Sabtu malam Ahad baru ini, sejurus selepas masuk waktu Maghrib saya, isteri dan anak melangkah masuk ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di Putrajaya.
Seperti ada disebut di dalam artikel Jalan-jalan Putrajaya dan majlis maulud/hol yang akan datang yang dibuat seminggu lalu ada majlis Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di situ.
Walaupun tarikh lahir Nabi Muhammad SAW yang disebut sebagai 12 Rabiulawal (difahamkan ada ulamak berpendapat tarikh ini tidak tepat) sudah hampir 2 bulan tamat sambutan masih boleh dilakukan lewat.
Hol pula membawa maksud hari memperingati tarikh kewafatan seseorang. Saya tidak ingat tarikh tepat Sheikh Abdul Qadir al-Jilani kembali ke rahmatullah, rasanya sekitar seminggu dua minggu gitu dari tarikh lahir Nabi Muhammad SAW yang diterima ramai.
Oh. Pada mereka yang tidak tahu biar diberitahu. Sheikh Abdul Qadir al-Jilani adalah seorang keturunan Rasulullah SAW yang hidup di Baghad abad ke 11-12 Masihi. Baginda adalah seorang ulamak besar yang disebut sebagai Sultanul Awliya atau raja segala wali.
Majlis di Masjid Besi ini adalah satu majlis besar tahunan yang sudah diadakan di beberapa masjid utama di Malaysia. Lihat artikel-artikel lama Majlis Maulud Nabi dan hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Putrajaya... dan Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini....
Ia selalu dihadiri beribu, mungkin berpuluh ribu pengikut berbagai tariqat dan pengajian Tasawuf serta mereka yang menghargai kewujudan para wali.
Majlis turut diserikan ramai Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW termasuk Sheikh Afeefuddin, seorang keturunan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, dari keluarga yang menjaga makam baginda di Baghdad sebelum berhijrah ke Malaysia.
Saya pula lebih seronok apabila bacaan Maulud dimulakan.
Hadirin yang ada semua berdiri sama apabila kata-kata pujian ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang dilagukan memasuki peringkat kemuncak.
Lama kemudian baru suasana kembali surut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan