Pagi Sabtu 31 Ogos 2019 jam 4.58 pagi. Saya dan isteri telah mengemas barangan di sekitar tempat tidur kami di serambi Masjid Raya Barus.
Ketika kami sampai jam 10 malam sebelumnya masjid sedang berkunci. Ia cuma dibuka sekitar jam 4.30 apabila muncul rombongan 40 lebih orang dari Medan (kalau tak salah ingatan) mahu menunaikan solat Tahajjud dan membuat amalan-amalan tertentu.
Tujuan mereka datang sama dengan kami iaitu mahu menziarahi makam-makam para pendakwah awal Islam yang terdapat di Barus. Atas asbab itulah saya dan keluarga sanggup bermalam di serambi walau tidak dapat tidur nyenyak akibat teruk asyik digigit nyamuk. Kawan-kawan pula bermalam di hotel berdekatan. Tak mengapalah sebab mereka lebih berumur. Pada kami bermalam di masjid adalah satu keberkatan yang besar terutama dalam rangka kerja menjejak sejarah berkenaan Islam dan menyambung wasilah kerohanian yang berkenaan. Lihat artikel
Masjid Raya (Main mosque of) Barus di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ketika kami bersedia untuk berjalan kawan-kawan muncul dalam kereta untuk bersarapan di warung sama.
Kami anak beranak pun berjalan kaki menghala ke pantai.
Jam 8.35 baru kami kembali dalam satu kereta untuk menziarahi makam-makam lama di Barus.
Pertama sekali diziarahi adalah makam Tuan Machdum dalam satu kawasan sawah padi di luar pekan. Saya dapat tahu tentang kewujudan dan lokasi melalui Google Map.
Makam seterusnya diziarahi adalah makam Tuan Ibrahim Syah. Kedudukannya tidak ditanda dalam Google Map tetapi bacaan di Internet ada memberitahu ia tidak jauh dari makam Tuan Machdum. Nasib baik boleh kelihatan batu tanda arah ke makam di tepian jalan.
Saya teringin sangat hendak ke sini apabila mendapat tahu cerita menarik tentang Ibrahim Syah ini. Beliau atau lebih tepat baginda pernah menjadi Sultan Barus 400 tahun lalu. Asalnya adalah daripada kerabat diraja kerajaan Inderapura di bahagian lebih selatan pantai barat Sumatera yang berpindah dengan keluarganya ke Tarusan kemudian keluar berdakwah memasuki kawasan orang Batak di Danau Toba. Orang Batak pula menyebut baginda berdarah Batak. Tak pun berkahwin dengan puteri Batak lalu mendapat zuriat yang kemudian menjadi raja paling besar orang Batak bergelar Sisingamangaraja I.
Baginda kemudian diangkat menjadi Sultan di Barus. Tetapi berlaku adu domba daripada pihak lain menyebabkan Sultan Aceh menghantar angkatan perang menyerang Barus lalu kepala baginda dipenggal. Namun kepala yang dibawa ke Banda Aceh itu menimbulkan suatu penyesalan buat Sultan Aceh lalu dibawa kembali ke Barus untuk dikebumikan dengan penuh penghormatan. Untuk cerita lanjut boleh cari di Internet. Cukuplah saya berkongsi cerita ringkas selain gambar-gambar. Lihat
Makam (Tomb of) Tuan Ibrahim Syah.
Sebetulnya saya cuma mengikut laluan ke utara dari pusat pekan Barus yang mana ada ditanda kedudukan beberapa buah makam dalam Google Map. Untuk makam seterusnya perlu masuk ke dalam kawasan dusun kemudian naik tangga mendaki ke puncak sebuah bukit yang agak tinggi.
Ini boleh dikatakan makam paling utama di Barus. Makam inilah yang disasarkan oleh rombongan dari Medan (atau mana-mana itu) yang datang awal ke Masjid Raya Barus. Ini kerana ia dikatakan milik seorang wali besar.
Pada batu nesannya pula dikatakan tercatat tarikh wafat 44 Hijriah iaitu 34 tahun sahaja selepas baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW wafat di Madinah. Ini adalah tarikh wafat paling awal diketahui bagi mana-mana makam orang Islam di Alam Melayu Asia Tenggara ini. Lihat
Makam (Tomb of) Sheikh Mahmud Papan Tinggi.
Itulah yang menyebabkan ia menjadi daya tarikan sehingga ramai sanggup naik memanjat tinggi untuk sampai ke makam di puncak bukit.
Makam seterusnya mahu diziarahi adalah Makam Mahligai atau kompleks Makam Mahligai. Ia terletak ke utara lagi atas satu bukit tetapi rendah sehingga boleh dinaiki kereta sampai ke sebelah kompleks makam.
Paling menarik dan terserlah adalah makam milik seorang pendakwah bernama Sheikh Rukunuddin. Walaupun tahunnya meninggal dunia iaitu 48 Hijriah adalah 4 tahun lewat selepas Sheikh Mahmud di bukit tinggi tetapi umur ketika meninggal iaitu 102 tahun boleh menjadikan beliau lebih senior atau kanan kalau tidak pun lebih tua.
Kira-kira saya menunjukkan ketika Rasulullah SAW wafat tahun 10 Hijriah pada usia 63 tahun Sheikh Rukunuddin sedang berumur 64 tahun. Oleh itu ada kemungkinan besar mereka pernah bertemu lalu Sheikh Rukunuddin berguru kepada Rasulullah SAW. Lihat
Makam (Tomb of) Sheikh Rukunuddin.
Oh. Sebelum ini saya ada tersalah kira sehingga mewar-warkan kepada umum bahawa ketika Rasulullah SAW wafat tahun 23 Hijriah pada usia 63 tahun lalu Sheikh Rukunuddin dikatakan sedang berumur 77 tahun. Ini kerana terkeliru dengan fakta bahawa baginda wafat setelah 23 tahun berdakwah (13 tahun di Mekah, 10 tahun di Madinah) sedangkan ia bukan berlaku pada tahun 23 Hijriah. Umum tahu bahawa dakwah bermula selepas baginda menerima wahyu lalu diangkat menjadi Rasul ketika berumur 40 tahun. Namun tahun Hijrah itu sendiri bermula 13 tahun selepas itu...
Hal ini menjadikan Sheikh Rukunuddin hampir sebaya dengan Nabi Muhammad SAW. Umur Sheikh Mahmud juga harus dekat-dekat itu dan menurut ceritanya ramai yang dimakamkan di Barus terutama di Makam Mahligai adalah seangkatan. Mereka datang dari Tanah Arab dan kemungkinan besar termasuk dalam 124,000 sahabat nabi. Fakta inilah yang menjadikan persinggahan di Barus sangat penting sehingga saya anak beranak sanggup menahan gigitan nyamuk bermalam di masjid walaupun ia menyebabkan kami kurang rehat. Sedangkan banyak tenaga diperlukan untuk menziarahi makam-makam terutama yang terletak di atas puncak bukit tinggi.
Sebetulnya pada awal naik makam tinggi saya diserang penyakit lelah. Sejak berhenti merokok secara mendadak 13 tahun lalu saya ada kena kalau terlalu penat. Namun digagahkan juga terus naik sambil teringat ceramah di masjid awal pagi. Disebut bahawa pernah berlaku seorang peninju yang gagah tubuh badan tidak berjaya sampai ke atas kerana tiba-tiba tidak sihat sedangkan ada perempuan mengandung 8 bulan berjaya ziarah. Semuanya bergantung pada niat dan jika ia dimakbulkan. Tidak cukup rehat mungkin boleh menimbulkan lelah tetapi ia tidak harus dijadikan alasan. Merendah diri sambil menghayati makna kalimat Lahawlawala Quwwatailla Billahil Aliyilazim - tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah SWT itu lebih afdal untuk mengharungi rintangan dalam mencapai tujuan.
Sesungguhnya ziarah ke makam-makam para pendakwah Islam terawal atau para Awalun Islam ini adalah asbab utama perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera dibuat. Selepas selesai jam 12.30 tengah hari kami boleh dikatakan telah meliputi segala perkara dan jejak sejarah yang penting di Barus. Malam sebelumnya kami ada masuk ke dalam kawasan atau wilayah Lobu Tua yang terletak ke utara sedikit seberang sungai dari pekan Barus. Yang ini lebih dikenali oleh pengkaji Barat kerana pernah ditemui batu bersurat Prasasti Lobu Tua menunjukkan Barus pernah menjadi tempat tumpuan para pedagang India 1,000 tahun lalu.
Pengkaji Barat nampaknya kurang atau tidak memberikan perhatian kepada makam orang Islam. Walhal ia adalah bukti sudah wujud penempatan Islam di Barus sejak zaman awal pemerintahan Kekhalifahan Bani Umaiyah di Timur Tengah (661–744 Masihi). Ini kerana tarikh wafat Sheikh Mahmud di makam atas puncak bukit tinggi iaitu 44 Hijriah adalah bersamaan 665 Hijrah. Sebelum ini saya ada terkeliru sehingga memberitahu kepada umum bahawa ia adalah dalam zaman pemerintahan khalifah kedua Islam iaitu Saidina Umar Ibnu Affan (644–656 Masihi). Rupa-rupanya tersilap pandang antara nombor 656 dengan 665.
Apapun ia adalah tarikh yang sangat awal. Sehingga Presiden Indonesia sekarang, Jokowi pernah datang mengisytiharkan kepada umum 2 tahun lalu bahawa Barus adalah titik nol (titik kosong) iaitu tempat terawal kedatangan Islam di Indonesia. Pada tahun 656 empayar Srivijaya yang sangat terkenal itu mungkin sudah ada tetapi belum cukup signifikan di Sumatera. Ini kerana berdasarkan Prasasti Kedukan Bukit ia mula menjadi cemerlang hanya selepas dilakukan satu ekspedisi penaklukan pada tahun yang bersamaan 683 Masihi.
Sekali lagi, harus diingatkan bahawa tarikh wafat Sheikh Mahmud 44 Hijriah bersamaan 665 Masihi itu bukanlah menunjukkan tarikh Islam mula sampai ke Indonesia atau mana-mana tempat di Alam Melayu. Beliau dan rombongan atau mereka yang seangkatan harus sudah sampai lebih awal. Berdasarkan umur Sheikh Rukunuddin yang hampir sebaya dengan Rasulullah SAW besar kemungkinan mereka termasuk dalam kalangan sahabat nabi. Walaupun ada mempertikaikan tarikh wafat 44 Hijriah di makam Sheikh Mahmud dan 48 Hijriah di makam Sheikh Rukunuddin sebagai salah tafsir dan salah baca lalu menambah ia adalah makam-makam abad 14-15 Masihi saya cenderung untuk percaya mereka memang hidup sezaman dengan Nabi.
Oh. Dua gambar atas tadi diambil dalam perjalanan meninggalkan Barus untuk naik ke kawasan tanah tinggi banjaran gunung utama di Pulau Sumatera yang dikenali sebagai Bukit Barisan. Dari Barus kami bergerak ke arah timur mendaki jalan berliku sebelum sampai ke bahagian landai 5,000 hingga 6,000 kaki dari paras laut lalu bergerak ke utara. Lihat
Rushing to the Batak highlands.
Sampai satu bahagian kami singgah di satu menara yang memberikan pemandangan cantik tasik gergasi yang dikenali sebagai Danau Toba. Lihat
Danau Toba from Menara Pandang Tele Samosir. Kalau ikut rancangan asal kami mahu turun ke pinggir tasik kemudian masuk ke Pulau Samosir yang saiznya sebesar Singapura di tengah tasik tapi tak sempat. Cukuplah dapat melihat daripada atas pulau yang pernah saya, isteri dan anak kecil berumur 2 tahun kelilingi dengan motosikal. Ketika itu seorang lagi anak, Johan yang ada dalam gambar ini sedang berumur 7 bulan dalam perut ibu. Lihat artikel lama
Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau.
Menarik malah wajib disebut bahawa perjalanan mencari jejak Awalun Islam di Barus sehingga sampai ke tempat melihat Danau Toba berlaku ketika rakyat Malaysia sedang menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara. Tadi saya cuma sebut tarikh 31 Ogos hari Sabtu sebagai waktu permulaan aktiviti tanpa menyatakan signifikan tarikh.
Kami tiada pilihan selain terus bergerak kerana siangnya pagi Ahad 1 September akan mengadakan majlis di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh lagi 337 km atau 6 setengah jam perjalanan dari Deli Tua. Selepas itu kami cuma singgah ke masjid dan istana lama Kesultanan Deli di Medan kerana satu, semua anggota rombongan belum pernah sampai kecuali saya, isteri, dan anak laki-laki kami bernama Rasyid. Kedua, kerana ketika kami sampai itu adik Rasyid iaitu Johan berada dalam perut.
Maka bergambarlah Johan di masjid lama kemudian di istana...
Ketika gambar ini diambil sudah jam 1.26 pagi. Kami harus berada di makam Sultan Malikus Saleh jam 10 pagi untuk mengendalikan majlis.
2 ulasan:
salam.. tak pernah lagi singgah ke sini.. nice info nya. banyak maklumat baru dari entri sini. done follow yang ke #218. jemput singgah blog saya juga ye, terima kasih..
Wassalam. Sama2.
Catat Ulasan