwangsa masuk ke Kelantan kemudian turun ke Pahang.
Cerita ini ada disebut secara ringkas dalam muka surat 31 buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Ia adalah novel berbentuk travelog berdasarkan pengalaman sebenar hidup tetapi dibuat seperti fiksyen atas sebab-sebab tertentu. Perjalanan diceritakan untuk menunjukkan bagaimana watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid (merujuk kepada diri saya sebenarnya) suka bergerak secara spontan menurut 'angin'. Ini salinannya...
Selepas berehat sebentar minum teh tarik, Rasyid menyambung lagi perjalanan sampai ke Kuala Kangsar. Sempat berjalan-jalan di bandar diraja Perak sebelum membuat keputusan untuk terus menelusuri Sungai Perak sampai ke hulu sejauh yang boleh. Sedar-sedar sahaja sudah sampai ke Jeli, Kelantan, lebih 200km dari Kampung Gajah! Kalau dikira dari Kuala Lumpur, sudah hampir 400km perjalanan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan