OK. Sementara masih ada lagi baki tarikh 1 Februari yang merupakan tarikh sambutan Hari Wilayah biar dipersembahkan artikel kompilasi ini. Ia sepatutnya sudah menghiasi blogspot CATATAN SI MERAH SILU siang tadi. Tetapi disebabkan rasa kepenatan amat selepas membuat suatu kerja diikuti beberapa hal lain baru kini berkesempatan menyiapkannya.
Artikel ini mengumpulkan semua cerita dalam siri "Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung" yang dikongsikan di blogspot 22 November 2020 hingga 29 Januari 2021. Ia dibuat untuk mengingati sebanyak mungkin butiran perjalanan jauh pertama kali saya dengan motosikal besar kesayangan yang dibeli pertengahan tahun 1997. Hujung tahun itu baru berpeluang berjalan jauh dengannya setelah akhirnya dibenarkan mengambil cuti tahunan. Ini kerana cuti cuma boleh diambil setelah cukup setahun berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times.
Oleh kerana mula masuk berkhidmat pada 16 September 1996 selepas 15 September 1997 baru boleh mengambil cuti sedangkan saya layak mengambil sehingga 28 hari setahun. Saya pun memilih untuk memulakannya hampir hujung tahun supaya jumlah cuti dapat bertambah secara pro rata dicampur cuti umum Hari Krismas 25 Disember, cuti Tahun Baru 1 Januari membawa sekali ke cuti Hari Raya Aidilfitri penghujung bulan Januari. Hasilnya dapatlah bercuti selama 46 hari secara berterusan. Peluang ini digunakan untuk membuat perjalanan solo keliling Semenanjung juga berehat panjang di tempat kelahiran dan membesar di Muar.
Saya juga mengambil peluang untuk menjejakkan kaki ke empat 'sudut' paling hujung di Semenanjung. Ini merujuk pada sudut paling utara barat di sempadan Perlis-Thailand, sudut paling utara timur di sempadan Kelantan-Thailand, sudut paling selatan timur dekat Teluk Ramunia, Johor dan sudut paling timur selatan barat di Tanjung Piai, Johor. Dalam tempoh masa berkenaan sempat mendaki Gunung Jerai di Kedah, Gunung Ledang di Muar dan Gunung Lambak di Kluang. Saya juga sempat mengeliling seluruh Pulau Pinang diikuti seluruh Pulau Langkawi lalu perjalanan yang pada mulanya dianggarkan memakan jarak 2,700 km rupa-rupanya mencapai 3,850 km apabila dapat dikorek kembali butiran.
1. Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu
2. Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands
3. Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas
4. Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau
5. Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur.
6. Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu
7. Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan
8. Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung
9. Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya
11. Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah
12. Menghabiskan baki cuti kerja di Muar sebelum kembali ke Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan